‘Adam derita, saya sengsara’
19 Mei 2012

‘Adam derita, saya sengsara’
SHAH ALAM – “Saraf tunjang Adam semakin lama semakin mengecut. Postur tubuhnya jadi tidak sempurna kesan penyakit itu.
“Mengalas beg sekolah pun Adam tak berdaya sehingga terpaksa kongsi buku teks dengan rakan sekelas.”
Begitulah gambaran keadaan Adam Akbar Ali, 10, yang mengalami penyakit tumor di saraf tunjang, seperti diceritakan bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin.
“Ketika berdiri atau bermain, Adam boleh jatuh secara tiba-tiba kerana gagal mengimbangi badan.
“Adam sering mengadu sakit kepala, belakang dan lutut. Begitu juga di kaki, tangan kanan dan perut. Selalu kami lihat wajah Adam berkerut seperti sembunyikan kesakitannya.
“Bila terlalu sakit, Adam menangis. Namun, mana mungkin tangisan itu dapat redakan sakitnya,” katanya. Ada riak jernih di mata Akbar Ali sewaktu menceritakan penderitaan anaknya.
“Berat badan Adam kini hanya 25 kilogram. Tubuhnya makin susut. Saya dan ibu Adam tidak sanggup melihat keadaan ini berterusan. Anak saya perlu dibedah semula,” katanya.
Kata ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, setiap kali Adam menangis, dia juga tidak dapat mengekang air mata.
“Adam derita saya rasa sengsara. Tapi segalanya disembunyikan supaya Adam terus kuat berjuang menahan sakit yang ditanggung,” katanya.
Kini, tumor Adam di peringkat kedua. Akhbar berkata, Adam pernah menjalani pembedahan di Hospital Queen Elizabeth di Singapura pada Julai 2010 dan pada 17 November 2011 di Hospital Kuala Lumpur.
“Saya juga mendapatkan khidmat beberapa doktor pakar di Malaysia. Namun, keadaan Adam semakin hari semakin membimbangkan.
“Saya buat kajian dan dapatkan maklumat melalui Internet, saya berhasrat bawa Adam dapatkan rawatan daripada Pakar Neuro, Dr. George Jallo di Hospital Johns Hoopkins, Baltimore, Amerika Syarikat,” katanya.
Akhbar Ali berkata, kebanyakan respons diterima, hospital itu adalah hospital terbaik di Amerika Syarikat dalam beri rawatan kepada penyakit yang dihidapi Adam.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak mampu menyediakan kos pembedahan berharga RM300,000.
Menurut Akbar Ali, sejak Tabung Adik Adam dilancar kelmarin, jumlah terkumpul adalah RM27,000.
“Saya berterima kasih kepada yang derma, beri sokongan serta nasihat. Hanya ALLAH dapat membalasnya,” katanya.