Jelajah Kolej Vokasional 1 Malaysia dilancar – Bernama


Jelajah Kolej Vokasional 1 Malaysia dilancar

29 Mei 2012

KUALA TERENGGANU – Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kini giat mempromosi Program Jelajah Kolej Vokasional 1Malaysia kepada umum bagi kemasukan pelajar sesi pertama bermula tahun depan.

Urusetia program jelajah tersebut, Mohd Yunus Yusof berkata usaha itu diharap mampu membuka dan mengikis tanggapan segelintir minda rakyat yang menganggap aliran vokasional sebagai pendidikan kelas kedua.

“Program jelajah bermula semalam melibatkan sebanyak 21 buah sekolah dari seluruh Semenanjung dengan penyertaan 164 peserta dari kalangan guru, staf dan pelajar dari sekolah aliran tersebut di seluruh negara.

“Buat masa ini, ia melibatkan laluan negeri Johor, Pahang, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan dimana kita memberi tumpuan dan penekanan kepada daerah pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tiba bersama rombongan konvoi di sini hari ini.

Rombongan tersebut kemudiannya mengedarkan risalah kepada masyarakat awam di sekitar Perpustakaan Awam Terengganu, Pusat Dagangan Terengganu, Pasaraya Giant dan Pasaraya Mydin sebelum bertolak ke destinasi seterusnya ke Tanah Merah, Kelantan pada hari yang sama.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju semua sekolah aliran vokasional di negara ini dinaiktaraf kepada kolej vokasional menjelang tahun 2013 bagi memastikan bekalan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi di negara ini  mencukupi.

“Kurikulum vokasional dirombak secara komprehensif agar mencapai standard yang memenuhi keperluan pasaran kerja selain pengenalan beberapa kursus baru antaranya kursus penerbangan bagi menarik minat pelajar,” katanya.

Pelajar aliran Kolej Vokasional akan mengikuti kursus selama lapan semester (empat tahun), meliputi 70 peratus kemahiran dan 30 peratus akademik serta akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Empat setaraf diploma daripada Kementerian Sumber Manusia.

Pada masa ini, terdapat 78 sekolah vokasional seluruh negara akan dinaik taraf secara berperingkat.- Bernama

Anak maut, Pengarah IKM Perlis parah kemalangan – Utusan


Anak maut, Pengarah IKM Perlis parah kemalangan

SUNGAI PETANI 29 Mei – Kegembiraan empat sekeluarga balik kampung sempena musim cuti sekolah berakhir dengan tragedi apabila seorang daripada mereka maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 90.8 (arah utara), Lebuh Raya Utara-Selatan dekat susur keluar Sungai Lalang di sini awal pagi ini.

Nahas berlaku kira-kira pukul 6.10 pagi apabila kereta jenis Honda Odyssey yang dinaiki keluarga itu gagal dikawal lalu merempuh belakang sebuah treler yang sarat dengan muatan balak, sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan yang datang dari arah belakang.

Akibat kejadian itu, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Mukhrizah Marzuki maut sementara bapanya, Marzuki Mahamad Radzi, 36, yang merupakan Pengarah Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri, Perlis parah. Turut cedera parah ialah kakak Mukhrizah, Muslihah, 6, sementara seorang lagi, Muzafirah, 9, cedera ringan. – UTUSAN

Ekspresi bakat pelajar sekolah – Kosmo


Ekspresi bakat pelajar sekolah

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

Program inisiatif ekspresi belia DiGi ini menggalakkan remaja untuk tampil ke hadapan dan menonjolkan bakat kreatif yang dimiliki.

 

REMAJA dan muzik sukar dipisahkan. Malah, kreativiti mereka terhadap elemen itu menjangkaui pemikiran dan punya tarikan tersendiri. Menyedari hakikat itu, DiGi Telecommunications Sdn. Bhd. (DiGi) mengambil langkah memperkenalkan program DiGi Live Sekolahku Berbakat bagi mencungkil potensi yang ada dalam diri mereka untuk diketengahkan menerusi seni pentas.

Program inisiatif ekspresi belia DiGi itu diadakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi menggalakkan mereka yang berumur antara 12 hingga 19 tahun menampilkan kreativiti diri dalam cara yang menyeronokkan dan kreatif melalui muzik dan tarian.

Menurut Ketua Pemasaran Segmen DiGi, Moharmustaqeem Mohammed, menerusi penglibatan mereka dengan golongan belia sebelum ini, banyak bakat dinamik dan unik sama ada individu mahupun berkumpulan berjaya ditemui terutama dalam bidang muzik.

“Justeru, ini telah memberikan kami sebab terbaik untuk mewujudkan satu platform di mana mereka boleh menampilkan kemampuan dan kreativiti mereka hingga ke peringkat nasional.

“Apa yang membezakan Sekolahku Berbakat daripada program persembahan bakat yang lain adalah tahap penglibatan yang disediakan kepada semua peserta. Dengan kerjasama KPM, kami akan menganjurkan bengkel kreativiti, tata rias dan persembahan bukan sahaja untuk murid-murid, malah juga guru-guru pilihan kementerian.

“Ini bertujuan untuk mewujudkan persekitaran kondusif yang menyokong dan memupuk pembangunan bakat para pelajar di sekolah-sekolah tempatan,” kata beliau sewaktu melancarkan program berkenaan di Studio DiGi House di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Lantaran itu, inisiatif DiGi Live Sekolahku Berbakat melengkapi saranan Kementerian Pelajaran dengan hasrat supaya murid-murid menjadi serba boleh dan memiliki cara hidup yang seimbang antara pelajaran dan aktiviti kokurikulum.

Program DiGi Live Sekolahku Berbakat telah bermula sejak 28 Februari lalu dan peringkat akhirnya akan berlangsung pada 8 Mei ini. Ia terbuka kepada semua pelajar sekolah di Malaysia berusia 12 hingga 19 tahun.

Untuk menyertai pertandingan itu, pelajar perlu membentuk kumpulan yang mempunyai dua hingga enam ahli dan mendaftarkan kumpulan mereka menerusi sekolah masing-masing atau dalam talian di http://www.digi.com.my/digilive bagi salah satu daripada lima kategori berikut, iaitu nyanyian, kugiran, kugiran instrumental, tarian atau tradisional.

Uji bakat akan diadakan di enam buah negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor. Sepuluh kumpulan akan dipilih dari setiap negeri untuk bertanding di peringkat akhir bagi negeri tersebut.

Dua kumpulan teratas dari setiap negeri pula layak menyertai pertandingan ke peringkat akhir kebangsaan yang akan berlangsung pada 8 Mei 2011 di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Pada setiap tahap pertandingan, kumpulan yang layak perlu menghadiri satu kem yang menampilkan latihan motivasi, sesi berhias diri dan raptai untuk menyediakan mereka ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, kumpulan dari luar kawasan enam negeri tersebut boleh menyertai pertandingan ini sama ada dengan menghadiri uji bakat di lokasi yang telah ditetapkan atau menerusi penyertaan wildcard.

Mereka boleh memuat naik video uji bakat ke dalam laman Facebook Belia DiGi, http://www.facebook.com/digiyouths. Penyertaan wildcard itu juga termasuk bagi kumpulan yang tidak berjaya melepasi uji bakat di negeri masing-masing.

Hanya dua kumpulan daripada penyertaan wildcard di laman Facebook ini akan dipilih untuk bertanding di peringkat akhir kebangsaan berdasarkan undian popular daripada orang ramai.

Untuk maklumat lanjut mengenai program DiGi Live Sekolahku Berbakat, layari laman web http://www.digi.com.my/digilive.

Pelajar sertai Jom Kayuh – Kosmo


Pelajar sertai Jom Kayuh

MOHD. ZAIDI (kiri) melepaskan pelajar SMK Permatang Pasir yang menyertai Program Jom Kayuh Bersama di Taman Rekreasi Sungai Jarak, Tasek Gelugor baru-baru ini.

 

MOTIVASI. Sebanyak 50 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah menyertai program Jom Kayuh Bersama yang dianjurkan sekolah itu, baru-baru ini.

Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah berkenaan, Mohd. Shukor Mohd. Shuib berkata, kesemua peserta menyertai perkhemahan selama tiga hari dua malam di Taman Rekreasi Sungai Jarak di Bukit Mertajam.

“Selain perkhemahan, peserta turut melakukan aktiviti kemasyarakatan di kawasan persekitaran dan mengikuti slot motivasi bagi meningkatkan keyakinan mereka dalam meneruskan alam persekolahan,” katanya.

Pelepasan para peserta telah disempurnakan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh, Mohd. Zaidi Mohd. Said.

Pengalaman Diculik Bukan Seperti Dalam Filem – Nayati – mStar


Pengalaman Diculik Bukan Seperti Dalam Filem – Nayati

Oleh WONG CHUN WAI dan HARIATI AZIZAN

 

Nayati Shamelin Moodliar. Foto THE STAR / NORAFIFI EHSAN

 

KUALA LUMPUR: Nayati Shamelin Moodliar kini meminati tarian hip-hop, apabila dia cuba melakukan demonstrasi dengan beberapa pergerakan.

“Bapa saya tidak suka pergerakan saya tetapi beginilah cara dia menari,” katanya yang bergurau dengan membuat contoh sambil ketawa.

Mendengar senda-gurau dan gelak ketawa keluarga ini, sesiapa tidak akan membayangkan bahawa mereka telah melalui satu pengalaman pahit kira-kira sebulan lalu apabila kanak-kanak berusia 12 tahun itu diculik ketika sedang berjalan kaki ke sekolah di Mont Kiara.

Bapa Nayati, Shamelin memberitahu The Star, ia bukan sesuatu yang mudah tetapi keluarganya berusaha keras untuk menangani trauma yang dialami mereka.

“Begitu menakjubkan melihat kekuatan Nayati tetapi saya fikir dia perlu kuat untuk kami dan orang-orang yang telah membantunya,” kata Shamelin.

“Trauma itu masih ada, sehingga kini seperti dia pernah bertanya kepada kami, ‘Adakah kereta itu mengikut kita?’

“Beberapa hari lalu, dia mengalami mimpi ngeri tentang adik perempuannya telah diculik,” tambah beliau.

Berdasarkan senyuman tawar daripada wajah Nayati, dia mengakui bahawa tidak mudah untuk melupakan pengalaman yang dilaluinya.

Nayati mengakui tidak mudah untuk melupakan pengalaman yang dilaluinya.

 

“Kadang-kadang, apabila diimbas kembali, saya terus memikirkan tentang apa yang saya sudah buat atau apa yang tidak buat demikian, yang mungkin saya dapat melarikan diri.

“Tetapi saya telah belajar bahawa ia tidak seperti dalam filem – anda tidak boleh melawan dan melepaskan diri,” katanya.

Nayati menambah, jika sesuatu telah mengingatkannya tentang pengalaman pahit itu, dia akan terus berbual dengan seseorang dan berbuat sesuatu bagi melupakan perkara itu.

“Kelas tarian merupakan salah satu aktivitinya,” kata ibu Nayati, Janice.

Tetapi Nayati mempunyai misi yang lebih besar dalam hidupnya daripada mencontohi idolnya, Usher apabila dia mahu membantu mencari kanak-kanak yang dilaporkan hilang.

“Ia (kanak-kanak hilang) bukan sahaja berlaku di Malaysia,” kata Nayati. “Saya hanya mahu membantu kanak-kanak lain yang hilang serta keluarga mereka.

“Saya juga mahu berkongsi dengan mereka tentang apa yang harus dilakukan sekiranya anda diculik. Perkara paling penting adalah anda harus tahu ibu bapa akan berbuat sesuatu untuk menyelamatkan anda.

“Dalam kes saya, pada hari pertama, saya bimbang tentang ibu bapa saya yang tidak tahu apabila yang telah berlaku pada saya, tetapi selepas itu saya merasakan bahawa mereka akan tahu – dan saya juga tahu mereka akan melakukan sesuatu,” katanya.

Nayati (kanan) bermain bola keranjang bersama bapanya, Shamelin. Foto THE STAR / NORAFIFI EHSAN

 

Pengalamannya turut menjadikan dia sebagai lebih berhati-hati mengenai apa yang ditulis di Facebook dan Twitter.

“Saya juga telah mengubah menjadikannya sebagai privasi maka hanya kawan-kawan sahaja dapat melihat saya mengemaskini profil, gambar-gambar dan video; dan kami masih menerima dua atau tiga mesej setiap hari daripada masyarakat yang menyokong kami,” kata Nayati, sambil menambah, terdapat antara mesej begitu menakutkan.

“Seperti yang satu ini: ‘Hai, bapa mertua, boleh saya kahwin dengan anak lelaki anda?” Nayati berseloroh.

Nayati berkata, Malaysia masih menjadi tempatan yang dia mahu untuk dibesarkan.

“Saya baru sahaja sampai ke sini dan berjumpa dengan semua kawan-kawan saya.

“Di sini berbeza, setiap hari panas dan aman, jadi saya boleh membuat banyak perkara kerana saya menyukai aktiviti luar seperti berenang dan bermain bola keranjang pada bila-bila masa yang saya mahu,” katanya.

“Dan saya terhutang budi kepada rakyat Malaysia untuk setiap daripada mereka yang mendoakan saya. Saya berhutang nyawa sebenarnya.”

– Nayati dan keluarganya tidak dapat mendedahkan butiran kes penculikan kerana ia perbicaraan di mahkamah masih berjalan.

IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN KAUNSELOR GRED 48 (TERBUKA), 44 (TERBUKA) DAN 41 (TERBUKA) DI BAHAGIAN PSIKOLOGI DAN KAUNSELING, JABATAN PELAJARAN NEGERI, INSTITUT-INSTITUT PENDIDIKAN GURU DAN KOLEJ-KOLEJ MATRIKULASI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


IKLAN KEKOSONGAN JAWATAN KAUNSELOR GRED 48 (TERBUKA), 44 (TERBUKA) DAN 41 (TERBUKA) DI BAHAGIAN PSIKOLOGI DAN KAUNSELING, JABATAN PELAJARAN NEGERI, INSTITUT-INSTITUT PENDIDIKAN GURU DAN KOLEJ-KOLEJ MATRIKULASI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Sila lihat lampiran di bawah :-

Mati merajuk – Metro


Mati merajuk

Oleh Junaidi Ladjana
djuns@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

RANAU: Kecewa tidak tidak dapat pulang ke kampung bertemu datuknya sempena cuti sekolah dipercayai punca seorang murid tahun enam nekad menggantung diri menggunakan tali kasut dalam bilik di rumahnya di Kampung Lembah Permai, Kundasang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa dikenali sebagai Md Rabin Ginin, 12, ditemui tergantung oleh kakaknya sejurus memasuki bilik adiknya itu untuk menyiasat selepas adiknya tidak keluar dari situ sehari suntuk.

Difahamkan, sebelum kejadian murid berkenaan meminta bapanya menghantarnya pulang ke Kampung Tompios, dekat sini, untuk bertemu datuknya sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas mendakwa terlalu sibuk dan tidak sempat membawa mangsa ke kampung.

 
Ketika kejadian, ibu mangsa memanggil anaknya beberapa kali, namun tiada jawapan, sebelum mengarahkan anak perempuannya masuk ke bilik mangsa.

Air mata sebelah mayat anak – Metro


Air mata sebelah mayat anak

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PILU...anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih  melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.
PILU…anggota keluarga mangsa tidak dapat menahan sedih melihat jenazah Faizah di tempat kejadian.

MELAKA: Hasrat seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menghadiri kelas tambahan berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal dibonceng bergesel dengan sebuah lori di Jalan Kampung Gelam, Tanjung Kling dekat sini, semalam.

Kejadian jam 10.28 pagi, Faizah Masbak, 17, yang membonceng motosikal Modenas Kriss bersama rakannya, Nurliyana Md Yusoff, 17, terjatuh.
Faizah maut di tempat kejadian selepas cedera parah di tengkuk dipercayai digilis lori berkenaan manakala rakannya, Nurliyana yang cedera parah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.

 

Lokasi kejadian bertukar pilu apabila ibu mangsa, Rabiah Ahmad, 53, yang tiba tidak dapat menahan kesedihan selepas melihat jenazah anaknya terbujur kaku.
Menurut kakak mangsa, Afifah, 23, adiknya yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Methodist di Tengkera keluar rumah kira-kira jam 8 pagi bagi mengikuti kelas tambahan di sekolahnya.
“Ibu kata, pagi tadi (semalam) Faizah minta izin ke kelas tambahan dengan membonceng motosikal rakannya yang menjemput adik di rumah.

 

 

“Namun, tidak lama selepas rakannya datang ke rumah dan memaklumkan Faizah kemalangan, pada awalnya ibu dan ayah menyangkakan ia kemalangan kecil,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Melaka, di sini, semalam.
Menurutnya, bagaimanapun apabila tiba di lokasi mereka terkejut melihat orang ramai berkumpul dan jenazah adiknya sudah ditutup.

 

Katanya, arwah yang juga anak kelima daripada enam beradik tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.
“Adik tidak menunjukkan perubahan, namun malam tadi (kelmarin) dia yang gemar memasak sempat menggoreng nasi goreng cili padi untuk kami sekeluarga.
“Ketika pengecaman mayat hanya ayah yang melihat kerana saya sedih dan tidak sanggup selepas dimaklumkan terdapat kesan tayar di bahagian tengkuknya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa dari Tanjung Kling ke Tangga Batu bergesel dengan sebuah lori yang datang dari arah sama.
“Akibat bergesel dengan lori yang nombor pendaftarannya masih belum dikenal pasti, kedua-dua pelajar ini dipercayai gagal mengawal kenderaan itu lalu terjatuh ke atas jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
“Faizah yang berasal dari Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga maut serta-merta di tempat kejadian, manakala rakannya yang cedera parah kini dirawat di ICU Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menurutnya, sehingga kini, pemandu lori berkenaan belum membuat laporan polis dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi polis untuk membantu siasatan.

Cemas anak tidak bermaya – Metro


Cemas anak tidak bermaya

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: “Saya cemas melihat keadaan Muhammad Syazrin yang tidak bermaya dan memerlukan alat bantuan pernafasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak seminggu lalu,” kata pesara kerajaan, Roslan Ariffin, 59, mengenangkan nasib anaknya antara 13 pelajar yang dimasukkan ke wad kecemasan hospital itu dipercayai akibat serangan demam kepialu di sekolah.

Menurut Roslan, anaknya yang juga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah agama berasrama di sini tidak pernah ditahan di wad kerana masalah kesihatan. “Pada mulanya saya dimaklumkan pihak sekolah yang memberi alasan keadaan anak lelaki yang mengalami demam disebabkan keracunan makanan begitupun selepas dirawat di hospital baru doktor memberitahu keadaannya itu disebabkan demam kepialu.
“Sebelum ini dia tidak pernah sakit, keadaannya ini membimbangkan kami sekeluarga lebih-lebih lagi peperiksaan SPM akan tiba tidak lama lagi secara tidak langsung sedikit sebanyak mengganggu pembelajarannya di sekolah,” katanya ketika ditemui di hospital itu.

 

Menurutnya, Syazrin yang kerap pulang ke rumahnya di Lumut tidak lagi cergas dan ceria seperti dulu menyebabkan dia bimbang keadaan anak lelakinya itu berlarutan sehingga boleh menjejaskan kesihatannya. Dia dan isteri, Rahimah Omar, 50, juga terpaksa berkampung di hospital itu demi memastikan keperluan harian selain berdoa setiap hari supaya keadaan anaknya yang kini menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu beransur pulih.
“Syazrin ada pulang ke rumah seperti biasa Jumaat lalu bagaimanapun keadaannya ketika itu hanya demam biasa. Anak lelaki saya itu memberitahu badannya berasa seram sejuk dan menggigil bagaimanapun selepas makan ubat keadaannya bertambah pulih,” katanya.
“Begitupun selepas pulang ke asrama Ahad minggu lalu keadaannya kembali demam sehingga Selasa lalu dia dimasukkan ke wad kecemasan HRPB kerana tidak dapat bernafas,” katanya. Dia turut meluahkan perasaan terkilan dengan pengurusan pihak sekolah yang langsung tidak mengambil berat keadaan pelajar yang dirawat di hospital itu.

 

 

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Siti Suryana Awang, 48, berkata anaknya, Muhammad Hakim Sabran, pelajar tingkatan empat sekolah itu menerima nasib sama apabila mengalami masalah sukar bernafas sehingga terpaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan.
“Sejak Selasa lalu Hakim berdepan masalah sukar bernafas sehingga terpaksa mendapat perhatian rapi, demamnya juga tidak menentu sehingga mengakibatkan kami sekeluarga bertambah risau melihat keadaannya yang masih belum pulih,” katanya. Peniaga, Sharimah Mohd Yunus, 44, ketika ditemui di hospital itu berkata, anaknya pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan, Muhammad Ariff Mohd Yusof, turut dimasukkan ke hospital itu sejak seminggu lalu.

 

Menurutnya, akibat penyakit itu anaknya sering mengadu mengalami masalah demam tidak menentu, sakit kepala berlarutan dan sakit di belakang badan. Bimbang keadaannya membuatkan dia mengambil tindakan melaporkan perkara itu kepada polis.
“Saya sudah membuat laporan di pondok polis hospital semalam (kelmarin) kerana bimbang melihat keadaan anak dan rakannya yang menderita akibat diserang penyakit berkenaan.
“Saya juga mewakili ibu bapa dan pelajar lain di sekolah itu memandang serius mengenai perkara ini dan berharap supaya dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Sejak seminggu lalu, seramai 13 pelajar sekolah menengah agama berasrama di sini dikejarkan ke wad kecemasan HRPB dengan empat daripadanya sudah dibenarkan pulang manakala sembilan termasuk dua pelajar masih dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan. Usaha Harian Metro mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan sekolah berkenaan gagal apabila pengetua enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Nenek, cucu maut bersama – Metro


Nenek, cucu maut bersama

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SHAH ALAM: Kegembiraan seorang wanita warga emas bersama cucunya yang baru bertemu saudara mereka di Klang berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut sejurus van yang dinaiki terbabit kemalangan di Persimpangan Bertingkat Setia Alam, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa, V Muniamah, 63, dan cucu lelakinya, M Vasan, 7, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan dalaman yang teruk akibat tercampak lebih 10 meter.
Difahamkan, mayat Muniamah tercampak keluar dan terkena pada sebatang pokok tidak jauh dari tempat kejadian manakala mayat cucunya tercampak sebelum terkena pembahagi jalan.

 

Ketua Trafik Shah Alam, Deputi Superintendan Roslan Aziz berkata, kemalangan maut berkenaan dipercayai berpunca daripada tayar hadapan van tiba-tiba pecah sebelum meletup.
Akibatnya, van yang dinaiki lima sekeluarga berkenaan gagal dikawal sebelum melanggar pembahagi jalan.
Katanya, pemandu van, V Muniandy, 43, yang juga anak lelaki mangsa dan dua lagi anak saudara lelakinya masing-masing berusia 12 dan 14 tahun tidak cedera.

 

 

“Sebelum kejadian, van terbabit dalam perjalanan dari Plaza Tol Bukit Raja menuju Plaza Tol Setia Alam, di sini.
“Setibanya di susur keluar arah Setia Alam, tayar depan kiri van pecah menyebabkan pemandu hilang kawalan lalu bergesel pembahagi jalan sebelah kanan,” katanya.