Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian – Sinar Harian


Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian

WARTAWAN SINAR HARIAN
23 Mei 2012
Sembilan sekolah agama baru sedang dan akan dibina di Parlimen Pontian
Ahmad menyerahkan pencetak komputer kepada wakil SRAB Benut, Pontian

BENUT – Sebanyak sembilan sekolah agama sedang dan akan dibina di kawasan Parlimen Pontian tahun ini dengan kos dianggarkan kira-kira RM12.6 juta.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, sekolah agama tersebut ialah Sekolah Agama (SA) Seri Pulai, Seri Sekawan Desa, Tanjung Air Hitam, Seri Semangat, Seri Bugis, Jaya Mulia, Seri Anom, dan bangunan tambahan SA Parit Semerah.

Menurutnya, setiap bangunan akan menelan belanja di antara RM1.2 hingga 1.5 juta yang meliputi pembinaan satu atau dua blok bangunan dengan enam bilik darjah, bilik guru, pejabat guru dan kantin.

Beliau berkata, dengan pembinaan sembilan sekolah agama berkenaan akan meleraikan penantian penduduk kampung di kawasan terbabit sejak 10 tahun lalu, bagi memiliki sekolah agama sendiri untuk kemudahan pembelajaran anak mereka.

“Selama ini, mereka menumpang di sekolah kebangsaan yang kadang kala menimbulkan sedikit masalah apabila berkongsi bangunan sama,” katanya pada perasmian pelancaran Dana Pembangunan Insan, Sekolah Rendah Arab Bersepadu (SRAB), Pontian, di sini, semalam.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana telah meluluskan peruntukan bagi membina SA di kawasan Parlimen Pontian.

“Diharap dengan adanya bangunan sendiri ini, ia bakal memberi keselesaan kepada murid-murid yang dianggarkan berjumlah kira-kira 7,000 orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap Dana Pembangunan Insan SRAB ini bakal meringankan beban kewangan sekolah untuk mengadakan program atau menambah baik kemudahan sekolah.

“Langkah menubuhkan dana pembangunan insan ini memberikan peluang kepada orang ramai untuk memberikan sumbangan kepada pembangunan pendidikan sekolah.

“Ia juga wajar dijadikan contoh kepada sekolah lain kerana banyak faedah yang mampu diperoleh sekolah dan pelajar,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut memberikan sumbangan sebanyak RM1,000 dan menyerahkan empat unit pencetak komputer untuk kegunaan sekolah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s