1,200 pelajar di Pulau Pinang terima komputer 1Malaysia – Bernama


1,200 pelajar di Pulau Pinang terima komputer 1Malaysia

2012/05/19

GEORGETOWN: Mulai hari ini, pelajar, J Veenod, tidak perlu lagi bersusah payah ke kafe siber untuk menyiapkan tugasan sekolahnya selepas menerima bantuan komputer riba 1Malaysia.

Veenod, 16, antara 1,200 penerima bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan

Multimedia Malaysia (SKMM) Wilayah Utara itu, membabitkan peruntukan berjumlah RM1.2 juta.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Gambir itu
berkata, dengan adanya komputer riba itu, dia tidak perlu lagi berebut menunggu
giliran dengan rakan lain bagi mendapatkan akses internet di makmal komputer
sekolahnya.

“Memang susah mahu buat kerja sekolah tanpa komputer dan akses internet sendiri. Tambahan pula menjelang pertengahan tahun ini, banyak kerja kursus yang
perlu dihantar,” katanya selepas majlis penyerahan komputer riba 1Malaysia oleh Penyelaras Parlimen Bayan Baru, Por Joo Tee di sini, hari ini.
Ketika berucap pada majlis itu, Por menggesa pelajar memanfaatkan kemudahan
komputer itu dalam meningkatkan keupayaan dan prestasi diri masing-masing
terutama dalam bidang teknologi maklumat.

Beliau berkata, pemberian komputer riba itu adalah permulaan yang baik kepada
pelajar untuk meningkatkan penguasaan ilmu pengetahuan mereka.

Sementara itu, Timbalan Pengarah SKMM Wilayah Utara, Zainol Hamid, berkata
penyerahan komputer riba jenama Black Cube itu meliputi tiga kawasan parlimen
iaitu Bayan Baru, Bukit Bendera dan Tanjong.

Katanya, program itu adalah satu daripada pelan kerajaan di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar isi
rumah negara.

Enam sekolah menerima komputer bagi fasa ketiga itu, antaranya SMK Bukit
Jambul, SMK Sungai Nibong, SMK St George dan SMK St Xavier.

– BERNAMA

‘Adam derita, saya sengsara’ – Sinar Harian


‘Adam derita, saya sengsara’

NORSHAHZURA MAT ZUKI
19 Mei 2012
‘Adam derita, saya sengsara’
‘Adam derita, saya sengsara’

SHAH ALAM – “Saraf tunjang Adam semakin lama semakin mengecut. Postur tubuhnya jadi tidak sempurna kesan penyakit itu.

“Mengalas beg sekolah pun Adam tak berdaya sehingga terpaksa kongsi buku teks dengan rakan sekelas.”

Begitulah gambaran keadaan Adam Akbar Ali, 10, yang mengalami penyakit tumor di saraf tunjang, seperti diceritakan bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin.

“Ketika berdiri atau bermain, Adam boleh jatuh secara tiba-tiba kerana gagal mengimbangi badan.

“Adam sering mengadu sakit kepala, belakang dan lutut. Begitu juga di kaki, tangan kanan dan perut. Selalu kami lihat wajah Adam berkerut seperti sembunyikan kesakitannya.

“Bila terlalu sakit, Adam menangis. Namun, mana mungkin tangisan itu dapat redakan sakitnya,” katanya. Ada riak jernih di mata Akbar Ali sewaktu menceritakan penderitaan anaknya.

“Berat badan Adam kini hanya 25 kilogram. Tubuhnya makin susut. Saya dan ibu Adam tidak sanggup melihat keadaan ini berterusan. Anak saya perlu dibedah semula,” katanya.

Kata ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, setiap kali Adam menangis, dia juga tidak dapat mengekang air mata.

“Adam derita saya rasa sengsara. Tapi segalanya disembunyikan supaya Adam terus kuat berjuang menahan sakit yang ditanggung,” katanya.

Kini, tumor Adam di peringkat kedua. Akhbar berkata, Adam pernah menjalani pembedahan di Hospital Queen Elizabeth di Singapura pada Julai 2010 dan pada 17 November 2011 di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya juga mendapatkan khidmat beberapa doktor pakar di Malaysia. Namun, keadaan Adam semakin hari semakin membimbangkan.

“Saya buat kajian dan dapatkan maklumat melalui Internet, saya berhasrat bawa Adam dapatkan rawatan daripada Pakar Neuro, Dr. George Jallo di Hospital Johns Hoopkins, Baltimore, Amerika Syarikat,” katanya.

Akhbar Ali berkata, kebanyakan respons diterima, hospital itu adalah hospital terbaik di Amerika Syarikat dalam beri rawatan kepada penyakit yang dihidapi Adam.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mampu menyediakan kos pembedahan berharga RM300,000.

Menurut Akbar Ali, sejak Tabung Adik Adam dilancar kelmarin, jumlah terkumpul adalah RM27,000.

“Saya berterima kasih kepada yang derma, beri sokongan serta nasihat. Hanya ALLAH dapat membalasnya,” katanya.

Lima pelajar didenda RM1,500 kerana berkhalwat – Sinar Harian


Lima pelajar didenda RM1,500 kerana berkhalwat

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2012

BESUT – Lima pelajar termasuk tiga pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah, di sini, didenda RM1,500 seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah, selepas mengaku salah melakukan perbua-tan tidak bermoral dalam sebuah rumah di Kampung Gong Tengah, 27 Mac lalu.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof menjatuhkan hukuman tersebut apabila beliau berpuas hati terhadap pengakuan salah dan rayuan tertuduh selepas pertuduhan dibacakan.

Mereka ditahan dalam sebuah rumah di kampung tersebut dekat Kuala Besut pada jam 9.15 pagi dan tiada ikatan yang sah ketika kejadian, sehingga menimbulkan syak melakukan khalwat.

Semua tertuduh termasuk dua lelaki berumur 18 tahun itu dibicarakan di bawah Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), Negeri Terengganu 2001 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, bertindak atas maklumat, penguat kuasa melakukan serbuan berwaran di sebuah rumah di Kampung Gong Tengah.

Penguat kuasa syariah terpaksa ke bahagian dapur rumah setelah pintu utama tidak dibuka oleh tertuduh ketika pihak berkenaan mengetuk pintu tersebut.

Pemeriksaan di dalam rumah mendapati, pintu sebuah bilik berkunci dari dalam dan selepas beberapa minit diketuk, ia dibuka oleh seorang remaja perempuan dan pemeriksaan mendapati terdapat tiga remaja perempuan di dalam bilik itu.

Nik Mohd Shahril berkata, remaja tersebut memberitahu penguat kuasa hanya mereka bertiga di dalam rumah itu namun, pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki sedang menyorok di atas siling rumah.

Ketiga-tiga pelajar perempuan itu tinggal di sebuah kuarters perumahan di Gong Keda.

Manakala, salah seorang lelaki adalah anak pemilik rumah tersebut manakala rakannya dari Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan.

‘Tiada maaf buat lelaki itu’ – Metro


‘Tiada maaf buat lelaki itu’

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAIPING: “Saya tidak akan maafkan perbuatan keji lelaki Lombok itu kerana apa yang dilakukannya terhadap Afifah satu ‘pembunuhan’ dan menghancurkan hati kami sekeluarga,” kata Hasliza Ismail, 45, ibu kepada remaja perempuan, Nur Afifah Mohd Zuhari, 16, yang dilarikan seorang lelaki Lombok, kira-kira tiga minggu lalu sebelum akhirnya meninggal dunia di Lombok, 6 Mei lalu.

Menurutnya, tindakan lelaki dikenali Mohamad Yani, berusia 20-an itu ibarat sengaja membawa anaknya ke jalan maut berikutan Nur Afifah memang menghidap kencing manis kronik dan perlu mengambil suntikan insulin setiap minggu.
“Saya sekeluarga amat sedih dan terkilan berikutan Afifah mati dalam keadaan penuh azab kerana tidak diberikan rawatan sewajarnya sejak dilarikan, kira-kira jam 11.45 malam, 18 April lalu,” katanya.

 

Difahamkan, Nur Afifah disahkan meninggal dunia akibat kencing manis di Rumah Sakit Bhayan Kara, Bolda, Lombok, Indonesia pada 6 Mei lalu.
Bagaimanapun, jenazah pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Panglima, Kamunting, di sini, masih ditempatkan di bilik mayat rumah sakit itu sejak 12 hari lalu dan gagal dibawa pulang ke Malaysia hingga kini.
Berita kematian Nur Afifah diketahui Hasliza dan suami, Mohd Zuhari Idris, 47, selepas Ketua Imigresen Taiping, Ahmad Fitri Ahmad Rabudzi memaklumkan kepada mereka pada petang, 11 Mei lalu selepas Kedutaan Malaysia di Jakarta menerima salinan sijil lahir dan MyKad milik arwah.

 

 

Hasliza berkata, dia tidak dapat melupakan perbualan terakhir dengan Mohamad Yani yang melarikan anaknya seminggu sebelum kematian Afifah.
“Dia menghubungi saya bertanya khabar sebelum meminta saya mengirimkan sekeping gambar saya konon bagi mengubat adik (Nur Afifah) yang demam.

 

“Saya mempersoalkan tindakannya dan meminta dia segera memulangkan adik ke pangkuan kami secepat mungkin,” katanya. Menurutnya, ketika itu, lelaki itu memarahinya dan enggan berbincang mengenai Nur Afifah yang dipercayai sudah dibawa keluar dari Malaysia dan berada di Lombok.
“Pada masa sama, seorang lelaki mendakwa dukun di Lombok turut menghubungi saya dan meminta segera menghantar gambar dengan alasan jampi mantera sudah disiapkan.
“Saya jadi kaget dan tidak percaya kerana mana mungkin adik yang sakit kritikal dapat disembuhkan dengan jampi serapah bomoh tanpa dirujuk ke hospital, malah saya tidak dibenarkan bercakap dengan adik,” katanya.
Menurutnya, kencing manis dihidapi Nur Afifah begitu serius berikutan arwah sentiasa berpeluh, sesak nafas sebelum pitam.
“Kejadian itu sudah kerap berlaku ketika Nur Afifah membantu saya berniaga di kedai. Bagaimanapun, nyawanya sempat diselamatkan selepas segera dibawa ke Hospital Taiping.
“Firasat buruk saya akhirnya menjadi kenyataan apabila Nur Afifah disahkan meninggal dunia hanya kira-kira tiga minggu selepas dilarikan lelaki itu,” katanya.
Katanya, kehilangan Nur Afifah amat dirasai apabila suaminya sering mengigau dan menyebut nama Nur Afifah berulang kali ketika tidur.
“Suami pernah bermimpi Nur Afifah pulang ke rumah dan terus menuju ke dapur sebelum menjamah makanan sepuas-puasnya. Ketika itu, dia merasakan mimpi itu seolah-olah benar dan memanggil nama adik berulang kali sebelum tersedar.
“Malah, saya turut didatangi mimpi sedih apabila adik tiba-tiba muncul tanpa berkata sepatah ayat sebelum baring dalam dakapan. Dalam mimpi itu, saya memeluk dan menciumnya sebelum cuba mencari telefon bimbit memaklumkan berita gembira kepulangannya kepada sanak-saudara,” katanya.
Menurutnya, anak bongsunya, Mohd Zulhelmi, 13, yang rapat dengan kakaknya turut mengalami mimpi sama.
“Paling mendukacitakan apabila lelaki yang bertanggungjawab melarikan hingga menyebabkan kematiannya terus menghilangkan diri selepas kejadian. Dia gagal dihubungi termasuk oleh kakitangan Kedutaan Malaysia,” katanya.
Katanya, tindakan biadab dan tidak perikemanusiaan lelaki itu perlu menerima hukuman setimpal dengan penderitaan dialami mereka sekeluarga.
“Saya amat berharap lelaki jahanam itu dibawa pulang ke Malaysia dan dihukum seberat mungkin. Itu harga atas apa yang dilakukan kepada kami,” katanya.
Hasliza yang kudung kaki kiri akibat kencing manis kini tidak dapat lagi berniaga sejak lebih seminggu lalu kerana terlalu sedih.
Menurutnya, dia kini menunggu kepulangan jenazah anaknya itu yang dijangka tiba beberapa hari lagi.
“Saya berterima kasih pada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie yang bertungkus-lumus menguruskan penghantaran pulang jenazah anak saya,” katanya.

Audit fizikal sekolah – Metro


Audit fizikal sekolah

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Meningkatkan kualiti kemudahan sekolah di seluruh negara sentiasa menjadi keutamaan kerajaan kerana langkah terbabit sekali gus mampu menambah baik mutu pendidikan kepada murid.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah mengambil inisiatif membuat audit fizikal sekolah di seluruh negara bagi mengetahui keadaan semua bangunan yang terdapat di sekolah.
“Mulai tahun depan, Kementerian Pelajaran akan memperuntukkan sebahagian belanjawan yang diterima untuk penyelenggaraan kemudahan sekolah supaya ia selesa, sempurna dan selamat bagi murid serta warga pendidik.

 

“Kita mahu memperbaiki mutu pendidikan kerana dalam tempoh lapan tahun sebelum menjelang 2020, kita perlu menyediakan sumber manusia mahir bagi mengisi keperluan di sektor ekonomi utama negara,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Khas Ke Sekolah-Sekolah Seluruh Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan Datuk Seri G Palanivel, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Rosli Mohamed.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian sentiasa pragmatik dalam menangani cabaran pelbagai kategori sekolah, walaupun pada masa sama perlu bersikap realistik dalam mengambil kira cita rasa dan pilihan masyarakat majoriti di samping melakukan perancangan projek pembangunan pendidikan berdasarkan peruntukan terhad.

 

 

“Kerajaan perlu melaksanakan agenda Memperkasakan Sekolah Kebangsaan sebagai komitmen kepada masyarakat majoriti agar sekolah kebangsaan sebagai sekolah aliran perdana mendapat pembelaan sewajarnya. “Bagaimanapun, ia tidak bermakna kerajaan mengabaikan sekolah bantuan lain seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), sekolah mubaligh dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) kerana kementerian selama ini berusaha membantu serta sekolah ini tidak pernah dipinggirkan daripada program utama pendidikan,” katanya. Beliau berkata, Peruntukan Bantuan Khas RM987.1 juta kepada sekolah di Malaysia yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa pembentangan Bajet 2012 mampu menjadi pemangkin utama pembangunan pendidikan.
“Sebanyak RM87.1 juta peruntukan tambahan diberikan bagi pembinaan dan naik taraf surau sekolah di seluruh negara yang menjadi sebahagian daripada Projek Insentif Luar Bandar membabitkan 849 projek.

 

“Peruntukan pembangunan surau itu diharap dapat membantu pihak sekolah menyediakan ruang lebih selesa bagi menjalankan pelbagai program keagamaan selain aktiviti akademik untuk pelajar,” katanya.

RM17.8j bina telaga tiub sekolah di Kelantan – Berita Harian


RM17.8j bina telaga tiub sekolah di Kelantan

2012/05/19

BATU PAHAT: Kementerian Pelajaran mengeluarkan peruntukan RM17.8 juta bagi pembinaan telaga tiub di 39 sekolah di Kelantan yang menghadapi masalah kritikal berikutan tiada bekalan air bersih.

Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pembinaan telaga tiub itu dibuat dengan segera berikutan ketiadaan air mendesak sehingga menjejaskan tumpuan pelajar di sekolah berkenaan.

Katanya, setakat ini kementerian mengesan 77 daripada 585 sekolah di Kelantan tidak mendapat bekalan air awam yang diuruskan Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dengan 39 sekolah berada dalam keadaan kritikal.

Alhamdulillah, masalah 39 sekolah berkenaan sudah diselesaikan, manakala 77 sekolah lain yang tiada kemudahan air juga akan selesai dengan penyerahan telaga tiub bagi membolehkan pelajar mendapat kemudahan air. – Dr Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran

“Bagaimanapun, kita sudah memberi peruntukan segera RM27 bagi menyelesaikan masalah ketiadaan kemudahan air di semua sekolah terbabit dengan keutamaan diberi terhadap 39 sekolah yang mengalami masalah kritikal dengan pembinaan telaga tiub bernilai RM17.8 juta yang sudah disiapkan baru-baru ini.

“Alhamdulillah, masalah 39 sekolah berkenaan sudah diselesaikan, manakala 77 sekolah lain yang tiada kemudahan air juga akan selesai dengan penyerahan telaga tiub bagi membolehkan pelajar mendapat kemudahan air,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang anjuran parti Gerakan Cawangan Rengit, di sini, semalam.

Mohd Puad berkata, pihaknya mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah bekalan air di sekolah terbabit bagi memastikan ia tidak menjejaskan proses pembelajaran pelajar dan kakitangan sekolah berkenaan.

Sementara itu, Mohd Puad meminta Bank Negara bertindak tegas terhadap bank serta kakitangan mereka yang sewenang-wenangnya membocorkan maklumat akaun bank Pengerusi National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh kepada umum.
“Ini isu yang serius kerana pembocoran maklumat akaun Dr Mohamad Salleh itu melanggar privasi serta haknya sebagai pelanggan bank. Terjaminkah hak pelanggan bank lain terutama maklumat peribadi mereka apabila maklumat akaun sewenang-wenangnya didedah kepada umum?

“Bank Negara perlu ambil tindakan tegas terhadap bank serta kakitangan terbabit kerana ia bukan saja kesalahan mengikut peruntukan Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia), malah menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap bank di negara ini.

“Kita bimbang jika Bank Negara tidak mengambil tindakan tegas dan menghukum mereka yang terbabit, ia akan menjadi trend untuk sama ada memfitnah, menjatuhkan atau mengaibkan orang di negara ini,” katanya.

SISTEM PERTUKARAN GURU (e-GTukar)


SISTEM PERTUKARAN GURU (e-GTukar)

 

Keputusan Permohonan pertukaran Guru Sesi Jun 2012 dikeluarkan mulai 19 Mei 2012 dan maklumat penempatan ke sekolah boleh disemak mulai 26 Mei 2012 .

Sila semak maklumat anda melalui laman web e-GTukar. Sekiranya terdapat sebarang pindaan yang perlu dibuat, sila berhubung dengan pegawai unit Menengah / Rendah di Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri dengan segera sebelum sesi pertukaran bermula.

Jika masih menghadapi masalah untuk membuat permohonan e-GTukar, sila hubungi Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing (dapatkan no. telefon di “Bantuan”)

Maklumat lanjut lawat http://apps.moe.gov.my/epgo/index.cfm