Dua pelajar sekolah lemas di Air Terjun Sekayu – Bernama


Dua pelajar sekolah lemas di Air Terjun Sekayu

3 Jun 2012
HULU TERENGGANU – Dua pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu mati lemas di Air Terjun Sekayu di sini hari ini.

Mereka ialah Mohd Azrul Azmir Maidin dan Mohd Hanif Izuddin kedua-duanya bermur 17 tahun dan berasal dari Seberang Takir dan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Mangsa pergi ke air terjun itu bersama enam lagi pelajar sebelum kejadian berlaku kira-kira 11 pagi.

Seorang rakan mangsa, Mohd Arif Harun berkata pada mulanya Mohd Azrul Azmir yang turun mandi dan tiba-tiba dihanyutkan arus.

Mohd Hanif cuba membantunya tetapi dia juga lemas di dalam air sedalam tujuh meter itu.

Mohd Arif berkata kejadian itu kemudiannya dimakumkan kepada pihak bomba dan penyelamat yang menemui mayat kedua-duanya kira-kira 12.50 tengah hari tadi di celah batu di dasar air terjun itu.

Ketua Operasi Bomba Hulu Terengganu, Khairul Anwar Bidin berkata kawasan tersebut tidak dibenarkan untuk mandi-manda. – Bernama

Trio adik-beradik raih pingat acara Triathlon Junior – Bernama


Trio adik-beradik raih pingat acara Triathlon Junior

3 Jun 2012
PUTRAJAYA – Trio adik-beradik Muhammad Safiy Mohd Shamsir, Muhammad Shafriz Mohd Shamsir dan Nurailiah Mohd Shamsir masing-masing mendominasi tiga tempat teratas pada Kejohanan Putrajaya International Triathlon Junior yang berlangsung di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini.

Muhammad Safiy, sembilan tahun menjuarai kategori bawah sembilan tahun menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 33.46′ setelah mengharungi perlumbaan sejauh 150m bagi disiplin renang, 4km berbasikal dan 800m berlari.

Abangnya, Muhammad Shafriz, 12, menduduki tempat kedua bagi kategori bawah 12 tahun dengan catatan masa 31.36′, manakala kakaknya Nurailiah, 15, pula menduduki tempat ketiga bagi kategori bawah 15 tahun dengan catatan masa 33.46′.

Muhammad Safiy berkata beliau rasa gembira dengan kejayaan hari ini kerana dapat mengatasi peserta lain dan berazam terus berusaha untuk maju dalam sukan tersebut.

“Saya pilih sukan triathlon kerana seronok dengan sukan ini terutama ketika beraksi dalam displin berlari dan berbasikal.

“Diharap satu hari nanti saya dapat mewakili negara dalam triathlon,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata ibunya Norrisa Rahmat Pye banyak memberi dorongan kepada mereka tiga-beradik untuk bergiat dalam sukan ini.

Sementara itu, Norrisa berkata beliau bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anaknya dan berharap mereka mampu menjadi atlet yang berkebolehan satu hari nanti.

“Saya memilih sukan triathlon untuk anak saya kerana unsur displin dan daya tahan yang terdapat dalam sukan triathlon tiada dalam acara sukan lain,” katanya. — Bernama

Kejora Cinta Di Langit, suka duka seorang pendidik – Sinar Harian


Kejora Cinta Di Langit, suka duka seorang pendidik
MARINA SAHABUDIN
3 Jun 2012

Novelis Anis Ayuni
Karya Anis Ayuni, Kejora Cinta Di Langit.
Novelis kelahiran Bentong, Pahang ini sudah cukup sinonim dengan dunia penulisan novel tempatan. Bahkan, karya-karya yang dihasilkannya sering kali mendapat perhatian penerbit dan pengarah untuk diadaptasi ke layar perak.

Terkenal menerusi novel yang berjudul Gemersik Kalbu, Anis Ayuni atau nama sebenarnya, Latifah Mohd Yusof ini mula menjinakkan diri dalam bidang penulisan sejak menuntut di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru.

Ketika itu, wanita ini baru sahaja berusia 26 tahun. Bagaimanapun, bakatnya dalam bidang ini dipendam begitu sahaja sehinggalah Komponen Kesusasteraan Melayu (Komsas) diperkenalkan.

Berbicara mengenai pembabitannya dalam bidang ini, Anis mengakui sebagai seorang Penolong Kanan ( Tadbir dan Akademik), kerjayanya itu banyak membantu dirinya bergiat dalam bidang penulisan dengan lebih serius.

“Memang benar, ketika meneruskan pengajian di maktab, saya sudah mula meminati dunia penulisan. Bagaimanapun, ketika itu saya lebih suka fokus kepada pembelajaran terlebih dahulu.

“Sebab itulah, apabila Komsas diperkenalkan, saya kembali aktif. Ketika bersama Komsas, saya banyak mengkaji novel, menulis cerpen dan puisi bersama pelajar,” katanya yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling.

Menurut Anis, kerana minat yang semakin mendalam, dia akhirnya berjaya menghasilkan sebuah manuskrip novel pada tahun 2001.

“Atas nasihat dan dorongan seorang rakan, saya bersetuju menghantar manuskrip itu kepada penerbit Alaf 21. Jujur saya katanya, saya tidak pernah terfikir hasil tulisan itu akan menjadi sebuah novel,” katanya yang mempertaruhkan novel pertamanya, Suara Hati pada tahun 2002.

Selain Suara Hati, antara novel hasil penulisannya adalah Yang Terindah (2003), Manisnya Cinta (2004), Gemersik Kalbu (2005), Kau Kekasihku (2006), Bayangan Rindu (2007), Seribu Kali Sayang (2008), Sungguh Aku Cinta (2009), Saat Kau Kata Cinta (2010) dan Cinta yang Kurasa (2011).

Pentingkan kualiti

Bercerita mengenai buah tangan terbarunya, Anis yang telah menghasilkan 11 novel termasuk novel terbaru berjudul Kejora Di Langit Cinta, berkata, dia sangat mementingkan kualiti apabila menghasilkan sesebuah karya itu.

“Saya tidak kisah mengambil masa yang panjang untuk menulis sebuah novel. Apa yang pasti, pembaca berpuas hati dengan penulisan saya.

“Tiada apa yang lebih penting daripada mendapat respons positif daripada mereka. Saya yakin, karya yang baik membantu penulis itu untuk menghasilkan lebih banyak karya lagi,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Kejora Di Langit Cinta, Anis menjelaskan, novel terbarunya itu agak istimewa kerana ia berlatar belakangkan kisah pahit manis dan suka duka kehidupan seorang pendidik.

“Menerusi novel ini, pembaca dapat menyelami kehidupan seorang pendidik itu sejak mereka di alam praktikal lagi.

“Bahkan, saya turut berkongsi pengalaman sebagai seorang pendidik yang telah berkecimpung selama 22 tahun dalam dunia pendidikan. Banyak kisah yang boleh dijadikan panduan dan teladan terutama kepada bakal-bakal pendidik dapat diserap menerusi novel ini.

“Misalnya, mereka harus bijak memanfaatkan dan menyesuaikan ilmu yang diperoleh ketika di dalam bilik kuliah dengan suasana sebenar di sekolah,” kata Anis yang mendapat idea menghasilkan novel tersebut apabila dia sering kali mendengar kisah pertemuan dua insan di Kota Suci Makkah dan Madinah.

Selain itu, bagi watak utamanya, Khalish, Anis cuba memberi gambaran kepada pembaca bahawa lelaki harus menjadi pelindung dan menjalankan tanggungjawab mereka dengan sebaik mungkin sebagai ketua keluarga.

“Hampir semua novel saya, jarang sekali saya lukis perwatakan lelaki kasar, apatah lagi mendera kaum wanita kerana saya tidak suka perkara negatif ini ditonjolkan meskipun hakikatnya banyak kes penderaan mental dan fi zikal berlaku terhadap wanita,” katanya.

Jelas Anis, bagi menyiapkan novel itu, dia turut mengambil masa selama enam bulan memandangkan proses menghasilkan manuskrip agak lambat. “Saya membuat semakan teliti untuk meminimumkan kesalahan ejaan.

Di samping itu, saya suka memilih dan menyusun perkataan-perkataan untuk menghasilkan bunyi yang berirama dan bernada melankolik. “Bagi saya, olahan dan gaya bahasa yang menarik mampu mengulit hati dan perasaan pembaca,” katanya yang terpaksa menempuh cabaran untuk menyiapkan novel itu dalam masa singkat atas permintaan Editor.

Pada masa sama, dia juga terpaksa berhadapan dengan ruang masa yang terhad kerana perlu memberikan komitmen terhadap kerjanya tetapnya. “Saya perlu bijak menyusun masa agar saya dapat menyiapkannya. Pada masa sama, saya juga perlu menjalankan tanggungjawab kepada keluarga,”katanya.

Menariknya, novel ini mempunyai nilai sentimental kepada diri penulis kerana dia turut mengabadikan nama rakannya yang menunaikan ibadah haji dan umrah bersamanya tahun lalu.

Punya makna tersendiri

Ditanya berkenaan judulnya, menurut Anis, berdasarkan kamus dewan, kejora bererti bintang atau planet yang terbit pada waktu dinihari.

“Ada pendapat mengatakan dalam banyak bintang, kejora merupakan bintang paling terang dan cemerlang kerana cahayanya sangat indah dan bersinar-sinar.

“Bintang kejora merupakan unsur alam yang digunakan untuk menjelaskan dan memberi makna lain tentang cinta. Selain itu, ia juga menguatkan lagi suasana indah dan penuh kasih sayang antara watak utamanya Khalish dan Nur Faradila,” jelasnya yang mendapat watak tersebut dari ilham dan bayangannya sendiri.

Kejora Di Langit Cinta, mula diterbitkan oleh Alaf 21, Grup Buku Kumpulan Karangkraf sejak 15 Mei lalu. Dijual di pasaran pada harga RM23.00, novel ini turut menyelitkan genre cinta, kasih sayang dan kekeluargaan.

Profil Anis Ayuni

Nama: Latifah Mohd Yusof
Nama Pena: Anis Ayuni
Umur: 49 tahun
Tarikh lahir: 1 April 1963
Tempat lahir: Bentong, Pahang
Suami: Mohd Zamberi Hassan
Anak: Daniel Fahmi dan Luqman Hakim
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
Kerjaya tetap: Penolong Kanan ( Tadbir dan Akademik), Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Saujana, Bandar Baru Seri Petaling.

Kerajaan Negeri tanggung kos rawatan Nur Fatihah – Sinar Harian


Kerajaan Negeri tanggung kos rawatan Nur Fatihah
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012

Ahmad (kanan) melihat Nur Fatihah yang masih mampu menulis dengan baik
walaupun menghidap penyakit sendi lembik ketika melawat kanak-kanak itu di
Gong Kiat, semalam.
ALOR LIMBAT – Kerajaan Negeri akan menanggung kos rawatan kanak- kanak istimewa, Nur Fatihah Abdul Karim, 11, dari Gong Kiat dekat sini, yang mengalami penyakit Arthrogyroposis Multiplex Congenita With Bilateral Ctev sejak dilahirkan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ketika mengadakan lawatan ke rumah sewa keluarga Nur Fatihah di Kampung Gong Kiat di sini, semalam. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Alias Abdullah.

Terdahulu, pada Khamis lalu, Sinar Harian menyiarkan kisah kanakkanak malang yang tabah menjalani kehidupannya walaupun menghidap penyakit yang juga dikenali sebagai penyakit sendi lembik. Akibat penyakit itu, kedua belah tangan dan kedua belah kaki Nur Fatihah seperti ketiadaan sendi serta tidak dapat dibengkokkan namun dia masih mampu menulis dengan baik menggunakan jari tangan selain menaip papan kekunci e-Book menggunakan jari kakinya.

Nur Fatihah yang belajar di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong itu akan menjalani pemeriksaan dan rawatan rapi di bawah penyeliaan pakar saraf di sebuah hospital di Kuala Lumpur dalam tempoh terdekat ini.

Ahmad berkata, sekiranya ada cara untuk memulihkan Nur Fatihah pihaknya akan meneruskan usaha bagi merawat dan memulihkan anak kepada pasangan Mahani Mat Leha, 33, dan Abdul Karim Abdullah, 39, itu dan kos perubatan ditanggung Kerajaan Negeri.

Dua remaja jadi mangsa rogol, cabul – Sinar Harian


Dua remaja jadi mangsa rogol, cabul
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012
BENTONG – Dua remaja perempuan masing-masing berusia 11 dan 15 tahun dirogol serta dicabul dalam kejadian berasingan di daerah ini, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian pertama iaitu pada 31 Mei lalu di Telemong, remaja perempuan berusia 15 tahun yang berjalan pulang ke rumah kira-kira jam 10 pagi itu tiba-tiba dihampiri seorang lelaki.

Menurutnya, lelaki berusia 45 tahun terbabit mengajak remaja itu berbual-bual sebelum menarik mangsa ke dalam semak berhampiran. “Seluar dipakai mangsa ketika itu ditanggalkan. Suspek kemudiannya bertindak mencabul dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.

Tidak puas mencabul, suspek turut merogol mangsa,” katanya. Selepas laporan polis dibuat, suspek berjaya ditahan pada hari sama dan kini ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, dalam kejadian kedua pula, seorang bapa terkejut apabila mendapati anak perempuan berusia 11 tahun menangis teresak-esak hingga menimbulkan perasaan curiga mereka sekeluarga.

Menurutnya, bapa remaja terbabit mendesak anaknya memberitahu perkara sebenar dan mangsa menjelaskan dia dirogol ketika ditinggalkan berseorangan di rumah mereka di Felda Kemasul, dekat sini.

“Susulan kejadian tersebut, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Manchis kira-kira jam 11 pagi pada 29 Mei lalu.

“Polis mengenal pasti suspek berusia 25 tahun yang dipercayai cuba melarikan diri berhampiran sempadan Bera-Bentong, dekat sini,” katanya.

Mohamad Mansor berkata, suspek kemudiannya ditahan reman selama seminggu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Menurutnya, kedua-dua mangsa turut menjalani pemeriksaan di hospital untuk mendapatkan bukti lebih terperinci.

Angkasawan Negara saran ibu bapa peka minat anak-anak – Sinar Harian


Angkasawan Negara saran ibu bapa peka minat anak-anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012

Sheikh Muszaphar menasihatkan ibu bapa agar memberi galakan sekiranya
anak mereka berminat menjadi angkasawan negara.
SHAH ALAM – Pembelajaran efektif dan bimbingan ibu bapa amat penting untuk memupuk minat kanak-kanak terhadap bidang sains termasuk angkasa lepas, dalam usaha mengembangkan industri aeroangkasa di negara ini.

Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata, ibu bapa perlu peka terhadap minat anak masing-masing dan memberi sokongan jika mereka dilihat cenderung menerokai bidang berkenaan.

“Lihat dulu cita-cita anak kita. Jika dia minat hendak jadi angkasawan, belikan buku berkaitan angkasa lepas. “Beri pendedahan kepada mereka tentang bidang di bawah astronomi ini dan galakkan dia belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya itu,” katanya dalam Seminar Melaksanakan Ibadah di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), di sini, semalam.

Seminar anjuran Green Chili Event Services dan Pertubuhan Belia Kota Raja itu dihadiri lebih 150 peserta. Dalam seminar itu, Sheikh Muszaphar turut menceritakan pengalamannya yang terpaksa mengikat pergelangan kakinya supaya tidak terapung ketika menunaikan solat di ISS, pada Oktober 2007.

“Saya dibenarkan bertayamum di sana kerana bekalan air sangat berharga. Saya solat mengikut waktu tempat kapal angkasa Soyuz saya dilancarkan (di Baikonour, Kazakhstan) berdasarkan panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jika tidak, saya perlu tunaikan solat sebanyak 80 kali kerana ISS dengan kelajuan 27,000 kilometer sejam mengelilingi bumi sebanyak 16 kali,” katanya.

Sementara itu, peserta seminar, Sharifah Mustafa, 33, berkata, dia menghadiri program bersama anak-anaknya sebagai galakan kepada mereka yang meminati subjek Sains. “Anak sulung saya akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Saya lihat dia memang minat subjek Sains, skornya pun selalu cemerlang dan berminat hendak jadi angkasawan negara satu hari nanti,” katanya.

Pasangan adik-beradik Muhammad Aiman Zikri dan Nur Syasya Farhana Zain Azrai, masing-masing berusia 12 dan 11 tahun gembira dapat mengikuti program kelolaan idola mereka. “Kami ingin jadi doktor dan berharap dapat jejak kaki ke angkasa lepas,” kata mereka.

Adam bergantung ubat tahan sakit – Sinar Harian


Adam bergantung ubat tahan sakit
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012

‘Adam derita, saya sengsara’
SHAH ALAM – Sejak dibenarkan pulang dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) Isnin lalu, Adam Akhbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang kini bergantung dengan ubat tahan sakit.

Bapanya, Akhbar Ali berkata, sejak beberapa hari lalu beliau terpaksa memberi ubat tahan sakit bagi mengurangkan sakit kepala yang dialami Adam.

“Adam sering mengerang kesakitan dan setelah memberikan ubat berkenaan barulah keadaannya berkurangan.

Selera makannya juga semakin kurang sehingga badannya lemah tidak bermaya,” katanya.

Melihat keadaan anaknya yang semakin teruk itu, Akbar Ali menghantar e-mel kepada Pakar Bedah Saraf Onkologi Kanak-kanak, Dr George Jallo dari Hospital Johns Hopkins bagi memberitahu perkembangan anaknya itu.

Menurutnya, Dr Jallo menasihatkannya supaya segera membuat imbasan MRI (Magnetic resonance imaging) bagi mengetahui perkembangan Adam dengan lebih jelas.

“Daripada laporan perubatan itu dan simptom-simptom yang dialami Adam kini, Dr Jallo memberitahu, kemungkinan tumor Adam sedang membesar atau takungan air di dalam saraf tunjang yang bertakung semakin banyak.

Disebabkan keadaan itu membuatkan Adam sering sakit kepala,” katanya.

Bimbang dengan keadaan itu, Akbar Ali semalam, membawa Adam ke Hospital Pantai, Bangsar bagi menjalani imbasan MRI, bagaimanapun berikutan cuti umum tarikhnya ditunda Isnin ini.

Akbar Ali berkata, Dr Jallo menasihatkannya segera mendapatkan nasihat pakar dan memberikan salinan laporan MRI itu kepadanya dalam waktu segera.

Setakat petang semalam, dana yang terkumpul bagi tabung Adam kini RM53,500.

Menurutnya, beliau sekeluarga sangat berharap panel yang dilantik bagi menguruskan perubatan anaknya segera membuat keputusan.

“Tidaklah niat saya untuk mendesak mana-mana pihak, malah saya amat berterima kasih kepada semua yang telah banyak membantu Adam selama ini,” katanya.

Meninggal lepas ditembak abang – Metro


Meninggal lepas ditembak abang
MIRI: Selepas lima hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Miri akibat kepala ditembusi peluru yang ditembak abangnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun meninggal dunia petang kelmarin.

Nurul Afifah Maderom meninggal dunia selepas cedera parah selain peluru dikatakan masih dalam kepala serta mengena otaknya, menyebabkan keadaan semakin kritikal dan sukar diselamatkan.
Ibu mangsa, Janiah Assan, 31, berkata keadaan anak perempuannya sangat kritikal kelmarin, meskipun doktor berusaha menyelamatkannya kerana peluru hampir menembusi tengkorak belakang kepala.

Katanya, keadaan itu menyebabkan peluru tidak dapat dikeluarkan mangsa kerana boleh membahayakan nyawa selain dikhuatiri menyebabkan komplikasi lain.
“Mungkin Allah lebih menyayanginya yang bertarung nyawa sebelum menghembuskan nafas terakhir lewat petang semalam (kelmarin),” katanya.

Murid dirogol – Metro


Murid dirogol
Oleh JUNAIDI LADJANA
djuns@hmetro.com.my

RANAU: Rahsia seorang murid perempuan berusia 12 tahun pulang ke rumah dalam keadaan resah dan tidak terurus pada jam 3 pagi membongkar perbuatan teman lelaki yang merogolnya tiga kali di Kampung Kauluan Kundasang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 malam, murid berkenaan dikatakan bertemu teman lelakinya yang berusia 22 tahun di pekan.
Namun, selepas termakan pujukan, lelaki terbabit membawa mangsa pulang ke rumah sebelum merogolnya tiga kali. Selepas melampias nafsunya, lelaki terbabit menghantar mangsa pulang ke rumah, jam 3 pagi.

Bagaimanapun, sebaik melangkah masuk ke rumah, mangsa disergah bapanya yang hairan melihat keadaan anak gadisnya yang tidak terurus selain pulang awal pagi.
Bapa gadis berkenaan mendesaknya menceritakan apa berlaku tetapi mangsa memberi alasan hanya bertemu rakannya di pekan.
Lelaki berkenaan yang tidak berpuas hati dengan jawapan itu terus mendesak sebelum anaknya mengaku melakukan hubungan seks bersama teman lelaki.

Tersentak dengan jawapan itu, bapa mangsa membawa anaknya ke Balai Polis Kundasang untuk membuat laporan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Abdul Rahman Kassim, mengesahkan kejadian itu dan suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Berdasarkan laporan ahli keluarga mangsa, suspek berjaya ditahan di rumahnya.
“Siasatan mendapati suspek merogol gadis ini di rumah dan perbuatan itu terbongkar apabila mangsa memaklumkan kejadian terbabit kepada bapanya,” katanya.
Abdul Rahman berkata, suspek yang bekerja sebagai penjual sayur kini direman tujuh hari untuk siasatan.
“Mangsa dihantar ke Hospital Ranau untuk pemeriksaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
“Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.