Abang angkat durjana rogol remaja bawah umur – Sinar Harian


Abang angkat durjana rogol remaja bawah umur
ROSILAWATI ROSEDI
6 Jun 2012
KUANTAN – Seorang remaja perempuan bawah umur menjadi mangsa serakah seorang abang angkat dan rakannya apabila dirogol serta dipaksa melakukan persetubuhan luar tabii di sebuah pantai rekreasi di sini pada 28 Mei lalu.
Kedua-dua tertuduh ditangkap sehari selepas kejadian.

Pelajar Tingkatan Tiga itu menjadi mangsa abang angkatnya yang hanya berusia 16 tahun 8 bulan, dari Jalan Gambang di sini manakala rakannya seorang penganggur, Akmal Hakim Abdul Rashid, 22, dari Permatang Badak Jaya telah dihadapkan di Mahkamah Trafik di sini, hari ini.

Akmal dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa dengan niat untuk mencabul kehormatannya di kawasan pantai berhampiran pantai Zoo Teruntuum, Jalan Tembeling Resort di sini kira-kira jam 9 hingga 10 malam.

Tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripda seksaan tersebut jika sabit kesalahan.

Majistret Tuan Ruziani Tuan Lah mengenakan ikat jamin RM2,500 dan menetapkan 3 Julai ini untuk melantik peguam.

Kesatuan guru dan PIBG sokong cadangan wajibkan guru baru miliki Ijazah – Bernama


Kesatuan guru dan PIBG sokong cadangan wajibkan guru baru miliki Ijazah

6 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menyambut baik cadangan kerajaan untuk mewajibkan semua guru baru memiliki ijazah menjelang tahun 2020 sebagai syarat menyertai profesion perguruan.

Presidennya Hashim Adnan berkata langkah tersebut bagi memastikan guru baru yang terpilih untuk mengajar di sesebuah sekolah merupakan mereka yang benar-benar mempunyai kualiti sebagai seorang pendidik.

“Ia cadangan yang bagus malah pada saya tempoh 2020 wajar diawalkan kepada 2017 berdasarkan sistem pendidikan yang jauh lebih baik disediakan kerajaan pada hari ini, sebagai contoh peluang yang disediakan kepada bakal guru untuk menyambung pengajian tanpa perlu membuat sebarang bayaran.

“Justeru, sebaik sahaja tamat pengajian dalam tempoh tiga hingga empat tahun mereka (guru baru) boleh keluar dan terus mengajar di tempat yang ditetapkan dengan kelayakan ijazah yang diperoleh,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini berhubung beberapa cadangan yang terkandung dalam Pelan Pendidikan Strategik Interim: Kementerian Pelajaran Malaysia 2011-2012.

Antara kandungan laporan tersebut termasuklah mewajibkan setiap guru baru memiliki ijazah menjelang tahun 2020 serta pemberian biasiswa pendidikan kepada guru cemerlang yang mendapat purata gred 3.0 ketika pengajian bermula tahun depan.

Selain itu, ia turut menyentuh mengenai khidmat bantuan jurulatih kepada guru baru, program latihan yang melibatkan agensi tempatan dan antarabangsa, menggalakkan guru baru menceburkan diri dalam bidang kemasyarakatan serta pendidikan formal kanak-kanak seawal usia lima tahun.

Hashim dalam masa yang sama mengalu-alukan cadangan kerajaan memberikan bantuan jurulatih dan biasiswa pendidikan kepada bakal guru yang memperoleh keputusan cemerlang ketika pengajian kerana ia menggalakkan golongan tersebut menjadi pendidik yang bertanggungjawab dan berdaya saing.

Ketika diminta mengulas mengenai cadangan menyediakan pendidikan formal seawal usia lima tahun bagi kanak-kanak di negara ini, Hashim berkata ia merupakan pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka pada usia yang lebih awal atau sebaliknya ke sekolah.

“Pendidikan adalah bebas dan bersifat pilihan individu…maka ia terpulang kepada ibu bapa untuk menghantar anak mereka sewal usia lima atau enam tahun ke sekolah bergantung kepada kemampuan dan juga keupayaan kanak-kanak itu sendiri.

“Saya menyokong sekiranya ibu bapa mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan formal seawal usia lima tahun namun dalam masa yang sama tahap keupayaan setiap kanak-kanak adalah berbeza…dalam isu ini unsur paksaan tidak harus berlaku terhadap anak-anak oleh ibu bapa,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata cadangan mewajibkan semua guru baru mempunyai ijazah menjelang tahun 2020 merupakan satu pendekatan yang positif kerana pendidikan merupakan intipati penting dalam pembangunan negara untuk jangka masa panjang.

Katanya, dalam konteks dasar langit terbuka pada hari ini peranan pendidik sangat diperlukan bagi membantu ibu bapa memantau aktiviti anak mereka terutama ketika berada di kawasan sekolah.

“Jika kita masih mengambil guru yang kurang ilmu, saya bimbang mereka tidak mampu menjalankan tugas mereka dengan baik sekaligus tidak dapat menangani masalah dan memimpin murid ke arah yang lebih baik.

“Mengenai pemberian biasiswa, ia merupakan inisiatif yang baik kerana di samping menghargai kecemerlangan mereka, kita juga secara tidak langsung berupaya melahirkan golongan pendidik yang mampu bersaing dengan kelebihan yang ada pada pendidik negara luar seperti di Singapura, Korea Selatan dan Jepun,” katanya.

Mohamed Sabri turut menasihatkan guru-guru baru diberikan pendedahan yang lebih meluas dalam isu kemasyarakatan bagi mengelakkan mereka menghadapi sebarang kesulitan apabila dihantar bertugas ke sesebuah daerah apabila diarahkan.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohd Ali Hassan berkata sama ada seorang guru baru itu mempunyai ijazah atau tidak bukanlah menjadi perkara utama sebaliknya sikap dan profesionalisme golongan itu yang wajar dijadikan keutamaan.

“Pihak kami tidak mempunyai halangan berhubung cadangan tersebut namun apa yang penting adalah sikap guru itu sendiri yang mampu menjalankan tugas mereka dengan baik berasaskan tiga perkara iaitu ASK ‘Attitude, Skills dan Knowledge (Sikap, Kemahiran dan Pengetahuan)’.

“Profesionalisme seorang guru sangat penting kerana bukan ijazah berjela yang kami pihak PIBG pandang tapi tahap dedikasi mereka terhadap profesion perguruan termasuklah dalam aspek mengajar, kesabaran serta proaktif,” katanya.

Mohd Ali berkata mempunyai ijazah asas dalam jurusan sama seperti yang diajar juga perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan guru berasa terbeban dan keliru dengan mata pelajaran yang diajar.

Selain itu, katanya, guru baru sememangnya diharapkan dapat melibatkan diri mereka dalam bidang kemasyarakatan kerana tugas sebagai pendidik bukan sahaja terhad di sekolah. – Bernama

Tawaran Mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012


Tawaran Mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012

Tawaran Mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan
Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012
Untuk mengetahui maklumat lanjut, sila muat turun surat tawaran di bawah.
Muat turun
Surat Tawaran Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani 2012

Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke Program Universiti Sekolah Sukan Malaysia Sesi Akademik 2012


Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke Program Universiti Sekolah Sukan Malaysia Sesi Akademik 2012

Sukacita dimaklumkan bahawa Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke Program Universiti Sekolah Sukan Malaysia Sesi Akademik 2012 telah dibuka bermula hari ini 6 Jun hingga 20 Jun 2012. Semakan boleh dibuat di sini.

Maklumat lanjut lawat http://apps.moe.gov.my/prau/prau.cfm 

Harap maklum.

Hukum anak tanpa guna rotan – Sinar Harian


Hukum anak tanpa guna rotan
FARUSH KHAN
Hari pertama menghantar saya ke sekolah, bapa saya meninggalkan secebis kata keramat kepada guru: “Saya serah anak saya pada cikgu. Hukumlah dia jika salah; janji jangan sampai cacat, sudahlah.”

Saya bertuah mendapat Cikgu Miah sebagai guru besar. Selama empat tahun di awal persekolahan, Cikgu Miah tidak pernah lupa membawa rotan panjang ketika melawat setiap darjah. Beliau merenung tajam pada setiap murid yang dihampirinya, tetapi ironinya, belum pernah sekali pun saya lihat rotan yang diayun ke hulu ke hilir itu singgah ke badan mana-mana murid.

Semua murid suka dan hormat padanya serta patuh pada setiap arahannya. Masuk kelas Special Malay, saya berhadapan dengan guru matematik, Mr Lim. Orangnya gempal dan berperawakan menarik, tetapi ketika mengajar tiada tolak-ansur.

Semua murid gerun dan hormat padanya serta patuh pada setiap arahannya. Setiap kali ujian, semua murid berusaha melepasi 50 markah, kerana jika kurang satu markah, hukumannya satu rotan di punggung dan seterusnya.

Saya kena 16 sebatan; peristiwa yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Ibu bapa saya tanya mengapa saya kena rotan, tetapi tidak menunjukkan sebarang reaksi di depan saya, tetapi saya percaya di belakang saya, mereka tentu gelak pecah perut.

Apa tidaknya, sakitnya kesan sebatan tidak terperi. Untuk beberapa hari saya, terpaksa bertinggung atau duduk atas bantal waktu makan dan meniarap untuk tidur. Selepas itu, saya tidak pernah lagi dapat kurang daripada 50 markah.

Di kampung, saya berhadapan dengan Pak Leman, guru al-Quran. Mirip wajah arwah Ahmad Nesfu, pelakon zaman awal perfileman Melayu, Pak Leman sering tersenyum, tetapi ketika
mengaji, murid lelaki kena jaga-jaga; silap bacaan, rotannya hinggap ke betis macam kilat. Dirotan di sekolah atau di kelas mengaji, saya tidak pernah mengadu, sebab di rumah, bukan lagi rotan.

Kalau balik selepas azan Maghrib, umpamanya, hukumannya kayu bakau. Hari ini penggunaan rotan di sekolah sering kali menjadi isu kontroversi hingga diharamkan pada 2004, walaupun guru besar dibenarkan merotan murid di dalam darjah di hadapan saksi.

Beberapa pihak meluahkan kebimbangan dengan peningkatan kes disiplin murid dan mencadangkan beberapa langkah untuk menangani masalah itu. Kebimbangan mereka tidak boleh dipandang ringan.

Kementerian Pelajaran melaporkan 16,000 kes ponteng di sekolah rendah antara 2010 dan 2011. Di sekolah menengah bilangannya 11,000 pada 2010 dan 10,488 tahun sebelumnya. Banyak tindakan telah diambil bagi menangani masalah disiplin murid; peraturan dikuatkuasakan, kempen dan pemeriksaan mengejut dilancarkan, talian panas dan badan pencegah jenayah diperkenalkan.

Itu tidak masuk bantuan pengawasan polis dan guru kaunseling, namun kesannya tidak seberapa. Jadi apakah rotan dapat membantu menukar anak-anak kita yang kurang berdisiplin kepada insan yang lebih baik?

Yang ketara rotan barangkali boleh menimbulkan perasaan takut, tetapi tidak semestinya hormat dan sesuatu yang dipatuhi tanpa hormat biasanya tidak bertahan lama.

Kerana malu dan marah, tindakan merotan boleh wujudkan sikap memberontak dan akibatnya lebih buruk. Apa lagi di zaman sekarang apabila remaja lebih terdedah kepada pelbagai anasir melalui Internet dan pergaulan, dengan lebih ramai ibu bapa bekerja dan guru yang kurang komited.

Sebab itu, pakar psikologi selalu mengingatkan ibu bapa supaya menjaga tindakan dan amalan supaya menjadi tauladan kepada anak-anak, mendidik anak supaya menjadi matang, tidak mudah marah dan stres.

Sekiranya ibu bapa tidak dapat mendidik anak menjadi insan baik dan berguna, janganlah salahkan guru jika tidak dihormati murid. Ibu bapa yang terlalu melindungi anak daripada tindakan guru hingga tidak boleh dijentik dan dimarahi mengundang bahaya.

Kes-kes di mana ibu bapa bertindak melaporkan hukuman guru yang agak tegas terhadap murid hanya menimbulkan perasaan takut dalam kalangan guru untuk terus menanamkan disiplin dalam kalangan murid. Mereka mengajar hanya untuk memenuhi tugas, tidak lebih daripada itu.

Ada pakar psikologi yang berasa sebenarnya rotan bukan satu-satunya cara untuk menjaga disiplin. Disiplin juga perlu ditanam melalui kaedah hadiah. Maknanya mereka yang tidak berdisiplin dihukum, sementara yang baik diberi hadiah.

Tidak memberi benda yang mereka suka seperti ais krim, menonton TV, makanan segera, main permainan di komputer juga dikira sejenis hukuman. Ia membuat mereka ‘sakit’ dan menyesal dan berazam tidak mahu mengulangi kesalahan.

Wajah ceria ditangkap khalwat – Sinar Harian


Wajah ceria ditangkap khalwat
WARTAWAN SINAR HARIAN
6 Jun 2012

Empat remaja yang berjaya ditahan SRS Sungai Limau ketika disoal siasat oleh
polis kerana disyaki melakukan maksiat di Jambatan Pulau Bunting.
SUNGAI LIMAU DALAM (Yan) – “Mereka tidak sedikit pun rasa gusar atau cuak setelah kami menahan mereka malah kelihatan ceria dan bersikap selamba,” demikian kata Pengerusi Skim Rondaan Sukarela (SRS) Sungai Limau Dalam, Shaharudin Abd Razak, 47, ketika menahan empat remaja di Jambatan Pulau Bunting, awal pagi semalam, kerana disyaki melakukan perbuatan maksiat.

Shaharudin berkata, sikap empat remaja terbabit yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berumur antara 25 hingga 17 tahun itu membimbangkan pihaknya berikutan sikap remaja pada masa kini yang tidak takut dengan perbuatan mereka malah bersikap selamba selepas ditahan seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Menurutnya, semasa melakukan rondaan jam 12 tengah malam, pihaknya mendapat maklumat bahawa terdapat remaja yang berada di jambatan terbabit lewat tengah malam dan segera ke lokasi bagi meninjau keadaan.

“Setelah dalam perjalanan ke jambatan itu, kami dapati remaja terbabit dapat menghidu kehadiran kami dan cuba beredar dari lokasi dengan menaiki dua motosikal secara berasingan
lelaki dan perempuan.

“Namun kami berjaya menahan mereka sebelum dibawa ke Dewan Datuk Badruddin di sini, kira-kira jam 2.30 pagi tadi (semalam) untuk disoal siasat mengapa mereka berada di jambatan terbabit dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Shaharudin berkata, bagaimanapun empat remaja terbabit enggan memberikan kerjasama setelah diminta untuk memberikan nombor telefon ibu bapa atau ahli keluarga masing-masing.

Pihaknya kemudian menghubungi polis bagi menyerahkan empat remaja berkenaan kerana mereka tidak mempunyai lesen memandu dan dua remaja perempuan itu tidak membawa kad pengenalan bersama.

“Dua remaja perempuan itu berasal di daerah ini iaitu seorang dari Titi Serong dan seorang lagi dari Sungai Udang manakala dua remaja lelaki berkenaan berasal dari Pokok Sena.

“Setelah pihak polis menyoal siasat mereka, seorang daripada remaja perempuan itu mengatakan dia pernah ditangkap khalwat di kaki Gunung Jerai dan kesnya masih dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Shaharudin berkata, Jambatan Pulau Bunting selalu dijadikan lokasi pilihan remaja untuk melakukan maksiat atau terlibat masalah sosial lain khususnya pada waktu lewat tengah malam kerana keadaan jambatan itu yang gelap.

Tambahnya lagi, dia berharap ibu bapa dan ahli keluarga memainkan peranan masing-masing dalam membendung anak mereka daripada keluar lewat malam untuk terlibat dalam
aktiviti tidak berfaedah seperti itu.

“Kami juga selalu melakukan rondaan bagi membendung gejala seperti ini khususnya di Jambatan Pulau Bunting ini.

“Selalunya mereka yang terlibat dan berjaya ditahan kami ialah mereka yang datang dari kawasan luar khususnya dari daerah lain,” katanya.

Noraini akan ke sekolah semula – Kosmo


Noraini akan ke sekolah semula
Oleh TOREK SULONG
berita@kosmo.com.my
BACHOK – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Bachok bersedia menyalurkan bantuan kepada keluarga Esah Ya, 50, yang dihimpit kemiskinan termasuk dihalau ibu saudara kandungnya keluar dari rumah pusaka datuknya di Kampung Changgung dekat sini baru-baru ini kerana perbezaan fahaman politik.

Pegawai Pelajaran Daerah, Saupi Majid berkata, bantuan yang boleh disalurkan adalah membantu anak bongsu keluarga berkenaan, Noraini Che Mohd. Nor, 16, menyambung semula persekolahan.

Beliau berkata, adalah tidak munasabah masalah kemiskinan keluarga menyebabkan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Nipah itu terpaksa berhenti sekolah.

“Pihak kami hanya mengetahui kes ini menerusi laporan media baru-baru ini dan saya yakin pihak sekolah tidak membuang pelajar terbabit dalam senarai pendaftaran pelajarnya.

“Kami akan meneliti laporan pihak sekolah berkaitan perkara ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ponteng sekolah serah ‘mahkota diri’ – Metro


Ponteng sekolah serah ‘mahkota diri’
IPOH: Terpedaya janji manis dan ‘mabuk’ dengan pemberian hadiah barangan kemas menyebabkan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun nekad ponteng sekolah beberapa hari semata-mata mahu bertemu teman lelaki yang dikenalinya menerusi laman sosial, sebelum dia dirogol lelaki berkenaan.

Nasib malang pelajar tingkatan satu itu bermula sebaik dia mengenali seorang remaja berusia 16 tahun menerusi laman sosial facebook bermula akhir tahun lalu, sebelum membuat keputusan bertemu buat kali pertama pada 25 Mei lalu.
Bermula dengan pertemuan itu, mangsa sanggup ponteng sekolah semata-mata mahu bertemu dengan teman lelakinya itu selain sanggup bersembunyi dua hari di rumah keluarga pasangannya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang pada 25 Mei lalu itu, keluarga mangsa membuat laporan polis selepas mendapati mangsa tidak pulang ke rumah seperti biasa.
Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, mangsa ditemui selamat dihantar ibu teman lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas menyembunyikan diri. Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 29, berkata, dia menghubungi guru disiplin di sekolah adiknya itu sebelum dimaklumkan adiknya tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.
Beliau berkata, dia sekeluarga mencari adiknya di merata tempat termasuk bertanyakan kepada rakan sekolah, namun gagal.

“Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, saya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memaklumkan adik saya ada bersamanya.
“Ketika ditemui, adik saya mengaku melakukan hubungan seks dengan teman lelakinya itu,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN), di sini semalam.

Katanya, dia mengesyaki perubahan sikap ketara pada adiknya selepas menjalinkan perkenalan dengan teman lelakinya itu termasuk sering ponteng sekolah, mengabaikan pelajaran dan berubah sikap.
Lee berkata, adiknya turut mengakui pernah menerima pelbagai barangan kemas termasuk rantai dan cincin emas yang dihadiahkan remaja lelaki itu.
“Saya percaya lelaki berkenaan memperdaya adik saya dengan pelbagai hadiah sebelum merogolnya.
“Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap remaja lelaki berkenaan termasuk ahli keluarga remaja itu yang bertindak menyembunyikan adik saya selama dua hari di rumah mereka pada akhir Mei lalu,” katanya.
Ketua Urusetia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai kes rogol yang berpunca dari perkenalan di laman sosial sejak tahun lalu.
Beliau berkata, empat daripada kes berkenaan membabitkan kes rogol dan kebanyakan mangsa berusia antara 13 hingga 20 tahun.
“Justeru, saya meminta ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengawasi tingkah laku anak masing-masing,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Remaja dirogol kenalan Facebook – Berita Harian


Remaja dirogol kenalan Facebook
Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my
2012/06/06
PELAJAR Tingkatan Satu dirogol remaja berusia 16 tahun yang ditemui di Pusat Khidmat BN, Ipoh semalam.
Mangsa terpedaya pemberian barang kemas

IPOH: Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun menjadi mangsa rogol seorang kenalan yang dikenali dari laman sosial Facebook selepas terpedaya dengan janji manis serta pemberian barang kemas daripada remaja lelaki terbabit.
Pelajar Tingkatan Satu itu mula mengenali remaja berusia 16 tahun dan sering berhubung menerusi Facebook sebelum membuat keputusan mengadakan pertemuan kali pertama pada 25 Mei lalu.
Adik saya turut akui menerima pelbagai barang kemas, termasuk rantai dan cincin. – Lee, Abang mangsa Malah, mangsa ponteng sekolah beberapa hari dan bersembunyi dua hari di rumah keluarga pasangannya itu untuk melepaskan rindu sebaik berjumpa sehingga menyebabkan keluarga mangsa membuat laporan polis, kira-kira jam 3 petang, 25 Mei kerana anak mereka tidak pulang ke rumah.

Bagaimanapun, selang dua hari kemudian, mangsa ditemui selamat selepas dihantar ibu teman lelakinya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Abang mangsa yang mahu dikenali sebagai Lee, 29, berkata dia mengesyaki perubahan sikap ketara pada adiknya selepas menjalinkan perkenalan dengan teman lelakinya itu, termasuk sering ponteng sekolah, mengabaikan pelajaran dan berubah sikap.

“Adik saya turut mengakui pernah menerima pelbagai barang kemas, termasuk rantai dan cincin emas dihadiahkan remaja itu.
“Saya percaya lelaki itu memperdayakan adik saya dengan pelbagai hadiah sebelum bertindak merogolnya,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Barisan Nasional (BN) di sini, semalam.

Katanya, dia dan keluarga meminta polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap remaja lelaki terbabit, termasuk ahli keluarga lelaki itu kerana bersubahat menyembunyikan adiknya selama dua hari di rumah mereka.

Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak, Mohd Rawi Abdullah, berkata pihaknya menerima banyak aduan mengenai kes rogol yang berpunca daripada perkenalan di laman sosial sejak tahun lalu.

Katanya, empat daripada kes berkenaan membabitkan kes rogol di mana kebanyakan mangsanya berusia lingkungan antara 13 hingga 20 tahun.

“Justeru, saya meminta ibu bapa dan penjaga supaya dapat mengawasi tingkah laku anak masing-masing. Selain itu, pihak polis juga perlu memandang serius tingkah laku pelajar mereka dan segera memaklumkan kepada ibu bapa pelajar bagi mengelak masalah terus berlarutan,” katanya.

Remaja dirogol kenalan Facebook – Utusan


Remaja dirogol kenalan Facebook
MANGSA rogol (kiri) ditemubual oleh wartawan selepas mengaku dirogol kenalan di Facebook di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak di Ipoh, semalam.
IPOH 5 Jun – Gara-gara keasyikan cinta Facebook, seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun bukan sahaja sanggup ponteng sekolah untuk bertemu teman lelakinya malah, beberapa kali menjadi mangsa rogol suspek yang dikenalinya melalui laman sosial itu pertengahan tahun lalu.

Remaja perempuan itu pertama kali dirogol oleh remaja berusia 16 tahun pada November tahun lalu ketika dia masih berusia 12 tahun.

Mangsa memberitahu, dia mula mengenali lelaki itu yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Kuala Lumpur melalui Facebook pada pertengahan tahun lalu.

“Walaupun bekerja di Kuala Lumpur, dia selalu pulang ke rumah keluarganya di sini. Kami selalu berjumpa di sebuah pasar raya di Bercham dan sanggup ponteng sekolah untuk bertemu dengannya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, di sini hari ini.