Dua remaja jadi mangsa rogol, cabul
WARTAWAN SINAR HARIAN
3 Jun 2012
BENTONG – Dua remaja perempuan masing-masing berusia 11 dan 15 tahun dirogol serta dicabul dalam kejadian berasingan di daerah ini, kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, dalam kejadian pertama iaitu pada 31 Mei lalu di Telemong, remaja perempuan berusia 15 tahun yang berjalan pulang ke rumah kira-kira jam 10 pagi itu tiba-tiba dihampiri seorang lelaki.
Menurutnya, lelaki berusia 45 tahun terbabit mengajak remaja itu berbual-bual sebelum menarik mangsa ke dalam semak berhampiran. “Seluar dipakai mangsa ketika itu ditanggalkan. Suspek kemudiannya bertindak mencabul dengan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.
Tidak puas mencabul, suspek turut merogol mangsa,” katanya. Selepas laporan polis dibuat, suspek berjaya ditahan pada hari sama dan kini ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, dalam kejadian kedua pula, seorang bapa terkejut apabila mendapati anak perempuan berusia 11 tahun menangis teresak-esak hingga menimbulkan perasaan curiga mereka sekeluarga.
Menurutnya, bapa remaja terbabit mendesak anaknya memberitahu perkara sebenar dan mangsa menjelaskan dia dirogol ketika ditinggalkan berseorangan di rumah mereka di Felda Kemasul, dekat sini.
“Susulan kejadian tersebut, bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Manchis kira-kira jam 11 pagi pada 29 Mei lalu.
“Polis mengenal pasti suspek berusia 25 tahun yang dipercayai cuba melarikan diri berhampiran sempadan Bera-Bentong, dekat sini,” katanya.
Mohamad Mansor berkata, suspek kemudiannya ditahan reman selama seminggu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Menurutnya, kedua-dua mangsa turut menjalani pemeriksaan di hospital untuk mendapatkan bukti lebih terperinci.