Hukum anak tanpa guna rotan – Sinar Harian


Hukum anak tanpa guna rotan
FARUSH KHAN
Hari pertama menghantar saya ke sekolah, bapa saya meninggalkan secebis kata keramat kepada guru: “Saya serah anak saya pada cikgu. Hukumlah dia jika salah; janji jangan sampai cacat, sudahlah.”

Saya bertuah mendapat Cikgu Miah sebagai guru besar. Selama empat tahun di awal persekolahan, Cikgu Miah tidak pernah lupa membawa rotan panjang ketika melawat setiap darjah. Beliau merenung tajam pada setiap murid yang dihampirinya, tetapi ironinya, belum pernah sekali pun saya lihat rotan yang diayun ke hulu ke hilir itu singgah ke badan mana-mana murid.

Semua murid suka dan hormat padanya serta patuh pada setiap arahannya. Masuk kelas Special Malay, saya berhadapan dengan guru matematik, Mr Lim. Orangnya gempal dan berperawakan menarik, tetapi ketika mengajar tiada tolak-ansur.

Semua murid gerun dan hormat padanya serta patuh pada setiap arahannya. Setiap kali ujian, semua murid berusaha melepasi 50 markah, kerana jika kurang satu markah, hukumannya satu rotan di punggung dan seterusnya.

Saya kena 16 sebatan; peristiwa yang tidak akan saya lupa sampai bila-bila. Ibu bapa saya tanya mengapa saya kena rotan, tetapi tidak menunjukkan sebarang reaksi di depan saya, tetapi saya percaya di belakang saya, mereka tentu gelak pecah perut.

Apa tidaknya, sakitnya kesan sebatan tidak terperi. Untuk beberapa hari saya, terpaksa bertinggung atau duduk atas bantal waktu makan dan meniarap untuk tidur. Selepas itu, saya tidak pernah lagi dapat kurang daripada 50 markah.

Di kampung, saya berhadapan dengan Pak Leman, guru al-Quran. Mirip wajah arwah Ahmad Nesfu, pelakon zaman awal perfileman Melayu, Pak Leman sering tersenyum, tetapi ketika
mengaji, murid lelaki kena jaga-jaga; silap bacaan, rotannya hinggap ke betis macam kilat. Dirotan di sekolah atau di kelas mengaji, saya tidak pernah mengadu, sebab di rumah, bukan lagi rotan.

Kalau balik selepas azan Maghrib, umpamanya, hukumannya kayu bakau. Hari ini penggunaan rotan di sekolah sering kali menjadi isu kontroversi hingga diharamkan pada 2004, walaupun guru besar dibenarkan merotan murid di dalam darjah di hadapan saksi.

Beberapa pihak meluahkan kebimbangan dengan peningkatan kes disiplin murid dan mencadangkan beberapa langkah untuk menangani masalah itu. Kebimbangan mereka tidak boleh dipandang ringan.

Kementerian Pelajaran melaporkan 16,000 kes ponteng di sekolah rendah antara 2010 dan 2011. Di sekolah menengah bilangannya 11,000 pada 2010 dan 10,488 tahun sebelumnya. Banyak tindakan telah diambil bagi menangani masalah disiplin murid; peraturan dikuatkuasakan, kempen dan pemeriksaan mengejut dilancarkan, talian panas dan badan pencegah jenayah diperkenalkan.

Itu tidak masuk bantuan pengawasan polis dan guru kaunseling, namun kesannya tidak seberapa. Jadi apakah rotan dapat membantu menukar anak-anak kita yang kurang berdisiplin kepada insan yang lebih baik?

Yang ketara rotan barangkali boleh menimbulkan perasaan takut, tetapi tidak semestinya hormat dan sesuatu yang dipatuhi tanpa hormat biasanya tidak bertahan lama.

Kerana malu dan marah, tindakan merotan boleh wujudkan sikap memberontak dan akibatnya lebih buruk. Apa lagi di zaman sekarang apabila remaja lebih terdedah kepada pelbagai anasir melalui Internet dan pergaulan, dengan lebih ramai ibu bapa bekerja dan guru yang kurang komited.

Sebab itu, pakar psikologi selalu mengingatkan ibu bapa supaya menjaga tindakan dan amalan supaya menjadi tauladan kepada anak-anak, mendidik anak supaya menjadi matang, tidak mudah marah dan stres.

Sekiranya ibu bapa tidak dapat mendidik anak menjadi insan baik dan berguna, janganlah salahkan guru jika tidak dihormati murid. Ibu bapa yang terlalu melindungi anak daripada tindakan guru hingga tidak boleh dijentik dan dimarahi mengundang bahaya.

Kes-kes di mana ibu bapa bertindak melaporkan hukuman guru yang agak tegas terhadap murid hanya menimbulkan perasaan takut dalam kalangan guru untuk terus menanamkan disiplin dalam kalangan murid. Mereka mengajar hanya untuk memenuhi tugas, tidak lebih daripada itu.

Ada pakar psikologi yang berasa sebenarnya rotan bukan satu-satunya cara untuk menjaga disiplin. Disiplin juga perlu ditanam melalui kaedah hadiah. Maknanya mereka yang tidak berdisiplin dihukum, sementara yang baik diberi hadiah.

Tidak memberi benda yang mereka suka seperti ais krim, menonton TV, makanan segera, main permainan di komputer juga dikira sejenis hukuman. Ia membuat mereka ‘sakit’ dan menyesal dan berazam tidak mahu mengulangi kesalahan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s