Pitam anak mandi darah – Metro


Pitam anak mandi darah

Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA TERENGGANU: “Saya nyaris pitam melihat anak bermandi darah dan meraung meminta tolong.

“Walaupun takut melihat darah bercucuran dari kepalanya, saya kuatkan semangat mengangkat dan membawanya ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan,” kata Asmah Lokman, 41, menceritakan detik cemas selepas anaknya, Mohd Syafiq Naim Mustakin Saifudin, 10, terjatuh dari tingkat atas rumah kakaknya di Kampung Jelang, Hulu Terengganu, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kua, Kuala Berang itu dikatakan terjatuh selepas tergelincir ketika bermain bersama kakak dan sepupunya di beranda tingkat atas rumah dua tingkat milik ibu saudaranya itu.

Kakak mangsa, Nor Diana, 13, dikatakan cuba mencapai tangan adiknya, tetapi gagal kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

 
Asmah ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia tidak boleh melupakan kejadian yang hampir meragut nyawa anak bongsunya itu.

Dibelasah gadis samseng – Metro


Dibelasah gadis samseng

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KLANG: Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cedera di dada dan bahagian badan selain trauma selepas dibelasah sekumpulan gadis ‘samseng’ yang juga rakannya di sebuah sekolah menengah di sini, baru-baru ini.

Mangsa, Siti Nor Lela Muhammad Zambri, 17, tidak hadir ke sekolah dan membuat tiga laporan polis selepas dia sudah tidak tahan dipukul sekumpulan 10 pelajar perempuan sejak tiga minggu lalu.
Dalam kejadian pertama jam 11 pagi tiga minggu lalu, Siti Nor Lela berada dalam kelas bersama rakan lain sementara menunggu kedatangan guru sebelum didatangi sekumpulan pelajar terbabit dan memukulnya tanpa sebab.

 

“Tanpa bertanya apa-apa mereka menendang dan menumbuk saya berkali-kali di bahagian badan, tengkuk dan perut. Menurut Siti Nor Lela, selepas kejadian itu, dia mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan terpaksa memakai alat pendakap leher akibat cedera.
“Saya tidak hadir ke sekolah selama empat hari kerana tengkuk sakit,” katanya yang membuat laporan kali ketiga di Balai Polis Pandamaran, semalam.
Dalam kejadian kedua pada Isnin lalu, jam 1.15 tengah hari, Siti Nor Lela dan rakannya menunggu bas di hadapan sekolah sebelum didatangi lima pelajar perempuan dan bertanyakan namanya.

 

 

Apabila dijawab, pelajar itu menyepak dan menumbuknya beberapa kali selain perutnya dipijak seorang daripada mereka.
Katanya, akibat kejadian itu, tisu dadanya terkoyak selain sukar bernafas.

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Muhammad Mat Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

Tunggu dua jam ambil anak – Metro


Tunggu dua jam ambil anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PETALING JAYA: Niat murni pengurusan sebuah sekolah antarabangsa di sini mengetatkan kawalan keselamatan demi melindungi pelajar daripada menjadi mangsa jenayah terutama penculikan bertukar sebaliknya apabila ibu bapa terpaksa menunggu dua jam untuk mengambil anak mereka.

Kawalan ketat di sekolah berkenaan bermula sejak penculikan Nayati Shamelin Moodliar, 12, penuntut sekolah antarabangsa di Bukit Kiara pada 28 April lalu.
Pihak pengurusan sekolah berkenaan mengambil langkah drastik dengan membuka satu pintu untuk mengambil dan menurunkan pelajar.

 

Malah, setiap ibu bapa dan penjaga yang mahu mengambil anak mereka perlu beratur untuk masuk ke sekolah dan tidak boleh lagi berjalan sebaliknya perlu menggunakan kenderaan masing-masing yang disertakan pengenalan berbentuk pelekat.
Ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Datuk Lee, 42, berkata, beliau tidak bersetuju dengan langkah pengurusan sekolah yang didakwa tidak berbincang mahupun mendapatkan pandangan ibu bapa sebelum melaksanakan sistem keselamatan baru. “Kami diberitahu pengurusan menukar sistem baru ini menerusi e-mel lebih dua minggu lalu dan tiga hari kemudian mereka menukar semua laluan masuk untuk mengambil pelajar, malah kami tidak lagi dibenar mengambil secara ‘walk in’.
“Setiap ibu bapa atau penjaga perlu masuk sekolah menggunakan kenderaan dan hanya satu pintu masuk dibuka, malah kami menunggu lebih lama daripada sepatutnya.

 

 

“Sebagai bantahan, satu memorandum ditandatangani 150 ibu bapa sudah dihantar minggu lalu, tetapi pihak sekolah langsung tidak mengambil tindakan. Kami mahukan dialog bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Pekerja Bangladesh perkosa remaja dijel 10 tahun, 3 sebatan – Metro


Pekerja Bangladesh perkosa remaja dijel 10 tahun, 3 sebatan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Seorang pekerja kilang warga Bangladesh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah merogol remaja tempatan berusia 16 tahun, di stor sebuah kedai borong di Batang Kali, dekat sini, dua tahun lalu.

Hakim Slamat Yahya menjatuhkan hukuman itu terhadap Jasim Kuddus, 26 selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Slamat dalam penghakimannya berkata, mahkamah tidak dapat menerima keterangan tertuduh bahawa dia tidak melakukan perbuatan rogol itu.

 

Katanya, pihak pembelaan juga tidak dapat mengemukakan alibi untuk menyokong penafiannya.
Sepanjang perbicaraan, sembilan saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan tampil memberi keterangan.
Jasim didakwa merogol mangsa yang juga pembantu kedai di Bandar Utama, Batang Kali, Hulu Selangor kira-kira 1.30 tengah hari, pada 19 November 2010.

 

 

Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Gurmit Singh Hullon yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan memandangkan anak guamnya ditahan reman sejak ditangkap pada 25 November 2010.

 

Beliau berkata, tertuduh sedar, insaf dan berjanji tidak mengulangi perbuatan itu.
Katanya, anak guamnya memohon peluang untuk menerima hukuman ringan supaya dapat menjalani hidup baru bersama keluarga di negara asalnya.
“Tertuduh juga sudah memohon maaf terhadap mangsa dan keluarganya atas perbuatannya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Siti Syakimah Ibrahim bagaimanapun memohon hukuman berat dengan mengambil kira kekerasan dialami mangsa pada masa kejadian.
Selain itu katanya, ia bagi melindungi kepentingan awam terutama dengan peningkatan kes rogol yang kerap dilaporkan menerusi media.
“Sebagai warga Bangladesh, tertuduh datang ke negara ini untuk mencari rezeki, sebaliknya mencabuli undang-undang dengan merogol mangsa,” katanya.

Budak lelaki jatuh 6 meter, terima 20 jahitan – Berita Harian


Budak lelaki jatuh 6 meter, terima 20 jahitan

2012/05/24

KUALA TERENGGANU: Seorang budak lelaki menerima 20 jahitan di kepala dan patah tangan kanan akibat terjatuh dari beranda tingkat atas rumah ibu saudaranya di Kampung Jelang, Hulu Terengganu, selepas bermain bersama kakak dan dua sepupunya, petang Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 6.30 petang, Mohd Syafiq Naim Mustakin Saifudin, 10, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kua dikatakan tergelincir ketika bermain dan terjatuh setinggi enam meter selain kepala serta tangannya terhantuk bucu longkang di tingkat bawah.

Ibu mangsa, Asmah Lokman, 41, berkata beliau nyaris pitam melihat anaknya bermandi darah dan meraung meminta tolong selepas terjatuh.

Walaupun takut melihat darah yang bercucuran keluar dari kepala anak, saya kuatkan semangat untuk mengangkat dan membawanya ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan. – Asmah Lokman, Ibu mangsa

“Walaupun takut melihat darah yang bercucuran keluar dari kepala anak, saya kuatkan semangat untuk mengangkat dan membawanya ke Hospital Hulu Terengganu bagi mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Katanya, ketika kejadian, anak beliau Nor Diana, 13, cuba menarik tangan adiknya daripada terjatuh tetapi gagal kerana kejadian itu terlalu pantas.

Beliau berkata, sebelum kejadian, Mohd Syafiq duduk bersamanya ketika dia berbincang dengan saudara-mara mengenai persiapan kenduri kahwin anak kakaknya, yang akan berlangsung hujung minggu ini.

Bapa mangsa, Saifudin Abd Rahman, 45, berkata ketika kejadian, dia berada di tempat kerja di kampung sama dan bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai keadaan anaknya yang parah akibat terjatuh dari tingkat atas rumah.
“Walaupun tangan kanan Mohd Syafiq patah serta menerima lebih 20 jahitan di bahagian kepala namun saya dan isteri bersyukur kerana dia dilaporkan stabil,” katanya.

Pelajar maut motosikal dirempuh kereta – Bernama


Pelajar maut motosikal dirempuh kereta

2012/05/24

IPOH: Seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun terbunuh selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 14 Jalan Lekir-Sitiawan, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitendan Ahmad Mat Isa, berkata Nursyazlin Lumri, 13, pelajar SMK Batu 10, Lekir, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Mayatnya dihantar ke Hospital Manjung untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad berkata, kejadian berlaku pada jam 7 malam ketika pelajar itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli barang di sebuah kedai runcit di tepi jalan berkenaan.

Katanya, mangsa yang menunggang motosikal sendirian dikatakan melintas jalan lalu dirempuh kereta Perodua Alza yang dalam perjalanan dari Sitiawan ke Teluk Intan.

Pemandu kereta yang tidak mengalami kecederaan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

– BERNAMA

Gadis 15 tahun dirogol teman lelaki – Utusan


Gadis 15 tahun dirogol teman lelaki

KULIM 23 Mei – Tindakan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun keluar rumah secara senyap-senyap pada awal pagi untuk menemui kekasihnya, berakhir dengan dia dirogol remaja lelaki tersebut.

Pelajar itu menyelinap keluar dari rumahnya di sebuah taman perumahan di sini kira-kira pukul 1 pagi Rabu lalu untuk menemui teman lelakinya yang berusia 16 tahun.

Mangsa kemudian dibawa bersiar-siar dan dipelawa suspek untuk bermalam di rumahnya sebelum dia dirogol.

Tindakan mereka bagaimanapun disedari oleh salah seorang ahli keluarga suspek yang kemudian menghantar mangsa pulang ke rumahnya.

Apabila tiba di rumah, pelajar perempuan itu diasak pelbagai soalan oleh ibu bapanya sehingga mengaku dia telah melakukan hubungan seks dengan kekasihnya itu.

Berikutan itu, ibu dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kulim, kelmarin.

Pelajar TKC cipta hos air automatik diiktiraf dunia – Utusan


Pelajar TKC cipta hos air automatik diiktiraf dunia

SEREMBAN 23 Mei – Idea inovatif seorang pelajar tingkatan empat, Kolej Tunku Kurshiah (TKC) di sini yang mencipta hos air automatik untuk mengekalkan kebersihan tandas mengharumkan nama negara apabila berjaya merangkul dua anugerah antarabangsa.

Pelajar tersebut, Siti Norsarah Suhaimi, 16, memenangi Anugerah Emas kategori keseluruhan pertandingan dan Anugerah Khas daripada Pertubuhan Reka Cipta Korea dalam Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi di Lasi, Romania pada 9 hingga 14 Mei lalu.

Menurut Siti Norsarah, idea menghasilkan ciptaan yang dinamakan ‘Aqueract’ itu timbul hasil pemerhatiannya ke atas kebersihan hos air di tandas awam.

“Jika kita perhatikan, hos air di tandas awam kebanyakannya kotor untuk dipegang, maka dari situ lahirnya idea untuk saya menghasilkan hos air automatik menggunakan teknologi pengesan haba.

Budak diserang buaya, mayat ditemui hilang semula – Utusan


Budak diserang buaya, mayat ditemui hilang semula

SRI AMAN 23 Mei – Penduduk di Ulu Tekalong, Engkilili dekat sini gempar apabila menemui mayat seorang remaja berusia 13 tahun yang dipercayai akibat diserang buaya di Sungai Linggang petang ini.

Difahamkan, mayat mangsa, Peter Heerema Sadan ditemui pukul 6.55 petang terapung oleh beberapa penduduk kampung di kawasan Ijok Hilir, tidak jauh dari lokasi dia dikatakan hilang petang semalam.

Namun, mereka membiarkan mayat mangsa di sungai tersebut dan terus menghubungi pihak polis kerana khuatir keselamatan diri memandangkan kawasan berkenaan dikenali sebagai habitat buaya.

Bagaimanapun, sebaik sahaja pasukan penyelamat tiba, mayat remaja tersebut hilang semula kerana dipercayai telah hanyut dibawa arus sungai menyebabkan operasi mencari terpaksa diteruskan sehingga pukul 8 malam ini.

Lelaki 70 tahun tidak mengaku rogol budak – Utusan


Lelaki 70 tahun tidak mengaku rogol budak

JOHOR BAHRU 23 Mei – Seorang nelayan berusia 70 tahun hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 11 tahun pada 12 Mei lalu.

Mustafa Mohd. Amin, 70, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan semula kepadanya di hadapan Hakim Zamri Bakar.

Warga emas berkenaan menukar pengakuan pada hari ini selepas dia pada 18 Mei lalu, mengaku bersalah ketika pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya sewaktu berada di Hospital Sultanah Aminah kerana menerima rawatan akibat serangan asma.

Tertuduh didakwa merogol kanak-kanak tersebut yang juga anak jirannya di sebuah rumah rakit Kampung Sungai Melayu, Gelang Patah di sini, kira-kira pukul 5 petang, 12 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norashikin Ibrahim mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.