Tuduh remaja perkosa adik sebelum samun – Metro


Tuduh remaja perkosa adik sebelum samun

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

GOMBAK: Dua beradik lelaki menuduh seorang remaja lelaki merogol adik mereka sebelum mengumpan untuk berjumpa bagi berbincang sebelum disamun dan ditinggalkan di tepi jalan membabitkan kerugian hampir RM8,000, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam itu, remaja terbabit berusia 17 tahun yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Batu Caves dengan menunggang motosikal terkejut apabila didatangi dua lelaki bermotosikal memintas dan mengarahkannya berhenti.
Menurut sumber, mangsa yang ketakutan pada mulanya enggan berhenti namun selepas diacu pistol dan diarahkan berhenti menyebabkan dia yang ketakutan akur arahan mereka.

 

“Kedua-dua lelaki terbabit menyerang mangsa dan mendakwa kononnya merogol adik mereka menyebabkan mangsa terkejut dan menafikan kejadian itu.
“Bagaimanapun, lelaki terbabit enggan mempercayainya sebelum seorang daripada mereka merampas beg duitnya dan menyuruh mangsa bersemuka dengan gadis yang didakwa dirogolnya,” katanya.
Sumber berkata, pada mulanya mangsa enggan namun beralah kerana diacukan pisau ke pinggang dan mendesak mengikut mereka jika tidak mahu dicederakan.

 

 

“Lelaki itu menunggang motosikal sambil dibonceng mangsa kononnya untuk berjumpa adik mereka yang didakwa dirogolnya.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di Jalan Damai, Kepong, mangsa terkejut apabila lelaki itu memberhentikan motosikal dan menyuruhnya turun. Lelaki terbabit memecut motosikal mangsa dan meninggalkannya keseorangan,” katanya.

 

Mangsa menyedari terpedaya dan diumpan mengekori mereka sebelum disamun kemudian membuat laporan di Balai Polis Selayang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut dijalankan.

Gaji Nazmi sebulan RM300,000? – Sinar Harian


Gaji Nazmi sebulan RM300,000?

NORASHIKIN LEMAN
29 Mei 2012
Nazmi Faiz Mansor
Nazmi Faiz Mansor

JIKA Safee Sali menerima gaji bulanan berjumlah Rupiah 350 juta (RM118,000) sebulan, wonderkid Malaysia yang baru sahaja mengikat kontrak tiga tahun bersama kelab Portugal, Beira-Mar, Nazmi Faiz pula dikhabarkan bakal menerima gaji bulanan sebanyak RM 300,000.

Mencetus fenomena dalam bola sepak negara selepas terpilih sebagai pemain untuk kelab liga divisyen satu Portugal sehingga Jun 2015 nanti, gaji pemain tengah Harimau Muda itu kini menjadi topik perbualan hangat penyokong serta pemerhati bola sepak tempatan.

Meskipun khabar angin mengenai gaji yang bakal diterima oleh Nazmi masih belum dapat disahkan, namun, sekiranya benar, pemain muda yang bakal mencecah 18 tahun 16 Ogos nanti akan bergelar pemain termuda Malaysia berstatus jutawan selain Safee Sali.

Sementara itu, ejen Nazmi, Marco Guimaraes, mengakui jumlah gaji yang bakal ditawarkan kepada tonggak skuad bawah 22 tahun itu adalah sangat lumayan bagi seorang pemain muda dari Asia Tenggara, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar yang akan diterima oleh anak buah Ong Kim Swee itu.

“Terpulang kepadanya (Nazmi) sama ada untuk mendedahkannya atau tidak, katanya.

Dalam perkembangan lain, akan mula menyertai latihan bersama Beira-Mar selepas pusingan kelayakan Piala AFC bawah 22 tahun yang akan bermula 21 Jun sehingga 4 Julai nanti, Nazmi akan turut ditemani pengendali Harimau Muda, Ong kim Swee.

Selain menguruskan soal kontrak dengan kelab tersebut, Kim Swee yang berada di sana selama seminggu akan turut membantu anak buahnya menyesuaikan diri sebagai pemain professional di kelab Eropah itu.

Anak gadis lari ikut kekasih – Sinar Harian


Anak gadis lari ikut kekasih

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mei 2012
Anak gadis lari ikut kekasih
Gambar Hazirah (belakang, kanan) bersama adik- beradiknya.

JELI – Seorang bapa di sini,meminta bantuan orang ramai untuk mencari anak gadisnya, yang didakwa terpedaya dengan pujuk rayu kekasihnya, sehingga sanggup melarikan diri.

Sudah 10 hari Hazirah Yusof, 16, menghilangkan diri, dan kejadian itu disedari bapanya setelah pulang dari madrasah berhampiran, apabila dimaklumkan anak gadisnya meninggalkan rumah di Kampung Sungai Long, Batu Melintang dengan menaiki kereta Iswara kira-kira jam 8 malam minggu lalu.

Bapa gadis berkenaan, Yusuf Musa, 57, berkata, sebelum ini anaknya sudah tiga kali bertindak meninggalkan rumah namun, akan pulang semula selepas beberapa hari kemudian.

Yusuf berkata, mereka sekeluarga tidak pernah memarahinya walaupun dia pernah melakukan kesalahan.

“Tidak tahu apa sebab dia  mengambil keputusan itu, saya percaya Hazirah diperdaya dengan pujuk rayu kekasihnya.

“Kerana lelaki itu dia sanggup meninggalkan kami sekeluarga, dan saya berharap orang ramai yang menjumpai Hazirah segera menghubungi saya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurutnya, sebelum keluar dari rumah Hazirah sempat memberitahu ibunya yang dia mahu ke kedai berdekatan untuk membeli barang.

Tambahnya, alasan yang diberikan Hazirah membuatkan isteri Zainab Yusuff, 46, tidak mengesyaki apa-apa, kerana anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahaningin lari rumah.

“Kehilangan Hazirah membimbangkan kami sekeluarga, kerana selepas dia keluar rumah masih tiada khabar berita mengenainya walaupun sudah banyak tempat kami cari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan, Sheik Azhar Sheik Omar mengesahkan ada menerima laporan itu dan siasatan akan dijalankan

Terkejut anak jerit kesakitan – Sinar Harian


Terkejut anak jerit kesakitan

WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Mei 2012
Terkejut anak jerit kesakitan
Mangsa menunjukkan kakinya yang dipatuk ular di kediamannya di Banggol Kekabu,
pagi semalam.

RANTAU PANJANG – Seorang ibu yang sedang menjahit manik di ruang tamu rumahnya di Banggol Kekabu malam kelmarin, dikejutkan dengan jeritan serta tangisan anak bongsunya akibat dipatuk ular.

Norbaiti Che Mah, 43, berkata, jeritan itu mengejutkannya memandangkan mangsa, Nurul Faizah Yusri, 10, agak lasak dan sukar menangis biarpun kerap ditimpa kemalangan.

Menurutnya, sebaik mendengar tangisan anak bongsu daripada tujuh beradik itu, dia segera mendapatkan anaknya dan melihat mangsa sedang menahan kesakitan sambil menunjukkan kaki kanannya dipatuk.

“Saya mengangkat anak masuk rumah sambil menenteramkannya dan memberitahu suami membawanya ke klinik.

“Setelah ke klinik, kami diminta membawa Nurul Faizah ke Hospital Daerah Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Norbaiti berkata, dia dan keluarga kerap terserempak pelbagai jenis ular berhampiran rumah memandangkan sekitarnya dipenuhi semak.

Menurutnya, rumahnya terletak di antara kawasan kebun getah menyebabkan mereka terdedah bahaya haiwan berbisa itu.

“Ini merupakan kejadian pertama anak dipatuk ular dan bersyukur dia selamat,”katanya.

Sementara itu, mangsa berkata, dia dan dua kakaknya pergi ke rumah neneknya yang terletak bersebelahan rumah ibunya kira-kira jam 9.15 malam.

Menurutnya keadaan di tangga rumah neneknya agak gelap dan tidak menjangka akan dipatuk haiwan berbisa itu.

“Selepas berjalan ke rumah nenek, saya terasa kaki sakit seperti digigit dan menjerit kerana tidak dapat menahan kesakitan,” kata murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Lubok Setol ini.

Berikutan kejadian, mangsa mendapatkan rawatan di klinik swasta di Rantau Panjang sebelum dirawat di Wad kecemasan Hospital Daerah Pasir Mas dan dibenarkan pulang, pagi semalam

InSTAR menang tujuh pingat pertandingan inovasi antarabangsa – Utusan


InSTAR menang tujuh pingat pertandingan inovasi antarabangsa

Pasukan Inovasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak memperagakan pingat kejayaan masing-masing yang dimenangi dalam pelbagai pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa di Pekan, Pahang baru-baru ini.

PASUKAN Inovasi Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR), Pekan, Pahang berjaya mencipta nama di pertandingan inovasi peringkat antarabangsa dengan memenangi tujuh pingat di tiga benua berbeza iaitu Amerika, Eropah dan Asia.

Guru pembimbing projek inovasinya, Mohd. Fakharudin memberitahu, kejayaan pertama ditempa di tanah air sendiri dengan memenangi satu pingat emas dan satu anugerah khas daripada Malaysian Invention and Design Society (MINDS) melalui ciptaan bertajuk Eco-Air Purifier di Malaysian International Young Inventors Olympiad (MIYIO) yang diadakan di Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) pada awal Mei lalu.

“Konsep projek dan hasil kajian adalah menggunakan bahan buangan yang banyak dihasilkan di negara kita ditukar kepada satu produk yang mesra alam.

“Terbukti ia membuahkan kejayaan dan ini akan mendorong kami untuk membudayakan kajian dan penyelidikan seawal di sekolah menengah lagi serta dapat menghasilkan modal insan yang boleh menyumbangkan tenaga dan idea kepada negara pada masa akan datang,” katanya melalui e-mel kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Seterusnya, InSTAR mencipta nama melalui dua puterinya yang menggondol pingat gangsa dalam pertandingan International Sustainable Energy, Environment and Engineering Project (I-SWEEEP) di Texas, Amerika Syarikat (AS).

Dua pelajar berkenaan, Anissa Abu Khalid dan Nur Ain Syafiqah Mohd. Noordin berjaya melalui penghasilan bahan komposit daripada sisa buangan nenas yang mampu mengurangkan penggunaan minyak mentah dalam penghasilan produk berasaskan plastik.

Kata Anissa, sisa buangan yang diperoleh daripada tanaman berkelompok nenas di kawasan Pekan mempunyai nilai potensi yang tinggi dalam menghasilkan produk plastik.

“Sifat gentian sisa buangan nenas ini sesuai sebagai bahan tambah kepada produk plastik kerana ia akan dapat mengurangkan penggunaan petroleum dalam penghasilan plastik serta meminimakan masalah pembakaran sisa dari ladang nenas,” jelasnya.

Kejayaan terus dikecapi oleh InSTAR yang berjaya membawa pulang dua pingat perak serta Anugerah Khas daripada Persatuan Reka Cipta Korea (KIA) di European Exhibition of Creativity and Innovation (EUROINVENT), Romania.

Ia diperoleh melalui kajian bertajuk ‘ParBo‘ From Biomass Waste of Palm Oil dan Cement Board (CB) From Rice Straw.

Melalui kajian itu, produk Parbo yang dihasilkan di negara kita mampu menggantikan papan serpai yang banyak dihasilkan dari kayu pokok getah dalam industri perabot serta penghasilan CB daripada jerami padi dapat mengurangkan pembakaran terbuka di kawasan penanaman padi.

Terkini, pelajar InSTAR, Muhammad Khairi Ramli dan Muhamamd Hisyamuddin Abd Rahman memenangi pingat perak di International Environment Project Olympiad (INEPO) di Istanbul, Turki.

Memacu kualiti pendidikan Perak ke taraf dunia – Utusan


Memacu kualiti pendidikan Perak ke taraf dunia

MEMARTABATKAN profesion perguruan, merapatkan jurang pendidikan antara sekolah bandar dan luar bandar, memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan dan mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia menjadi misi dan aspirasi pendidikan Perak

Exco Pelajaran, Pengajian Tinggi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Sumber Manusia, Sains & Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, matlamat memperkasa sekolah-sekolah di Perak menjadi agenda utama dalam proses integrasi meningkatkan kualiti pendidikan negeri.

“Usaha untuk memartabatkan kualiti pendidikan bertepatan dasar Kementerian Pelajaran melalui penubuhan program Perak Aman Jaya yang bertujuan membangunkan potensi pelajar melalui bantuan kewangan kepada pelajar dalam melanjutkan pelajaran serta membiayai pelajar-pelajar cemerlang.

“Melalui program Perak Aman Jaya juga ia memberi peluang kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah melalui pembiayaan yang dikelolakan kerajaan negeri dengan memberi tuisyen secara percuma dalam usaha memperkasakan sekolah kebangsaan.

“Ia juga meliputi usaha kerajaan negeri melaksanakan program motivasi percuma kepada pelajar melalui Yayasan Bina Upaya terutamanya kepada golongan sasaran iaitu anak-anak yatim dan juga pelajar yang tidak berkemampuan,” katanya.

Mohammad Zahir berkata, bagi memastikan keberkesanan program itu ia telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah bagi menghasilkan output pendidikan dalam memacu modal insan pelajar yang berkualiti.

Katanya, berteraskan Falsafah Pendidikan Negara, kerajaan negeri juga menekankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sistematik berteraskan sains dan teknologi serta ICT.

Antara projek inisiatif ICT di Perak ialah Program Kluster e-Pembelajaran KPerak atau KPerak e-Learning Cluster (KPEC).

“Projek ini bertujuan meningkatkan keberkesanan program berasaskan kluster yang dilaksanakan di sekolah dalam menyokong peranan guru bagi mempertingkat penggunaan ICT dalam P&P terhadap pedagogi yang lebih berpusatkan pelajar.

“Prinsip-prinsip penting projek ini adalah ia dilaksanakan di sekolah, berasaskan kluster dan dibantu oleh fasilitator,” jelasnya.

Beliau menambah, program ini membantu dan memupuk pengintegrasian ICT dalam P&P, memupuk amalan muhasabah diri yang disokong amalan komuniti online.

Selain itu, Mohammad Zahir berkata, Perak juga melaksanakan program ‘Perak 5A’ iaitu satu portal milik KPerak yang menyediakan satu sistem bantuan pendidikan secara online yang interaktif atau lebih dikenali dengan nama e-Pembelajaran.

“Objektif utama PERAK 5A-adalah untuk membantu pembelajaran murid sekolah rendah dengan memberi tumpuan kepada murid-murid tahun 4, 5 dan 6.

“Ia merupakan alat bantu mengajar yang dapat digunakan untuk meningkatkan lagi tahap pencapaian akademik murid-murid, selari dengan salah satu visi Jabatan Pelajaran Perak, iaitu, melonjakkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik,” katanya.

Isi kandungan portal ini disediakan oleh guru-guru mata pelajaran daripada sekolah-sekolah KPEC.

Portal ini mengandungi e-Nota, set soalan topikal, set soalan latihan, ruang sembang (chat room), statistik perbandingan pencapaian antara sekolah-sekolah dan murid-murid, buku laporan pelajar dan analisis item (soalan).

Guru penutur jati tingkat penguasaan BI – Utusan


Guru penutur jati tingkat penguasaan BI

Oleh MOHD. FADZLY MOHD. IZAB
pendidikan@utusan.com.my

Guru penutur jati, Timothy Hughes dari British Council Malaysia berjaya membantu guru menjadikan aktiviti P&P dalam bilik darjah lebih kreatif, seronok dan menarik ketika sesi pelaksanaan program peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di SK Tanjung Bijat, Sarawak, baru-baru ini.

KEMENTERIAN Pelajaran melalui Bahagian Pembangunan Dasar Kurikulumnya telah memperkenalkan Program Penutur Jati di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam usaha untuk mempertingkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru sekolah.

Timbalan Pengarah bahagian itu, Dr. Mohamad Nor Mohamad Taib berkata, strategi yang dicadangkan adalah dengan pengambilan pakar bahasa Inggeris (mentor) dari luar negara untuk bekerjasama dengan pakar negara ini bagi tujuan mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru mata pelajaran tersebut.

“Matlamat utama program adalah untuk meningkatkan kapasiti tenaga pengajar dalam pedagogi dan pengetahuan bahasa Inggeris yang seterusnya dapat membantu menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah lebih menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa sesi lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Bijat bagi menyaksikan pelaksanaan program tersebut di Sri Aman, Sarawak, baru-baru ini.

Program ini disasarkan kepada guru bahasa Inggeris Tahap Satu (Tahun 1, 2 dan 3) di 1,800 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Seramai 360 penutur jati dibahagikan kepada beberapa kawasan di seluruh negara. Seorang penutur jati dipertanggungjawabkan untuk menjaga lima buah sekolah yang berada di sesuatu kawasan tersebut.

Tiga syarikat telah dikenal pasti sebagai vendor untuk mengendalikan program ini selama tiga tahun iaitu SMR HR Group bagi kawasan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya; Brighton Education Group (Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan) dan British Council Malaysia (Sabah, Sarawak dan Labuan).

Menurut Mohamad Nor lagi, selain meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru, program ini diadakan bagi membantu kementerian meningkatkan tahap kebolehan berbahasa Inggeris di kalangan murid-murid sekolah luar bandar.

“Kepentingan program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid di kawasan luar bandar yang kurang mendapat pendedahan serta peluang.

“Selain membantu meningkatkan kemahiran dalam penggunaan bahasa Inggeris, program ini juga secara tidak langsung membolehkan murid-murid luar bandar berkomunikasi secara langsung dengan guru bahasa Inggeris dari luar negara dan seterusnya meningkatkan keyakinan diri mereka,” jelasnya.

Beliau menambah, pelbagai pendekatan menarik diwujudkan melalui program ini yang bermatlamat untuk meningkatkan lagi keseronokan murid-murid untuk belajar bahasa Inggeris termasuklah aktiviti latihan, aktiviti bercerita dengan muzik dan juga aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah.

“Proses pengajaran dalam pelbagai bentuk kaedah dan situasi berbekalkan pengalaman dan cara-cara pengajaran baru ini lebih kreatif dan mampu menambah minat murid-murid untuk meminati subjek bahasa Inggeris,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Guru Besar SK Tanjung Bijat, Fadzli Mohd. Edon berkata, program yang dijalankan di sekolahnya itu terbukti telah berjaya membawa kepada peningkatan dalam pembelajaran murid-murid.

“Program ini sememangnya banyak membawa kebaikan kepada murid dan guru jika diambil manfaat penuh daripadanya.

“Selain itu, ibu bapa juga sangat seronok dengan usaha kerajaan dan pihak luar membawa kelainan positif yang terbukti dapat meningkatkan kualiti pendidikan anak-anak mereka seterusnya menambah minat murid untuk datang ke sekolah.

”Program yang bermanfaat ini diharap dapat diperluaskan ke lebih banyak sekolah bagi memberi faedah serta manfaat berguna kepada murid-murid,” jelasnya.

MESYUARAT JABATAN PELAJARAN NEGERI BERSAMA BAHAGIAN KOKURIKULUM DAN KESENIAN


MESYUARAT JABATAN PELAJARAN NEGERI BERSAMA BAHAGIAN KOKURIKULUM DAN KESENIAN

Bahagian Kokurikulum dan Kesenian (Sektor Aktiviti Murid) akan mengadakan mesyuarat dengan Ketua SEktor Pengurusan Kemanusiaan dan Ketua Unit Kokurikulum Jabatan-Jabatan Pelajaran Negeri kali ke 2/2012 seperti berikut :

Tarikh : 18-20 Jun 2012
Tempat : Radius International Hotel, Jalan Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Pendaftaran : 18 Jun 2012 Jam 1400-1600
Tamat : 20 Jun 2012 Jam 1230

Agenda Utama

1. Penilaian pengurusan pelaksanaan aktiviti Januari -Mei 2012
2. Penyelarasan pelaksanaan aktiviti Jun – Disember 2012
3. Peruntukan aktiviti Murid fasa II 2012
4. SOP Pengurusan aktiviti murid peringkat kebangsaan.

APLIKASI SEMAKAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SEMESTER PROGRAM MATRIKULASI KPM SESI 2011/2012


APLIKASI SEMAKAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN SEMESTER PROGRAM MATRIKULASI KPM SESI 2011/2012

Sukacita dimaklumkan bahawa SEMAKAN KEPUTUSAN PEPERIKSAAN  SEMESTER PROGRAM MATRIKULASI KPM SESI 2011/2012  melalui internet  boleh disemak di laman sesawang KPM www.moe.gov.my  bermula 29 Mei 2012 jam 10 pagi. Talian bantuan             03-88844083       boleh dihubungi sekiranya terdapat sebarang masalah.
Sekian, terima kasih.