Alimuddin mahu kongsi pengalaman tambah baik perkhidmatan awam – Bernama


Alimuddin mahu kongsi pengalaman tambah baik perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR 2 Jun – Bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom mahu berkongsi pengalamannya selama 35 tahun dalam perkhidmatan awam untuk menambah baik sektor itu terutamanya perkhidmatan perguruan.

Alimuddin, yang dilantik sebagai anggota Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam, berkata, transformasi perkhidmatan awam negara banyak bergantung kepada kemajuan sektor perguruan kerana hampir satu per tiga daripada jumlah keseluruhan penjawat awam adalah guru.

“Pelantikan ini adalah satu penghormatan kepada saya dan saya akan memberi sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk menjadikan perkhidmatan awam terutamanya perguruan lebih baik, produktif dan bertaraf dunia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – BERNAMA

Buruh mengaku tidak bersalah rogol jiran OKU – Sinar Harian


Buruh mengaku tidak bersalah rogol jiran OKU
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Jun 2012
KUANTAN – Seorang buruh tidak mengaku bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol jirannya iaitu seorang gadis bawah umur yang juga orang kurang upaya (OKU) pada Jun, 2010 lalu.

Tertuduh, Amri Mustaffa, 26, mengaku tidak bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Umairah K M Heider.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Amri dituduh merogol seorang gadis bawah umur berusia 17 tahun dan dua bulan di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Nenasi, Pekan pada 8 Jun 2010, kira-kira jam 1 petang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Cif Inspektor Mohd Azman Ariffin yang menawarkan jaminan sebanyak RM7,000.

Namun Umairah menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes termasuk jumlah jaminan yang akan dikenakan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ditemani ahli keluarganya sepanjang prosiding mahkamah berlangsung.

Sebelum ini, berdasarkan fakta kes, tertuduh mengambil kesempatan merogol mangsa selepas mendapati mangsa tinggal seorang diri ketika pergi ke rumahnya pada hari kejadian untuk meminjam peralatan bertukang.

Keadaan mangsa yang tidak boleh bercakap dan mengalami masalah mental tidak mampu melawan perbuatan tertuduh dan kejadian itu hanya disedari oleh adik mangsa yang berusia 12 tahun ketika pulang dari sekolah.

Dalam pada itu, di mahkamah sama, seorang lelaki, Mohd Zaimi Abdullah, 40, mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendatangkan kecederaan pada seorang lelaki, Isnin lalu.

Umairah menetapkan Isnin ini untuk sebutan semula kes, manakala pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya, Chif Inspektor Mohd Azman Ariffin.

Korban nafsu pakcik – Sinar Harian


Korban nafsu pakcik
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Jun 2012
SHAH ALAM – Perbuatan jijik seorang lelaki yang sanggup merogol, mencabul dan mengugut anak saudaranya berusia 13 tahun menggunakan senjata, dua tahun lalu, mendapat balasan apabila Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara terhadapnya.

Lelaki berusia 53 tahun itu, dijatuhi hukuman oleh Hakim Slamat Yahya selepas berpuas hati dia gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Abdul Aziz mencabul mangsa di sebuah pondok dalam kebun getah di Ladang Guru Nanak, Serendah, pada Disember 2010.

Dia turut merogol kanak-kanak itu di kebun sama dan di sebuah rumah di Serendah, pada sekitar Disember 2010 dan 12 Januari 2011.

Bukan sahaja melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak malang itu, malah penoreh getah itu turut mengugut mangsa dengan menggunakan parang panjang dan pisau, pada masa dan tempat sama.

Slamat menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan tujuh sebatan bagi kesalahan rogol, lima tahun (kesalahan cabul) dan enam tahun untuk kesalahan mengugut.

Bagaimanapun, beliau memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak mulai tarikh tangkap lelaki itu.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Noora Nisa Ngadirin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan keterangan saksi pendakwaan, tertuduh yang dikenali sebagai Wak Ajis mengugut mangsa dengan mengatakan kanak-kanak itu akan dihalang bertemu bapanya jika tidak mahu menyerahkan tubuh.

Salah seorang rakan tertuduh turut melihat kejadian rogol kali kedua yang berlaku di rumah.

Sertai uji bakat ‘My School Rocks!’ – Sinar Harian


Sertai uji bakat ‘My School Rocks!’
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Jun 2012
BERSEDIA bersorak untuk pasukan sekolah kegemaran anda kerana uji bakat My School Rocks! 2012 akan bermula!

Penyertaan My School Rocks! 2012 terbuka kepada semua pelajar sekolah kerajaan dan antarabangsa. Ia dibahagi kepada dua kategori: Kategori Sekolah Rendah untuk umur 7-12 dan Kategori Sekolah Menengah untuk umur 13-17. Setiap pasukan terdiri dari tiga hingga lapan ahli dan pada tahun ini, mereka akan menari dengan lagu pilihan mereka dari 12 album Disney Channel yang berlainan.

Uji bakat akan diadili selebriti Linda Jasmine dan Sazzy Falak serta juri awam. Untuk membantu pasukan memantapkan lagi rutin tarian dan koreografi mereka, 50 sekolah pertama yang mendaftarkan dua pasukan diberi keistimewaan bengkel tarian peribadi.

Bengkel selama 4 jam ini dikendalikan, tenaga pengajar terkenal dari Urban Groove Dance Network (UGDN).

Dapatkan maklumat lanjut mengenai My School Rocks! 2012 di http://www.disneychannel-asia.com/MSR.

Hiburan Cuti Sekolah – Sinar Harian


Hiburan Cuti Sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Jun 2012

Spy Kids
102 Dalmations
MENAMPILKAN plot dan jalan cerita bercirikan kisah kanakkanak selain menerapkan nilai kekeluargaan dan pengajaran, RTM berkongsi cuti sekolah, dengan dua fi lem menarik, Spy Kids (2 Jun ) dan 102 Dalmations (9 Jun) mengisi slot Saturday Matinee, setiap Sabtu, jam 2.00 petang di TV2.

Spy Kids arahan Robert Rodriguez bermula dengan mengetengahkan watak Rebecca (Rowan Blanchard) dan Cecil (Mason Cook) yang tidak dapat menerima kehadiran mak tiri baru mereka, Marissa (Jessica Alba) yang berkahwin dengan penyiasat, Wilbur Wilson (Joel McHale). Tanpa pengetahuan keluarganya, Marissa adalah ejen bersara agensi perisikan terkemuka.

Apabila dunia diancam penjahat, ‘The Timekeeper’, Marissa kembali menjalankan misi menyelamat. Apakah dia berjaya?

Sementara, filem 102 Dalmations arahan, Kelvin Lima, merupakan sekuel 101 Dalmations (1996). Meletakkan watak utama Glenn Close, fi lem ini diadaptasi daripada kisah, Cruella De Vil (Glenn Close) dikenakan hukuman memberikan khidmat sosial kepada masyarakat dan berjanji tidak akan menganiayai haiwan, terutama melibatkan bulu anjing.

Pertemuannya dengan Kevin (Loan Gruffudd) mengubah segalanya. Apakah Cruelle mampu mempertahankan janjinya?

Saksikan dua filem menghiburkan cuti sekolah ini hanya di TV2.

‘Saya pun mampu berjaya’ – Metro


‘Saya pun mampu berjaya’
Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Tidak dapat bergerak selincah kanak-kanak seusianya kerana menghidap penyakit sendi lembik atau Arthrogyroposis Multiplex Congenita With Bilateral Ctev tidak mematahkan semangat murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Bukit Payong, Marang untuk mengejar cita-citanya menjadi pendidik.

Kesungguhan Nur Fatihah Abdul Karim, 11, mengejar cita-citanya dapat dilihat dengan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan apabila memperoleh 5A dalam peperiksaan akhir tahun lalu.
Menurut anak sulung daripada empat beradik itu, penyakit yang dihidapinya sejak kecil membataskan pergerakannya apabila tidak mampu menggerakkan tangan dan kaki seperti orang lain.

“Sebelum ini, saya sering menangis apabila mengenangkan kekurangan diri apatah lagi apabila melihat rakan boleh bermain dan berlari membuatkan saya rasa kerdil.
“Namun, dorongan ibu bapa, keluarga, guru dan rakan menjadikan saya kuat dan menerimanya sebagai ujian.
“Saya sedar tidak sepatutnya menjadikan penyakit ini alasan untuk kelihatan lemah dan perlu membuktikan saya mampu berjaya seperti individu normal,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud di Kampung Gong Kiat, di sini, semalam.

Nur Fatihah yang lebih dikenali Along dalam keluarganya berkata, sebelum ini dia langsung tidak dapat menulis atau makan sehingga terpaksa bergantung kepada ibunya, Mahani Mat Leha, 32, dan ayahnya, Abdul Karim Abdullah, 39.
“Namun, dengan kesabaran dan tunjuk ajar ibu bapa serta guru di sekolah, saya boleh menulis menggunakan jari tangan dan mengulang kaji pelajaran dengan e-Book walaupun menggunakan jari kaki,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, kerajaan negeri akan mencari penyelesaian bagi membantu Nur Fatihah dan sudah menghubungi doktor pakar saraf di Kuala Lumpur bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dijalankan.
“Kami akan menghantar Nur Fatihah mendapatkan rawatan secepat mungkin dan kos ditanggung kerajaan negeri. “Kami juga akan membantu keluarga ini memberi keperluan harian Nur Fatihah seperti lampin pakai buang dan ubat.
Sementara itu, Mahani melahirkan rasa terharu dan terima kasih dengan kunjungan Menteri Besar serta isteri.
“Sebagai ibu, saya mahu melihatnya membesar seperti rakan seusianya dan berharap kunjungan Menteri Besar memberi sinar baru kepada Nur Fatihah.
“Dengan pendapatan suami RM1,000 sebagai penjual ikan, bantuan mendapatkan rawatan pakar dan keperluan harian sedikit sebanyak meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Kerja jahat 5 remaja – Metro


Kerja jahat 5 remaja
Oleh Na’imah Mohamed
naimah@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan dua kumpulan penjenayah membabitkan kes samun dan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang selepas penahanan tujuh lelaki dalam tiga operasi berasingan di ibu negara, sejak 11 Mei lalu.

Dalam operasi berkenaan, tiga ahli kumpulan digelar ‘Geng Udang’ ditahan di Setapak Jaya pada 11 Mei manakala dua lagi ditahan di tempat sama pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, semua suspek berusia antara 16 hingga 19 tahun serta tidak bersekolah.

“Semua suspek terbabit tidak mempunyai rekod jenayah lampau sementara ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah. “Tiga suspek dalam tangkapan awal sudah dihadapkan ke mahkamah manakala dua lagi masih dalam tahanan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut,” katanya.
Wan Abdul Bari berkata, polis menemui sebuah kereta Toyota Vios yang dilarikan suspek dalam satu kejadian samun di Jalan Hujan Emas, di sini, 7 Mei lalu.
Katanya, kumpulan berkenaan menjalankan kegiatan samun dan curi kenderaan sekitar Lembah Klang tanpa memilih sasaran mereka dan melakukannya secara rambang.

“Dalam siasatan awal, lima kes samun kereta sekitar ibu negara diselesaikan dengan penangkapan Geng Udang ini,” katanya lagi.
Dalam tangkapan lain di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada Isnin lalu, dua lelaki yang menggelarkan diri mereka ‘Geng Piow’ berjaya ditahan polis selepas didapati memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Odyssey yang dilaporkan dicuri di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), dekat sini, pada 16 April lalu.

“Dua suspek berusia 24 dan 32 tahun itu ditahan ketika sedang memandu di kawasan parkir pusat beli-belah berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati, suspek kedua mempunyai lima rekod jenayah lampau dan terbabit dalam lapan kes curi kereta sejak tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas peralatan digunakan untuk mencuri kenderaan dan kedua-dua suspek direman sehingga hari ini untuk siasatan lanjut.