Ketulan makin membesar – Sinar Harian


Ketulan makin membesar
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Jun 2012

Zainal sempat meluangkan masa melawat Muhammad Nizam yang terlantar sakit.
LUI BARAT – Seorang remaja lelaki di sini terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan persekolahan susulan ketulan bahagian belakang telinganya yang semakin membesar.

Muhammad Nizam Muhd Ta, 14, kini hanya mampu terlantar di rumah dan terpaksa berhenti sekolah disebabkan masalah itu.

Ibunya, Latiffah Jambari, 49, berkata, anaknya itu kini mendapatkan rawatan susulan di Hospital Ampang yang mempunyai kepakaran dalam masalah berkenaan.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah membawa anaknya ke sebuah hospital di negeri ini.

“Oleh kerana menunggu laporan kesihatan yang terlalu lama, saya nekad membawanya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan segera.

“Doktor di klinik itu memaklumkan bahawa ketulan itu adalah nanah dan perlu dibedah. Saya bersetuju memandangkan kos pembedahan itu hanyalah RM80,” katanya.

Namun katanya, pembedahan yang dilakukan pada 6 Oktober tahun lalu itu terpaksa dibatalkan apabila telinga anaknya itu dipenuhi darah dan doktor meminta dia segera dibawa ke hospital.

“Doktor berkenaan menjelaskan yang dia tidak boleh meneruskan pembedahan itu,” katanya.

Nasib remaja berkenaan mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad yang sempat berkunjung ke rumahnya, baru-baru ini.

Zainal berkata, doktor di klinik swasta seharusnya lebih berhati-hati merawat pesakit terutamanya dalam membuat sebarang keputusan kerana ia membabitkan nyawa.

“Jika tidak pasti atau yakin mereka seharusnya merujuk kepada doktor pakar kerana pesakit sememangnya mahu yang terbaik apabila menerima rawatan.

“Hal sebegini tidak seharusnya dipandang remeh dan diharap tidak berulang,” katanya.

Bahana bisnes dosa – Metro


Bahana bisnes dosa
Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Hafizee Mohd Arop
am@hmetro.com.my

KESAL…Musliha menceritakan pengalamannya kepada Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR: “Saya kini ibarat sebatang kara selepas ditinggalkan ibu di rumah anak yatim manakala dua abang terpaksa bersembunyi di Seremban dan Kajang mendapatkan perlindungan sejurus dua ceti haram memburu kami sekeluarga.

“Semua kejadian berpunca daripada kegagalan ibu melangsaikan pinjaman ceti sebanyak RM50,000 selepas membuka perniagaan rumah urut.

“Kesannya, hidup saya kini terumbang-ambing tanpa arah tuju selain terpaksa mengorbankan alam persekolahan,” kata remaja, Musliha, 16, yang menjadi mangsa buruan ceti haram bersama dua lagi abangnya berusia 20 dan 18 tahun.

Mendedahkan perkara itu, Musliha berkata, pada 2010, ibunya yang berusia 40 tahun dan berpengalaman selama 15 tahun sebagai tukang urut merancang membuka perniagaan pusat urut bersama ibu saudaranya dengan meminjam wang daripada ceti sebanyak RM30,000.

 

Katanya, selepas pinjaman dilulus, pusat urut diimpikan akhirnya ditubuhkan di sebuah kawasan di Kajang, namun tidak sampai dua bulan beroperasi, ia diserbu pihak berkuasa dan ditutup.

Api misteri ekori gadis – Metro


Api misteri ekori gadis
Oleh Asmizan Mohd Samiran dan Zulkifli Che Abdullah
am@hmetro.com.my

KOTA BHARU: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dari Kampung Penambang Bunga Emas, di sini, hidup tidak keruan sejak dua tahun lalu apabila mendakwa diekori ‘api misteri’ yang sehingga kini menyebabkan beratus pakaian, berpuluh helai kain serta beberapa tilam, bantal dan telefon bimbit di rumahnya terbakar secara tiba-tiba.

Wan Norfatihah Wan Hanafi, 14, berkata, susulan kejadian itu, dirinya kini umpama ‘gadis api’ dengan ibunya, Rafeah Zakaria, 42; neneknya, Zainab Sulaiman, 75, dan dua adik-beradiknya, Wan Mohd Faiz,16, dan Wan Nurfatini, 12, turut sengsara berdepan permasalahan misteri itu.
Katanya, api misteri itu boleh muncul di mana-mana saja dia berada termasuk ketika berada di rumah jiran.

“Saya sudah letih berdepan masalah misteri ini. Sudah beratus bomoh dan pengamal perubatan tradisional datang ke rumah untuk membantu, namun masalah itu tidak berjaya ditangani sepenuhnya.

 

“Malah, paling lama masalah itu selesai hanya bagi tempoh beberapa minggu.

Selepas itu, api misteri yang seolah-olah sentiasa mengekori saya muncul semula,” katanya, ketika ditemui Harian Metro di rumahnya.

Ditembak depan sekolah – Metro


Ditembak depan sekolah
Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

SERDANG: Seorang lelaki yang sedang menunggu dalam kereta ketika isteri menghantar anaknya ke sekolah maut selepas ditembak dari jarak dekat sebanyak dua kali di rusuk kanannya dalam kejadian di pekarangan sekolah berkenaan, di Taman Sungai Besi Indah, di sini, awal pagi semalam.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai peniaga kedai runcit, 32, disahkan meninggal dunia selepas lebih sejam menerima rawatan di Hospital Serdang, (HS) akibat cedera parah.
Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, kejadian pada jam 7.30 pagi itu berlaku ketika mangsa bersama isteri menghantar anak sulung lelakinya berusia lapan tahun ke sekolah berkenaan.

“Ketika isteri mangsa membawa anak mereka masuk ke kawasan kelas, dua lelaki memakai topi keledar berpenutup penuh menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha LC berwarna merah tiba-tiba muncul dan mendekati kereta dinaiki mangsa sebelum melepaskan dua das tembakan.

 

“Sebaik pasti mengenai sasaran, lelaki terbabit terus memecut motosikalnya menghala ke Jalan Sungai Besi.

Tiga pelajar minum racun di sekolah – Metro


Tiga pelajar minum racun di sekolah
PUTRAJAYA: Akibat takut dikenakan tindakan disiplin, tiga pelajar perempuan bertindak melulu cuba membunuh diri dengan minum racun di sebuah sekolah menengah di Sungai Pelek, Sepang, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Imran Abdul Rahman berkata, semua mangsa berketurunan India dan berusia 16 tahun, dipercayai bertindak demikian selepas pihak sekolah dikatakan mengenakan tindakan disiplin terhadap mereka.
Beliau berkata, kejadian itu dimaklumkan pihak hospital kira-kira jam 2 petang ketika ketiga-tiga pelajar itu sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), Negeri Sembilan.

“Mangsa dipercayai minum racun kerana takut dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah. “Mereka ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kawasan sekolah sebelum di hantar ke hospital untuk rawatan.
“Setakat ini, kita belum tahu jenis racun yang diminum, dan kes disiasat mengikut Seksyen 309, Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh diri,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sementara itu, Pengarah Pelajaran Selangor, Abdullah Mad Yunus ketika dihubungi berkata, pihaknya belum mendapat maklumat mengenai kejadian itu, dan tindakan segera akan diambil untuk menyiasat.

“Saya belum mendapat laporan lagi, tetapi saya akan minta pegawai berkaitan untuk menyiasat kejadian ini,” katanya.
Di Seremban, dua daripada tiga pelajar wanita yang dikejarkan ke HTJS masih belum sedarkan diri dengan seorang daripada mereka ditempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Seorang pelajar berusia 16 tahun yang sedar dan ditahan di wad pesakit luar menafikan dia minum racun rumpai itu bersama dua lagi rakannya.
Katanya, dia tidak tahu kenapa gurunya mengarahkan dia mengikut dua lagi rakannya yang ketika itu tidak sedarkan diri dipercayai akibat meminum racun rumpai berkenaan.
“Saya akui dua rakan itu mempunyai masalah disiplin di sekolah. Mungkin mereka tidak dapat menerima kenyataan bakal dibuang sekolah mengakibatkan mereka mengambil tindakan sedemikian,” katanya.
Katanya, dia kesal dengan perbuatan dua rakan baiknya itu kerana mereka adalah rakan karib sejak sekian lama dan sering menghabiskan masa bersama.
“Saya harap mereka akan berubah selepas kejadian ini dan tidak mengulangi perkara sama,” katanya.”

‘Mak Su tarik tangan’ – Metro


‘Mak Su tarik tangan’
Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

KOTA BHARU: “Tidak sangka, ia menjadi kenyataan apabila malam sebelum kejadian, anak saya memberitahu arwah kakaknya mengajaknya tinggal bersama,” kata Mat Yasin, 51, bapa kepada seorang murid perempuan tahun enam yang dikhuatiri lemas selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya berusia sembilan tahun ketika mereka mandi di Sungai Kelantan, Kuala Besar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Nurfitriah Mat Yasin, 12, dihanyutkan arus deras selepas cuba menarik tangan anak saudaranya, Muhammad Ishrak Mohd Sofian yang lemas.
Bagaimanapun, Muhammad Ishrak diselamatkan seorang penduduk kampung yang melihat kejadian itu, manakala Nurfitriah gagal diselamatkan.

Sehingga jam 7 malam semalam, Nurfitriah belum ditemui.

 

Mat berkata, dia tidak menyangka kata-kata anaknya itu petanda dia akan kehilangan seorang anak.

Nikmat limpahan rezeki – Metro


Nikmat limpahan rezeki
Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Hari ini (semalam) cukup bermakna buat kami 13 beranak kerana berpeluang merasakan kenikmatan memiliki pelbagai barangan keperluan harian dan perkakasan rumah yang begitu banyak buat pertama kali hingga membanjiri ruang tamu kediaman.

“Saya sedar bukan mudah untuk menerima limpahan rezeki seperti ini dan hanya Tuhan yang mampu membalasnya,” kata seorang bapa kepada 12 anak, Zulkefli Jusoh, 47, ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Rinting C, Masai di sini, semalam.
Keluarga Zulkefli dipilih untuk menerima sumbangan menerusi program Titipan Kasih Harian Metro selepas laporan berkaitan kesukaran hidup mereka tersiar di Harian Metro, semalam.

Zulkefli berkata, mereka sekeluarga akan menggunakan sumbangan diterima seperti wang, beras, susu, beg sekolah serta peralatan elektrik itu sebaik mungkin.
“Kunjungan wakil Harian Metro juga secara tidak langsung memberi sokongan moral kepada kami sekeluarga untuk berusaha meningkatkan taraf hidup.
“Saya gembira kerana tidak pernah melihat anak begitu ceria terutama anak ke-10, Rabiatul Adawiah yang berusia lima tahun yang begitu mahukan beg sekolah dan berhasrat ke taman didikan kanak-kanak (Tadika), namun kami masih tidak mampu menyekolahkannya.
“Barangan makanan disumbangkan ini pasti mampu menampung keperluan kami sempena Ramadan kelak,” katanya ketika menerima kunjungan wakil Harian Metro diketuai Pengarang Kumpulan Harian Metro, Datuk Mustapa Omar dan Pengarang Eksekutif (Berita), Othman Mamat.
Hadir sama, Pengarang Berita New Media, Munir An’am Zuljadan; Pengurus Projek Harian Metro, Abdul Kadir Hamza dan Ketua Biro Harian Metro Johor, Nazarali Saeril.

Sementara itu, Mustapa berkata, sebagai akhbar nombor satu, Harian Metro sentiasa mengambil pendekatan berada dekat di hati pembaca termasuk menjadikan Titipan Kasih sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menghulurkan sumbangan bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.
“Menerusi program bulanan ini, kami mengenal pasti dan memilih keluarga yang kurang berkemampuan untuk menerima sumbangan,” katanya yang menambah, program itu diadakan sempena Karnival Futsal Harian Metro Zon Selatan di Sports Prima Pandan, Johor Bahru bermula hari ini dan esok.
Dalam laporan akhbar ini semalam, Zulkefli memaklumkan dia sanggup berjalan kaki sehingga 10 kilometer sehari, dua kali sehari, mencari barangan kitar semula bagi dijadikan modal membeli makanan harian keluarganya sejak bertahun lalu.