3 remaja perempuan maut motosikal bertembung van – Bernama


3 remaja perempuan maut motosikal bertembung van
2012/06/04

LANGKAWI: Tiga remaja perempuan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah van di simpang lampu isyarat Lebuhraya Kuah di sini, tengah malam tadi.

Pegawai Penyiasat Polis Trafik Langkawi, Inspektor Fairus Mohd Ghazi, berkata ketiga-tiga mangsa iaitu Yasmin Suhari, 17, Nor Hazwani Mansor, 16, dan Nur Afipah Aaina Ridzuan, 19, berasal dari Kuah dan mereka adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mahsuri di sini.
“Mereka yang menaiki sebuah motosikal dari arah lampu isyarat Sungai Menghulu bertembung dengan sebuah van dari arah Batu Asah di simpang berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam tadi,” katanya hari ini.
Katanya, ketiga-tiga mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat mereka dibawa ke Hospital Langkawi untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing hari ini manakala enam orang yang menaiki van tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

Kereta bapa rempuh pokok, murid tahun satu maut – Bernama


Kereta bapa rempuh pokok, murid tahun satu maut

4 Jun 2012
KUANTAN – Seorang kanak-kanak lelaki terbunuh manakala bapa dan adik lelakinya berusia setahun cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum merempuh pokok palma di Jalan Teluk Sisek, Teluk Cempedak di sini, semalam.

Murid tahun satu, Muhammad Ridzwan Idris, 7, dari Taman Mutiara, Jalan Alor Akar di sini meninggal dunia sejam selepas kejadian akibat cedera parah di dada.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari, tiga beranak itu dalam perjalanan dari arah bandar Kuantan menuju ke Teluk Cempedak.

Katanya setiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu bapa mangsa yang berusia 42 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak itu dipercayai hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, kereta yang dinaiki mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh dua batang pokok palma di situ,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata tiga beranak terbabit dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk rawatan lanjut dan mangsa disahkan meninggal dunia sejam kemudian ketika menerima rawatan manakala bapa dan adiknya hanya cedera ringan.

Sementara itu, Mohamed Fauzi berkata pada hari yang sama, seorang warga emas, Abu Bakar Mahmud, 74, maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah bas ekspres ketika keluar dari sebuah simpang di Kilometer 121 Jalan Kuantan-Johor Baharu, dekat Rompin. – Bernama

TAKWIM MESYUARAT LEMBAGA KENAIKAN PANGKAT PERKHIDMATAN PELAJARAN (LKPPP) NO. 2 BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) TAHUN 2012 (BAGI URUSAN KENAIKAN PANGKAT KE GRED 28 HINGGA GRED 42 ATAU GRED SETARAF)


TAKWIM MESYUARAT LEMBAGA KENAIKAN PANGKAT PERKHIDMATAN PELAJARAN (LKPPP) NO. 2 BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) TAHUN 2012 (BAGI URUSAN KENAIKAN PANGKAT KE GRED 28 HINGGA GRED 42 ATAU GRED SETARAF)
TAKWIM MESYUARAT LEMBAGA KENAIKAN PANGKAT PERKHIDMATAN PELAJARAN (LKPPP) NO. 2 BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) TAHUN 2012 (BAGI URUSAN KENAIKAN PANGKAT KE GRED 28 HINGGA GRED 42 ATAU GRED SETARAF) BOLEH DI MUATTURUN DI BAWAH
Muat turun
TAKWIM MESYUARAT LEMBAGA KENAIKAN PANGKAT PERKHIDMATAN PELAJARAN (LKPPP) NO. 2 BAGI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN LEPASAN DIPLOMA (PPPLD) TAHUN 2012 (BAGI URUSAN KENAIKAN PANGKAT KE GRED 28 HINGGA GRED 42 ATAU GRED SETARAF) BOLEH DI MUATTURUN DI BAWAH

Tawaran Kursus Dalam Perkhidmatan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012


Tawaran Kursus Dalam Perkhidmatan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012

Muat turun
Tawaran Kursus Dalam Perkhidmatan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012

Pemberian netbook, bukan mahu raih undi – Sinar Harian


Pemberian netbook, bukan mahu raih undi
M FEISAL NORAWI
4 Jun 2012

Mohd Sharkar (tiga, kanan) menyampaikan bantuan netbook kepada seorang
daripada 2,500 pelajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khee Chee, pagi
semalam.
TEMERLOH – Ibu bapa perlu memainkan peranan untuk menggalakkan anak masing-masing menguasai teknologi maklumat (IT) sebagai penggerak evolusi pada abad ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin berkata, kerajaan menjalankan pelbagai usaha kerana tidak mahu rakyat ketinggalan sekali gus berpeluang meningkatkan kemahiran mereka dalam ICT.

“Kerajaan tidak mahu apabila negara mencapai tahap negara maju pada 2020 nanti, masih ada rakyat terutama penduduk kawasan luar bandar tercicir dan tidak tahu menguasai IT.

“Sehubungan itu kerajaan akan berusaha merapatkan jurang digital untuk memastikan tiada lagi rakyat ketinggalan,” katanya semasa berucap semasa majlis penyampaian netbook kepada pelajar miskin di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khee Chee, di sini, pagi semalam.

Mohd Sharkar berkata, semua pelajar terbabit berasal daripada keluarga berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan dan mempunyai bilangan tanggungan yang ramai.

“Kita percaya sumbangan ini dapat meringankan beban ahli keluarga dan dalam masa sama mendedahkan mereka kepada penggunaan teknologi yang semakin berkembang,” katanya.

Mohd Sharkar turut mengingatkan ibu bapa bahawa pemberian netbook itu bertujuan melahirkan generasi baru celik IT dan bukannya untuk memancing undi.

Menurutnya, pemberian bantuan kepada semua lapisan rakyat bukan bertujuan meraih sokongan, sebaliknya ia adalah tanggungjawab kerajaan memerintah untuk membantu rakyat.

“Pemberian netbook ini diharap dapat memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan penguasaan mereka dalam pelajaran masing-masing.

“Kita harap pelajar dapat menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin sekali gus berusaha meningkatkan kecemerlangan dalam bidang akademik,” katanya.

Pasrah tiga anak derita sakit kronik – Metro


Pasrah tiga anak derita sakit kronik
SELAYANG: “Saya pasrah menjadi ‘jururawat’ peribadi kepada tiga anak yang menderita sakit kronik sejak 12 tahun lalu,” kata Adiana Othman, 34, ibu kepada dua anak perempuan dan seorang anak lelaki yang menderita penyakit berbeza.

Rutin hariannya kini seperti jururawat hospital membantu anak lelakinya, Muhammad Amir Zamary, 11, yang menghidap penyakit saluran pundi kencing tersumbat serta saraf tunjang kogenital membengkak sejak berusia enam tahun.
“Saya perlu mahir memasukkan tiub getah ke dalam lubang kencing anak bagi membantunya membuang air kecil setiap empat jam di rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selayang Indah di sini, semalam. “Perasaan takut kini bertukar serasi dan saya perlu kuatkan semangat demi mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selayang Indah di sini, semalam. Katanya, dua anaknya yang lain iaitu anak sulung, Nurul Huda, 12, menghidap tiriod manakala anak bongsu, Nurul Fatihah, 8, pula menderita barah tulang dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) sejak Januari lalu.

Menurutnya, dia memerlukan perbelanjaan kira-kira RM30,000 untuk pembedahan Muhammad Amir dan Nurul Fatihah. “Saya tidak bekerja kerana terpaksa menjaga semua anak yang sakit manakala suami, Zamary Adam, 43, hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penjaga stor kilang.
“Saya terpaksa menangguhkan pembedahan mereka kerana tidak cukup wang walaupun menerima sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) RM510 sebulan ketika ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selayang Indah di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata, pihaknya berharap orang ramai membantu meringankan beban keluarga itu.

Lari ikut lelaki kenal 3 hari – Metro


Lari ikut lelaki kenal 3 hari
ALOR GAJAH: Seorang gadis berusia 16 tahun yang melarikan diri dari rumah kira-kira sebulan lalu dipercayai mengikut seorang lelaki baru tiga hari dikenalinya di pekan Alor Gajah, dekat sini.

Nurul Shafikah Anuar, dipercayai menghilangkan diri selepas mengenali lelaki itu yang sering menjemput dan mengambilnya pulang selepas bekerja dan masih gagal dikesan sehingga kini.
Bapa tiri mangsa, Azraai Mohd Isa, 37, berkata Nurul Shafikah yang mesra disapa ‘kakak’ tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja di sebuah salun, jam 10 malam, pada 4 Mei lalu.

“Pada hari kejadian, majikannya menelefon saya supaya datang mengambil Nurul Shafikah kerana dia tidak dapat menghantarnya pulang atas urusan lain sebelum saya datang menjemputnya kira-kira jam 10.15 malam.
“Sebaik tiba di salun itu saya dapati tiada sesiapa di kawasan itu sebelum berpatah balik untuk menyambung kerja sebagai pembantu di kedai makan rakan.
“Saya sangka dia sudah balik ke rumah dihantar rakan sekerja, tetapi sebaik tiba di rumah, isteri saya, Suzalita Udari, 41, hairan dan bertanya mengapa saya tidak menjemput anak balik,” katanya di sini semalam.

Azraai berkata, dia yang bimbang kemudian keluar bersama isteri mencari anaknya di sekitar pekan Alor Gajah, tetapi tidak berjaya.
“Saya percaya Nurul tidur di rumah rakan kerana sebelum ini dia pernah dua hari tidak balik dan tidur di rumah seorang rakannya berdekatan rumah kami.

“Keesokannya sekali lagi saya ke tempat kerjanya namun majikannya terkejut sebaik saya memberitahu anak tidak pulang ke rumah sejak malam kejadian,” katanya.
Katanya, mereka berusaha mencari Nurul Shafikah di merata tempat sebelum diberitahu rakan anaknya itu yang melihat Nurul mengikut seorang lelaki menaiki kereta Perodua Kancil namun tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kereta itu.
“Rakannya nampak dia menaiki kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki, tetapi tidak dapat mengecam nombor pendaftaran kereta itu yang dipandu laju.
“Saya juga diberitahu anak saya ada meminta nombor telefon seorang pelanggan lelaki yang berkunjung ke tempat kerjanya tiga hari sebelum dia menghilangkan diri.
“Saya minta lelaki yang membawa lari anak saya supaya menghantar semula kepada keluarganya. Malah, jika dia berniat ‘berniat baik’ pada anak saya, saya sedia berbincang mengenainya,” katanya.
Menurut Azraai, ada rakannya mendakwa terserempak anaknya itu kira-kira dua minggu lalu di sekitar bandar Melaka bersama dua rakan perempuan serta tiga lelaki tetapi tidak sempat menyapanya.
“Rakan saya kenal dengan anak saya itu tetapi tidak menyangka dia lari dari rumah. Katanya, anak gadisnya itu mempunyai ketinggian 165 sentimeter, berkulit hitam manis, mempunyai lekuk pada dagu dan berambut perang paras bahu dipercayai keluar memakai seluar jeans kelabu.
Menurutnya, sesiapa mengenali anaknya diminta hubungi balai polis berdekatan atau menghubunginya di talian 017-2396861.

Gadis pelik lepas hilang – Metro


Gadis pelik lepas hilang
JOHOR BAHRU: Yenny Nurjannah Abdullah, 15, atau Yenny yang hilang dari rumah keluarganya di Jalan Denai 4, Taman Kempas Baru, pada 27 Mei lalu, sudah kembali ke pangkuan keluarga namun beberapa perkara pelik menyelubungi remaja terbabit.

Ibunya, Sri Astutik, 43, berkata, Yenny kembali ke rumah pada jam 2 petang, 1 Jun lalu, tetapi sebaik tiba di rumah, Yenny seolah-olah diserang histeria kerana menjerit-jerit dari petang hingga malam.
“Kami memanggil seorang ustaz untuk mengubatnya dan ustaz berkenaan meninggalkan bunga yang sepatutnya diletakkan dalam bilik Yenny, tetapi bunga itu habis dimakannya,” katanya di sini, semalam.

Menurut Astutik, Yenny dihantar ke sebuah pusat perubatan sebelum ustaz sama datang untuk mengubatinya.
Astutik berkata, sejak diubat kali kedua, Yenny mulai sedar. “Kami terkejut dengan kepulangan Yenny dan lebih mengejutkan, dia masih memakai pakaian sama ketika keluar rumah, tetapi berat badannya menyusut,” katanya.
Menurut Astutik, keluarganya belum bertanyakan lebih lanjut kepada Yenny mengapa dia keluar dari rumah kerana bimbang ia menimbulkan tekanan kepada remaja itu.

“Yenny dihantar seseorang pulang ke rumah namun hingga kini, kami tidak tahu siapa orang itu.
“Selepas sedar, Yenny memaklumkan motosikal Honda EX5 berwarna hitam bernombor pendaftaran JHB 835 yang ditunggangnya ditinggalkan di tepi sebuah hotel di Stulang dan polis mengesahkan perkara berkenaan,” katanya.

Menurut Astutik, pemeriksaan kesihatan mendapati Yenny dalam keadaan baik dan stabil.
Dalam kejadian itu, Yenny menghantar SMS dan meminta kebenaran Astutik untuk menghadiri kelas latihan tarian berhampiran rumah mereka sebelum menghilangkan diri.

Korban air terjun – Metro


Korban air terjun
Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

LOKASI KEJADIAN…orang ramai melihat pasukan penyelamat mengangkat jenazah mangsa.

ANGKAT…anggota bomba mengangkat mayat seorang mangsa lemas di Air Terjun Sekayu.
KUALA BERANG: “Dia cuma senyum dan menyatakan nak pergi jauh. Tak sangka kelakuan peliknya itu petanda dia akan meninggalkan kami sekeluarga,” kata Mohd Maidin atau Sudin Jusoh, 58, bapa kepada Mohamad Azrul Azmir, 17, yang lemas bersama rakannya, Muhammad Hanif Izzuddin Musa, 17, ketika mandi di kawasan perkelahan Air Terjun Sekayu di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mayat Mohamad Azrul dari Kampung Paya Guchil, Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu dan Muhammad Hanif dari Kampung Tanjung Jaafar, Jalan Lapangan Terbang, Kuala Terengganu, ditemui kira-kira dua meter dari lokasi mereka dilaporkan tenggelam.

Sebelum kejadian malang itu, kedua-dua mangsa bersama enam lagi rakan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini datang ke kawasan perkelahan itu dari Kuala Terengganu sempena cuti persekolahan dengan menaiki enam motosikal.

Difahamkan, kedua-dua mangsa dikatakan begitu teruja untuk ke kawasan perkelahan berkenaan walaupun beberapa rakan mahu membatalkan perkelahan kerana ada yang tidak turut serta.
Mohd Maidin yang juga pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, dia sempat berbual dengan anak sulungnya itu ketika mereka sedang memotong daging yang ditempah.