‘Handle’ basikal tusuk ke perut – Sinar Harian


‘Handle’ basikal tusuk ke perut
ADILA SHARINNI WAHID
7 Jun 2012

Muhammad Shahrul Nizam dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan
dilaporkan stabil.
KOTA BHARU – Hasrat seorang kanak-kanak 11 tahun bermain bola di padang berhampiran rumahnya bertukar igauan ngeri apabila ‘handle’ basikal ditunggang tertusuk sedalam hampir seinci pada perutnya setelah dia terjatuh dari basikal itu, petang kelmarin.

Muhammad Shahrul Nizam Shahrul bagaimanapun bernasib baik apabila tusukan batang besi itu tidak kena pada organ penting dalam perutnya. Pun begitu, pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan Wakaf Stan tersebut menerima beberapa jahitan dan kini dirawat Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Muhammad Shahrul Nizam berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, dia baru sahaja keluar dari rumah bersama seorang lagi rakan untuk ke padang menjalani latihan bola sepak berdekatan rumah.

Katanya, tiba di satu selekoh beberapa meter dari rumahnya, dia ternampak seekor ular menyusur di hadapan basikal menyebabkan Muhammad Shahrul memberhentikan basikal itu secara mengejut, namun nasib tidak menyebelahinya apabila dia terjatuh.

“Ketika itu, ‘handle’ terpacak pada jalan dan perut saya betul-betul kena pada ‘handle’ serta menembusinya. Saya cuba bangun, tetapi, apabila ternampak lubang di perut, saya jadi takut,” katanya ketika ditemui di hospital berkenaan, tengah hari, semalam.

Ibu mangsa, Suriani Yahya, 33, berkata, dia menerima panggilan telefon dari seorang jiran memaklumkan anaknya terjatuh basikal dan mengalami kecederaan.

“Pada masa itu, saya dan suami, Shahrul Yahya, 40, berada di klinik berdekatan membawa anak kedua kami yang berusia sembilan bulan menjalani temu janji. Mulanya, saya ingat hanya luka biasa, tetapi apabila tiba di tempat kejadian saya panik melihat dia terbaring atas jalan raya.

“Saya cuba buka kapas yang diletakkan jiran pada lubang perut Muhammad Shahrul Nizam, namun dia menangis menyebabkan kami bergegas membawanya ke hospital

“Dia bagaimanapun dilaporkan stabil dan sedar selepas keluar dari bilik pembedahan, semalam,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s