Sebuah lagi MRSM akan dibina di Sarawak – Bernama


Sebuah lagi MRSM akan dibina di Sarawak

2012/05/24

BETONG: Sebuah lagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dibina di kawasan utara Sarawak selaras dengan matlamat untuk meningkatkan lagi mutu pendidikan di kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pembinaan MRSM itu dimasukkan dalam peruntukan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Kita akan bina satu lagi MRSM di Sarawak dan lokasinya adalah di utara Sarawak dan ketika ini kita masih lagi dalam perbincangan dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tapak yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian MRSM Batong di sini hari ini.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 46 buah MRSM seluruh negara manakala di Sarawak mempunyai tiga buah iaitu masing-masing satu di Kuching yang mula beroperasi pada 1993, Mukah (2010) dan Betong (2008).

Katanya, pewujudan MRSM dijangka dapat membantu masyarakat luar bandar Sarawak khasnya di kawasan utara negeri ini mendapat kemudahan pendidikan yang lebih baik.

Ketika berucap, Mohd Shafie berkata, usaha kerajaan membina MRSM di negeri ini termasuk di sini membuktikan komitmen tinggi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membawa tranformasi pendidikan di luar bandar Sarawak.

“Usaha pembangunan yang dibuat oleh BN bukan setakat pembangunan fizikal semata-mata malah juga pembangunan modal insan dan ia adalah usaha berpanjangan,” katanya.
Katanya, kerajaan BN membuat banyak transformasi di luar bandar Sarawak dan ia dapat dibuktikan dengan pembinaan kira-kira 2,000 kilometer jalan raya serta 36,000 rumah khas untuk golongan kurang berkemampuan dan miskin. – BERNAMA

Warga emas mengaku tak bersalah rogol kanak-kanak – Sinar Harian


Warga emas mengaku tak bersalah rogol kanak-kanak

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mei 2012
Warga emas mengaku tak bersalah rogol kanak-kanak
Mustafa dibawa keluar dari kamar mahkamah.

JOHOR BAHRU – Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan, 12 Mei lalu.

Mustafa Mohd Amin, 70, yang bekerja sebagai nelayan membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Tertuduh didakwa merogol seseorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di sebuah rumah rakit di Gelang Patah, di sini, sekitar jam 5 petang, pada hari berkenaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara.

Mustafa yang sebelum ini mengaku salah atas perbuatan dilakukan ketika dituduh dalam satu prosiding di sebuah hospital kerana sedang mendapatkan rawatan kesihatan, 18 Mei lalu, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Zamri kemudiannya memerintahkan tertuduh melantik peguam dan menetapkan 13, 14, 18 dan 20 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes.

Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim memohon mahkamah mengekalkan ikat jamin RM10,000 ke atas tertuduh.

Semua pelajar mungkin wajib sertai PLKN – Bernama


Semua pelajar mungkin wajib sertai PLKN

24 Mei 2012
plkn tarik pukat
$entry.content.caption.value

KUANTAN – Semua pelajar lepasan sekolah menengah mungkin akan diwajib untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada masa akan datang.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) Datuk Dr Tiki Lafe berkata perkara itu telah dibincangkan oleh MLKN dan akan dibawa kepada kerajaan bagi mendapat persetujuan.

“MLKN juga akan meminta pandangan daripada anggota masyarakat. Sekiranya dipersetujui sekurang-kurangnya 500,000 pelatih akan  terlibat untuk satu tahun.

“Dan kita akan mengkaji prasarana yang ada untuk menampung pelatih PLKN berkenaan jika perlu ditambah atau diperluas,” katanya kepada pemberita ketika melawat Kem PLKN Hijrah, di sini hari  ini.

Katanya berdasarkan maklum balas yang diterima, sambutan daripada ibu bapa serta individu untuk menyertai program berkenaan cukup memberangsangkan.

Beliau berkata pandangan negatif yang dilempar sebelum ini telah bertukar baik, dengan permohonan pelatih baru secara sukarela tidak kurang daripada 3,000 bagi setiap pengambilan.

Selain itu katanya berdasarkan maklum balas yang diterima, PLKN banyak memberi kesan positif kepada pelatih.

Sebagai contoh, berdasarkan laporan berhubung perhimpunan Bersih di ibu negara  baru-baru ini, tiada pelatih PLKN yang terlibat dengan perkara itu, katanya.

Beliau berkata program itu juga mungkin disertai ahli politik  dari seluruh negara untuk melihat sendiri bagaimana PLKN dapat membantu golongan muda, dan secara tidak langsung memberi gambaran jelas kepada mereka yang terlibat bagi menangkis dakwaan buruk terhadap PLKN.- Bernama

Sekolah Sukan Bukit Nenas terima prasarana bernilai RM7.4 juta – Bernama


Sekolah Sukan Bukit Nenas terima prasarana bernilai RM7.4 juta

24 Mei 2012

SETIU – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas Terengganu, di sini menerima prasarana sukan bernilai RM7.4 juta dalam usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan sukan pelajar di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Rozi Mamat berkata antara kemudahan sukan yang diterima sekolah itu termasuk sebuah astaka, trek olahraga, menaik taraf padang bola sepak dan dewan sukan serbaguna berbumbung.

Katanya kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM600,000 setahun kepada sekolah melalui kemudahan biasiswa pelajar.

“Dengan adanya kemudahan prasarana sukan yang serba lengkap di sekolah ini, kita berharap usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu sebagai juara dalam bidang sukan mampu direalisasikan dengan kerjasama pihak sekolah, ibu bapa dan masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan prasarana sukan kepada Pengetua SMK Bukit Nenas, Mohd Zamli Muda.

Rozi berkata selain itu, bantuan biasiswa bulanan juga mula diagihkan kepada semua pelajar sejak Januari lepas iaitu antara RM50 dan RM60 sebulan mengikut kecemerlangan sama ada mereka pernah mewakili Sukan Malaysia atau sebaliknya.

“Ini adalah salah satu usaha kita bagi menghargai mereka yang berjaya melakar kejayaan dalam bidang sukan seterusnya menjadi atlet negara yang bertaraf dunia,” katanya.

Sementara itu, Rozi mencadangkan supaya pihak sekolah dapat menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menentukan hala tuju pembangunan sukan yang melibatkan ibu bapa, Jabatan Pelajaran, pegawai Majlis Sukan Negara dan pentadbiran sekolah.

Katanya jawatankuasa itu berperanan bukan sahaja dalam mengekalkan prestasi sukan malah akademik pelajar ke arah melahirkan atlet yang berpendidikan tinggi.

“Kita tidak mahu pelajar ini hanya tertumpu kepada kecemerlangan sukan semata-mata, kita mahu mereka itu juga mempunyai kelulusan tinggi dalam pelajaran sehingga mampu melanjutkan pelajaran ke universiti,” katanya. – Bernama

Adam sukar bernafas – Sinar Harian


Adam sukar bernafas

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mei 2012
Tabung adik Adam
‘Adam derita, saya sengsara’

SHAH ALAM – Tangisan Adam Akbar Ali, 10 sering meresahkan hati ayahnya, Akbar Ali Mohamed Noordin kerana ia petanda Adam tidak dapat menahan kesakitan akibat penyakit tumor saraf tunjang yang semakin kritikal.

Akbar Ali berkata, sejak kebelakangan ini, Adam bukan sahaja diserang sakit kaki dan perut malah beliau sukar untuk bernafas dan mengalami sakit dada.

“Saya lihat keadaan itu kerap menyerangnya semula dan mengingatkan saya pada 2010, saya mengambil keputusan membawanya ke Hospital Mount Elizabeth, Singapura untuk jalani pembedahan. Kini keadaan Adam yang sakit untuk bernafas menyerangnya semula disebabkan penyakit tumor di saraf tunjang yang membengkak.

“Bila saraf tunjangnya rosak akibat tumor itu, ia boleh menyebabkan kerosakan pada saraf- saraf utama yang bersambung daripada bahagian bawah kepalanya sampai ke kakinya. Ia akan mengakibatkan kelumpuhan dan risiko  kematian,”katanya.

Menurutnya, beliau dan isteri, Siti Rogayah Sheik Ismail kini hanya mampu berdoa supaya Adam dapat bertahan dan sering memberikan motivasi kepada anak sulung mereka supaya bersabar dan bertawakal kepada ALLAH.

“Adam akan menangis dan bertanyakan kepada kami bila pembedahan akan dilakukan kerana beliau tidak mahu tumor berada dalam badannya lagi. Saya hanya menasihatkannya bersabar kerana ramai cuba membantuny,” katanya.

Beliau berkata, Adam mempunyai minat membaca yang mendalam akan menghabiskan masanya dengan membaca buku mengenai sains dan penyakitnya. “Kadang- kadang Adam tidak dapat melelapkan matanya pada waktu malam dan berbicara dengan saya serta menceritakan apa yang dibacanya,” katanya. Katanya, kutipan untuk membiayai kos pembedahan Adam kini adalah RM35,900. “Alhamdulilah, saya bersyukur kepada ALLAH. Saya berterima kasih  kepada mereka yang menderma, memberikan sokongan moral serta nasihat kepada kami menghadapi ujian ini. Hanya ALLAH dapat membalasnya.

“Saya terharu kerana sumbangan diberikan kebanyakannya daripada rakyat Malaysia berbilang kaum. Beliau berkata, pihak Qatar Airways juga telah membuat kutipan untuk didermakan kepada Adam.

“Mereka mengetahui kisah Adam yang memerlukan RM300,000 untuk melakukan pembedahan di Amerika Syarikat melalui  portal Sinar Harian Online,” katanya. Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan bolehlah disalurkan ke  akaun Maybank 512101054830 dan Bank Islam 12038025182964.

Suami dakwa anak dilarikan bekas isteri – Kosmo


Suami dakwa anak dilarikan bekas isteri

 

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
n.jagatheswary@kosmo.com.my

 

NADARAJAH menunjukkan laporan polis dan gambar Anusha yang didakwa dilarikan oleh bekas isterinya di Kuala Lumpur semalam.

 

KUALA LUMPUR – Seorang bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Kampung Pandan Indah di sini mendakwa, anak kesayangannya itu telah dilarikan oleh bekas isterinya sejak 31 Januari lalu.

Bapa malang itu, G. Nadarajah, 37, berkata, anak perempuannya, N. Anusha (gambar kecil) yang belajar di Sekolah Kebangsaan Convent, Jalan Peel di sini tidak pulang ke rumah setelah tamat sesi persekolahan pada petang hari kejadian.

 

Dia yang bekerja sebagai penghantar surat di sebuah firma swasta di ibu kota berkata, kejadian itu berlaku pada hari ulang tahun kelapan anaknya itu.

Katanya, dia juga telah membuat persiapan untuk menyambut hari jadi Anusha bersama isteri keduanya di kediamannya.

Bagaimanapun menurutnya, selepas sesi persekolahan tamat pukul 6.20 petang, dia telah ke sekolah untuk mengambil Anusha tetapi kelibat anaknya tidak kelihatan bersama murid-murid lain.

“Saya yang bimbang terhadap keselamatan Anusha terus bergegas ke pejabat guru besar sekolah itu untuk mengadu tentang kehilangan anak saya.

Warga emas mengaku noda ubah pengakuan – Metro


Warga emas mengaku noda ubah pengakuan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

JOHOR BAHRU: Selepas lima hari mengaku bersalah merogol anak jiran berusia 11 tahun dua bulan di sebuah rumah rakit di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah di sini, pada 12 Mei lalu, seorang nelayan berusia 70 tahun menukar pengakuannya kepada tidak bersalah, semalam.

Mustapa Mohd Amin yang berasal dari Perling di sini, menukar pengakuan kepada tidak bersalah itu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.
Pengakuan terbabit menimbulkan kejutan kerana warga emas itu pada awalnya mengaku bersalah terhadap tuduhan berkenaan ketika pendakwaan terhadapnya dilakukan pada Jumaat lalu di depan Hakim Zamri Bakar di wad Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru berikutan tertuduh mendapatkan rawatan asma.

 

Zamri yang mendengar pengakuan Mustapa kemudian meminta tertuduh melantik peguam bela.
Zamri turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Beliau kemudian menetapkan 13 hingga 20 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan.

 

 

Tertuduh didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dua bulan di sebuah rumah rakit di Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah.
Tuduhan dibuat mengikut Kesalahan itu didakwa itu dilakukan pada jam 5 petang dan Mustapa didakwa mengikut Seskyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara 30 tahun dan sebatan.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim.
Difahamkan, tertuduh yang menghuni rumah rakit tinggal berjauhan dengan keluarga yang menetap di Terengganu sejak beberapa tahun lalu dan mempunyai beberapa anak.
Bagaimanapun, tiada waris tertuduh hadir di mahkamah, semalam. Sebelum ini, tertuduh yang dimasukkan ke wad HSA di Blok D mengangguk kepala apabila namanya disebut jurubahasa ketika membacakan pertuduhan, Jumaat lalu.
Ketika itu, dia mengaku bersalah dan meminta supaya dikenakan hukuman ringan kerana sudah tua selain menghidap asma.

Bekalan elektrik 24 jam di sekolah – Metro


Bekalan elektrik 24 jam di sekolah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BATU PAHAT: Sekolah di seluruh negara termasuk di luar bandar bakal menerima bekalan elektrik 24 jam menjelang hujung tahun ini menerusi projek solar hibrid.

Selain itu, generator khas akan dilaksanakan bertujuan merapatkan jurang pendidikan pelajar luar bandar dan bandar. Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, RM1.798 bilion diperuntukkan kepada sekolah yang sebelum ini bergantung kepada generator yang lazimnya hanya mampu membekalkan elektrik selama lapan jam.

Keluarga mahu lelaki dihukum – Metro


Keluarga mahu lelaki dihukum

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAIPING: Keluarga Allahyarham Nur Afifah Mohd Zahuri, 16, yang mati di Lombok, Indonesia, mendesak kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas mengheret lelaki yang melarikan pelajar tingkatan empat itu ke muka pengadilan.

Bapa mangsa, Mohd Zahuri Idris, 47, berkata walaupun reda dengan takdir namun dia mahu lelaki Lombok dikenali sebagai Mohamad Yani, 20-an, itu dibicarakan.
Afifah dilarikan 18 April lalu ke Lombok dan selepas dia meninggal dunia di Rumah Sakit Bhayan Kara Bolda, Lombok, pada 6 Mei lalu, Mohamad Yani menghilangkan diri.

 

“Saya harap kerajaan melalui polis, imigresen dan kerjasama baik kerajaan Indonesia, membawa lelaki itu negara ini untuk disiasat dan dikenakan tindakan kerana melarikan anak saya.
“Ini sebagai pengajaran dan ingatan kepada sesiapa saja supaya tidak sewenang-wenangnya melarikan penduduk negara ini ke Indonesia.
“Saya difahamkan, kebanyakan gadis Malaysia yang dilarikan lelaki Lombok menggunakan pukau dan ilmu hitam sehingga mereka menurut saja apa yang dikehendaki lelaki,” katanya selepas pengebumian jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hidayah, Asam Kumbang, semalam.

‘Dalam sedih saya lega…’ – Metro


‘Dalam sedih saya lega…’

Oleh Yahya Awang
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TAIPING: “Syukur kerana jenazah anak saya selamat dikebumikan selepas hampir 17 hari ditahan di bilik mayat hospital di Lombok, Indonesia,” kata Hasliza Ismail, 46, yang ditemui selepas pengkebumian Nur Afifah Mohd Zahuri, 16, yang mati ketika berada di Lombok selepas dilarikan seorang lelaki.

Jenazah Nur Afifah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5 petang kelmarin, disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Hidayah, Asam Kumbang, di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam, selepas disembahyangkan di Masjid Hidayah di sini. Jenazah pelajar tingkatan empat itu disemadikan segera berikutan lebih dua minggu ditahan di Lombok berikutan masalah perundangan.

Hasliza berkata, dia lega kerana jenazah anaknya itu akhirnya berjaya dibawa pulang hasil usaha Ketua Umno Bahagian Taiping yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie, yang menanggung kos perbelanjaan.

“Saya menatap wajah adik (Afifah). Saya reda dengan takdir, tetapi semua sudah ditakdirkan. Sekurang-kurangnya kami boleh menziarah kuburnya di sini,” katanya.

 
Hasliza berharap kejadian yang menimpa anaknya itu dijadikan pengajaran dan ingatan kepada orang lain supaya berhati-hati dengan lelaki warga asing, terutama dari Lombok.