KEKOSONGAN JAWATAN DI SEKRETARIAT SEAMEO, BANGKOK, THAILAND


KEKOSONGAN JAWATAN DI SEKRETARIAT SEAMEO, BANGKOK, THAILAND

KEKOSONGAN JAWATAN DI SEKRETARIAT SEAMEO, BANGKOK, THAILAND
PROGRAMME OFFICER II (DEVELOPMENT)

Sukacita dimaklumkan bahawa Sekretariat SEAMEO telah menawarkan 1 jawatan Programme Officer untuk tahun 2012. Pegawai-pegawai di Bahagian mahupun Institusi/sekolah yang mempunyai pengalaman dalam Bidang Pengurusan Projek dan Penilaian adalah dipelawa untuk mengisi jawatan tersebut.

Bersama-sama ini disertakan :
a. Borang Permohonan (SEAMES/AF/PS)
b. Post Description Programme Officer II
c. Privileges of Professional Staff at SEAMEO Secretariat
d. Extract from SEAMES Staff Regulation and Staff Rules- Duties, Obligation and Privileges

Dokumen berkaitan yang telah lengkap diisi, bolehlah dimajukan ke Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, KPM pada atau sebelum 14 Jun 2012 untuk tindakan lanjut. Untuk maklumat lanjut sila hubungi 03-88846107 .

Muat turun
Application Form
Post Description
Privileges of “Professional”
Staff Regulation

Guru kaunseling SK Rawai seru murid berbudi pada ibu – Sinar Harian


Guru kaunseling SK Rawai seru murid berbudi pada ibu
WARTAWAN SINAR HARIAN
1 Jun 2012
BUKIT PAYONG – Islam meletakkan ibu pada kedudukan yang tinggi dan mulia sejajar dengan pengorbanan yang dilakukan sejak mengandung sehinggalah anak dewasa dan menjadi manusia di bawah didikan mereka.

Menurut seorang penceramah, Aziz Harun, ia dapat dibuktikan sebaik sahaja seorang ibu melihat anak yang dilahirkan selamat dan sempurna, wajah ibu yang berkerut menahan kesakitan bertukar dengan senyuman dan linangan air mata kegembiraan.

“Belum hilang sakit bersalin, terpaksa pula berjaga malam kerana rengekan dan karenah si bayi yang masih belum mengerti apa-apa. Namun demi anak, seekor lalat mahupun nyamuk tidak akan dibiarkan hinggap pada badan. “Tanpa pertimbangan yang waras, mudah sahaja untuk kita berkata ia adalah lumrah bagi setiap manusia yang bergelar ibu. Namun jika menghalusi pengorbanan mereka, segunung emas belum tentu dapat membayar kasih sayang dicurahkan,” katanya.

Aziz yang juga merupakan guru kaunseling di Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai berkata demikian pada sesi kaunseling bersama 130 murid dari SK Bukit Payong yang menyertai Program Motivasi dan Kecemerlangan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) di sini.

Mengulas lanjut, menurutnya, betapa besarnya pengorbanan ibu yang perlu anak hargai sehingga Rasulullah SAW sendiri menyuruh kita berbuat baik tiga kali kepada mereka yang bergelar ibu sebelum kepada ayah walaupun ayah adalah ketua keluarga.

“Malah, dalam satu hadis yang lain, Rasulullah pernah menyebut bahawa syurga di bawah tapak kaki ibu yang mana mentaati mereka adalahsyarat untuk masuk ke syurga,” katanya. Sehubungan itu, setiap anak dituntut agar sentiasa berbuat baik kepada ibu masing- masing termasuk memenuhi keperluan material, memberikan kasih sayang serta menjaga hati mereka agar tidak tersinggung oleh perbuatan mahupun kata-kata.

Pelajar maut langgar lembu – Sinar Harian


Pelajar maut langgar lembu
NURUL HUSNA AZIZAN
1 Jun 2012

Keadaan motosikal mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya
Changlun-Kuala Perlis selepas melanggar sekumpulan lembu, pagi semalam.
ARAU – Seorang remaja maut apabila motosikal yang ditungganginya dikatakan merempuh sekumpulan lembu yang melintas jalan di Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 pagi itu melibatkan tiga buah motosikal yang salah satunya ditunggangi mangsa, Muhammad Arsyad Mohamad Zahir, 16 dan dua lagi penunggang iaitu Norazam Che Azizul dan Amir Sabirin Ahmad. Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, kemalangan terbabit dipercayai berlaku apabila ketiga-tiga penunggang motosikal terbabit yang dari arah Arau menuju ke Changlun melanggar sekumpulan lembu melintas jalan berhampiran pintu gerbang Ulu Pauh.

Menurutnya, Muhammad Arsyad meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua lagi penunggang mengalami kecederaan parah dan di hantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan lanjut. “Kemalangan tersebut turut mengakibatkan seekor lembu mati dan cedera manakala satu lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis akan mengambil keterangan pemilik haiwan terbabit. “Dua lagi rakanya yang patah kaki serta cedera parah kini sedang mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan waris masing- masing telah dimaklumkan,” katanya.

Bapa mangsa, Mohamad Zahir Kadir, 39, ketika ditemui terkejut dengan insiden menimpa anaknya itu kerana mangsa tidak memaklumkan bahawa dia hendak keluar. “Muhammad Arsyad jarang keluar malam, mungkin disebabkan cuti sekolah dia hendak keluar bersama rakannya.

“Saya menyedari kelakuan Arsyad kerana sejak beberapa hari lalu dia agak pendiam, walau apapun saya menerima dengan reda kerana ini merupakan ketentuan daripada-Nya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HTF, semalam.

Remaja maut rempuh lembu – Metro


Remaja maut rempuh lembu
ARAU: “Arwah tiba-tiba berubah menjadi pendiam sejak kebelakangan ini, malah saya tidak akan membenarkannya menunggang motosikal jika mengetahui dia mahu pergi makan hingga ke Changlun pada waktu awal pagi.”

Begitu kata Mohamad Zahir Kadir, 39, bapa kepada Muhammad Arsyad Mohamad Zahir, 16, yang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sekumpulan lembu di Lebuh raya Kuala Perlis-Changlun berhampiran pintu gerbang sempadan Perlis-Kedah, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, mangsa dari Kampung Padang Besar (Utara) mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua rakan mangsa, Norazam Che Azizul, 20, dan Amir Sabirin Ahmad, 21, turut cedera parah dan dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar untuk rawatan lanjut dan keadaan mereka dilaporkan kritikal.
Mohamad Zahir yang berniaga sendiri, berkata dia tidak menyedari hasrat anak kedua daripada empat beradik itu mahu pergi makan di sebuah restoran di Changlun dengan menunggang motosikal secara konvoi bersama rakannya.
Menurutnya, ini kerana arwah sebelum ini tidak pernah keluar rumah lewat malam atau awal pagi, sebaliknya akan pulang seperti biasa jika berjumpa rakan.

“Saya langsung tidak tahu hasratnya dan rakan-rakan mahu pergi hingga ke Changlun kerana jika saya tahu memang tidak membenarkannya pergi.
“Mereka pergi berkumpulan dan ketika tiba di tempat kejadian yang agak gelap, anak saya dan tiga rakannya dikatakan tidak menyedari kemunculan sekumpulan lembu melintas sebelum terus merempuh haiwan itu.

“Rakan arwah yang lain sudah mendahuluinya dan tidak menyedari ketiga-tiga rakan mereka terbabit kemalangan sebelum berpatah balik apabila menunggu agak lama tetapi masih tidak muncul,” kata ketika ditemui di Bilik Mayat HTF, di sini.
Mohamad Zahir berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi rakan arwah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, mangsa yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Tergilis anak – Metro


Tergilis anak
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: “Saya terkejut dan cepat-cepat menghentikan jentera pengangkut barang (forklif), selepas terdengar teriakan anak meminta tolong.

“Remuk hati saya apabila suara itu datang daripada anak yang berada di bawah jentera yang saya pandu,” kata seorang wanita berusia 29 tahun yang enggan dikenali menceritakan detik cemas apabila dia tergilis anaknya ketika membersihkan ruang kedai barangan logam miliknya di Kampung Merchang, Marang petang Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Mohd Aiman Abd Rahman, 7, bersama dua adiknya meluru ke depan jentera pengangkut dipandu ibunya yang sedang mengundur.

Tindakan pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Gong Balai, Marang itu membawa padah apabila dia tersembam ke bawah dan digilis jentera berkenaan ketika ibunya cuba memandu ke depan.

Bapa mahu saman – Metro


Bapa mahu saman
MELAKA: Bapa kanak-kanak yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik ketika bermain dalam takungan air di depan rumahnya di Kampung Gedung Lalang, Bukit Rambai, dekat sini, kelmarin, bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan.

Massari Muhammad, 35, berkata, tindakan itu dibuat selepas hasil laporan bedah siasat terhadap jenazah anak keempatnya, Mariam Najwa, 8, mendapati mangsa maut akibat kejutan elektrik.
Menurutnya, tindakan itu sebagai pengajaran kepada pihak terbabit yang didakwa cuai menyebabkan satu-satunya anak perempuannya maut.

“Laporan bedah siasat di Hospital Melaka petang semalam (kelmarin) menyatakan Mariam maut akibat kejutan elektrik.
“Saya akan melantik peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak bertanggungjawab sejurus selepas semua perkara berhubung insiden itu selesai,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, dia kesal dengan kecuaian pihak terbabit hingga meragut nyawa anak perempuan tunggalnya.

Menurutnya, dia dimaklumkan jiran bahawa pihak bertanggungjawab datang ke lokasi sejurus selepas insiden bagi menggantikan kabel elektrik pada tiang berkenaan.
“Saya tidak tahu kenapa mereka segera menggantikan kabel pada tiang itu, malah pagi tadi (semalam) saya dimaklumkan isteri, pegawai syarikat itu berkunjung ke rumah kami.

“Namun, saya kesal apabila dimaklumkan mereka seolah-olah menafikan kemalangan itu berpunca akibat kesilapan dan kecuaian mereka,” katanya.
Massari berkata, anak ketiganya, Muiz Asyraf, 3, yang nyaris menjadi mangsa kini masih trauma apabila melihat lopak air dan takut ke lokasi yang meragut nyawa kakaknya.

Zuhrah lintasi matahari 6 Jun – Berita Harian


Zuhrah lintasi matahari 6 Jun
Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

2012/06/01

KUALA TERENGGANU: Orang ramai di negara ini dijangka berpeluang melihat fenomena lintasan planet zuhrah dengan matahari pada 6 Jun ini, iaitu fenomena yang tidak akan berulang sehingga tempoh 105 tahun akan datang.

Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr Baharrudin Zainal, berkata fenomena unik itu membolehkan orang ramai melihat planet berkenaan pada saiz yang sama dengan bumi pada jarak kedudukan 42 juta kilometer (km) dari bumi.
Katanya, ia juga membolehkan orang ramai melihat planet zuhrah yang turut dikenali sebagai kejora dalam keadaan gelap.
Beliau berkata, berdasarkan hitungan falak, sentuhan planet zuhrah dengan matahari dijangka berlaku kira-kira jam 6.10 pagi dengan bentuk planet itu mula kelihatan sepenuhnya di permukaan matahari kira-kira 18 minit kemudian.

“Pada waktu itu (6.10 pagi) hanya pemerhati di pantai timur Sabah dan Sarawak berpeluang melihatnya. Bagi pencerap di Pantai Timur Semenanjung, matahari hanya akan terbit jam 6.54 pagi.

“Ketika ini, planet sudah melata hampir lapan peratus daripada keseluruhan laluan rentasannya di permukaan matahari. Kira-kira jam 9.30 pagi, planet zuhrah yang dilihat dalam bentuk ‘bulatan hitam’ sudah berada di tengah laluan rentasannya. Planet zuhrah akan dilihat meninggalkan sepenuhnya permukaan matahari kira-kira jam 12.50 tengah hari,” katanya, di sini, semalam.

Baharrudin berkata, berikutan saiz planet zuhrah hampir sama dengan bumi, planet itu diumpamakan sebagai ‘saudara kembar bumi’.
“Apabila kita melihat planet zuhrah dalam keadaan ‘bulatan hitam kecil’ sedang melintas di permukaan matahari, kita bagaikan melihat ‘begitulah kerdilnya bumi yang kita huni’ dari kedudukan 42 juta km.

“Bagi masyarakat awam, fenomena lintasan planet zuhrah ini mengimbau rasa takjub terhadap alam semesta yang harmoni sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran. Orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan fenomena ini yang tidak akan berulang sehingga 105 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata, di Kuala Terengganu, orang awam boleh menyaksikan fenomena itu mulai jam 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari pada 6 Jun ini, di tempat letak kereta Lapang Sasar Memanah, UnisZA Kampus Gong Badak, manakala di kawasan lain, orang ramai boleh mengunjungi pusat cerapan di kawasan masing-masing.

“Fenomena ini hanya boleh dilihat menggunakan peralatan teleskop lengkap dengan penebat khas matahari. Justeru, orang ramai boleh berada di tempat cerapan yang diadakan pelbagai agensi di seluruh negara,” katanya.

Fenomena itu berlaku apabila planet zuhrah yang mengambil masa selama 0.6 tahun (225 hari bumi) untuk mengelilingi matahari, akan berada pada kedudukan sejajar dengan bumi dan matahari mengikut tempoh ulangan berkenaan.

Penjajaran itu dinamakan ‘ijtimak dalaman’ dan disebabkan orbit planet zuhrah dengan satah bumi-matahari condong pada sudut tertentu, kedudukan satah matahari, bumi dan planet ketika penjajaran ini tidak sentiasa sama.

Akta Keterangan (Pindaan) 2012 Berkuat-Kuasa Hari Ini – 1 Jun 2012


Akta Keterangan (Pindaan) 2012 Berkuat-Kuasa Hari Ini – 1 Jun 2012


Dengan media baru yang semakin popular, termasuk blog, Facebook dan Twitter, serta dalam usaha untuk menjadikan rakyat lebih bertanggungjawab terhadap aktiviti mereka di atas-talian, kini ia telah pun ditetapkan yang mana Akta Keterangan (Pindaan) 2012 bakal dikuat-kuasakan bermula esok, iaitu 1 Jun 2012.

Bagi yang tidak ketahui, melalui pindaan pada Akta Keterangan, ia menetapkan yang mana para pengguna Internet akan bertanggungjawab terhadap sebarang kandungan yang dihantar ke internet melalui rangkaian ataupun peranti mereka. Secara ringkasnya, sekiranya seseorang pengguna menghantar komen pada blog anda, halaman Facebook Page anda, tweetjack akaun Twitter anda, mahupun dengan “menumpang” talian WiFi anda, maka anda akan dipertanggungjawabkan terhadap sebarang perkara yang dikongsikan melaluinya.

Selain daripada itu, ia juga mengatakan yang mana sekiranya seseorang memulakan halaman Facebook, Twitter, blog mahupun sebarang perkara menggunakan nama dan gambar anda dan menerbitkan kandungan yang bertentangan dengan undang-undang serta memfitnah seseorang melaluinya, maka anda akan didapati bersalah, dan perlu membuktikan sebaliknya.

Anda mungkin akan menghadapi masalah sekiranya:

  • Anda mempunyai blog, dan seseorang pembaca menerbitkan komen, maka anda akan dianggap sebagai menerbitkan komen tersebut.
  • Anda mempunyai halaman Facebook Pages, dan seseorang pengguna menghantar komen atau menerbitkan sesuatu pada Wall, maka anda akan dianggap sebagai menerbitkannya.
  • Seseorang menggunakan tablet atau telefon pintar anda untuk menghantar sesuatu yang tidak baik, maka anda akan dianggap sebagai yang menerbitkannya.
  • Seseorang menggunakan komputer anda atau laptop anda untuk menerbitkan sesuatu pada internet, maka anda akan bertanggungjawab atasnya.
  • Seseorang menceroboh ke talian WiFi anda dan menghantar pelbagai perkara yang bertentangan dengan undang-undang di internet, maka anda akan bertanggungjawab ke atasnya.
  • …dan pelbagai perkara yang berkaitan.

Dalam arena digital dan elektronik ini, semestinya ia boleh dikatakan perkara ini salah satu perkara yang sukar untuk direalisasikan. Apatah lagi memandangkan pada halaman Facebook dan Twitter sesiapa sahaja boleh menggunakan nama dan gambar orang lain, dan berlakon seperti mereka.

Sebagai contoh, pada hari ini, akaun Facebook Pages untuk seseorang artis mahupun ahli politik sahaja, terdapat lebih daripada satu akaun untuk mereka, yang mana dimulakan oleh peminat dan juga penyokong. Sekadar perbandingan, akaun Facebook milik Najib Razak apabila dilakukan carian, secara kasar, terdapat lebih daripada 10 akaun, sekaligus menjadikan beliau bertanggungjawab terhadap kesemua akaun tersebut sekiranya sesuatu yang tidak sepatutnya diterbitkan, sehinggalah beliau membuktikan sebaliknya.

Jadi, secara ringkasnya, jagalah peranti dan rangkaian internet anda, disamping bertanggungjawab ke atas pelbagai perkara yang dikongsikan di arena internet, supaya ia tidak menyukarkan anda di kemudian hari.

#Bacaan lanjut dan rujukan : The Sun, The Star, MalaysiaLaw.

*Kemaskini*:

Lanjutan daripada artikel yang diterbitkan kami sebelum ini, kami telah mendapat maklumbalas daripada beberapa pihak, dan ia diketahui yang mana walaupun perubahan tersebut sedang dalam perbincangan, namun Akta Keterangan (Pindaan) yang mula dikuat-kuasakan bermula daripada hari ini masih tidak menekankan perkara berkaitan internet lagi, dan ianya termasuk dalam perkara kedua pada akta tersebut.

Namun perkara tersebut diketahui masih dalam perbincangan, dan buat masa ini, Akta Keterangan (Pindaan) 2012 yang dikuat-kuasakan buat masa ini adalah hanya perkara pertama, yang masih tidak mengaitkan dengan Internet.

Dan dengan reaksi dan perbincangan pada pelbagai media atas-talian, berkemungkinan ianya akan mengambil lebih masa sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada internet.

Pada masa yang sama, melalui komentar yang didapati daripada salah seorang yang tidak ingin dikenali, beliau mengatakan yang mana sekiranya pindaan pada bahagian kedua dilaksanakan, ia bukanlah membawakan perkara negatif sepenuhnya, sebaliknya menjadikan para pengguna lebih bertanggungjawab terhadap apa yang dikongsikan mereka di arena internet. Memandangkan ianya masih berkait rapat dengan bukti dan keterangan, maka ia masih mempunyai pelbagai proses untuk disahkan mahupun sebaliknya. Perkara ini masih mempunyai kebaikkan dan keburukkannya tersendiri, memandangkan pada dunia digital dan sekuriti mudah digodam, ia membawakan kepada pelbagai perkara yang tidak dapat disangkakan.

Kami akan cuba mendapatkan komentar pelbagai pihak yang lain dalam masa terdekat.

#Terima kasih Shahredzan

#Sumber: Amanz