Kementerian Kesihatan jamin susu 1 Malaysia selamat diminum – Bernama


Kementerian Kesihatan jamin susu 1 Malaysia selamat diminum

20 Mei 2012
Datuk Seri Liow Tiong Lai
Datuk Seri Liow Tiong Lai

BENTONG – Pelajar dan rakyat negara ini tidak perlu bimbang mengenai kualiti susu yang dibekalkan ke sekolah menerusi Program Susu 1Malaysia kerana minuman itu dijamin selamat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian itu sentiasa melakukan pemantauan menerusi Jabatan Keselamatan Makanan, bagi memastikan susu yang dibekalkan mematuhi syarat yang ditetapkan.

Bagaimanapun, tempat penyimpanan yang tidak sesuai di sekolah mungkin menjadi punca kualiti sesetengah susu yang dibekalkan terjejas sehingga menyebabkan pelajar mengalami cirit-birit, katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

“Pihak Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran sedang bekerjasama untuk menangani masalah ini terutamanya bagi menyediakan tempat penyimpanan susu yang lebih selamat di sekolah,” katanya yang ditemui selepas merasmikan Karnival
Jelajah Sihat Peringkat Kebangsaan.

Beliau mengulas kes beberapa pelajar di negeri ini mengalami cirit-birit, dipercayai selepas meminum susu di bawah Program Susu 1Malaysia.

Mengulas lanjut, Liow berkata secara keseluruhannya kes keracunan makanan murid sekolah rendah akibat susu 1Malaysia adalah kecil berbanding yang disebabkan oleh penyediaan makanan kurang bersih di kantin.

Mengenai perkara berbeza, Liow berharap pihak berkuasa tempatan memastikan kutipan sampah dibuat mengikut jadual bagi membantu menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Katanya usaha membasmi wabak denggi di seluruh negara belum mencapai kejayaan sekalipun pelbagai usaha dilakukan agensi kerajaan termasuk kementeriannya.

“Kes denggi negara kita sehingga hari ini telah mencecah 9,500 kes yang mengakibatkan 20 kematian berbanding 7,800 dalam tempoh yang sama tahun lalu yang mencatatkan 12 kematian.

“Bagi memerangi denggi tahun ini, Kementerian Kesihatan akan melancarkan kempen yang bertemakan ‘Tiada Tempat Pembiakan Nyamuk Aedes, Tiada Denggi’,” katanya.-Bernama

Ibu bapa jual rumah demi rawat anak – Sinar Harian


Ibu bapa jual rumah demi rawat anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mei 2012
Ibu bapa jual rumah demi rawat anak
Ibu bapa jual rumah demi rawat anak

SHAH ALAM – Siapa yang sanggup melihat anak sakit. Demam sekalipun, ibu dan ayah sudah pasti resah gelisah. Inikan pula menghidap sakit kronik. Sakit yang hanya menyerang 10 daripada sejuta manusia.

Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, tidak sanggup terus melihat anaknya, Adam, 10, menanggung derita. Tumor yang menyerang di saraf tunjang Adam bukan sakit main-main. Bukan boleh diubat dengan menelan pil seulas dua. Ikuti luahan hati ayah Adam seperti diceritakan kepada NORSHAHZURA MAT ZUKI.

“Adam hanya menunggu masa untuk menjadi lumpuh. Atau akan mengalami risiko kematian jika tumor itu menekan saraf pernafasan.”

Itu maklumat yang kami terima daripada pakar bedah saraf di negara ini dan Amerika Syarikat tentang sakit yang dideritai Adam.

Jantung saya bagai disentap.

YA TUHAN beginikan noktah perjalanan anak kami? Ah! Itu hanya maklumat pakar. Bukan janji TUHAN!

Tidak mungkin ALLAH tidak sediakan jalan di hadapan. Tidak mungkin ALLAH tutup semua lorong ikhtiar bagi penyembuhan Adam.

Setiap kali Adam menangis, tulang kami turut terasa sakit. Pedih, perih dan derita Adam, sengsara kami jua. Tumor di saraf tunjang Adam kini di tahap kedua.

Adam menjalani pembedahan pertama radiosurgeri, chemoteraphy di Hospital Queen Elizabeth, Singapura, Julai 2010 dan pembedahan kedua di Hospital Kuala Lumpur. Namun, pembedahan itu hanya beri penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

Kos pembedahan di Singapura menelan belanja RM240,000. Pada waktu itu, saya hanya memikirkan nyawa anak perlu diselamatkan. Saya gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi biaya kos pembedahan itu. Malangnya, ia masih belum mencukupi.

Alhamdulillah, adik-beradik, teman-teman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan orang awam menghulurkan bantuan kepada kami. Ia membolehkan Adam menjalani pembedahan di Singapura.

Saya terpaksa menanggung hutang yang tinggi dan untuk melunaskannya saya ambil keputusan jual rumah kami.

Saya juga berhenti kerja daripada menjadi pensyarah di UiTM supaya perhatian sepenuhnya dapat saya beri kepada Adam.

Saya pernah mohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor tetapi ditolak. Alasannya kerana saya tidak lagi mempunyai hutang dan bantuan zakat hanya diberikan untuk rawatan dalam negara sahaja.

Bagaimanapun, ia dipertimbangkan sekiranya rawatan diterima Adam dibuktikan tidak ada di sini.

Kami sudah berjumpa dengan pelbagai doktor neurologi dan onkologi di Malaysia dan Singapura (kerajaan dan swasta). Mereka enggan membedahnya kerana risiko lumpuh tinggi. Kata mereka, jika dibedah sekalipun, hasilnya tidak memuaskan. Saya juga difahamkan di Malaysia tiada kepakaran untuk merawat penyakit Adam. Saya berharap, kerajaan akan ambil perhatian terhadap kes ini untuk membantu anak saya.

Kini kesihatan Adam makin membimbangkan. Tumor itu mengganggu saraf-saraf kaki, tangan dan pernafasan Adam. Jika tumor itu tidak dikeluarkan melalui pembedahan, ia akan memudaratkan.

Semakin hari berat badan Adam semakin merosot. Semakin hari otot-otot di tubuh Adam semakin mengecut. Postur tubuh Adam jadi semakin tidak sempurna.

Jika penyakit Adam terus dibiarkan, risiko anak kami untuk lumpuh semakin menghampir. YA ALLAH hindarkan kami dari berita buruk itu!

Saya tidak jemu mencari maklumat. Dan terkini melalui pencarian di Internet saya mendapat maklumat berharga.

Seorang pakar neurologi, Dr George Jallo di Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat melakukan pembedahan dengan jayanya terhadap pesakit yang menga­lami masalah sama seperti Adam!

Benarlah…. ini jalan yang dibuka ALLAH untuk kami mengubati Adam!

Namun, RM300,000 bagi membiayai kos pembedahan itu di luar kemampuan kami.

Bantuan dan simpati orang ramai amat kami harapkan…

Setakat tengah hari semalam, RM28,100 sudah terkumpul. Terima kasih kepada yang membantu. Hanya ALLAH dapat membalas. Kami juga mengharapkan doa orang ramai semoga Adam terus dilindungi-NYA.

2 beranak nyaris rentung – Sinar Harian


2 beranak nyaris rentung

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mei 2012
2 beranak nyaris rentung
Keadaan rumah Sulaiman yang terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.

TAIPING– Pengalaman terperangkap dalam rumah pasti tidak dapat dilupakan oleh dua beranak yang terselamat semasa kejadian kebakaran di Kampung Potong Pinang, di sini, awal pagi semalam.

Menceritakan kembali peristiwa itu, Mohd Rashid Sulaiman, 33, berkata, kejadian berlaku pada kira-kira jam empat pagi dan ketika itu dia tersedar daripada tidur kerana terasa bahang panas.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat sebahagian katilnya terbakar pada ketika itu dan segera mengejutkan anak sulungnya, Minsya Nur Asyura, 9, untuk menyelamatkan diri.

“Saya segera mengambil air untuk cuba memadamkan api. Semasa simbahan pertama, saya lihat api semakin kurang namun televisyen berhampiran meletup secara tiba-tiba semasa simbahan kedua menyebabkan api semakin marak.

“Kami terperangkap dalam rumah ketika itu kerana lupa di mana kunci rumah diletakkan dan bersyukur apabila jiran tetangga datang membantu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Katanya, semasa jiran tetangga berjaya memecahkan pintu serta menyelamatkan Minsya Nur Asyura, dia dalam keadaan panik dan masih berusaha mencari kunci rumah.

“Saya tidak sedar pintu rumah telah terbuka ketika itu dan telah hampir pitam akibat terhidu asap tebal,” katanya.

Sementara itu, Minsya Nur Asyura mengakui, peristiwa terperangkap dalam rumah semasa kebakaran tidak akan dapat dilupakan dan merasa sedih kerana semua barang kelengkapan rumah musnah dalam kejadian itu.

Bapa Mohd Rashid, Sulaiman Yahya, 71 memaklumkan, dia bersama isterinya berada di Klebang ketika kejadian kerana membantu seorang ahli keluarga berpindah rumah.

“Saya terkejut selepas menerima panggilan telefon, memaklumkan kejadian, namun bersyukur kerana anak dan cucu selamat. Kami akan menyewa sebuah rumah di hadapan rumah kami yang terbakar untuk sementara waktu,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hasna Rashid berkata, panggilan berhubung kejadian diterima pada jam 4.05 pagi dan 18 anggota bemba bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami tiba di lokasi kejadian­ lima minit kemudian dan rumah separa batu itu telah 90 peratus terbakar.

“Kami mengambil masa sembilan minit untuk mengawal kebakaran. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Terkejut lihat aksi seks adik – Sinar Harian


Terkejut lihat aksi seks adik

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Mei 2012

KAMPUNG RAJA – Seorang wanita terkedu apabila menyaksikan aksi seks adik lelakinya dengan seorang remaja perempuan di atas buaian berhampiran rumahnya di Kampung Jerebun, Hulu Besut pada 25 April lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang itu turut mengejutkan pasangan itu yang asyik berasmara di atas buaian.

Menurutnya, kakak lelaki itu kemudian bertanyakan adiknya apa yang dilakukan mereka dan adiknya itu mengaku melakukan hubungan seks dengan remaja perempuan terbabit.

“Sebelum itu, remaja perempuan berumur 14 tahun yang masih belajar dalam tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di daerah ini telah keluar dari rumahnya di Bukit Tanah, Kerandang dan pergi ke rumah teman lelakinya di Kampung Jerebun,” katanya.

Kamaruddin berkata, ketika bersembang di halaman rumah teman lelakinya, lelaki tersebut telah melakukan seks dengan remaja perempuan itu di atas buaian di halaman rumah.

Menurutnya, lelaki itu terkejut apabila apa yang dilakukan disedari oleh kakaknya yang kebetulan melalui kawasan tersebut.

Sementara itu, keluarga remaja perempuan itu membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja, kelmarin selepas mengetahui kejadian yang menimpa anaknya.

“Siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan yang intim dan suspek dipercayai mengambil kesempatan merogol mangsa,” katanya.

Kamaruddin berkata, polis berjaya menahan suspek seorang iaitu seorang penganggur berumur 18 tahun berhubung kes itu.

Dia kini ditahan reman sehingga 25 Mei ini untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimun 20 tahun dan sebatan.

Tuah biji nangka – Metro


Tuah biji nangka

Oleh SHARIFFUDIN MOHAMED dari Pittsburgh, Amerika Syarikat
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PITTSBURGH: Siapa sangka projek menggunakan biji nangka boleh membawa kejayaan kepada seorang anak muda tingkatan lima dari Kuching, Sarawak, untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Anak muda berusia 17 tahun itu mendapat tempat ketiga dalam Kategori Sains Alam Sekitar di Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Intel (ISEF 2012) di Dewan Konvensyen David Lawrence di sini, yang melabuhkan tirainya, kelmarin.
Benjamin Ngie Xiong Wong yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Lintang, Kuching, mengemukakan ujian menggunakan serbuk biji nangka untuk membersihkan kekotoran air sungai.

 

Projeknya menarik perhatian juri kerana bukan saja sesuatu yang menakjubkan, malah dapat membantu penduduk luar bandar memperoleh air bersih dengan menggunakan bahan pertanian seperti biji nangka.
Benjamin menjalankan ujikaji mengenai projek terbabit lebih setahun lalu dengan bantuan guru sekolahnya.
Beliau menyertai ISEF 2012 sejak Sabtu lalu bersama tujuh lagi pelajar tingkatan lima dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri, MRSM Taiping, MRSM Muadzam Shah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Maokil, Labis, Johor.

 

 

Seorang guru dari MRSM Taiping, Wan Rohani Harun pula menerima Anugerah Guru Agilent berikutan cadangannya untuk menggunakan sumbangan kewangan dalam bidang sains dan memajukan penyelidikan pelajar dianggap terbaik.
Beliau tidak datang ke sini, cuma diwakili pelajarnya, Wan Muhammad Syafiq Wan Mohd Zainuddin yang mengambil anugerah berkenaan.

 

Sementara itu, mengulas kemenangannya, Benjamin yang menerima hadiah wang tunai RM3,000 sumbangan Intel berkata, dia tidak sangka mampu memperoleh tempat ketiga selepas melihat projek pelajar lain yang hebat dari seluruh dunia.
“Saya sungguh tidak menduga. Sebaik tiba di sini, saya melihat projek yang dilakukan pelajar lain dalam kategori sains alam sekitar tidak kurang hebatnya.
“Terasa projek saya seperti tidak diminati juri,” katanya yang mahu menjalankan ujian lanjut berhubung penggunaan biji nangka itu untuk kebaikan masyarakat luar bandar di Sarawak Beliau bagaimanapun berbangga kerana dapat mengharumkan nama Malaysia bersama ahli rombongan lain. Apapun penyertaan Malaysia dalam ISEF perlu lebih mendapat perhatian semua pihak, terutama dalam soal membawa projek yang boleh memenangi hadiah utama.
Rombongan seramai tiga guru dan lapan pelajar itu diketuai Pensyarah Kejuruteraan Universiti Malaya, Zamri Zainon.
ISEF dianjurkan Persatuan Untuk Sains dan Umum, Amerika Syarikat ditaja Intel setiap tahun.
Ia dianggap bertaraf Sukan Olimpik dalam bidang sains dan kejuruteraan membabitkan penyertaan 15,000 pelajar sekolah menengah dari lebih 60 negara.

Beg berisi mayat bayi – Metro


Beg berisi mayat bayi

Laporan ABU BAKAR AL SIDEK
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUNGAI MANIK: Hasrat seorang remaja lelaki memetik nenas di kebun buah-buahan keluarganya, di sini, petang kelmarin, terbantut apabila terserempak dengan sebuah beg pakaian berisi mayat bayi.

Dalam kejadian jam 6.30 petang di Lorong Tok Jingga, Kampung Sungai Lampam, mayat bayi dibalut dengan kain sarung batik itu dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu sebelum dicampak di ladang berkenaan.
Difahamkan, mayat bayi itu cuba dikebumikan berdasarkan penemuan satu ‘kubur’ kecil berhampiran sebuah pokok mengkudu di lokasinya ditemui.

 

Saksi kejadian, Khairudin Idris, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Sultan Abdullah, di sini, berkata, sebaik terserempak dengan mayat bayi, dia bergegas pulang ke rumahnya di Parit 4/7R Chenderong Balai dan memaklumkan perkara itu kepada keluarganya.
Beliau berkata, dia bersama abangnya, Saharudin, 20, dan abang iparnya, Razlan Abu Bakar, 28, kembali ke lokasi penemuan mayat bayi itu untuk memeriksa.
“Kami membuka beg sebelum melihat mayat bayi itu berbalut dengan kain sarung batik. Kami percaya bayi itu meninggal dunia beberapa hari lalu kerana berbau busuk dan berulat,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

 

 

Katanya, dia kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Simpang Empat bagi memaklumkan penemuan mayat bayi itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, pihaknya menyerahkan mayat bayi kepada Hospital Teluk Intan (HTI) untuk bedah siasat.

 

Beliau berkata, sehingga semalam, jantina mayat berkenaan belum dipastikan kerana masih dalam pemeriksaan pihak hospital.

Didik, Minda bantu pelajar cemerlang – Berita Harian


Didik, Minda bantu pelajar cemerlang

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
bhnews@bharian.com.my
2012/05/20

MOHD RAUF beramah mesra dengan warga pendidik pada  majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan NSTP, di Kuantan, semalam.

MOHD RAUF beramah mesra dengan warga pendidik pada majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan NSTP, di Kuantan, semalam.

Sisipan BH berjaya tingkat proses pembelajaran 

KUANTAN: Sisipan Didik, Minda, Skor akhbar Berita Harian dan School Times dalam New Straits Times (NST) boleh membantu meningkatkan proses pembelajaran dan pengajaran guru dalam kelas selain buku teks.

Ketua Sektor Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri, Mohd Rauf Jali, berkata sisipan berkenaan penting untuk menambah pengetahuan dan membuat latihan berulangan sebagai persediaan meng-hadapi peperiksaan.

Beliau berkata demikian pada perasmian majlis Hari Penghargaan Guru 2012 anjuran Jabatan Pengedaran Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) untuk 200 guru dari Pahang, Terengganu dan Kelantan, di sini, semalam.

Program bertemakan ‘Gaya Hidup Sihat’ itu menghargai sekolah yang menjadikan sisipan berkenaan alat bantuan mengajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran guru dalam kelas.

Mohd Rauf berkata, sekolah yang melanggan akhbar itu boleh menggunakan sisipan itu sebagai bahan sampingan secara berterusan untuk memastikan kejayaan masing-masing.

Pelbagai acara diadakan termasuk senamrobik, ceramah oleh Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), demonstrasi masakan Mychef Celebrity oleh Chef Zam, pertunjukan drift, persembahan artis oleh Alif AF6 dan cabutan bertuah.
Antara penaja utama program yang memasuki tahun ketiga itu ialah MyChef Celebrity, Speed City dan LPPKN. Kuantan adalah lokasi ketiga selepas Kedah dan Melaka serta lokasi terakhir di Putrajaya pada 17 September ini.

Sementara itu, Guru Sekolah Kebangsaan Pahi, Kuala Krai, Kelantan, Mohd Norizan Yusof, berkata penggunaan sisipan Didik berjaya meningkatkan prestasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu sejak tiga tahun lalu.

“Sisipan Didik menjadi tarikan baru kepada murid Tahun Enam, malah penggunaannya sentiasa dinantikan pelajar kerana soalan yang tersiar dalam akhbar itu mirip kepada soalan sebenar UPSR,” katanya.

Guru SK Bendang Pauh, Pasir Mas, Kelantan, Hasnidawati Hassan, berkata sisipan Didik digunakan seawal Tahun Lima bagi memudahkan mereka mengikutinya ketika di Tahun Enam.

“Penggunaannya sebagai alat bantuan mengajar mencapai matlamat apabila murid mencapai kejayaan 100 peratus dalam UPSR tahun lalu,” katanya.

Lulus PMR boleh ambil diploma – Berita Harian


Lulus PMR boleh ambil diploma

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my
2012/05/20

MOHD PUAD bermesra dengan pelajar  selepas merasmikan  Karnival dan Ekspo PIBG Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA di Nilai, semalam.

MOHD PUAD bermesra dengan pelajar selepas merasmikan Karnival dan Ekspo PIBG Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA di Nilai, semalam.

15 sekolah vokasional jadi perintis kursus Diploma Vokasional Malaysia

NILAI: Pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) berpeluang memperoleh Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dalam pelbagai kursus di 78 kolej vokasional seluruh negara.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata sebagai permulaan sebanyak 15 Sekolah Menengah Vokasional (SMV) dijadikan program rintis bagi melihat keberkesanan kursus selama empat tahun itu.

Katanya, sebanyak 63 lagi SMV termasuk yang dalam pembinaan pada masa ini akan dinaik taraf menjadi kolej vokasional menjelang 2015.

“Pelajar yang mengikuti pelbagai kursus di kolej vokasional akan memperoleh DVM dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia.

“Pendaftaran pelajar bagi aliran ini sejak awal tahun ini adalah 107 peratus daripada kapisiti sepatutnya dan ini menunjukkan permintaan adalah tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Karnival dan Ekspo Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kompleks KLIA di sini, semalam.
Mohd Puad berkata, beberapa kursus sudah ditambah untuk memenuhi keperluan semasa antaranya kursus penerbangan.

Katanya, pihaknya juga sedang menimbang untuk mempelbagaikan lagi kursus dari semasa ke semasa bagi meningkatkan lagi tahap kolej vokasional.

“Kurikulum vokasional dirombak secara komprehensif supaya ia mencapai standard bagi memenuhi pasaran semasa pekerjaan seperti yang sudah dilaksanakan di beberapa negara antaranya Finland.

“Pasaran kini semakin memerlukan lebih ramai pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja dan di kolej vokasional sebanyak 70 peratus pembelajaran berasaskan kemahiran dan 30 peratus akademik,” katanya.