MAS tawar penerbangan tambahan sempena cuti sekolah – Bernama


MAS tawar penerbangan tambahan sempena cuti sekolah

25 Mei 2012
MAS laksana peraturan baru bagasi kabin
MAS

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines (MAS) akan menawarkan sejumlah 20 penerbangan tambahan dan 16 penerbangan yang dinaik taraf ke pelbagai destinasi sempena cuti sekolah.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAS berkata penerbangan itu, yang bermula sekarang hingga 10 Jun 2012, beroperasi pada laluan popular seperti Phuket, Kuching, Miri, Kota Kinabalu, Alor Setar dan Kota Bahru.

“Penerbangan tambahan itu akan memberikan kapasiti tambahan sebanyak 3,660 tempat duduk sementara penerbangan naik taraf itu akan menawarkan tambahan 972 tempat duduk, menjadikan tambahan sebanyak 4,632 kerusi,” katanya.

MAS berkata ia akan terus melihat kepada permintaan dan menambah kapasiti pada sektor-sektor yang memerlukannya.

Ia berkata tempahan boleh dibuat menerusi rangkaian pengedarannya seperti http://www.malaysiaairlines.com, pejabat jualan tiket, Facebook, pusat panggilan 24-jam di            1-300-88-3000       dan semua agen pelancongan terlantik. – Bernama

Nurul Huda rindu sekolah – Sinar Harian


Nurul Huda rindu sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2012
Nurul Huda rindu sekolah
Mohd Asri dan Zaiton membawa Nurul Huda bersiar-siar di luar rumah

TIKAM BATU, Kedah – Disebabkan terlalu rindukan persekolahan yang ditinggalkan sejak lebih setahun lalu, akibat ketumbuhan di otak, Nurul Huda Mohd Asri, 8, dikatakan banyak menghabiskan masa dengan buku-buku kesayangannya.

Ibunya, Zaiton Mahmud, 39, berkata, Nurul Huda baru selesai memasang ‘kimo port’ iaitu sejenis alat yang ditanam di dada bagi memudahkan proses kimoterapi.

“Kimoterapi akan diteruskan pada 28 Mei ini dan hari ini Nurul Huda perlu dibawa ke hospital untuk lihat perkembangan dan masukkan ubat,” katanya kepada Sinar Harian di rumahnya di Kampung Berapit , di sini, semalam.

Menurut Zaiton, Nurul Huda gemar menghabiskan masa bersama buku-buku yang dihadiahkan kepadanya.

“Setiap hari dia suka buat latihan, mewarna dan membaca, terutama sekali apabila ditahan di wad.

“Kadang-kala dia boleh habis buat latihan sebuah buku dalam masa satu hari sahaja, katanya.

Menurutnya, kerajinannya membuatkan doktor yang merawatnya sering menghadiahkan buku dan pemberian itu dimanfaatkan sepenuhnya.

Apabila ditanya, Nurul Huda menjelaskan teringin ke sekolah semula dan meneruskan pembelajaran seperti biasa bersama rakan-rakan, namun keadaan kesihatan tidak mengizinkannya berbuat demikian.

Zaiton berkata, sejak melalui proses kimoterapi, badan anaknya menjadi semakin lemah, langkahnya longlai, penglihatannya agak kabur dan tidak lalu makan.

“Dia juga akan mengalami muntah, demam panas dan sering mengadu sakit kepala.

Bapanya, Mohd Asri Hamid, 38, berkata, dia memberi apa sahaja makanan diminta anak bongsu dari empat beradik itu memandangkan dia kurang makan nasi.

“Dia suka makan laksa, buah anggur atau apa sahaja yang terlintas di fikiran akan diminta, walaupun dalam kuantiti kecil, tetapi saya usahakan juga untuk sediakan apa yang termampu,” katanya.

Menurutnya, Nurul Huda baru sahaja selesai sesi kimoterapi pertama dan masih berbaki tujuh sesi lagi.

Zaiton, yang sebelum ini menyediakan kuih untuk dijual terpaksa berhenti seketika bagi memberi sepenuh perhatian menjaga Nurul Huda, manakala Mohd Asri sebagai peniaga gerai makan pula sering mengambil cuti untuk menghantar anaknya mendapatkan rawatan.

Bagi mana-mana pihak yang prihatin, boleh menghubungi Asri di talian             017- 4327965      atau melalui akaun BSN atas nama Zaiton Mahmud nombor akaun 07123-41-00002311-0 atau ke rumah mereka di Kampung Berapit, Tikam Batu.

Gurauan mengundur ke balkoni berakhir tragis – Metro


Gurauan mengundur ke balkoni berakhir tragis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GEORGETOWN: Gurauan seorang kanak-kanak berjalan mengundur di balkoni berakhir tragedi apabila maut selepas terjatuh dari tingkat satu Blok 2, Flat Desa Mawar, Bandar Baru Farlim, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang, V Kavin Raj berusia enam tahun bermain berseorangan di balkoni flat berhampiran tangga di tingkat satu sebelum tergelincir dan terjatuh.
Difahamkan, ketika itu kakaknya berada di tingkat tiga rumah flat berkenaan ternampak mangsa bermain di kawasan terbabit sebelum cuba memanggil adiknya kerana khuatir terjatuh.

 

Bagaimanapun, mangsa yang ketika itu menikmati aiskrim tidak mengendahkan panggilan kakaknya, sebaliknya cuba bergurau dengan berjalan mengundur.
Kanak-kanak terbabit dikatakan tidak dapat mengimbangi badan ketika berada di hujung beranda sebelum terjatuh dengan kepalanya menjunam terlebih dulu di atas jalan.
Berikutan kejadian itu, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) oleh ahli keluarganya.

 

 

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Jabatan Forensik HPP, Datuk Dr Zahari Noot berkata, hasil bedah siasat pihaknya mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala dipercayai disebabkan hentakan kuat. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Patah paha elak sekatan polis – Metro


Patah paha elak sekatan polis

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: Seorang pelajar lelaki patah paha kanan selepas terjatuh daripada motosikal ketika cuba mengelak sekatan polis di persimpangan berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Datuk Sheikh Ahmad, Arau, dekat sini, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari, mangsa, Mohd Sahafik Mohd Ishak pelajar tingkatan empat dari Kolej Vokasional Arau, mendakwa hilang kawalan sebelum terbabas apabila motosikal ditunggangi ditendang anggota polis berpakaian biasa yang mengekorinya.
Bapa mangsa, Mohd Ishak Mohd Noh, 58, berkata, anaknya terpaksa menjalani pembedahan untuk memasukkan besi pada tulang paha kanan selepas terbabit kemalangan. Katanya, Mohd Sahafik memaklumkan mengalami kecederaan selepas motosikal ditunggangi bersama rakan sekolah ditendang anggota polis dikenali Skuad 42 yang berpakaian biasa ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Pondok di sini.

 

“Mohd Sahafik mengaku berpatah balik apabila melihat sekatan jalan raya. Tiba-tiba seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal menendang motosikal anak saya hingga terbabas.
“Anak saya mengerang kesakitan sambil memegang pahanya sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar menggunakan sebuah kereta peronda polis untuk menerima rawatan,” katanya.
Mohd Ishak bertindak membuat laporan di Balai Polis Arau pada petang hari kejadian kerana tidak berpuas hati tindakan anggota polis melaksanakan tugas hingga menyebabkan anaknya cedera parah.

 

 

Susulan kejadian itu, seorang penghulu, Ahmad Razin Yob yang kebetulan berada di tempat kejadian turut membuat laporan kira-kira jam 3 petang hari kejadian dan meminta polis menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan skuad 42 hingga mendatang kecederaan kepada pelajar itu .
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

 

Katanya, siasatan awal mendapati pelajar berkenaan tidak membawa MyKad dan tidak memiliki lesen memandu. Pihaknya meminta saksi kejadian tampil memberi keterangan.

Membina keyakinan diri pelajar – Berita Harian


Membina keyakinan diri pelajar

2012/05/25

LATIHAN berkumpulan dapat membentuk semangat kepemimpinan.

LATIHAN berkumpulan dapat membentuk semangat kepemimpinan.

KEGIATAN kokurikulum mampu menjana pelajar yang berdaya saing, kompeten terhadap persekitaran dan juga sebagai satu platform bagi mengasah bakat mereka dalam apa jua aktiviti.

Menyedari hakikat itu, Unit Pembangunan Pelajar (UPP) Kolej PTPL Sabah mengadakan program Gaya Hidup Sihat baru-baru ini. Program berkenaan disertai 22 pelajar daripada pelbagai program pengajian bertujuan mendedahkan pelajar dengan aktiviti luar kelas.

Antara aktiviti terbabit ialah Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang dijalankan bagi membentuk semangat kepimpinan serta berkumpulan di kalangan peserta. Program berkenaan juga dapat membina keyakinan diri pelajar dalam menyelesaikan konflik persekitaran.

Sepanjang program sehari itu, pelbagai aktiviti disertai peserta. Antaranya, latihan dalam kumpulan dan aktiviti lasak seperti kerubung terbang (flying fox) dan banyak lagi.

Pengarah program, Hasrin Mohd Sim, berkata pendedahan aktiviti lasak sebegini sebagai usaha mendisiplinkan serta memberikan daya keyakinan yang tinggi padanya dan rakan. Ia juga mengajar pelajar cara berinteraksi dengan persekitaran luar.

7 lelaki bebas tuduhan rogol gadis bawah umur – Bernama


7 lelaki bebas tuduhan rogol gadis bawah umur

2012/05/25

JOHOR BAHRU: Tujuh lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, daripada tuduhan merogol seorang gadis berumur 16 tahun di sebuah hotel, di sini, tahun lalu.

Hakim Zamri Bakar melepas dan membebaskan Mohammad Rafiuddin Zainuddin, 22, Khairussani Ahmad, 26, Norazam Hamdan, 29, Mohammad Alif Ali Hashim, 23, Muhammad Saifuddin Abdul Rahman, 26, Mohamed Razif Kasim, 30 dan Mohamad Shafiq Abdul Jalil , 21, selepas pihak pembelaaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munsabah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bilik 204, Hotel Fully, nombor 41 & 47, Jalan Teratai 2, Taman Johor Jaya di sini, kira-kira jam 12.30 malam, 22 Mei 2011.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 376 (2) (c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Zamri dalam penghakimannya berkata, terdapat pelbagai percanggahan fakta di dalam keterangan yang diberi oleh mangsa selaku saksi utama sehingga menimbulkan keraguan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir dan Mohd Shujaa Halim.

– BERNAMA

Kementerian Kesihatan siasat punca keracunan makanan di SRJK Yuk, Sabah – Bernama


Kementerian Kesihatan siasat punca keracunan makanan di SRJK Yuk, Sabah

2012/05/25

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian keracunan makanan membabitkan 44 murid SRJK (C) Lok Yuk, Menggatal dekat sini yang dilapor mengalami simptom sakit perut selepas minum susu coklat pada waktu rehat, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kejadian itu disyaki berpunca daripada pengambilan susu UHT berjenama Mat Pintar yang diedar di bawah program susu kerajaan negeri Sabah.

“Sampel sudah diambil untuk analisis, dan sebagai langkah pencegahan, kementerian telah menarik balik semua baki stok susu UHT di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rosnah berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar tempatan mengenai perkara itu pada 20 Mei lalu.

Beliau berkata, siasatan juga sedang dijalankan untuk kejadian sama yang membabitkan lapan murid SK St Francis Convent, Kota Kinabalu.

“Kementerian Kesihatan turut menarik balik semua baki stok UHT di sekolah itu,” katanya.

Rosnah berkata, pejabat Pelajaran Kota Kinabalu dimaklumkan supaya susu UHT tidak diedar kepada murid di sekolah terbabit buat sementara waktu.
– BERNAMA

Guru diwajib kursus profesionalisme – Utusan


Guru diwajib kursus profesionalisme

Mohd. Puad Zarkashi (dua dari kiri) berbual dengan Abd. Azizi Mustafa (kanan), Kamariah Zainuddin dan Kamaruddin Mansor (tengah) sambil diperhatikan Abdullah Mad Yunus pada Majlis Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 24 Mei – Kementerian Pelajaran akan mewajibkan semua guru mengikuti Kursus Bina Upaya Profesionalisme Perguruan bagi memperkasakan mereka dari aspek inovasi dan profesionalisme bermula Jun ini.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, menerusi kursus tersebut kementerian akan memberi penekanan terhadap tiga perkara utama dalam membangunkan profesionalisme perguruan meliputi pengetahuan, kemahiran serta perwatakan yang harus ada pada setiap tenaga pengajar.

Menurutnya, kursus itu akan dijalankan secara berperingkat melibatkan seluruh warga guru dan ia bakal dijalankan di Institut Aminuddin Baki (IAB) serta Bahagian Pendidikan Guru (BPG).

Guru, Naib Presiden MAYC terima Anugerah Belia Negara 2012 – Utusan


Guru, Naib Presiden MAYC terima Anugerah Belia Negara 2012

PUTRAJAYA 24 Mei – Guru Sekolah Kebangsaan Pulau Indah, Mohd. Zuraidi Komari dan Naib Presiden Persatuan Kelab Belia Malaysia (MAYC), Haryati Hamdzah dipilih sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara pada tahun ini.

Pengiktirafan tersebut atas usaha dan kesungguhan mereka membangunkan program-program belia di peringkat negara dan negeri.

Anak jati Selangor dan Melaka itu akan menerima wang tunai RM20,000 serta sijil yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu ini sempena Himpunan Jutaan Belia di sini.

Pengumuman nama penerima anugerah itu dibuat oleh Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Gan Ping Sieu.

Kategori Perdana Pertubuhan Belia pula dinobatkan kepada Pertubuhan Belia Chekas, Kampung Peruas, Raub, Pahang berikutan kejayaannya melaksanakan pelbagai aktiviti yang mempunyai kesan besar kepada masyarakat serta mempunyai aset tetap sebanyak RM230,259.

Persatuan tersebut menerima wang tunai RM50,000 dan sijil.

Dalam pada itu, kategori Pencapaian Luar Biasa dan 1Belia 1Malaysia disandang oleh Presiden Kelab Belia Tamil Malaysia, Murali Kuppan dan Exco MBM, Leong Fang Hui dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil.

Kategori Pencapaian Luar Biasa pula diberikan kepada pelari solo wanita negara, Suwaibah Muhammad Nasir di atas kejayaannya mengharumkan nama negara di persada dunia selepas berjaya menamatkan larian merentas Gurun Sahara sejauh 1,111 kilometer, baru-baru ini.

Mohamed Maliki ketika mengulas lanjut penganugerahan tersebut berkata, pemilihan dan penilaian terhadap pemenang tersebut dibuat secara telus oleh Panel Penilai Anugerah yang dilantik oleh Jawatankuasa Induk Anugerah Belia Negara.

Katanya, panel tersebut membuat penilaian berdasarkan peranan dan aktiviti dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan menerusi temuduga serta tugasan yang diberikan.

Cadangan wajibkan semua lepasan sekolah menengah sertai PLKN perlu diteliti – Bernama


Cadangan wajibkan semua lepasan sekolah menengah sertai PLKN perlu diteliti

BAGAN DATOH 25 Mei – Cadangan mewajibkan semua pelajar lepasan sekolah menengah menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) perlu diteliti sebaik mungkin kerana ia membabitkan kos hampir RM1 billion setiap tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika ini kerajaan membelanjakan kira-kira RM260 juta bagi melatih 120,000 pelatih setiap tahun.

“Kalau kita bersetuju dengan cadangan Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) ini, ertinya kita akan membelanjakan empat kali ganda untuk melatih 500,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di PLKN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SM) Parlimen Bagan Datoh di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pengerusi MLKN Datuk Dr Tiki Lafe supaya pelajar lepasan sekolah menengah menyertai PLKN.

Beliau dilaporkan berkata jika cadangan itu dipersetujui sekurang-kurangnya 500,000 pelatih akan terlibat untuk satu tahun. – BERNAMA