63 Sekolah Vokasional Dinaik Taraf Sebagai Kolej Tahun Depan – Bernama


63 Sekolah Vokasional Dinaik Taraf Sebagai Kolej Tahun Depan

GEORGE TOWN: Kerajaan akan menaik taraf 63 buah Sekolah Menengah Vokasional menjadi Kolej Vokasional tahun depan bagi memastikan bekalan tenaga kerja teknikal di negara ini mencukupi.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran, Ahmad Tajudin Jab berkata, usaha itu merupakan sebahagian daripada penekanan dalam bidang teknikal dan vokasional yang dilakukan pihaknya untuk menyediakan modal insan berkemahiran tinggi.

“Sebagai permulaan, 4,500 pelajar di 15 Sekolah Menengah Vokasional yang telah dinaik taraf kepada Kolej Vokasional telah memulakan pengajian bagi Diploma Vokasional awal tahun ini dan mereka merupakan perintis program berkenaan.

“Kita jangkakan 15,000 pelajar akan mengikuti lebih 30 program Diploma Vokasional pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menutup KarnivalVoktek peringkat kebangsaan kali ke-15 di sini Ahad.

Karnival yang disertai lebih 1,000 pelajar Sekolah Teknik dan Vokasional seluruh Malaysia itu diadakan selama lima hari sejak Rabu lepas di Sekolah Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Ahmad Tajudin berkata, kesemua pelajar yang mengikuti pengajian di Kolej Vokasional akan mengikuti pengajian selama empat tahun meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik secara percuma.

Katanya, pelajar yang menamatkan pengajian di kolej itu akan mendapat Diploma Vokasional kerana mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun).

“Ia bagi menjadikan pelajar itu nanti lebih kreatif serta inovatif bagi memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang.

“Jadi kita berharap dengan adanya Kolej Vokasional ini nanti mampu melahirkan tenaga mahir dan berkemahiran bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat global,” katanya. – BERNAMA

4 beradik sengsara – Bernama


4 beradik sengsara

27 Mei 2012

BALING – Empat beradik dari Kampung Pokok Sena, Mukim Pulai di sini terpaksa berhadapan dengan keperitan hidup sehingga pernah ke sekolah tanpa membawa wang sesen pun sementara di rumah mereka hanya memakan buah sukun rebus bagi menggantikan nasi.

Keadaan ini berlaku akibat bapa mereka yang berusia 39 tahun yang dikatakan sedang menjalani hukuman buang daerah kerana terlibat dengan dadah sejak beberapa bulan lalu  manakala ibu mereka yang berusia 35 tahun masih merengkok dalam lokap polis untuk proses soal-siasat, juga berkaitan tuduhan terbabit dengan najis dadah.

Empat beradik malang ini Nor Shafarina, 12, Mohd Sharizan, 11, Mohd Syawal, 7, dan Nor Sharifah, dua setengah tahun kini hanya bergantung hidup kepada nenek mereka Esah Abu Bakar, 60, dan ibu saudara mereka Yuslina Mohd Yusof, 36, seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga orang anak.

Keluarga itu hanya bergantung kepada pendapatan Yuslina yang berniaga nasi lemak di waktu pagi secara kecil-kecilan.

Yuslina yang mempunyai tiga orang anak berusia antara tujuh hingga 16 tahun berkata dia terpaksa mengambil tanggungjawab menjaga empat anak saudaranya itu selepas abang dan kakak iparnya ditahan.

“Saya hanya mampu menjual nasi lemak secara kecil-kecilan dengan pendapatan yang cukup makan saja. Kami tidak ada punca pendapatan lain,” katanya.

Tiga daripada empat beradik tersebut yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Baling dikatakan sering ke sekolah tanpa membawa wang saku. – Bernama

Tambah guru agama Jais – Sinar Harian


Tambah guru agama Jais

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mei 2012
Tambah guru agama Jais
Abdul Khalid diiringi Marzuki melancarkan laman sosial Facebook dan Twitter Jais.

BAGAN TERAP – Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah 5,161 guru Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi menampung kekurangan kakitangan itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri mempunyai kewangan mencukupi untuk melaksanakan penambahan jawatan itu.

Menurutnya, setakat ini seramai 9,128 orang guru mengurus dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi 238,572 pelajar.

“Pertambahan pelajar setiap tahun menyebabkan guru yang dipertanggungjawabkan tidak mencukupi.

“Jumlah guru yang akan ditambah itu juga merangkumi pelbagai jawatan sama ada tetap, kontrak dan sambilan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jais peringkat negeri, di Kompleks Pendidikan Islam Jais, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pada program itu, Abdul Khalid turut melancarkan melancarkan laman sosial Facebook dan Twitter Jais. Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut meluluskan permohonan kenaikan pangkat guru Jais Gred DG41 ke Gred DG44 dan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 ke Gred DGA32.

“Dalam tempoh terdekat ini juga, Kerajaan Negeri akan mengiklankan kekosongan 60 jawatan tetap guru bagi gred jawatan DG41, DGA29, DG48, DG44 dan DG41.

“Pada masa sama juga bagi mengisi perjawatan gred DGA34, DGA32 dan DGA29,” katanya.

Menurutnya, sistem pendidikan Islam Jais bermula sejak 1945 dan bermula 2008, Kerajaan Negeri melakukan banyak perubahan terhadap sistem pendidikan Islam.

Katanya, ia merangkumi penstrukturan semula dasar dan hala tuju pendidikan Islam dengan menjadikan al-Quran sebagai kurikulum teras pendidikan Islam, penambahan bilangan sekolah
agama dan perlaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid.

Sementara itu Marzuki berkata, penyertaan Jais dalam laman sosial adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaian jabatan itu sebagai medium perkongsian
maklumat dengan masyarakat.

“Ia juga sebagai sumber bagi menilai kemahuan dan penerimaan rakyat terhadap kualiti perkhidmatan Jais,” katanya.

Beliau berkata, banyak isu mengenai masa depan pendidikan Islam di Selangor memerlukan perhatian Kerajaan Negeri bagi meningkatkan semangat dan motivasi kerja guru Jais.

“Antaranya keperluan menyegerakan penambahan bangunan sekolah di sekolah agama menengah bagi menampung pertambahan permohonan bilangan pelajar selain meningkatkan prasarana
sekolah di sekolah rendah agama.

“Pada masa sama, keperluan meningkatkan tahap keselamatan dan keceriaan sekolah melalui tambahan peruntukan melantik pengawal keselamatan dan kebersihan di semua sekolah Jais,”katanya.

TPM: Sekolah teknik dan vokasional perlu lahir pelajar bakat – Bernama


TPM: Sekolah teknik dan vokasional perlu lahir pelajar bakat

27 Mei 2012
Muhyiddin Yassin
$entry.content.caption.value

GEORGETOWN –  Sistem pendidikan teknik dan vokasional bertujuan untuk menyahut cabaran negara bagi mengisi keperluan dalam bidang kejuruteraan serta kemahiran selaras dengan perkembangan industri negara.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata oleh itu, semua pihak haruslah memainkan peranan penting agar pendidikan teknik dan vokasional mampu melahirkan pelajar berilmu serta berjaya.

“Kementerian Pelajaran berharap semua pihak terutama golongan pendidik dapat mengetengahkan bakat pelajar yang berpotensi mencipta, mengubah dan menggunakan teknologi agar kemajuan yang dikecapi setanding negara-negara maju,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian dalam kata-kata aluan buku cenderamata Karnival Voktek kali ke-XV peringkat kebangsaan yang berlangsung di Sekolah  Menengah Teknik Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Karnival yang disertai lebih 1,000 pelajar sekolah teknik dan vokasional seluruh negara itu diadakan selama lima hari bermula Rabu lepas dan berakhir hari ini.

Sebanyak lima jenis sukan iaitu bola sepak, bola jaring, ragbi, sepak takraw dan sofbal serta bahas Bahasa Inggeris dipertandingkan pada karnival berkenaan.

Muhyiddin berkata, pihaknya meletakkan  harapan yang tinggi kepada Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional untuk mengetengahkan  bakat pelajar yang berpotensi dalam bidang kokurikulum melalui pertandingan-pertandingan yang dianjurkan seperti karnival itu.

Katanya, bakat-bakat muda ini bukan sahaja dapat mewakili sekolah masing-masing  tetapi hingga ke peringkat yang lebih tinggi iaitu kebangsaan atau ke persada antarabangsa.

Pada masa yang sama, beliau berkata golongan pelajar juga haruslah memperlengkapkan diri mereka dan meningkatkan penyertaan dalam arena kokurikulum di sekolah.

“Hasrat murni Kementerian Pelajaran ini perlu dipenuhi oleh para guru, jurulatih dan  pelajar yang terlibat demi melahirkan insan yang seimbang daripada segi akademik dan kokurikulum,” katanya. – Bernama

Ramai kakitangan awam tidak mampu miliki rumah sendiri – Bernama


Ramai kakitangan awam tidak mampu miliki rumah sendiri

27 Mei 2012
logo cuepacs
Cuepacs

MACHANG – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, terutama di Lembah Klang, tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Kewangan Cuepacs, Jaapar Mansor berkata, fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu, termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

“Kadar faedah pinjaman perumahan 4 peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini wajar diturunkan kepada 1 peratus,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Beliau tidak menolak kemungkinan penjawat awam yang berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan hanya mampu menyewa atau memiliki rumah kos rendah bertaraf Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jaapar yang juga Pengerusi Cuepacs Selangor berkata, saranan supaya kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan itu adalah antara tuntutan yang pernah dikemukakan kongres itu kepada kerajaan sebelum ini.

“Walaupun ia bukan merupakan tuntutan utama Cuepacs, namun ia akan terus diperjuangkan oleh penjawat awam melalui kongres itu,” katanya .

Kongres itu juga sedang melancarkan gerakan mengesan penjawat awam yang belum memiliki rumah di seluruh negara untuk dijadikan garis panduan untuk tindakan yang akan diambil demi kebajikan anggotanya.

Sementara itu, beliau berkata Cuepacs mahu kerajaan mempercepatkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Mengkaji Skim Gaji dan Elaun Penjawat Awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri 8 Mac lalu.

Kongres juga akan terus mengadakan gerakan penerangan kepada anggotanya ke seluruh negara mengenai peluang yang dinikmati mereka melalui penambahbaikan Skim Saraan Baru (SSB). – Bernama

Kanak-kanak naik kuda sebelum berkhatan – Bernama


Kanak-kanak naik kuda sebelum berkhatan

27 Mei 2012

KULIM – Satu acara yang agak unik berlangsung di sini hari ini apabila seorang kanak-kanak diarak menaiki kuda sebelum dia dikhatankan.

Mohd Ammar Sirajuden, 7, dibawa menaiki kuda di sekitar kawasan perumahannya di Taman Tunku Putra hampir sejam sebelum disunatkan.

Kuda tersebut disewa oleh bapanya dari sebuah ladang kuda di Seberang Perai Utara dengan bayaran RM350.

Menurut bapanya Sirajuden Zainal Abidin, 42, acara itu diadakan bagi menghidupkan semula tradisi masyarakat India Muslim di Selatan India yang kerap dilakukan selepas Perang Dunia Kedua.

“Saya mahu hidupkan tradisi ini pada majlis mengkhatan anak lelaki kedua saya iaitu Mohd Ammar,” kata peniaga mee ini.

Beliau dan isterinya Fauziah Banu Mohd Adam, 36, masing-masing berasal dari Pudhuvalasa, Selatan India dan Dammam, Arab Saudi.

Sirajuden berkata beliau sendiri dan adiknya diarak dengan kuda sebelum disunatkan di kampung asal mereka dengan susu diagihkan kepada jiran sekampung yang hadir pada majlis tersebut.

“Tradisi ini mungkin tidak diamalkan di Malaysia namun ia menjadi budaya masyarakat Islam di Selatan India. Kini ramai masyarakat India Muslim di negara ini melupai adat resam nenek moyang mereka itu,” katanya.

Abang kepada Sirajuden, Sattar juga berkata masyarakat India Muslim di Selatan India menggunakan sarang labah-labah sebagai ubat tradisi bagi menghentikan pendarahan yang banyak selepas bersunat. – Bernama

Oh My English! dapat sambutan – Sinar Harian


Oh My English! dapat sambutan

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mei 2012
Oh My English! dapat sambutan
Oh My English!

SIAPA kata program berbentuk pendidikan kurang mendapat sambutan? Program terbaru Astro TVIQ, Oh My English! ternyata telah mencipta satu fenomena baru.

Biarpun baru ditayangkan, program bertujuan meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris dengan betul dalam kalangan masyarakat itu telah mempunyai lebih 50,000 pengikut di Facebook.

Lebih menarik, rancangan itu menggunakan pendekatan ringan dan menarik iaitu sitkom setengah jam yang dijayakan pelakon terkenal seperti Adibah Nor, Zain Saidin, Harun Salim Bachik, Izara Aisyah serta penampilan khas Lisa Surihani, Rozita Che Wan dan Nabil Raja Lawak.

Kemunculan program sebegini wajar diperbanyakkan lagi kerana penonton bukan saja dapat berhibur, tetapi juga dapat informasi berguna.