Abang masuk lubuk pusar – Metro


Abang masuk lubuk pusar

Oleh Md Fuzi Abd Lateh
mdfuzi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KUBU BHARU: “Saya hanya mampu melihat abang tenggelam dan timbul tanpa mampu memberi pertolongan,” kata Mohamad Fakhrurazi Mohamad Sahiful Nahar, 11, menceritakan detik cemas melihat abang sulungnya, Mohamad Baihaqi, 15, lemas ketika mandi di Sungai Dusun pada jam 5 petang kelmarin.

Ketika kejadian, dia bersama abang dan dua rakan lain berumur 12 dan 16 tahun buat pertama kali mandi di sungai itu yang terletak 500 meter dari rumahnya di Jalan Pam Air, Kampung Soeharto, di sini.
Katanya, pada mulanya mereka mula mandi di kawasan yang cetek kerana belum mengetahui keadaan air walaupun air sungai kelihatan jernih.

 

“Arwah abang memberanikan diri berenang ke kawasan lebih dalam di lubuk pusar berseorangan. Saya cuba melarangnya, tetapi tetap berdegil.
“Saya sedih kerana tidak mampu menyelamatkan arwah abang,” katanya.
Menurutnya, dua rakannya segera memaklumkan kejadian berlaku kepada penduduk kampung bagi mendapatkan pertolongan.

 

 

Mohamad Fakhrurazi berkata, dia amat sedih melihat abangnya terbujur kaku apabila diangkat ke tebing sungai itu.
“Saya tidak menyangka kepulangan abang ke kampung dari asrama Sekolah Menengah Agama Simpang Lima, Sabak Bernam untuk menghabiskan cuti selama dua minggu berakhir dengan tragedi amat memilukan ini.

 

“Arwah adalah seorang abang yang amat bertanggungjawab dan mesra melayani adik beradik lain dalam keluarga,” katanya.
Katanya, arwah abangnya dibawa ke Klinik Kesihatan Kampung Soeharto oleh penduduk kampung bagi mendapatkan rawatan susulan.
Sementara itu, ayahnya, Mohamad Sahiful Nahar Dimyati, 43, berkata, ketika kejadian, dia sedang menjahit pakaian di kedai pakaian terpakai berhampiran rumahnya.
Katanya, dia pasrah dan reda dengan dugaan Allah apabila mendapati anak sulung daripada lapan beradik itu sudah meninggal dunia.
“Selepas tiba di klinik berkenaan, saya hanya mampu berdoa kerana anak sudah tiada. Jenazahnya dituntut di Bilik Mayat, Hospital Kuala Kubu Bharu pada jam 9 malam kelmarin untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Soeharto pada hari sama.
“Saya berterima kasih kepada penduduk kampung yang membantu menyelesaikan urusan pengkebumian arwah anak saya,” katanya.

Latih budak kebas susu – Metro


Latih budak kebas susu

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

IPOH: Dua wanita dikesan memperalatkan dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan sembilan tahun sebagai ‘toyol cilik’ yang ditugaskan menyelinap dan mencuri tin susu tepung bayi berjenama mahal di beberapa pasar raya sekitar bandar raya ini.

Kanak-kanak terbabit dipercayai dilatih khas mencuri susu tepung sebelum disorokkan ke dalam beg khas dibekalkan kepada mereka. Dalam kes terbaru jam 3 petang semalam, seorang wanita tempatan berusia 40-an bersama anak perempuannya berusia sembilan tahun diberkas seorang pemilik pasar raya di Gunung Rapat, di sini, selepas didapati cuba melarikan beberapa tin susu bayi. Suspek didakwa tidak menyedari gerak-geri mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum kedua-duanya ditahan ketika mahu keluar dari premis.
Pemilik pasar raya, Lee Min Chin, 45, berkata, pasangan ibu dan anak itu dilihat memasuki kedai dengan berpura-pura ingin membeli barang keperluan harian.

 

Menurutnya, kakak-kanak perempuan itu bagaimanapun meninggalkan ibunya sebelum menuju ke rak susu tepung bayi beberapa minit kemudian. “Rakaman CCTV kemudian menunjukkan suspek kanak-kanak itu mengambil kotak susu bayi sebelum memasukkan ke dalam beg galas dibawa bersamanya.
“Mereka kemudian cuba beredar sebelum ditahan untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati mereka cuba mencuri dua kotak susu tepung bayi yang berharga RM150,” katanya.
Menurutnya, wanita yang disoal siasat itu berlakon kononnya tidak tahu menahu anaknya itu mencuri di dalam pasar raya berkenaan dan berpura-pura memarahi kanak-kanak perempuan itu.

 

 

“Pada masa sama, seorang lagi perempuan berusia 40-an muncul bersama seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia empat tahun sebelum merayu saya melepaskan suspek yang ditahan sebelum itu.
“Atas dasar simpati, saya melepaskan mereka selepas memberi amaran keras supaya tidak melakukan jenayah itu lagi,” katanya.

 

Sementara seorang lagi peniaga, Wong Xi Lin, 45, berkata, dua kanak-kanak tempatan itu turut pernah ditahan ketika cuba mencuri susu tepung bayi di kedainya di Bercham, awal bulan lalu.
Menurutnya, suspek sama didapati bergerak secara berkumpulan menaiki sebuah kenderaan yang diletakkan di hadapan pasar raya untuk memudahkan mereka melarikan diri.
“Saya membebaskan mereka kerana termakan pujuk rayu dan alasan diberikan kumpulan sindiket curi susu itu. Kami sebagai peniaga runcit kini saling berhati-hati selepas menyedari kegiatan ini semakin berleluasa di negeri ini,” katanya.
Kegiatan sindiket mencuri tepung susu bayi pernah dibongkar selepas sekumpulan wanita berjubah, berbaju kurung dan bertudung labuh dikesan aktif mencuri susu di pasar raya seluruh negara dengan taktik menyorokkan barangan dicuri di celah kangkang mereka awal April lalu.
Suspek yang mencuri tepung susu bayi bernilai RM10,000 bagaimanapun ditahan polis di di Klang, Selangor dan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Terasa getaran ketika cuba selamat mangsa – Metro


Terasa getaran ketika cuba selamat mangsa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

MELAKA: “Sebaik ternampak dua beradik itu bermain dekat tiang elektrik yang ditakungi air ketika hendak keluar mengambil perut ayam di Bukit Rambai, saya menyuruh mereka pulang. Namun, selang kira-kira lima minit kemudian sejurus pulang semula saya ternampak mangsa terlentang dan tidak bergerak.

“Saya mendapatkannya untuk membantu, namun apabila pijak air bertakung itu, saya terasa getaran pada kaki,” kata Md Afizi Senin, 40, mengenai kejadian seorang kanak-kanak perempuan, Mariam Najwa Massari, 9, yang meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Gedung Lalang 1, Bukit Rambai, di sini, semalam.
Menurut Md Afizi, ketika itu dia nampak muka kanak-kanak terbabit sudah biru.

 

Katanya, sebaik gagal melangkah masuk dalam air yang bertakung itu, dia memanggil bapa mangsa di rumahnya tidak jauh dari tempat kejadian.
“Bapa mangsa bergegas keluar dan ketika memeluk anaknya, dia turut rebah, tetapi terus menariknya ke tepi,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, jiran, Safree Mahat, 33, berkata, dia yang berehat di rumah terkejut selepas diberitahu mengenai kejadian itu oleh anak lelakinya, Shahrul Aiman, 11.

 

 

Menurutnya, ketika bergegas keluar, dia melihat bapa mangsa memeluknya sambil meminta bantuan menghubungi ambulans.
“Melihatkan keadaan kanak-kanak terbabit, saya dan beberapa orang mengangkatnya masuk ke dalam kereta saya sebelum ke Klinik Kesihatan Desa Bukit Rambai.

 

“Bagaimanapun, sebaik tiba di bilik kecemasan klinik terbabit doktor mengesahkan kanak-kanak itu sudah meninggal dunia memandangkan matanya sudah membengkak manakala perjalanan darahnya pada urat saraf terhenti,” katanya.
Difahamkan, mangsa yang juga anak ke-empat dari lima beradik adalah satu-satunya anak perempuan dalam keluarga berkenaan.

Dirogol abang angkat – Berita Harian


Dirogol abang angkat
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim

2012/05/31

SUBANG JAYA: Seorang pelajar Tingkatan Dua sarat mengandung lapan bulan dipercayai selepas dirogol abang angkatnya di kediaman keluarganya di Taman Tengah, Batu 14, Puchong Perdana.

Mangsa dikatakan dirogol lelaki berusia 25 tahun itu pada Ogos tahun lalu sebelum disahkan mengandung, namun tidak memaklumkan ahli keluarganya kerana bimbang dimarahi.

Difahamkan, lelaki terbabit yang tinggal di Batu 13, Puchong itu adalah anak angkat kepada keluarga mangsa dan sering berulang-alik serta tidur di rumah mangsa.

Mangsa dikatakan dirogol lelaki terbabit di kediamannya ketika keluarga mangsa tiada di rumah dan kejadian itu hanya disedari keluarga mangsa selepas pelajar itu sarat mengandung lapan bulan selepas melihat keadaan perutnya yang buncit.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner, Yahaya Ramli, berkata selepas kejadian itu diketahui keluarganya, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya, petang kelmarin.

Katanya, siasatan polis mendapati, suspek sudah berkahwin dengan wanita lain dua bulan lalu dan gerakan memburu suspek sedang dijalankan.

“Mangsa dipercayai tidak memberitahu kejadian yang menimpanya sehingga mengandung lapan bulan kerana bimbang keluarganya akan memarahinya.
“Sepanjang lapan bulan mengandung, mangsa ke sekolah seperti biasa tanpa disedari sesiapa berikutan fizikalnya yang kecil,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, polis memburu tujuh lelaki yang juga ahli kongsi gelap di Subang Jaya dipercayai terbabit dalam dua kes pembunuhan masing-masing pada 12 dan 13 Mei lalu.

Lelaki terbabit adalah M Kumar, 30, N Logeswaran, 25; R Srisangkar, 25; K Manoharan, 35; S Surendran, 27; R Surendren, 26 dan V Suresh, 25.

Semua suspek adalah anggota kumpulan kongsi gelap digelar Satu Hati dan Kumpulan 08 dipercayai mempunyai kaitan dalam kes pembunuhan dua lelaki tempatan di Kelana Jaya dan Taman Tasik Puchong Perdana.

Budak maut terkena renjatan elektrik – Utusan


Budak maut terkena renjatan elektrik

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 30 Mei – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik ketika bermain di lopak air berhampiran rumahnya di Kampung Gedong Lalang, Bukit Rambai di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 1 petang ketika mangsa, Mariam Najwa Massaari bersama adiknya, Muiz Asyraf, 3, bermain di sekitar kawasan lopak air berhampiran sebatang tiang elektrik, kira-kira 50 meter dari rumahnya.

Bapa mangsa, Massaari Mohamad, 35, berkata, dia tiba-tiba terdengar jeritan Muiz mengadu sakit di bahagian kaki sebelum seorang jiran memberitahu tentang kejadian yang menimpa Mariam Najwa.

“Saya segera berlari untuk mendapatkan anak saya yang ketika itu terbaring dalam lopak dengan keadaan air liur meleleh di tepi mulut.

“Ketika cuba mengangkat anak saya, badan saya terasa seperti berat kerana terdapat arus elektrik menyebabkan saya mengambil masa untuk menyelamatkan Mariam,” katanya ketika ditemui di rumahnya petang ini.

Bekalan susu bantuan ke sekolah Sabah dihenti sementara – Bernama


Bekalan susu bantuan ke sekolah Sabah dihenti sementara

30 Mei 2012

PENAMPANG – Kementerian Kesihatan mengarahkan susu bantuan yang dibekalkan ke sekolah-sekolah di Sabah dihentikan sementara berikutan kes keracunan susu UHT melibatkan dua sekolah di negeri ini, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata arahan itu seharusnya dipatuhi oleh semua sekolah sehingga siasatan yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah kementeriannya selesai.

“Saya minta supaya pengagihan susu itu dihentikan sehingga maklumat rasmi dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan. Memandangkan kini musim cuti sekolah, soal pengagihan itu mungkin tidak timbul,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai 2012 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di pentas luar pekarangan Hongkod Koisaan di sini hari ini.

Rosnah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kes keracunan susu itu melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk dan Sekolah Kebangsaan (SK) St Francis Convent.

Pada 18 Mei lepas, seramai 44 pelajar SJKC Lok Yuk di Menggatal dekat sini dan lapan pelajar SK St Francis Convent di sini, dilaporkan mengalami simptom sakit perut selepas minum susu coklat sewaktu rehat.

Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar meminta kerjasama daripada pihak sekolah agar melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan negeri sekiranya mengalami kes keracunan yang sama bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan.

“Pada masa kini, kes keracunan itu kekal melibatkan dua buah sekolah di negeri ini. Tiada maklumat terkini setakat ini dan pihak kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi apabila mendapat maklumat daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,” katanya.

Beliau berkata faktor penyimpanan stok susu terbabit boleh menjadi faktor utama menyumbang kepada kes keracunan makanan itu.

“Faktor penyimpanan menjadi faktor kepada keracunan, jadi kita meminta pengeluar dan pengedar mengambil kira faktor keselamatan terutama soal penyimpanan yang harus ditekankan kerana ia memerlukan kriteria suhu yang sesuai,” katanya. – Bernama

Kursus Diploma Perguruan Malaysia Kursus Dalam Cuti (KDPM-KDC-SABK) dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah Kursus Dalam Cuti (KPLI-KDC-SABK)


Kursus Diploma Perguruan Malaysia Kursus Dalam Cuti (KDPM-KDC-SABK) dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah Kursus Dalam Cuti (KPLI-KDC-SABK)

Adalah dimaklumkan bahawa KDPM-KDC-SABK dan KPLI-KDC-SABK Ambilan Jun 2012 untuk Guru-guru Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang dilantik secara kontrak di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan dijalankan mengikut ketetapan berikut :

 

Tarikh Mendaftar  : 4 Jun 2012
Masa Mendaftar : 8.30 pagi – 10.30 pagi
Tempoh Kursus : KPLI – 18 Bulan
: KDPM KDC – 3 Tahun 6 Bulan
Mod Kursus : Kursus Dalam Cuti (KDC)
Sila hubungi Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing untuk semakan nama dan tempat kursus yang ditawarkan.

1. JPN Perlis (En.Ahmad Nordin bin Awang)
2. JPN Kedah (En. Nazri bin Hamid)
3. JPN Pulau Pinang (En.Suhaimi Osman)
4. JPN Perak (En. Wan Salahuddin)
5. JPN Selangor (En. Abd Najeh bin Asmuin)
6. JPN Negeri Sembilan (En. Adnan bin Abdul Hamid)
7. JPN Melaka (En. Ridzuan)
8. JPN Pahang (En. Hasdan bin Hasan)
9. JPN Kelantan (En. Azlisham)
10. JPN Johor (En. Lokmanulhakim)
11. JPN Terengganu (En. Awang bin Sulong)
12. JPN Sarawak (Puan Julia)
13. JPN Sabah (En. Suffian Jasmani@ Amran)
14. JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (En. Suhaimi bin Mustafa)

Remaja bawah umur dicekup di bilik rahsia – Sinar Harian


Remaja bawah umur dicekup di bilik rahsia

WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Mei 2012
Remaja bawah umur dicekup di bilik rahsia
Remaja berusia 16 tahun ini (kiri) dipercayai bekerja sebagai tukang urut di sebuah
rumah urut, “Macam-macam ada’ di Jalan Ladang, Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU-Seorang remaja perempuan bawah umur antara lima warga Thailand yang dicekup dalam sebuah bilik rahsia selepas digeledah selama dua jam oleh anggota Jabatan Imigresen Terengganu dalam satu operasi ‘OPS Sayang’ 8 Mei lalu jam 3 pagi di sebuah rumah urut “Macam-macam ada’ di Jalan Ladang, di sini.

Bagaimanapun, remaja berusia 16 tahun itu yang berasal dari Narathiwat Thailand diarahkan dijaga di bawah pengawasan Rumah Perlindungan Kanak-kanak sementara menunggu siasatan penuh laporan Jabatan Imigresen Terengganu atas pertuduhan Anti Pemerdagangan Orang 2007 oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Majistret Noradila Ab Latif mengeluarkan perintah perlaksanaan dikuatkuasa selama 14 hari manakala empat lagi wanita yang berusia dari 26 tahun hingga 37 tahun itu diperintah dijaga di bawah pengawasan rumah perlindungan wanita.

Terdahulu, laporan Jabatan Imigresen Terengganu mengenal pasti kelima-lima mereka dicekup ketika itu menggunakan pasport lawatan sosial serta tidak mempunyai permit sah bekerja di premis berkenaan.

Mereka dipercayai bekerja sebagai tukang urut yang turut menawarkan khidmat urutan ‘istimewa’ serendah RM50 dengan berpakaian seksi bagi menarik pelanggan.

Tujuh Lelaki Bebas Daripada Tuduhan Rogol Gadis Bawah Umur – Bernama


Tujuh Lelaki Bebas Daripada Tuduhan Rogol Gadis Bawah Umur

JOHOR BAHARU: Tujuh lelaki dilepas dan dibebas oleh Mahkamah Sesyen di sini, Selasa, daripada tuduhan merogol seorang gadis berumur 16 tahun di sebuah hotel, di sini tahun lepas.

Hakim Zamri Bakar melepas dan membebaskan Mohammad Rafiuddin Zainuddin, 22, Khairussani Ahmad, 26, Norazam Hamdan, 29, Mohammad Alif Ali Hashim, 23, Muhammad Saifuddin Abdul Rahman, 26, Mohamed Razif Kasim, 30 dan Mohamad Shafiq Abdul Jalil , 21, setelah pihak pembelaaan berjaya menimbulkan kes melampaui keraguan munsabah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan berkenaan di bilik 204, Hotel Fully, nombor 41 & 47, Jalan Teratai 2, Taman Johor Jaya di sini, kira-kira pukul 12.30 malam, 22 Mei 2011.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 376 (2) (c) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Zamri dalam penghakimannya berkata terdapat pelbagai percanggahan fakta di dalam keterangan yang diberi oleh mangsa selaku saksi utama sehingga menimbulkan keraguan.

Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Zamri Idrus, Muhammad Abd Kadir dan Mohd Shujaa Halim. –BERNAMA

CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir – Berita Harian


CEUPACS minta kaji gaji pembantu tadbir

Oleh Syed Azwan Syed Ali

2012/05/30

KUALA LUMPUR: CUEPACS mencadangkan gred minimum N17 pembantu tadbir dikaji semula selain membuka ruang kenaikan pangkat golongan itu daripada gred maksimum N26 kepada gred bersepadu N42.

Cadangan itu bagi membolehkan kenaikan kerjaya dan pangkat lebih luas kepada 80,000 pembantu tadbir yang dikelompokkan dalam kumpulan sokongan kerajaan.

CUEPACS juga mencadangkan gelaran jawatan itu ditukar kepada pegawai kerani atau pegawai hemat tadbir bagi melambangkan peranan kelompok itu selaku kumpulan sokongan yang melicinkan urusan pentadbiran.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan melalui suruhanjaya khas penambahbaikan sistem saraan baru perjawatan awam yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Katanya, kajian gred kelompok kakitangan kerajaan itu perlu dilakukan sejajar perubahan tuntutan tugas dan cabaran golongan itu, selain peningkatan taraf hidup rakyat.

“Cadangan sebenar (gred minimum) dibincang pada 12 hingga 14 Jun ini dalam bengkel semakan skim gred gaji penjawat awam anjuran CUEPACS di Muar, Johor.

“Cadangan dibawa kepada suruhanjaya yang akan diumumkan Perdana Menteri atau Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Ke-16 Kesatuan Pembantu Tadbir dan Pembantu Tadbir Rendah Pendidikan (KEPTAN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Omar berkata, kajian semula gred minimum N17 bermakna kelompok itu akan menerima kenaikan gaji pokok yang kini dibayar RM926.60 sebulan.

“Gred (minimum) jawatan jururawat juga U19, jadi (gred bagi jawatan) pembantu tadbir kerajaan juga perlu dikaji semula,” katanya.

Katanya, kenaikan gred bersepadu memberi mereka peluang kenaikan pangkat gred bersepadu yang mengambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan kepada organisasi tanpa perlu merujuk kepada kelulusan akademik.

“Maknanya (bagi gred bersepadu) tak perlu ada ijazah atau diploma tetapi ambil kira pengalaman, kemahiran dan sumbangan. Namun, bukan semua boleh dapat gred ini, hanya mereka yang layak,” katanya.