Memperkasa sistem pendidikan – Utusan


Memperkasa sistem pendidikan

Zukkefli Hamzah

NAJIB Tun Razak dan Rosmah Mansor menyaksikan MoU antara Ellis Rubinstein (kanan) dengan Naib Canselor UKM, Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin (dua dari kiri) selepas mesyuarat kedua GSIAC di Akademi Sains New York (NYAS), New York, semalam. Turut sama, Khaled Nordin (tiga dari kiri) dan Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis. – BERNAMA

NEW YORK 17 Mei – Malaysia bakal menyaksikan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan negara melalui program ‘daripada buaian sehingga kerjaya’ termasuk melahirkan pemenang Hadiah Nobel apabila termeterainya lima memorandum persefahaman (MoU) dengan institusi penyelidikan dan pendidikan di New York.

Program itu yang kini dilaksanakan di 27 buah negeri Amerika Syarikat (AS) dan telah berjaya meningkatkan tahap kecemerlangan pelajar dari peringkat sekolah sehingga kolej atau universiti diperkenalkan oleh Canselor State University of New York (SUNY), Dr. Nancy Zimpher.

Kerjasama strategik kerajaan Malaysia dengan universiti dan pusat penyelidikan di New York untuk program ini terbahagi kepada tiga komponen iaitu membangunkan modal insan inovatif, memberi fokus kepada penyelidikan dan membawa penyelidikan kepada pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyaksikan pertukaran dokumen lima MoU itu pada mesyuarat kedua Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) di Akademi Sains New York (NYAS) di sini, yakin kerjasama strategik itu bakal mencetuskan pencapaian yang lebih besar dalam bidang pembangunan, penyelidikan dan inovasi dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

Menurutnya, MoU pertama ialah antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan NYAS untuk membangunkan program Hadiah Nobel melalui projek Permata Pintar UKM yang bakal menyaksikan pelajar didedahkan dengan set kemahiran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Dengan MoU yang kita telah tandatangani antara UKM dan NYAS ini kita boleh gunakan kepakaran mereka untuk bangunkan kurikulum dan ubahsuai Permata Pintar. Ini satu inisiatif yang beri tumpuan kepada pelajar yang mempunyai IQ tinggi supaya pencapaian mereka dapat dtingkatkan lagi,” kata Najib kepada wartawan Malaysia di sini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyaksikan pertukaran dokumen MoU ini iaitu antara Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif NYAS, Dr. Ellis Rubinstein.

MoU kedua, jelas Najib ialah kerjasama antara Rangkaian Penyelidikan Universiti Malaysia (MRUN), SUNY dan NYAS antara lain pertukaran pensyarah dan saintis serta penempatan ketua eksekutif syarikat terbitan universiti di institusi berkaitan di New York.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke bandar raya ini menambah, MoU seterusnya ialah mengenai penyelidikan dan pembangunan sumber manusia antara Earth Institute of Columbia University dan Universiti Teknologi Malaysia, selain antara Earth Institute dengan Universiti Sains Malaysia.

Najib berkata, MoU antara Perbadanan Nano Malaysia dengan Pusat Penyelidikan Teknologi Tenaga Lanjutan Stony Brook University, iaitu sebahagian daripada rangkaian SUNY juga dijangka melonjakkan pembangunan teknologi nano negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, mesyuarat GSIAC kali ini turut membincangkan inisiatif membangunkan industri biomas sebagai usaha untuk menjana pendapatan lebih besar untuk negara.

“Kita juga bincang bagaimana teknologi digital boleh digunakan untuk merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar,” katanya.

Mesyuarat GSIAC kata beliau, turut membincangkan beberapa inisiatif termasuk projek Rimbunan Kasih iaitu penggunaan teknologi untuk membangunkan kawasan luar bandar dengan projek perintis telah dilaksanakan di Pahang.

“Kita ambil keputusan akan laksanakan projek sama di setiap negeri di Malaysia dan ini sedang giat dilaksanakan antara kerajaan dan Iris Berhad di bawah konsep kerjasama swasta-kerajaan,” katanya sambil menambah pembangunan Iskandar Malaysia yang boleh meletakkan Malaysia sebagai satu model pembangunan komprehensif dan holistik turut dibincangkan.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pakar-pakar daripada rakan strategik telah membuat lawatan ke Malaysia dan menaruh keyakinan negara mampu melaksanakan program daripada buaian sehingga kerjaya.

Kerjasama strategik di bawah program daripada buaian sehingga kerjaya ini selain untuk mencapai matlamat melahirkan modal insan inovatif, ia juga langkah menjadikan universiti Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa, kata Mohamed Khaled. – UTUSAN

4,374 sekolah terima peruntukan RM987.1 juta – Bernama


4,374 sekolah terima peruntukan RM987.1 juta

KUALA LUMPUR 18 Mei – Sebanyak 4,374 buah sekolah di seluruh negara akan menerima peruntukan RM987.1 juta secara berperingkat bermula bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata daripada jumlah itu, RM900 juta merupakan Tabung Khas bagi pembinaan, penambahbaikan dan penyelenggaraan sekolah.

Beliau berkata daripada peruntukan tabung khas, RM500 juta akan diberi kepada sekolah kerajaan iaitu Sekolah Kebangsaan/Sekolah Menengah Kebangsaan dan masing-masing RM100 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) untuk dibelanjakan dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata RM87.1 juta lagi adalah bagi Projek Insentif Luar Bandar untuk pembinaan dan menaik taraf surau sekolah di seluruh negara yang akan dibelanjakan pada tahun ini juga.

“Peruntukan ini melibatkan proses mengganti surau lama yang berjumlah 24 buah dan bagi projek menaik taraf 565 buah surau. Ia diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik untuk pelajar,” katanya ketika merasmikan majlis penyerahan bantuan khas di bawah Pakej Rangsangan Khas (PRK) kepada sekolah-sekolah di seluruh negara di sini hari ini.

Muhyiddin berkata keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan peruntukan besar itu untuk Kementerian Pelajaran pada Bajet 2012 membuktikan bahawa kepimpinan negara sentiasa prihatin terhadap soal pendidikan.

Beliau berkata adalah penting untuk memiliki infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang lengkap dan baik serta berkualiti agar proses pembelajaran dapat dijalankan dengan selesa.

“Untuk itu, dua tahun yang lepas saya telah mengambil inisiatif membuat auditan fizikal di sekolah seluruh negara, ia telahpun siap. Daripada lebih 10,000 buah sekolah (yang diaudit), sebanyak 600 buah sekolah dilaporkan berada dalam keadaan yang cukup parah.

“Disebabkan itu projek-projek penambahbaikan khususnya di Sabah dan Sarawak kita perlu tentukan mereka dapat sejumlah peruntukan yang mencukupi”.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata daripada jumlah bajet yang diperuntukkan untuk kementerian, ia tidak dapat menampung kesemua sekolah-sekolah itu dan usaha mengadakan peruntukan dilakukan pada tahun-tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha kementerian untuk memperuntukkan sebahagian daripada peruntukan yang diterima khusus untuk penyelenggaraan agar bangunan-bangunan sekolah kekal dalam keadaan yang baik, sempurna dan selamat untuk proses pembelajaran.

“Jumlahnya (peruntukan untuk penyelenggaraan) saya belum tahu tetapi boleh dikatakan agak besar. Dengan menambah kualiti infrastruktur di sekolah maka mutu pendidikan juga akan dapat ditingkatkan,” katanya. – BERNAMA

PERUNTUKAN RIMUP 2012


PERUNTUKAN RIMUP 2012

PERUNTUKAN RIMUP 2012
18 Mei 2012
Bahagian Kokurikulum dan Kesenian telahpun menerima peruntukan bagi mengendali program RIMUP tahun 2012. Berdasarkan kepada perancangan dalam mesyuarat yang telah diadakan pada 17 Mei 2012 bersama-sama dengan Ketua-Ketua Unit Kokurikulum peruntukan ini akan diturunkan kepada JPN selewat-lewatnya pada minggu kedua Jun 2012. Peruntukan yang akan dibekalkan ialah dalam bentuk OS 42000 dan OS 29000.
Sebagai persediaan melaksanakan program, BKK telah menganjurkan kursus JU Negeri bagi Zon Utara dan Zon Tengah. Kursus-kursus bagi negeri-negeri di Zon Timur Zon Selatan di Semenanjung Malaysia, Sabah/Labuan dan Sarawak akan dianjurkan sebaik sahaja tempat dapat ditentukan.