Tambah guru agama Jais – Sinar Harian


Tambah guru agama Jais

WARTAWAN SINAR HARIAN
27 Mei 2012
Tambah guru agama Jais
Abdul Khalid diiringi Marzuki melancarkan laman sosial Facebook dan Twitter Jais.

BAGAN TERAP – Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menambah 5,161 guru Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi menampung kekurangan kakitangan itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri mempunyai kewangan mencukupi untuk melaksanakan penambahan jawatan itu.

Menurutnya, setakat ini seramai 9,128 orang guru mengurus dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi 238,572 pelajar.

“Pertambahan pelajar setiap tahun menyebabkan guru yang dipertanggungjawabkan tidak mencukupi.

“Jumlah guru yang akan ditambah itu juga merangkumi pelbagai jawatan sama ada tetap, kontrak dan sambilan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Jais peringkat negeri, di Kompleks Pendidikan Islam Jais, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Husin dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pada program itu, Abdul Khalid turut melancarkan melancarkan laman sosial Facebook dan Twitter Jais. Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut meluluskan permohonan kenaikan pangkat guru Jais Gred DG41 ke Gred DG44 dan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 ke Gred DGA32.

“Dalam tempoh terdekat ini juga, Kerajaan Negeri akan mengiklankan kekosongan 60 jawatan tetap guru bagi gred jawatan DG41, DGA29, DG48, DG44 dan DG41.

“Pada masa sama juga bagi mengisi perjawatan gred DGA34, DGA32 dan DGA29,” katanya.

Menurutnya, sistem pendidikan Islam Jais bermula sejak 1945 dan bermula 2008, Kerajaan Negeri melakukan banyak perubahan terhadap sistem pendidikan Islam.

Katanya, ia merangkumi penstrukturan semula dasar dan hala tuju pendidikan Islam dengan menjadikan al-Quran sebagai kurikulum teras pendidikan Islam, penambahan bilangan sekolah
agama dan perlaksanaan Skim Pinjaman Buku Teks kepada semua murid.

Sementara itu Marzuki berkata, penyertaan Jais dalam laman sosial adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaian jabatan itu sebagai medium perkongsian
maklumat dengan masyarakat.

“Ia juga sebagai sumber bagi menilai kemahuan dan penerimaan rakyat terhadap kualiti perkhidmatan Jais,” katanya.

Beliau berkata, banyak isu mengenai masa depan pendidikan Islam di Selangor memerlukan perhatian Kerajaan Negeri bagi meningkatkan semangat dan motivasi kerja guru Jais.

“Antaranya keperluan menyegerakan penambahan bangunan sekolah di sekolah agama menengah bagi menampung pertambahan permohonan bilangan pelajar selain meningkatkan prasarana
sekolah di sekolah rendah agama.

“Pada masa sama, keperluan meningkatkan tahap keselamatan dan keceriaan sekolah melalui tambahan peruntukan melantik pengawal keselamatan dan kebersihan di semua sekolah Jais,”katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s