KANGAR: “Saya rasa teruja jika kami berpeluang untuk memasuki alam persekolahan sekiranya masalah sijil kelahiran kami selesai kerana tidak perlu turun ke laut menjadi nelayan seperti bapa, sebaliknya belajar dengan bersungguh-sungguh.”
Begitu kata Mohd Ridzduan Mad Napiah, 11, yang juga anak sulung daripada enam beradik apabila dia bersama dua adiknya berusia 10 dan enam tahun tidak dapat menimba ilmu di sekolah disebabkan berdepan masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri sejak dilahirkan.
Mohd Ridzduan yang menetap dengan keluarganya di Kampung Kuala Sanglang, dekat sini berkata, dia tiada alasan untuk tidak membantu bapanya, Mad Napiah Majid, 53, mencari sesuap nasi bagi mengisi perut adik-adiknya berusia antara enam hingga setahun serta ibunya, Badariyah Saayah, 43.
“Saya berasa letih apabila pergi ke laut kerana terpaksa menarik pukat kemudian mengangkat bakul dan lebih teruk terpaksa berjemur di tengah panas matahari.
“Malah sekarang ini, hasil laut semakin berkurangan dan tidak banyak, sehingga perlu bekerja keras untuk mendapatkan ikan temenung (kembung) saja,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar, di sini, kelmarin.
Penderitaan keluarga malang berkenaan disiarkan dalam Harian Metro, kelmarin apabila enam anak pasangan suami isteri berkenaan yang bernikah di negara jiran tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah.
Namun, perit jerih kehidupan keluarga yang dihimpit kemiskinan berkenaan mengundang rasa prihatin sebelum menziarahi mereka menerusi program Titipan Kasih Harian Metro sekali gus menyampaikan bantuan keperluan harian, wang tunai dan peralatan persekolahan.
Hadir sama, Pengarang Eksekutif (Berita) selaku, Pengarah program, Othman Mamat.
Sementara itu, Mustapa berkata, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian termasuk buku sekolah dan makanan berkenaan secara tidak langsung diharap dapat mengurangkan kesempitan hidup keluarga lapan beranak berkenaan.
“Dua anaknya tidak pernah bersekolah dan hari ini (kelmarin) juga rombongan kami disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri diketuai Pengarahnya, Bakhtiar Effendy Khalid.
“JPN menyelesaikan masalah yang dihadapi keenam-enam anak keluarga ini,” katanya.