Pekerja Sosial Bakal Bantu Sekolah Tangani Murid Lemah, Bermasalah – PM – mStar


Pekerja Sosial Bakal Bantu Sekolah Tangani Murid Lemah, Bermasalah – PM

Oleh T.SELVA

NEW YORK: Pekerja sosial akan berkunjung ke rumah pelajar yang lemah untuk membantu mereka lebih maju dalam bidang-bidang seperti matematik dan kemahiran membaca di bawah inisiatif yang akan diperkenalkan di sekolah-sekolah di Malaysia tidak lama lagi.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan program untuk membantu kanak-kanak memulakan pengajian peringkat awal di kedudukan yang sesuai dan bersedia untuk reformasi pendidikan kebangsaan berdasarkan cara yang dipelopori di Amerika Syarikat (AS) melalui sistem yang bermula dari persekolahan sehingga tamat pengajian universiti atau kolej .

Perdana Menteri berkata program itu akan membantu memastikan setiap kanak-kanak yang memasuki sekolah telah bersedia sepenuhnya, menghapuskan jurang dalam kejayaan akademik dan mewujudkan rangkaian sokongan komuniti dan keluarga yang disediakan kepada pelajar.

“Ini adalah satu langkah penting dalam transformasi ekonomi Malaysia dengan modal insan yang lebih besar dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Inisiatif ini juga akan menangani kekurangan minat pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik kerana kurang kecekapan mengajar subjek tersebut, sokongan dan pengawasan profesional yang tidak mencukupi, kurang keutamaan yang diberikan kepada subjek oleh pihak sekolah dan kekurangan maklumat mengenai prospek kerjaya dalam bidang sains berkaitan,” katanya.

Dikenali sebagai ‘Strive Strategy’, ia telah meningkatkan kejayaan pelajar di 27 negeri AS, kata Najib selepas mempengerusikan mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains Global dan Inovasi di Pusat Dagangan Dunia di sini, Rabu, ketika permulaan lawatan empat harinya ke AS.

Strategi ini telah dimulakan di Ohio oleh Dr Nancy Zimpher, yang kini Canselor Universiti State New York, yang merupakan seorang ahli GSIAC itu.

Malaysia adalah negara pertama yang bakal menjejaki metodologi institut Zimpher di seluruh negara, kata Najib, sambil menambah komputer bimbit dan tablet akan diperkenalkan dalam bilik darjah untuk mendedahkan pelajar kepada teknologi pada usia yang lebih awal.

20 kanak-kanak tak sekolah – Sinar Harian


20 kanak-kanak tak sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2012
jalan xturap
Keadaan jalan di kampung berkenaan yang belum diturap.

ULU JELEBU – “Gara-gara masalah jalan yang tidak diturap, hampir 20 kanak-kanak di kampung ini tidak bersekolah kerana mengalami kesukaran untuk berulang-alik dari sekolah,” kata Tok Batin Kampung Banir Tengkor, Jasni Ngongok.

Menurutnya, dahulu ada van yang disediakan untuk mengambil dan menghantar anak-anak Orang Asli di kawasan itu ke sekolah. Namun kini perkhidmatan itu dihentikan kerana pemandunya tidak sanggup untuk berulang-alik ke sini ekoran jalan yang teruk.

“Malah disebabkan selalu ponteng sekolah, ramai anak-anak di kampung ini hilang minat untuk belajar,” katanya.

Jasni berkata, kampung itu sudah wujud lebih 50 tahun lalu, namun penduduk di kawasan berkenaan masih ketinggalan dari segi kemudahan jalan.

“Berikutan masalah itu, setiap hari kami berdepan risiko kemalangan apabila laluan utama sejauh lebih 1 kilometer menghubungkan Kampung Ulu Jelebu curam.

“Walaupun begitu kami terpaksa juga melaluinya untuk melakukan rutin harian dan keluar ke pekan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, beliau pernah mengadukan masalah itu pada mesyuarat Jawatan­kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Ulu Jelebu, namun jawapan yang diterima ialah tiada peruntukan untuk membuat jalan di kampung berkenaan.

Jasni berkata, namun ber­lainan pula dengan kampung Orang Asli lain seperti di Ulu Kelaka, Lakai dan Tohor semuanya ada peruntukan untuk membina jalan.

“Malah, jalan baru turut dibina di Kampung Chennah sedangkan keadaan jalan di sana tidaklah seteruk di sini,” katanya.

Menurutnya, motosikal milik penduduk juga sering kali rosak gara-gara melalui jalan berbatu itu.

“Sekiranya hujan , keadaan jalan di kawasan ini akan berlumpur dan ia merbahaya untuk digunakan,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Razif Abu Hassan, 26, berkata, berikutan masalah jalan itu, dia juga mengalami kesukaran menghantar isteri yang hamil untuk membuat pemeriksaan di klinik.

Razif berkata, masalah itu bertambah rumit sekiranya ada wanita yang mahu bersalin pada malam hari.

“Kawasan di sini sangat gelap dan jalan pula teruk, namun saya terpaksa melaluinya kerana bekerja di luar kampung. Jika hujan, saya tak dapat pergi kerja dan ini menjejaskan pendapatan saya yang terima gaji hari,” katanya.

Peniaga kedai runcit, Mohd Khaidir Abdul, 50, berkata, keadaan jalan tersebut turut membebankannya apabila kenderaan yang digunakan untuk menjual barangan runcit di kawasan itu sering rosak.

“Saya berniaga di sini atas permintaan penduduk memandangkan mereka sukar untuk ke kawasan luar akibat jalan yang teruk,” katanya.

Sorok dalam tempat sauna elak dicekup – Sinar Harian


Sorok dalam tempat sauna elak dicekup

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2012
Sorok dalam tempat sauna elak dicekup
Bekas rawatan sauna yang digunakan remaja lelaki itu untuk bersembunyi.

PETALING JAYA – Sepasang kekasih yang sanggup ponteng sekolah semata-mata mahu berasmara terbantut selepas diserbu pegawai Masjid Al-Muhtaden di sebuah apartmen di Damansara Damai, kelmarin.

Sumber berkata, pegawai masjid dan penduduk terpaksa mengetuk pintu selama lebih 10 minit sebelum pintu dibuka seorang remaja perempuan yang hanya berkemban dengan tuala.

Menurutnya, remaja perempuan berusia 15 tahun pada mulanya mengaku berseorangan namun pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang lelaki yang hanya berseluar pendek bersembunyi di dalam dalam bekas rawatan sauna.

“Tidak dapat menyembunyikan perkara sumbang yang berlaku, kedua-dua mengaku adalah pasangan kekasih dan sudah bercinta sejak setahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, pasangan itu yang mengaku belajar di sekolah sama dipercayai sering mengambil kesempatan untuk memadu asmara ketika ibu bapa perempuan keluar bekerja.

Pasangan remaja itu kemudiannya dibawa ke masjid dengan menggunakan van jenazah untuk tujuan kaunseling dan kedua-dua ibu bapa pelajar terbabit turut dipanggil.

Jaga solat faktor kejayaan – Sinar Harian


Jaga solat faktor kejayaan

WARTAWAN SINAR HARIAN
18 Mei 2012
kejayaan
Muhammad Azfar (berdiri, kiri) bersama Nurul Najihah (duduk, kanan) berkongsi
rahsia kejayaan masing-masing.

JOHOR BAHRU – Kecacatan fizikal sebagai insan kerdil serta ejekan rakan sebaya tidak menjadi penghalang kepada Nurul Najiha Ishak, 16, mencapai kecemerlangan dengan keputusan 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang lalu.

Nurul Najiha berkata, cabaran yang dihadapi menjadikannya lebih bersemangat untuk bersaing dengan rakan-rakan lain bagi membuktikan dirinya juga mampu berjaya seperti insan normal lain.

Anak ketiga daripada lima beradik ini yang bercita-cita menjadi doktor berkata, resipi kejayaannya adalah dengan sentiasa menjaga hubungan di antara Tuhan dan manusia di samping usaha gigih dalam pelajaran.

“Memang ada rakan-rakan yang mengejek dan menghina kekurangan saya, tetapi saya sudah biasa dengan keadaan ini dan terus bertekad untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.

“Selain menumpukan perhatian sepenuhnya dalam proses pembelajaran, saya juga sentiasa menjaga hubungan dengan Tuhan iaitu menunaikan solat dan melakukan ibadat dengan sempurna.

“Selain itu, saya juga mengelakkan dari menyakiti hati orang lain dan berlaku baik terhadap kedua ibu bapa, keluarga serta orang di sekeliling,” katanya.

Anak kepada pasangan petani dan suri rumah yang berasal dari Tongkang Pecah, Batu Pahat ini berharap dia akan terus sukses dan menempa kecemerlangan pada masa akan datang bagi merealisasikan hasrat membantu masyarakat sebagai doktor.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Kecemerlangan Pelajar Istimewa PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peringkat Negeri Johor anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat, di sini, semalam.

Sementara itu, pelajar cemerlang SPM, Muhammad Azfar Firdaus Azlah, 18, berkata, pencapaian 9A dalam SPM tahun lalu menyuntik semangat kepadanya untuk terus mencapai kejayaan.

“Akibat penyakit albino, saya terpaksa belajar menggunakan teleskop di sekolah kerana menghadapi masalah penglihatan.

“Namun saya bersyukur dengan kehadiran keluarga, guru dan rakan-rakan yang tidak jemu memberi sokongan dan membantu saya dalam pelajaran,” katanya.

Muhammad Azfar yang berasal dari Kampung Api-api, Pontian ini berkata, beliau berhasrat untuk menyambung pelajaran ke luar negara dalam bidang ekonomi selepas kejayaan yang dikecapnya itu.

Gigit tangan penculik – Metro


Gigit tangan penculik

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TERKEJUT...Rajan dan ibunya, Seena ketika ditemui wartawan Harian Metro.
TERKEJUT…Rajan dan ibunya, Seena ketika ditemui wartawan Harian Metro.

DI SINI...kawasan tempat Rajan hampir diculik, kelmarin.
DI SINI…kawasan tempat Rajan hampir diculik, kelmarin.

KUALA LUMPUR: Satu lagi kejadian cubaan menculik berlaku di sekitar ibu kota kelmarin, menjadikannya kes culik keenam sepanjang tahun ini dengan dua daripada mangsa dilarikan kumpulan penculik termasuk kanak-kanak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar.

Dalam kebanyakan kes, kumpulan penculik menggunakan van dan empat daripada enam kes itu membabitkan van putih.

Dalam kejadian terbaru jam 3.30 petang kelmarin, seorang remaja lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Rajan, 14, lolos daripada cubaan menculiknya apabila dia nekad menggigit tangan seorang daripada enam lelaki yang ketika itu menekup mulutnya.

Kejadian berlaku ketika Rajan yang pulang dari sekolah baru turun dari bas awam di perhentian bas di Jalan Pantai Murni, Pantai Dalam, di sini, dan berjalan untuk ke rumahnya kira-kira 500 meter dari tempat kejadian.

 
“Sebaik turun daripada bas, saya berjalan ke rumah menggunakan lorong bahagian belakang blok bangunan kedai berdekatan rumah sebelum ternampak seorang lelaki berambut panjang berdiri berdekatan perhentian bas.

“Tidak lama kemudian, lelaki itu mengekori saya sebelum sebuah van putih yang diletakkan 200 meter dari perhentian bas bergerak menghampiri saya.

“Tiba-tiba lelaki berambut panjang itu menerpa ke arah saya dan menekup mulut dari arah belakang. Dia kemudian memegang tali beg sekolah dan menarik saya ke arah van putih,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Guru ejen transformasi – Metro


Guru ejen transformasi

Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Warga pendidik perlu memastikan sekolah menjadi tempat untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh, sebagaimana dihasratkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud.

Beliau berkata, visi dibawa kementerian, ‘Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang’ sepatutnya memberi peringatan jelas kepada golongan pendidik bahawa sekolah memegang peranan besar dalam menggabungkan maklumat dan kepakaran untuk membentuk generasi berkualiti pada masa depan.
“Dalam hal ini, guru memegang peranan penting bukan saja sebagai pendidik malah turut menjadi ejen transformasi yang bertanggungjawab berinteraksi secara langsung dengan murid atau pelajar.

 

“Ia bersesuaian dengan tema sambutan Hari Guru 2012 yang meletakkan Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sufaat Tumin pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 di Lembaga Peperiksaan di sini, semalam.
Menurut Abd Ghafar, keilmuan, kesungguhan dan kesabaran guru memberikan bimbingan serta didikan adalah ramuan yang perlu ada dalam diri seorang guru.
“Semua kriteria berkenaan penting dalam memastikan kejayaan anak didik mereka dan sebab itu, tahun ini kita mengadakan Anugerah Khas untuk diberikan kepada seorang guru yang berusaha gigih melaksanakan tuntutan serta tanggungjawab kerjayanya sebagai pendidik.

 

 

“Guru yang menerima anugerah ini merancang pelbagai program untuk meningkatkan penguasaan murid dalam pembelajaran serta melaksanakan inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) hingga berjaya meningkatkan pemahaman pelajar dalam mata pelajaran diajar “Paling penting, guru berkenaan bukan saja gigih dan sedia berkorban, malah turut berjaya membudayakan konsep guru penyayang di kalangan pelajar,” katanya.
Sekiranya tahun lalu mengutamakan penghargaan kepada murid cemerlang, kali ini beliau berkata, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) melakukan sedikit kelainan dengan memberi anugerah kepada sekolah yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dalam SPM 2011.

 

“Kita harap inisiatif ini dapat menyuntik semangat semua warga sekolah erutama kepimpinan dan tenaga pengajarnya untuk bekerja lebih keras dalam satu pasukan demi menempa kecemerlangan sekolah,” katanya.

‘Jodoh saya sudah tiba’ – Metro


‘Jodoh saya sudah tiba’

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BACHOK: “Walaupun pernikahan ini bakal menjadi buah mulut penduduk kampung, saya sanggup menghadapinya. Jodoh saya sudah tiba dan saya melakukannya demi keluarga,” kata seorang gadis berusia 16 tahun yang bergelar ‘pengantin remaja’ selepas bernikah dengan pasangannya berusia 18 tahun, malam tadi.

Gadis yang mahu dikenali sebagai Ekin itu berkata, dia yang berasal daripada keluarga miskin sanggup menjadi isteri kepada rakan sekampungnya yang dikenali sebagai Izat pada usia yang masih mentah walaupun sedar bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Saya anak sulung lima beradik dan adik bongsu saya baru berusia dua tahun.

“Demi keluarga, saya sanggup berkahwin pada usia muda supaya bebanan terpaksa ditanggung ayah lebih ringan apatah lagi dia sudah berkahwin baru selepas kematian ibu pada 2008,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

 
Menurutnya, biarpun mengambil keputusan berkahwin, dia dan suaminya bakal berjauhan kerana suaminya itu kemungkinan melanjutkan pelajaran ke Perak selepas mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.

Nyaris patah gigi – Metro


Nyaris patah gigi

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar tingkatan lima nyaris patah gigi selepas tergigit serpihan besi bercampur dengan nasi goreng kampung dibeli sebagai hidangan makan malam daripada restoran di Tampoi di sini, kelmarin.

Menceritakan kejadian, Zainureena Zainuddin, 17, berkata, dia singgah di restoran terbabit dan membungkus makanan berkenaan selepas membeli-belah bersama keluarga.
“Ketika mengunyah, saya tergigit objek keras dan menyangka ia ikan bilis. Bagaimanapun, saya terkejut mendapati ia serpihan besi dipercayai senduk.

 

“Gigi terasa sakit dan saya bersama bapa pergi semula ke restoran terbabit mengadukan perkara berkenaan kepada pemiliknya,” katanya ketika ditemui di Taman Damansara Aliff, semalam.
Sementara itu, jurucakap pengurusan restoran ketika dihubungi berkata, pihaknya kurang pasti sama ada kejadian berpunca daripada mereka atau sebaliknya.
“Semua peralatan yang kami gunakan baru dibeli,” katanya.

Gadis rela nikah usia 16 tahun – Berita Harian


Gadis rela nikah usia 16 tahun

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
bhkb@bharian.com.my
2012/05/18

EKIN (kiri) memakai inai ketika  ditemui di rumah neneknya di Bachok, semalam.

EKIN (kiri) memakai inai ketika ditemui di rumah neneknya di Bachok, semalam.

Anak sulung ringan beban keluarga

BACHOK: “Demi cinta kami sanggup berkahwin pada usia muda walaupun suami baru berusia 18 tahun,” kata Ekin, 16, (bukan nama sebenar) yang selamat diijabkabulkan malam tadi.

Ekin yang hanya belajar sehingga Tingkatan Empat berkata, walaupun pernikahannya akan menjadi ‘buah mulut’ penduduk kampung, beliau sanggup menghadapi demi kasihnya kepada suami.

Apa yang saya harapkan dari perkahwinan ini adalah supaya rumah tangga saya kekal hingga ke akhir hayat bersama suami dan kami akan buktikan kepada masyarakat yang berkahwin pada usia yang muda bukan menjadi satu masalah dalam alam perkahwinan. – Ekin

“Saya adalah anak sulung daripada lima beradik dan adik bongsu saya sekarang baru berusia dua tahun.

“Demi mereka, saya sanggup berkahwin muda supaya bebanan yang terpaksa ditanggung bapa lebih ringan tambahan lagi dia sendiri sudah berkahwin baru selepas kematian ibu pada 2008,” katanya ketika ditemui di rumah neneknya, di sini semalam.

Mengimbas perkenalannya dengan suami dikenali sebagai Izad (bukan nama sebenar), Ekin berkata, ia bermula dua tahun lalu ketika mereka belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kandis, Bachok.

“Ketika itu saya berada di Tingkatan Tiga dan akan menempuh Penilaian Menengah Rendah (PMR) manakala Izad berada di Tingkatan Lima dan akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Ekin berkata, suaminya bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di Perak selepas mendapat keputusan agak membanggakan dalam peperiksaan SPM, baru-baru ini.

Katanya, dia akan tinggal bersama adik-adiknya selepas suaminya menyambung pelajaran.

Ekin berkata, dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri walaupun tanggungjawab itu adalah tugas yang sukar untuk dia laksanakan terutama pada usia yang muda.

“Apa yang saya harapkan dari perkahwinan ini adalah supaya rumah tangga saya kekal hingga ke akhir hayat bersama suami dan kami akan buktikan kepada masyarakat yang berkahwin pada usia yang muda bukan menjadi satu masalah dalam alam perkahwinan,” katanya.

Kes culik murid di Pulau Pinang selesai: Polis – Bernama


Kes culik murid di Pulau Pinang selesai: Polis

2012/05/18

BUKIT MERTAJAM: Polis percaya kes penculikan kanak-kanak berusia sembilan tahun yang dilaporkan hilang Isnin lalu selesai selepas penahanan seorang wanita yang juga suspek utama kurang dari 24 jam selepas kejadian.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Supt Baharudin Mustapha, berkata berdasarkan siasatan terhadap wanita berusia 23 tahun yang juga rakan kepada ibu kanak-kanak itu, dia bertindak menculik T Purani secara bersendirian berikutan dendam terhadap keluarga mangsa.

“Polis yakin kes ini selesai dengan penahan wanita terbabit kerana berdasarkan siasatan, hanya dia seorang yang menculik kanak-kanak itu tanpa dibantu oleh sesiapa.

“Dia akan direman sehingga esok bagi membantu siasatan menurut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Purani, murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Khir Johari, Perai dilapor diculik berikutan dia tidak pulang ke rumah selepas ke sekolah Isnin lalu.

Kejadian itu disedari nenek mangsa lalu memberitahu kepada ibu mangsa yang kemudianya membuat laporan polis.

Difahamkan suspek turut meminta wang tebusan berjumlah RM24,850 daripada keluarga mangsa jika mahu kanak-kanak terbabit selamat.
Sementara itu, dalam kes berasingan, Baharudin berkata polis sedang mengesan beberapa suspek bagi membantu siasatan berhubung kes tauke ladang ayam yang ditemui mati dengan kesan jerut dileher dan tangan diikat di Taman Impian, Alma, kelmarin.

Katanya, pihaknya percaya kejadian itu dilakukan lebih dari seorang dan usaha mengesan mereka sedang giat dijalankan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis berdekatan. – BERNAMA