Seminar PMR 2012 – Berita Harian


Seminar PMR 2012
2012/06/08

PERTANYAAN boleh hubungi Urus Setia Seminar Mariyahtul Kabtiyah Ree 03-22822323 sambungan 4772 dan Hadri Harith sambungan 4769.

Pendaftaran juga boleh dibuat menggunakan borang penyertaan yang disiarkan dalam Berita Harian dan sisipan Minda.
SHAH ALAM: Pusat Tuisyen al-Hikmah, No.73A & B, Jalan Pelabur B, 23/B, seksyen 23, Shah Alam (03-55421598/03-55411771). Seminar diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) . Tarikh: 16 dan 17 Jun.
UIAM GOMBAK: Kios Pendidikan, Berita Harian, Balai Berita, 31, Jalan Riong, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut hubungi Urus Setia (Mariyahtul Kabtiyah Ree 03-22822323 samb. 4772 dan Hadri Harith samb, 4769 atau Muhd Naufal 019-3374553/017-6685923. Tempat: Dewan Auditorium A, Fakulti Kejuruteraan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Tarikh: 23- 24 Jun.

KEDAH (UUM): Seminar akan diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM). Pertanyaan boleh menghubungi Shamsuddin Oli (017-4729890). Tarikh: 6 dan 7 Julai.

PERLIS: Hubungi Shamsuddin Oli (017-4729890). Tarikh: 7 dan 8 Julai.

KUALA LUMPUR: Seminar akan diadakan di Dewan Seminar Anjung Riong, NSTP Jalan Riong. Pertanyaan juga boleh menghubungi Urus Setia Seminar (Mariyahtul Kabtiyah Ree 03-22822323 samb. 4772 dan Hadri Harith samb, 4769. Tarikh: 30 Jun dan 1 Julai

Keselamatan pelajar tugas teras polis: KPN – Bernama


Keselamatan pelajar tugas teras polis: KPN
2012/06/08

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, hari ini menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat termasuk pelajar sekolah adalah tugas dan tanggungjawab teras Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehubungan itu, beliau berkata polis akan terus membantu pihak sekolah meningkatkan kawalan dan rondaan di sekolah di sekitar Lembah Klang terutama pada waktu puncak persekolahan.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, semalam bahawa kementerian akan memperluaskan skop rondaan bersama antara PDRM dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah termasuk sekolah antarabangsa di Lembah Klang.
PDRM menyambut baik kenyataan itu, kata Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Rahim turut berkata, langkah itu sebagai meneruskan inisiatif ‘omnipresence’ di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara.

‘Omnipresence’ merujuk kepada kehadiran polis yang dapat mengurangkan perasaan takut menjadi mangsa jenayah dalam kalangan orang ramai, meluaskan pembabitan antara rakyat dan pasukan keselamatan serta menjadi penghalang kepada bakal penjenayah. – BERNAMA

SPA ke sekolah, IPT beri penerangan peluang kerja – Bernama


SPA ke sekolah, IPT beri penerangan peluang kerja
2012/06/08

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan turun padang ke sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk sesi penerangan kepada pelajar berhubung pelbagai peluang pekerjaan dalam sektor awam.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam, berkata lawatan itu akan diadakan dalam masa terdekat untuk menarik minat mereka berkhidmat sebagai penjawat awam sebaik menamatkan pembelajaran.
Mahmood berkata, masih banyak pihak belum tahu kemudahan-kemudahan yang dinikmati penjawat awam antaranya peluang kenaikan pangkat, pinjaman perumahan, kenderaan dan komputer serta peluang melanjutkan pelajaran yang ditanggung kerajaan.
“Dengan sesi penerangan itu, kita harap minat itu bertambah. Kita pun sudah sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan beliau setuju minta kita turun ke bawah ‘go to the ground’ berjumpa dengan pelbagai pihak untuk memberi penerangan.

“Perdana Menteri juga mahu supaya penjawat awam yang akan dilantik ini nanti seorang yang profesional, berinisiatif, proaktif, berfikiran terbuka dan positif,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog SPA bersama kementerian, jabatan dan pentadbiran negeri di bawah bidang kuasa SPA di sini hari ini.

Mahmood juga berkata, SPA akan mengadakan pertemuan dengan parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan pandangan berhubung isu kekurangan penyertaan bukan Bumiputera dalam sektor awam seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

“Laporan (mengenai kekurangan penyertaan bukan Bumiputera) sudah ada. Cuma kita nak dapat lebih terperinci lagi. Kita nak faham apa masyarakat Cina, India dan kaum-kaum lain nak. Apa masalah dia. Kenapa dia tidak tertarik dalam sektor awam,” katanya.
Baru-baru ini SPA memaklumkan, pada tahun lalu hanya 20 peratus kaum bukan Bumiputera memohon pekerjaan dalam sektor awam iaitu masing-masing dua peratus untuk kaum India dan Cina dan 16 peratus lagi kaum-kaum lain berbanding 80 peratus permohonan daripada calon Bumiputera. – BERNAMA

Sekolah perlu bebas Aedes sebelum persekolahan bermula – Bernama


Sekolah perlu bebas Aedes sebelum persekolahan bermula

8 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan meminta pihak pengurusan semua sekolah di seluruh negara supaya memastikan kawasan persekitarannya bersih dan bebas daripada pembiakan Aedes sebelum sesi persekolahan bermula setelah bercuti dua minggu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata pihak sekolah perlu mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk memastikan mangkuk tandas dipam, memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik (Abate) dalam kolah atau takungan besar serta menyembur Aerosol ke dalam kelas-kelas yang tertutup sepanjang cuti persekolahan sejak 25 Mei lepas.

Beliau berkata tindakan kompaun maksimum sebanyak RM500 akan dikenakan terhadap pengetua atau guru besar sekolah yang didapati membiarkan sekolah menjadi tempat pembiakan aedes.

“Pemeriksaan kementerian terhadap 10,591 sekolah dari Januari sehingga 25 Mei lepas mendapati 723 sekolah mempunyai kawasan pembiakan aedes,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bagi tempoh itu, katanya sebanyak 554 kompaun telah dikeluarkan kementerian dengan nilai kompaun RM277,000.

Dr Hasan turut mengingatkan masyarakat bahawa tanggungjawab membersihkan kawasan persekitaran kediaman bukan hanya terletak di bahu Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan sebaliknya menjadi agenda masyarakat setempat.

“Jawatankuasa Penduduk perlu mengatur program gotong-royong apabila mendapati kawasan persekitaran tidak bersih dan berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Menurutnya kes denggi mulai Januari hingga 2 Jun tahun ini telah meningkat sebanyak 19 peratus kepada 10,352 berbanding 8,720 kes bagi tempoh sama tahun lepas di seluruh negara.

Malah, kematian akibat denggi juga meningkat kepada 20 bagi tahun ini berbanding 14 orang tahun lepas, katanya.

Beliau berkata bagi tempoh 27 Mei hingga 2 Jun lepas, sebanyak 349 kes dilaporkan dengan lima negeri menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya.

Negeri berkenaan ialah Sarawak dengan tujuh kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (empat), Perlis (tiga), Terengganu (tiga) dan Negeri Sembilan (satu kes).

Selain itu, sebanyak 69 lokaliti dikenal pasti mengalami wabak denggi yang melibatkan 17 daerah tetapi tiada lokaliti ‘hot spot’ dilaporkan.

Kementerian Kesihatan turut mendapati 1,026 premis menjadi kawasan pembiakan aedes daripada 66,907 premis yang diperiksa pada minggu lepas, kata Dr Hasan. – Bernama

Polis cari kereta proton saga guru parah disamun – Bernama


Polis cari kereta proton saga guru parah disamun

8 Jun 2012
PETALING JAYA – Polis kini mencari kereta Proton Saga milik guru wanita, yang diculik dan koma, setelah mangsa disamun oleh penjenayah dan ditinggalkan di ladang kelapa sawit di Kuala Selangor Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata polis sedang mencari kenderaan Proton Saga itu yang dilarikan penjenayah itu.

Beliau berkata siasatan awal polis juga mendapati guru itu telah disamun sebelum dipukul dengan teruk sehingga menyebabkan mangsa kini koma dan dirawat di Hospital Sungai Buloh, dekat sini.

“Polis telah menerima laporan daripada seorang lelaki mengenai guru itu yang ditemui dalam keadaan cedera teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai kehilangan guru itu, 51, oleh suaminya setelah beliau keluar dari rumahnya di Kinrara, Puchong pada Rabu lepas.

Guru itu ditemui pada hari yang sama dengan keadaan cedera teruk di bahagian muka sehingga sukar untuk suaminya mengecam mangsa.

Mohd Adnan berkata siasatan awal mendapati wanita itu telah keluar awal untuk berjoging sebelum dilarikan penjenayah.

“Polis kini menyiasat kes itu mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika menyamun,” katanya.

Selain itu polis turut mencari dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes cubaan menculik seorang wanita di tempat letak kereta di kompleks membeli-belah di The Curve, Damansara, di sini pada 27 Mei lepas.

“Kedua-dua lelaki itu dicam melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kompleks membeli belah berkenaan. Kita minta orang ramai bantu kita memberikan maklumat,” katanya. – Bernama

Membawa seni grafiti ke sekolah – Bernama


Membawa seni grafiti ke sekolah
KURNIAWATI KAMARUDIN
8 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Menghasilkan sebuah karya lukisan di dinding sekolah untuk ditinggalkan kepada guru dan generasi pelajar seterusnya pasti mengundang rasa bangga kepada si pelukis.

Lebih manis lagi apabila segala idea, kreativiti yang dicurahkan untuk menghasilkan lukisan itu mendapat pengiktirafan.

Bagi sepuluh pelajar perempuan tingkatan lima, Sekolah Menengah Perempuan Asunta, Petaling Jaya, lukisan grafiti yang dihasilkan di dinding bangunan galeri seni di sekolah adalah kenangan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Ia juga bukti kecintaan mereka kepada sekolah yang bakal ditinggalkan tidak lama lagi.

Persekitaran positif di sekolah

Usaha kali pertama menghasilkan lukisan grafiti itu melayakkan Sekolah Menengah (P) Asunta memenangi pertandingan seni grafiti “Gempaknya My School” anjuran Bumblebee Consultancy bersama Sony Malaysia baru-baru ini.

Merupakan satu-satunya sekolah perempuan yang menyertainya, lukisan grafiti yang bertajuk “Sony Memuaskan Citarasa Semua”, berjaya menewaskan tujuh buah sekolah lain di Lembah Klang antaranya, Sekolah Menegah Kebangsaan Taman Desa, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama 4, Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Buloh.

Pengarah Projek “Gempaknya My School”, Christine Ngh, berkata pertandingan melukis grafiti itu bertujuan mendedahkan pelajar mengenai seni grafiti secara positif untuk lebih mengenalinya selain meningkatkan hubungan baik antara pihak sekolah dan pelajar.

“Ia juga bagi membina keyakinan diri pelajar, kepimpinan dan komunikasi serta bekerja dalam satu pasukan selain berpeluang untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada mereka yang terlibat secara profesional dalam bidang itu,” katanya.

Kaji selidik yang dilakukan di lapan buah sekolah yang menyertai pertandingan kali pertama ini mendapati, 68 peratus menyatakan seni grafiti telah membuatkan persekitaran sekolah mereka menjadi lebih positif dan ceria.

“Sebanyak 71 peratus pula bersetuju agar program seumpama dijalankan lebih kerap lagi,” katanya yang berharap program berkenaan akan menjadi titik permulaan mengembangkan kreativiti pelajar dalam bidang seni.

Jatuh cinta pada seni grafiti

Kali pertama berpeluang bermain dengan semburan cat menghasilkan lukisan grafiti telah membuatkan Nor Fatin Nabila Rosli, 17, jatuh cinta.

Tidak pernah mengenali seni grafiti sebelum ini, ia adalah pengalaman baru yang sangat mengujakan, tambahan berpeluang bekerjasama dengan pelukis grafiti terkenal tanah air, Bone Alfie.

“Sangat menarik…, ia satu pengalaman baru yang cukup manis bersama kawan-kawan yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Ini juga sebagai tanda kenangan kami sebelum meninggalkan sekolah,” katanya.

Walaupun sangat mencabar kerana tidak biasa menggunakan semburan cat yang memerlukan penelitian rapi, namun segalanya berjaya diatasi hasil kerjasama rakan yang lain.

Menurutnya, Bone Alfie yang bertindak sebagai mentor, telah memberi tunjuk ajar dan memantau pada sepanjang lukisan itu dihasilkan.

“Kami mengambil masa satu hari untuk menghasilkannya, bermula dari pagi hingga petang. Kami bekerjasama melakarkan idea sebelum dipindahkan ke dinding.

“Memang banyak cabarannya kerana kami tidak pernah menggunakan spray cat, namun puas hati setelah hasil kerja berpasukan kami berjaya memenangi tempat pertama pertandingan,” katanya yang berhasrat untuk mendalami lagi seni grafiti selepas menamatkan persekolahan.

Sementara itu, guru pengiring sekolah, Datin Sailaja Ramachandran Menon berkata pendedahan seni grafiti kepada pelajar membuka peluang mereka mengenali lebih banyak cabang seni kreatif.

Jika di sekolah mereka hanya didedahkan dengan seni lukisan yang asas namun apabila dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dengan mereka yang profesional dalam bidang itu, dapat membuka minat dan minda mereka untuk mendalami bidang seni kreatif seperti grafiti.

“Kebanyakan mereka yang terlibat dalam pertandingan ini terdiri pelajar yang mengambil mata pelajaran seni dan mereka menyertai pertandingan ini secara sukerela.

“Mereka telah melaksanakan dengan bersunggung-sungguh, memberikan hasil yang terbaik pada lukisan itu dan usaha mereka berbaloi,” katanya yang berharap pertandingan itu akan diteruskan pada masa akan datang.

Kesemua mereka membawa pulang hadiah berupa Walkman Sony siri Z yang kesemuanya bernilai RM1,499.

Ujarnya lagi, tidak semua pelajar cemerlang dalam akademik. Mungkin dengan pendedahan awal dalam seni grafiti akan membuka minat dan peluang mereka meneroka dan mendalami bidang seni kreatif setelah menamatkan persekolahan nanti.

Sokongan sekolah

Bermula sebagai ekspresi meluahkan perasaan melalui tulisan dan lukisan di dinding, pagar mahupun di tembok-tembok, seni grafiti yang pernah dikaitkan sebagai aktiviti vandalisme dalam kalangan anak muda, kini mula berubah wajah.

Perkembangannya yang bermula pada akhir 1990-an, kini melalui fasa baru apabila ia diiktiraf menjadi sebahagian daripada cabang seni kreatif yang mempunyai nilai estetik yang tinggi.

Menurut Bone Alfie yang terlibat dalam seni grafiti lebih enam tahun lepas, pendedahan kepada pelajar sekolah boleh membawa mesej positif tentang seni itu agar ia tidak disalah ertikan.

Sebagai seorang yang bekerja dan berkarya sepenuh masa dalam seni grafiti, beliau berkongsi pengalaman yang ada dengan pelajar sekolah yang terlibat dalam pertandingan “Gempaknya My School”.

“Saya antara pelajar yang lebih menjurus dalam bidang kreatif berbanding akademik. Minat telah ada sejak sekolah, cuma kurang mendapat mendedahan ketika itu.

“Bermula dengan lukisan mural, kemudian mencari dan mendalami bidang grafiti sendiri hanya melalui internet dan pembacaan. Mencuba aplikasikannya, berkongsi dengan kawan-kawan dan akhirnya, ia menjadi satu kerjaya saya sekarang,” kata Bone.

Semua kisah dan pengalaman itu serba sedikit dikongsi dengan para pelajar, agar mereka lebih memahami seni grafiti dan tidak menyahlahgunakan teknik seni jalanan dengan melakukan aktiviti kemusnahan atau vandalisme.

Penerimaan positif pihak sekolah yang menyokong usaha memertabatkan seni grafiti mampu mencungkil bakat baru.

“Ada pelajar yang memang sangat berbakat. Sekali ajar sahaja mereka sudah faham teknik dan boleh buat. Ditambah pula dengan sokongan guru di sekolah.

“Saya yakin jika terus diberi peluang, lebih ramai lagi bakat muda dalam seni grafiti akan dihasilkan dan penerimaan masyarakat juga akan menjadi lebih terbuka,” katanya.

Seni grafiti sebagai kerjaya

Sehingga kini terdapat kira-kira 100 individu dan berkumpulan yang terlibat aktif dalam seni grafiti di Malaysia dan ia dijangka terus berkembang hasil sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan mahupun pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ruang di tebing Sungai Klang berdekatan Stesen LRT Pasar Seni antara kawasan yang dikhaskan untuk pelukis grafiti berkarya. Selain itu pelbagai platform seperti pameran, pertandingan seni grafiti diadakan bagi mencungkil dan mengembangkan bakat baru.

“Karya grafiti dipamer secara terbuka di dinding-dinding kepada orang ramai bagi mengetengahkan hasil karya masing-masing. Ia juga antara usaha bagi meletak dan memperkenalkan Malaysia dalam kalangan pelukis grafiti di luar negara yang kini telah mengiktiraf karya rakyat tempatan,” katanya.

Mengulas mengenai masa depan seorang pelukis grafiti, Bone berkata penerimaan masyarakat terutama, institusi pendidikan dan syarikat-syarikat korporat telah meletakkan seni grafiti setara dengan cabang seni lain.

“Selain mempamerkan karya, banyak syarikat korporat telah menggunakan khidmat pelukis grafiti untuk penjenamaan, iklan, program dan sebagainya yang membolehkan kami mencari makan dalam bidang ini,” ujarnya yang menyatakan pendapatan seorang pelukis grafiti agak lumayan sekiranya dilakukan secara serius.

Seorang pelukis grafiti perlu fokus dan pandai menonjolkan karya agar bakat mereka dilihat dan diterima. Bukan itu sahaja, mereka juga harus mempelbagaikan kebolehan, tidak hanya pada lukisan di dinding, sebaliknya dalam bentuk lain seperti melukis di kasut.

“Bidang grafiti boleh berkembang luas asalkan kita kreatif, rajin dan pandai memasarkannya,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan. – Bernama

Mahkamah: Kes remaja dituduh bunuh bapa disebut semula 18 Julai – Bernama


Mahkamah: Kes remaja dituduh bunuh bapa disebut semula 18 Julai

8 Jun 2012
IPOH – Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang dituduh membunuh bapanya disebut semula pada 18 Julai depan.

Majistret Haslinda A.Raof membuat ketetapan itu apabila kes berkenaan disebut di dalam kamarnya di hadapan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Al-Hizan Al-Mahamad Akhir dan peguam yang mewakili remaja itu, K. Nahtan.

Sementara itu, Mohamad Al-Hizan ketika ditemui pemberita berkata remaja itu yang sebelum ini menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta telah dibenarkan keluar dari hospital itu dan kini menjalani proses tahanan biasa.

“Kita masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat,” katanya.

Pada 10 Mei lepas, remaja bawah umur terbabit dituduh membunuh bapanya yang berusia 40 tahun, di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai antara pukul 11.30 malam, 30 April dan 12.30 malam, 1 Mei lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Remaja itu dirujuk ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan oleh mahkamah atas permintaan Nahtan. – Bernama

TEKS UCAPAN YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2011 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA 8 JUN 2012


TEKS UCAPAN OLEH YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA DI MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2011 KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA PADA 8 JUN 2012

TEKS UCAPAN
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2011
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
8 JUN 2012
AUDITORIUM KOMPLEKS E
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
PUTRAJAYA

Sila muat turun teks ucapan di sini.

Pengawal keselamatan Maim dituduh cabul – Sinar Harian


Pengawal keselamatan Maim dituduh cabul
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2012
AYER KEROH – Seorang pengawal keselamatan Majlis Agama Islam Melaka (Maim) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, semalam atas tuduhan mencabul seorang kanakkanak mualaf.

Dia dituduh berbuat demikian di sebuah Pusat Perkhidmatan Saudara Baru, Lorong Pandan, hujung tahun lalu.

Mat Radzi @ Mat Razdi Darus, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa terhadapnya di hadapan Majistret Syajaratudur Abd Rahman.

Berdasarkan pertuduhan, Mat Radzi didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang perempuan berusia 11 tahun dengan niat mencabul kehormatannya iaitu meraba buah dada dan kemaluan mangsa.

Tertuduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Nurul Huda Jalan Kesidang, Taman Kesidang Seksyen 2 antara Disember 2011 dan Mac 2012.

Warga emas dari Tanjung Kling itu didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau manamana daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Rosli Rasi ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin

Polis buru empat lelaki disyaki terbabit culik guru wanita – Bernama


Polis buru empat lelaki disyaki terbabit culik guru wanita

8 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes penculikan seorang guru wanita pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata Teoh Soo Kim, 51, diculik ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di Puncak Bukit Jalil.

“Mangsa keluar dari rumahnya di Taman Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di lokasi terbabit sebelum gagal dihubungi suaminya beberapa jam kemudian.

“Mangsa kemudian ditemui oleh polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor pukul 11.30 pagi semalam,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini.

Beliau berkata mangsa ditemui dengan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Mangsa kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilapor kritikal.

Katanya siasatan mendapati empat suspek terbabit telah mengeluarkan wang daripada akaun mangsa berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah bank di Taman Kinrara pada hari yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. — Bernama