Cemas anak tidak bermaya – Metro


Cemas anak tidak bermaya

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: “Saya cemas melihat keadaan Muhammad Syazrin yang tidak bermaya dan memerlukan alat bantuan pernafasan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak seminggu lalu,” kata pesara kerajaan, Roslan Ariffin, 59, mengenangkan nasib anaknya antara 13 pelajar yang dimasukkan ke wad kecemasan hospital itu dipercayai akibat serangan demam kepialu di sekolah.

Menurut Roslan, anaknya yang juga pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah agama berasrama di sini tidak pernah ditahan di wad kerana masalah kesihatan. “Pada mulanya saya dimaklumkan pihak sekolah yang memberi alasan keadaan anak lelaki yang mengalami demam disebabkan keracunan makanan begitupun selepas dirawat di hospital baru doktor memberitahu keadaannya itu disebabkan demam kepialu.
“Sebelum ini dia tidak pernah sakit, keadaannya ini membimbangkan kami sekeluarga lebih-lebih lagi peperiksaan SPM akan tiba tidak lama lagi secara tidak langsung sedikit sebanyak mengganggu pembelajarannya di sekolah,” katanya ketika ditemui di hospital itu.

 

Menurutnya, Syazrin yang kerap pulang ke rumahnya di Lumut tidak lagi cergas dan ceria seperti dulu menyebabkan dia bimbang keadaan anak lelakinya itu berlarutan sehingga boleh menjejaskan kesihatannya. Dia dan isteri, Rahimah Omar, 50, juga terpaksa berkampung di hospital itu demi memastikan keperluan harian selain berdoa setiap hari supaya keadaan anaknya yang kini menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu beransur pulih.
“Syazrin ada pulang ke rumah seperti biasa Jumaat lalu bagaimanapun keadaannya ketika itu hanya demam biasa. Anak lelaki saya itu memberitahu badannya berasa seram sejuk dan menggigil bagaimanapun selepas makan ubat keadaannya bertambah pulih,” katanya.
“Begitupun selepas pulang ke asrama Ahad minggu lalu keadaannya kembali demam sehingga Selasa lalu dia dimasukkan ke wad kecemasan HRPB kerana tidak dapat bernafas,” katanya. Dia turut meluahkan perasaan terkilan dengan pengurusan pihak sekolah yang langsung tidak mengambil berat keadaan pelajar yang dirawat di hospital itu.

 

 

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Siti Suryana Awang, 48, berkata anaknya, Muhammad Hakim Sabran, pelajar tingkatan empat sekolah itu menerima nasib sama apabila mengalami masalah sukar bernafas sehingga terpaksa menjalani rawatan di wad ICU hospital berkenaan.
“Sejak Selasa lalu Hakim berdepan masalah sukar bernafas sehingga terpaksa mendapat perhatian rapi, demamnya juga tidak menentu sehingga mengakibatkan kami sekeluarga bertambah risau melihat keadaannya yang masih belum pulih,” katanya. Peniaga, Sharimah Mohd Yunus, 44, ketika ditemui di hospital itu berkata, anaknya pelajar tingkatan dua sekolah berkenaan, Muhammad Ariff Mohd Yusof, turut dimasukkan ke hospital itu sejak seminggu lalu.

 

Menurutnya, akibat penyakit itu anaknya sering mengadu mengalami masalah demam tidak menentu, sakit kepala berlarutan dan sakit di belakang badan. Bimbang keadaannya membuatkan dia mengambil tindakan melaporkan perkara itu kepada polis.
“Saya sudah membuat laporan di pondok polis hospital semalam (kelmarin) kerana bimbang melihat keadaan anak dan rakannya yang menderita akibat diserang penyakit berkenaan.
“Saya juga mewakili ibu bapa dan pelajar lain di sekolah itu memandang serius mengenai perkara ini dan berharap supaya dapat ditangani dengan segera,” katanya.
Sejak seminggu lalu, seramai 13 pelajar sekolah menengah agama berasrama di sini dikejarkan ke wad kecemasan HRPB dengan empat daripadanya sudah dibenarkan pulang manakala sembilan termasuk dua pelajar masih dirawat di wad kecemasan hospital berkenaan. Usaha Harian Metro mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan sekolah berkenaan gagal apabila pengetua enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s