KUALA TERENGGANU: “Saya nyaris pitam melihat anak bermandi darah dan meraung meminta tolong.
“Walaupun takut melihat darah bercucuran dari kepalanya, saya kuatkan semangat mengangkat dan membawanya ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan,” kata Asmah Lokman, 41, menceritakan detik cemas selepas anaknya, Mohd Syafiq Naim Mustakin Saifudin, 10, terjatuh dari tingkat atas rumah kakaknya di Kampung Jelang, Hulu Terengganu, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Kua, Kuala Berang itu dikatakan terjatuh selepas tergelincir ketika bermain bersama kakak dan sepupunya di beranda tingkat atas rumah dua tingkat milik ibu saudaranya itu.
Kakak mangsa, Nor Diana, 13, dikatakan cuba mencapai tangan adiknya, tetapi gagal kerana kejadian berlaku terlalu pantas.
Asmah ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam berkata, dia tidak boleh melupakan kejadian yang hampir meragut nyawa anak bongsunya itu.