Ibu sempat hubungi anak sebelum kemalangan – Utusan


Ibu sempat hubungi anak sebelum kemalangan

LANGKAWI 5 Jun – Seorang ibu sempat berbual beberapa minit dengan anak perempuannya menerusi telefon bimbit sejurus sebelum remaja itu maut selepas motosikal yang dinaikinya bersama dua lagi rakannya dirempuh sebuah van di simpang lampu isyarat Kuah di sini semalam.

Rohana Abdul Hamid, 38, berkata, itu perbualan terakhir antaranya dan Nur Afiqah Ainaa Ridzuan, 16, sebelum talian telefon tiba-tiba terputus.

“Kami tidak sempat menghabiskan perbualan. Selepas itu timbul rasa bimbang, jadi saya hubunginya semula tetapi talian telefonnya tidak dapat dihubungi.

“Tidak lama kemudian, abang kembar arwah, Mohd. Afiq Akmal, 16, menghubungi kami dan memaklumkan mangsa terlibat kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, Nur Afiqah Ainaa dan dua rakannya, Yasmin Johan, 17, dan Nor Hazwani Mansor, 16, maut selepas motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah van di simpang lampu isyarat Kuah.

67.5 peratus pelajar 13-18 tahun alami masalah jerawat – Utusan


67.5 peratus pelajar 13-18 tahun alami masalah jerawat

KUALA LUMPUR 5 Jun – Kajian pasukan penyelidik dari Unit Pembangunan Panduan Amalan Klinikal (CPG), Kementerian Kesihatan mendapati 67.5 peratus pelajar berumur 13 hingga 18 tahun dari dua buah sekolah menengah mengalami masalah jerawat.

Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, angka itu adalah tinggi dan membimbangkan kerana berlaku di kalangan remaja yang sensitif terhadap keterampilan diri dan boleh menyebabkan gangguan emosi.

Sehubungan itu, menurutnya, satu set buku CPG terbaru berkenaan jerawat akan diedarkan ke semua hospital dan klinik kesihatan seluruh negara dalam masa terdekat bagi memberi pendedahan mengenai cara mengatasi dan mengubati masalah tersebut secara lebih berkesan.

“Pendedahan mengenai cara mengatasi masalah jerawat ini perlu dilakukan bagi mengelak gangguan emosi terutamanya di peringkat remaja,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku tersebut di sini hari ini.

Nyaris hilang anak gara-gara tinggalkan dalam kereta – Bernama


Nyaris hilang anak gara-gara tinggalkan dalam kereta

5 Jun 2012
JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah menempuh detik mencemaskan apabila anaknya yang ditinggalkan dalam kereta dengan enjin yang masih hidup, dilarikan seorang lelaki di Bandar Baru Kangkar Pulai dekat sini, pagi semalam.

Bagaimanapun, Khazlim Saat, 35, boleh menarik nafas lega selepas anak bongsunya, Mohd Ryan Hazim, 2, berjaya ditemui sejam kemudian dan detik itu memberi pengajaran yang cukup bermakna kepadanya.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, beliau meninggalkan dua anak perempuannya, Nor Sabrina Damiah, 6, dan Nor Sofea Hadirah, 4, serta Mohd Ryan dalam kereta untuk membeli barang di sebuah kedai runcit di kawasan berkenaan.

“Sebelum keluar, saya sudah mengunci pintu kereta, tetapi tidak lama selepas itu, Damiah datang kepada saya dan belum sempat dia membuka mulut saya terdengar Hadirah menjerit.

“Saya terus keluar dari kedai runcit dan ternampak Hadirah berada di luar kereta sambil menjerit dan dalam sekelip mata, kereta saya dalam keadaan pintu yang masih terbuka dilarikan oleh seorang lelaki dengan anak bongsu saya berada dalam kereta,” katanya.

Beliau yang tidak menyangka dengan insiden itu, berkata dengan bantuan orang ramai mereka melaporkan kejadian itu kepada polis.

Khazlim berkata beliau juga sempat menghubungi suaminya Mohd Hisham Rahiman, 35, rakan-rakan serta jirannya untuk membantu mencari anaknya itu.

Katanya tidak sampai sejam selepas itu, polis Nusajaya menerima laporan mengenai penemuan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditinggalkan di hadapan sebuah restoran, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

“Saya merasa amat bersyukur kerana anak saya berjaya ditemui dengan keadaan selamat walaupun cedera sedikit di kening mungkin terhantuk semasa kenderaan itu dipandu laju.

“Ia juga menjadi pengajaran kepada saya untuk tidak lagi meninggalkan anak dalam kereta walau sekejap. Saya harap ibu bapa lain dapat mengambil iktibar daripada kejadian yang saya alami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Nor Hashim Mohamad berkata polis telah menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mengesan kenderaan milik mangsa sebaik menerima laporan.

“Dengan bantuan orang ramai, kami berjaya mengesan kenderaan tersebut kira-kira pukul 11.30 malam semalam di Jalan Trus dan menahan tiga lelaki berumur antara 24 dan 26 tahun,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki terbabit juga terlibat dengan penyalahgunaan dadah selain dipercayai mempunyai kaitan dengan tujuh kes kecurian kenderaan sekitar Nusajaya dan Johor Baharu Selatan.

Mereka kini direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan. – Bernama