Saifuddin: Lepasan SPM boleh ke IPT berdasarkan pengalaman kerja – Bernama


Saifuddin: Lepasan SPM boleh ke IPT berdasarkan pengalaman kerja

28 Mei 2012
Datuk Saifuddin Abdullah
Datuk Saifuddin Abdullah

TEMERLOH – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang kurang cemerlang berpeluang melanjutkan pengajian di institut pengajian tinggi berdasarkan pengalaman kerja atau perniagaan masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata peluang berkenaan adalah selaras dengan agenda kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

“Kerajaan akan mewujudkan satu kaedah kelulusan baharu dengan mengambil kira pengalaman kerjaya serta perniagaan seseorang lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi termasuk di universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 16 pelajar cemerlang SPM yang mengikuti Program Empower di bawah kendalian Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di sini, hari ini.

Saifuddin menjelaskan pendekatan baharu itu diharap dapat melahirkan tenaga kerja mahir setanding dengan status negara maju dan seterusnya mampu menjayakan agenda rakyat berpendapatan tinggi.

Katanya Jawatankuasa Kabinet Mengenai Modal Insan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyediakan instrumen mengukur kelayakan atau ‘Akreditasi Pembelajaran Pengalaman Masa Lalu’ sebelum memilih calon lepasan SPM mengikuti pengajian tinggi.

“Selain pengalaman kerjaya dan perniagaan, antara kriteria yang turut diambil kira termasuk pengalaman kursus keusahawanan dan kemahiran yang diambil oleh calon dari institusi kemahiran seperti GiatMara,” katanya.

Saifuddin berkata konsep itu sama seperti pembelajaran sepanjang hayat itu sebenarnya sudah lama diamalkan di negara maju.

Beliau berkata lebih 80 peratus tenaga kerja di negara ini hanya memiliki kelulusan SPM dan ia bukan satu pencapaian yang baik dari segi memenuhi kriteria rakyat negara maju. – Bernama

Didera ibu kandung – Sinar Harian


Didera ibu kandung

SITI NOOR SEPEE
28 Mei 2012
Didera ibu kandung
Maniam dan isterinya, Malika menunjukkan salinan laporan polis dan masa waktu bekerja
sebagai bukti dia tiada di rumah pada waktu kejadian.

SKUDAI- Sepasang suami isteri bukan sahaja kecewa apabila dituduh mendera anak sendiri, namun paling mengejutkan apabila anak kedua mereka itu sanggup mereka-reka cerita semata-mata untuk kembali ke pangkuan keluarga angkat.

Pekerja swasta, Maniam (bukan nama sebenar), 41, berkata, anak keduanya, Letchumy (bukan nama sebenar), 13, sanggup bertindak nekad membuat laporan polis mengatakan ibunya, mencederakannya menggunakan senduk panas dalam kejadian pada 18 Mei lalu.

“Di dalam laporan polis berkenaan, dia menyatakan isteri saya mencederakannya pada kejadian jam 8 malam, sedangkan ketika itu dia tiada di rumah dan habis bekerja pada jam 10.30 malam.

“Saya kecewa apabila anak sendiri sanggup melemparkan tuduhan sedemikian.

Kami mempunyai bukti kukuh iaitu salinan punch card isteri, malah pada waktu kejadian, saya juga belum pulang ke rumah kerana bekerja di Singapura,” katanya.

Menurut Maniam, anaknya sebelum ini dipelihara abang dan kakak iparnya di Parit Buntar, Perak sejak berumur tiga bulan kerana isterinya, Malika (bukan nama sebenar), 36, mengalami masalah kesihatan ada masa itu.

“Saya hanya minta tolong mereka jaga untuk sementara waktu, namun apabila saya meminta anak saya kembali, pelbagai alasan mereka berikan sehingga kami terpaksa ambil keputusan ‘melarikan’ anak sendiri pada Januari lalu,” katanya.

Menurut Maniam, dia terpaksa berbuat demikian kerana risau terhadap masa depan anaknya.

“Prestasi pelajaran Letchumy begitu merosot dan saya risau dia terjebak dalam aktiviti tidak bermoral,” katanya.

Letchumy kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) selepas membuat laporan polis menyatakan Maniam menderanya pada 21 Mei lalu dan ditempatkan di hospital.

“Saya dan isteri isteri tidak akan melepaskan anak kami ke tangan orang lain.

Kami masih ibu bapa kandung Letchumy dan kami tetap menyayanginya,” katanya.

Semalam, Maniam dan isterinya terpaksa tampil membuat kenyataan bagi membuktikan mereka tidak bersalah mendera Letchumy seperti yang dipaparkan di sebuah akhbar berbahasa Tamil kelmarin.

Bantu anak peneroka berjaya – Sinar Harian


Bantu anak peneroka berjaya

NOR’AIN MD ZAIN
28 Mei 2012
Bantu anak peneroka berjaya
Adnan (kiri) beramah mesra dengan guru dan peneroka selepas merasmikan program
Jubli Perak SK Felda Lepar Utara Tiga.

JERANTUT – Kerajaan Negeri menghargai jasa guru yang bertugas di sekolah dalam kawasan Felda di negeri ini, yang disifatkan sebagai acuan pembangunan modal insan dalam kalangan anak peneroka.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, tanpa guru terlatih dan berintegriti, Felda masih tidak membangun dari aspek kerangka pembangunan modal insan walaupun prasarana pendidikan yang hebat berbanding di tempat lain.

Menurutnya, difahamkan terdapat segelintir pendidik yang datang dari luar negeri ini sudah bertugas lebih 25 tahun di kawasan Felda.

“Kita hargai jasa mereka yang bertugas di kawasan Felda kerana guru yang berintegriti adalah mereka yang memasyarakatkan diri mereka Felda kerana guru yang berintegriti adalah mereka yang memasyarakatkan diri mereka dan melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak peneroka.

“Bukan sahaja mendidik, malahan mereka juga menjadi sebahagian daripada ahli kariah (masyarakat) di setiap tanah rancangan negeri ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Jubli Perak, Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lepar Utara Tiga.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail; Adun Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak dan Setiausaha Umno Jerantut, Datuk Zulkarmi Abu Bakar.

Adnan berkata, tempoh perkhidmatan di sesebuah tempat tidak boleh dijadikan ukuran kepada kecemerlangan dan bakti guru, namun dilihat dari sudut komitmen serta integriti mereka menghasilkan ramai anak peneroka yang berjaya dalam bidang profesional di dalam dan luar negara.

Menurutnya, perkara itulah yang diperkatakan sebagai transformasi pembangunan pendidikan yang dizahirkan menerusi kesungguhan guru berkenaan dalam menyuntik pengetahuan anak peneroka di sini.

“Pencapaian Felda hari ini ke arah masyarakat kelas menengah berasaskan kekuatan ekonomi, juga disumbangkan oleh peranan guru yang melakar intelektual dan kemahiran sumber manusia dalam pelbagai disiplin kepada anak-anak peneroka.

“Justeru kita harap ibu bapa terus memberikan kerjasama dan menghargai jasa serta pengorbanan diberikan guru dalam mendidik anakanak selama ini, selain menjauhi segala dakyah negatif yang dilemparkan pembangkang,” katanya

Pendidikan vokasional sahut cabaran negara – Kosmo


Pendidikan vokasional sahut cabaran negara

GEORGE TOWN – Sistem pendidikan teknik dan vokasional bertujuan untuk menyahut cabaran negara bagi mengisi keperluan dalam bidang kejuruteraan serta kemahiran selaras dengan perkembangan industri negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak haruslah memainkan peranan penting supaya pendidikan teknik dan vokasional mampu melahirkan pelajar berilmu serta berjaya.

“Kementerian Pelajaran berharap semua pihak terutama golongan pendidik dapat mengetengahkan bakat pelajar yang berpotensi mencipta, mengubah dan menggunakan teknologi agar kemajuan yang dikecapi setanding negara-negara maju,” katanya.

Ramai penjawat awam tak mampu beli rumah – Kosmo


Ramai penjawat awam tak mampu beli rumah

MACHANG – Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mendapati, kira-kira 60 peratus penjawat awam yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, terutamanya di Lembah Klang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Setiausaha Kewangan Cuepacs, Jaapar Mansor berkata, fenomena itu akan berterusan jika kerajaan tidak mengambil langkah tertentu, termasuk mengurangkan kadar faedah pinjaman dan menaikkan gaji kakitangan awam terbabit.

“Kadar faedah pinjaman perumahan empat peratus yang dikenakan institusi kewangan ke atas penjawat awam pada masa ini wajar diturunkan kepada satu peratus,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Berhenti belajar jaga ibu -Metro


Berhenti belajar jaga ibu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

CHANGLUN: Seorang anak sanggup mengorbankan masa depannya apabila berhenti sekolah semata-mata mahu menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat lumpuh sejak tiga tahun lalu, manakala bapanya pula menghidap penyakit buah pinggang kira-kira lima tahun lalu.

Shahril Amri Shahbudin, 16, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun di sini, mengambil keputusan meninggalkan alam persekolahan atas rasa kasih sayang terhadap kedua orang tuanya sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, dia nekad mengambil tindakan itu bagi membolehkannya menjaga ibunya, Ropiah Mat, 55, serta bapanya, Shahbudin Darus, 57. “Saya mengambil keputusan itu kerana bersimpati melihat ayah yang sebelum ini menjaga ibu saya yang memerlukan penjagaan rapi, sedangkan ayah juga memerlukan masa untuk berehat kerana penyakit buah pinggang yang dialaminya,” katanya.

Teruja nak sekolah – Metro


Teruja nak sekolah

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunuir@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KANGAR: “Saya rasa teruja jika kami berpeluang untuk memasuki alam persekolahan sekiranya masalah sijil kelahiran kami selesai kerana tidak perlu turun ke laut menjadi nelayan seperti bapa, sebaliknya belajar dengan bersungguh-sungguh.”

Begitu kata Mohd Ridzduan Mad Napiah, 11, yang juga anak sulung daripada enam beradik apabila dia bersama dua adiknya berusia 10 dan enam tahun tidak dapat menimba ilmu di sekolah disebabkan berdepan masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.
Mohd Ridzduan yang menetap dengan keluarganya di Kampung Kuala Sanglang, dekat sini berkata, dia tiada alasan untuk tidak membantu bapanya, Mad Napiah Majid, 53, mencari sesuap nasi bagi mengisi perut adik-adiknya berusia antara enam hingga setahun serta ibunya, Badariyah Saayah, 43.

 

“Saya berasa letih apabila pergi ke laut kerana terpaksa menarik pukat kemudian mengangkat bakul dan lebih teruk terpaksa berjemur di tengah panas matahari.
“Malah sekarang ini, hasil laut semakin berkurangan dan tidak banyak, sehingga perlu bekerja keras untuk mendapatkan ikan temenung (kembung) saja,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar, di sini, kelmarin.
Penderitaan keluarga malang berkenaan disiarkan dalam Harian Metro, kelmarin apabila enam anak pasangan suami isteri berkenaan yang bernikah di negara jiran tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah.

 

 

Namun, perit jerih kehidupan keluarga yang dihimpit kemiskinan berkenaan mengundang rasa prihatin sebelum menziarahi mereka menerusi program Titipan Kasih Harian Metro sekali gus menyampaikan bantuan keperluan harian, wang tunai dan peralatan persekolahan.
Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Berita) selaku, Pengarah program, Othman Mamat.

 

Sementara itu, Mustapa berkata, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian termasuk buku sekolah dan makanan berkenaan secara tidak langsung diharap dapat mengurangkan kesempitan hidup keluarga lapan beranak berkenaan.
“Dua anaknya tidak pernah bersekolah dan hari ini (kelmarin) juga rombongan kami disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri diketuai Pengarahnya, Bakhtiar Effendy Khalid.
“JPN menyelesaikan masalah yang dihadapi keenam-enam anak keluarga ini,” katanya.

Remaja jadi hamba seks rakan sekolah – Utusan


Remaja jadi hamba seks rakan sekolah

TELUK INTAN 26 Mei – Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menempuh detik-detik hitam dalam hidupnya setelah diugut dan diperlakukan seperti hamba seks apabila dirogol oleh rakan sekolah di rumahnya sendiri sejak beberapa bulan lalu.

Episod malang remaja berkenaan bermula apabila dia diugut untuk dicederakan oleh seorang rakan lelaki di sekolahnya jika enggan membenarkan rumahnya dimasuki ketika semua ahli keluarganya tiada di rumah.

Bagaimanapun, perbuatan tersebut terbongkar apabila jiran mangsa menyerbu rumah berkenaan Selasa lalu selepas terdengar jeritan remaja terbabit sehingga menyebabkan suspek melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang ketika mengesahkan kejadian itu berkata, susulan itu, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat sebelum menghantar anaknya ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa mendakwa dirogol beberapa kali oleh suspek ketika ibu bapanya tiada di rumah,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Kok Liang berkata, suspek dipercayai sering mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya perkara itu dimaklumkan kepada ahli keluarganya.

Menurutnya, sebaik menerima laporan itu, polis melakukan operasi memburu suspek yang dipercayai melarikan diri sebelum ditahan di rumahnya di Hutan Melintang dekat sini petang semalam.

“Polis mendapatkan perintah reman terhadap suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Polis, mertua maut nahas ngeri – Utusan


Polis, mertua maut nahas ngeri

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my

KERETA Proton Wira Aeroback dinaiki Baharin Puteh dan menantunya, Mohd. Riduan Ab. Razak remuk teruk selepas merempuh belakang bas di bawah jejambat Lebuh Raya Guthrie, Kundang, semalam.

SUNGAI BULOH 27 Mei – Seorang guru seni tidak menyangka percutian sempena cuti persekolahan di rumah anak sulungnya berakhir dengan tragedi apabila suaminya maut bersama menantu dalam satu kemalangan ngeri di Kilometer 28.8, Jalan Kundang-Tasik Biru berdekatan Kundang di sini hari ini.

Zuraidah Mahmud, 58, dan suami, Baharin Puteh, 59, difahamkan baru sampai di rumah anak sulungnya, Nuraqila, 26, di Apartmen Laguna Biru, Kundang dari Kuala Terengganu, pagi semalam untuk bercuti selain menghadiri majlis perkahwinan saudara di Shah Alam, Selangor.

Bagaimanapun, kegembiraan mereka hanya seketika apabila Baharin maut bersama menantunya, Koperal Mohd. Riduan Ab. Razak, 32, setelah kereta jenis Proton Wira Aeroback yang dinaiki kedua-dua mereka hilang kawalan dan merempuh belakang bas rosak.

PERKHEMAHAN TAHUNAN PKBM UDARA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2012


PERKHEMAHAN TAHUNAN PKBM UDARA PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2012

TARIKH : 24 – 29 JUN 2012
TEMPAT : Kem Tangok, PKK JPN Kelantan, Bachok, Kelantan

Acara yang dipertandingkan :

– Menembak (individu dan pasukan ) – pertandingan
– Pertanndingan Kawad (Campuran) – Pertandingan
– Pandu arah /Jalan lasak (Campuran)- Pertandingan
– Public Speaking (terbuka) – pertandingan
– Lawatan belajar ke Kem Gong Kedak (Simulator Sukhoi) – integrasi

Penyertaan

– 23 buah sekolah yang berdaftar
– Setiap sekolah 12 ahli kadet (8  lelaki + 4 perempuan)
– Bilangan keseluruhan : 276 ahli kadet + 23 guru pengiring + 60 anggota TUDM + 20 pembantu perkhemahan (10 ahli kadet daripada SMK Dato Ismail P Putih + 10 ahli kadet SMK Kuala Besut)

Pengangkutan ahli kadet dan guru pengiring : diurus oleh JPN masing-masing. Pengangkutan bas dari JPN diminta berada di tapak perkhemahan pada 28 Jun 2012 bagi program lawatan.

Penyediaan Penyajian

Pihak TUDM akan menyediakan rangsum basah dan kering untuk semua peserta dan guru/pegawai yang terlibat untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, manakala KPM/JPN Kelantan diminta  menyediakan minum pagi, minum petang dan minum malam serta bayaran upah memasak (JPN dan TUDM akan berbincang bagi memilih pembekal makanan yang sesuai dan sanggup melaksanakan perkara ini).