Tumor Adam semakin membesar – Sinar Harian


Tumor Adam semakin membesar
WARTAWAN SINAR HARIAN
5 Jun 2012

‘Adam derita, saya sengsara’
SHAH ALAM – Sejak kisah Adam Akbar Ali, 10 menghidap penyakit tumor saraf tunjang disiarkan oleh Sinar Harian dua minggu lalu, sumbangan orang ramai kepada Adam meningkat kepada RM55,700 hingga petang semalam.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin berkata, sumbangan tersebut masih belum mencukupi untuk menampung pembiayaan pembedahan Adam di Hospital Johns Hopkins, Amerika Syarikat yang berjumlah RM175,000.

Menurutnya, beliau sekeluarga berterima kasih kepada penyumbang dan orang ramai yang sentiasa memberikan semangat, nasihat dan sokongan kepada mereka untuk menghadapi ujian itu.

“Saya berharap hasrat saya untuk memberikan rawatan terbaik kepada Adam akan tercapai.

Keadaan Adam sekarang membimbangkan kami sekeluarga kerana Adam kerap sakit kepala dan terpaksa diberikan ubat tahan sakit bagi mengurangkan sakit yang dialaminya.

“Adam dilihat semakin lemah dan kurang selera makan. Kami juga dimaklumkan oleh Pakar Neuro dari Hospital Johns Hopkins, Dr George Jallo bahawa tumor Adam sedang membesar atau air bertakung di dalam saraf tunjang Adam semakin banyak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Akbar berkata, keadaan tersebut menyebabkan beliau mengambil keputusan membuat ujian Magnetik Resonance Imaging (MRI) di Hospital Pantai, Bangsar, semalam untuk mendapatkan perkembangan Adam yang sebenarnya.

“Saya akan menghantar keputusan MRI tersebut kepada Dr. Jallo dengan segera. Saya juga berharap panel yang dilantik bagi menguruskan perubatan Adam dapat memberikan keputusan secepat mungkin,” katanya.

Orang ramai yang mahu menghulurkan bantuan kepada Adam, bolehlah disalurkan ke akaun Maybank 512101054830 dan Bank Islam 12038025182964.

Serbuan kes khalwat kesan pelajar dirogol – Metro


Serbuan kes khalwat kesan pelajar dirogol
2012/06/05

SEGAMAT: Serbuan pasukan penguat kuasa Jabatan Agama Johor (JAJ) di sebuah rumah di Tebing Tinggi, dekat sini, membongkar perbuatan seorang remaja berusia 18 tahun yang baru saja merogol pelajar Tingkatan Dua, dalam kejadian awal pagi semalam.

Selain itu, penguat kuasa turut menahan enam lagi lelaki berusia 16 tahun hingga 24 tahun di rumah berkenaan yang dipercayai bersubahat dengan membiarkan saja perbuatan rogol berkenaan.
Ketua Polis daerah, Superintendan Hanafi Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku antara jam 11.30 malam hingga 5 pagi semalam, sebelum penguat kuasa menyerbu rumah berkenaan.
Mangsa berusia 14 tahun itu yang tinggal di Jalan Medoi, dekat sini dikatakan pergi ke rumah itu dengan menunggang motosikal dengan seorang rakan lelaki yang dikenali menerusi laman sosial. Katanya, mangsa berusia 14 tahun itu yang tinggal di Jalan Medoi, dekat sini dikatakan pergi ke rumah itu dengan menunggang motosikal dengan seorang rakan lelaki yang dikenali menerusi laman sosial.

“Pada mulanya mangsa bertemu dengan rakannya yang juga berusia 18 tahun di kedai makan di Bukit Siput sebelum membonceng motosikal ke sebuah rumah di Tebing Segamat untuk bertemu rakan lelaki berkenaan.

“Rumah itu dikatakan milik seorang daripada enam lelaki itu dan ketika kejadian keluarganya tiada di rumah. Setiba di rumah itu mangsa dikatakan pergi ke tandas sebelum suspek yang berusia 18 tahun menariknya ke sebuah bilik dan merogolnya,” katanya.

Hanafi berkata, pada masa yang sama pasukan penguat kuasa JAJ menyerbu rumah berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kes khalwat.
Katanya, dalam serbuan itu JAJ menahan tujuh lelaki dan seorang wanita selepas dimaklumkan mengenai kes rogol berkenaan, jabatan berkenaan membuat laporan di Balai Polis Jementah.

Beliau berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan suspek untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, manakala enam rakannya dibebaskan dengan jaminan keluarga.

“Polis masih menyiasat kes itu dan mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk pemeriksaan,” katanya.

Dakap ayah kali terakhir – Metro


Dakap ayah kali terakhir
Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my

DETIK PILU…anggota perubatan memberikan rawatan kecemasan kepada Muhammad Rizwan sebelum dia meninggal dunia sejam kemudian.
KUANTAN: Seorang bapa tidak menyangka pelukan erat anak sulungnya sebelum mereka bersiar-siar di bandar ini menjadi dakapan terakhir apabila kanak-kanak itu terbunuh dalam kemalangan di Jalan Teluk Sisek berdekatan Dewan Jubli Perak, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Muhammad Rizwan Idris, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Galing, di sini, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, sejam selepas kemalangan akibat cedera parah di badan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama bapanya, Idris Badar, 41, serta seorang adik lelakinya berusia dua tahun dalam perjalanan ke Teluk Chempedak untuk makan angin sempena cuti sekolah.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Kancil dipandu Idris bergesel dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua pokok palma di kiri jalan.
Anak bongsu Idris kini dirawat di HTAA akibat cedera di kepala manakala Idris hanya cedera ringan.

 

Tiga naik satu motor mati dilanggar – Metro


Tiga naik satu motor mati dilanggar
LANGKAWI: “Anak saya sempat menelefon ibunya sebelum kemalangan ngeri itu, namun panggilannya terputus selepas dirempuh van berkenaan.”

Begitu kata Ridzuan Abdul Rahman, 41, bapa Nur Afipah Ainaa, 16, seorang daripada tiga pelajar yang maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah van pelancong dalam kemalangan di simpang lampu isyarat di Kampung Padang Gaung, Langkawi, semalam.
Kejadian berlaku jam 12 tengah malam menyebabkan ketiga-tiga mangsa maut akibat parah di badan dan kepala selepas van terbabit gagal mengelak motosikal dinaiki mereka yang cuba melakukan pusingan U.

Ridzuan berkata, Nur Afipah bersama rakannya, Nor Hazwani Mansor, 16, membonceng motosikal ditunggangi Yasmin Johari, 17, menghubungi isterinya, Rohana Abdul Hamid, 38, beberapa saat sebelum kejadian. “Selepas panggilan terputus, isteri saya cuba menghubunginya, namun gagal menyebabkan dia mengesyaki sesuatu yang tidak baik berlaku,” katanya.
Menurutnya, perasaan itu ternyata benar selepas dimaklumkan abang kembar Nur Afipah, Mohd Afiq Akmal, 16, bahawa adiknya itu meninggal dunia selepas terbabit kemalangan.
Ridzuan berkata, lebih memilukan apabila dia mengetahui kejadian menimpa Nur Afipah daripada Mohd Afiq Akmal sedangkan lokasi kemalangan berkenaan hanya 100 meter daripada rumah mereka di Taman Medan Berjaya di Langkawi.

Katanya, apabila mendapat tahu anaknya maut dalam kemalangan itu, dia mengalirkan air mata sejurus mengenangkan hasrat arwah mahu menghadiahkan rumah kepada mereka beberapa jam sebelum kejadian.
“Anak saya seorang periang dan terlalu rapat dengan kami termasuk kembar lelakinya yang belajar di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) di Kuala Lumpur.

“Saya mempunyai dua anak dan selepas ketiadaannya, hanya tinggal anak lelaki yang sentiasa mengingatkan saya kepada arwah,” katanya.
Jenazah Nur Afipah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kuah, manakala dua rakannya masing-masing dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Penghulu dan Tanah Perkuburan Islam Masjid Kelibang, Langkawi.