‘Macam mana anak saya nak ke sekolah’ – Sinar Harian


‘Macam mana anak saya nak ke sekolah’
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Jun 2012

Sharipah Ismail buntu memikirkan hal persekolahan anaknya selepas tinggal sehelai sepinggang akibat rumah yang didiaminya di Bukit Besi hangus dalam kebakaran huj
JERANGAU SUNGAI – “Sekolah akan dibuka semula sehari dua lagi, tapi anak saya masih tidak mempunyai pakaian sekolah kerana hangus dalam kebakaran tempoh hari, saya tidak tahu di mana harus mengadu. Itu luahan Sharipah Ismail, 46, ibu tunggal yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya musnah dalam kebakaran di Bukit Besi, kira-kira jam 8.50 malam, 29 Mei lalu.

Sharipah yang kini menumpang teduh di rumah anak perempuannya, Norhayati Hitam, 25, dekat sini berkata, sebagai ibu tunggal, dia hanya bergantung harap dengan hasil menoreh getah bagi menyara kehidupan.

Menurutnya, kejadian kebakaran itu membuatkan fikirannya benar-benar buntu memikirkan nasib keluarganya kerana segala perkakas rumah serta pakaian sekolah anaknya, Fatira Hitam, 11, musnah dalam tragedi yang meranapkan rumah yang sebelum ini dihuni kakaknya, Rokiah Ismail, 56.

Sharipah berkata, disebabkan kemiskinan hidup, dia tiada tempat tinggal setelah suaminya, Hitam Muda,70 meninggal dunia tiga bulan lalu akibat asma.

“Saya tiada duit simpanan langsung, pendapatan dengan mengambil upah menoreh getah hanya cukup untuk membeli keperluan makanan sahaja, itu pun tidak menentu.

“Kalau anak saya tiada pakaian, bagaimana dia hendak ke sekolah dalam masa terdekat. Ini yang paling merunsingkan. Nak beli baru, saya tak ada duit, hidup sekarang pun menumpang di rumah anak,” katanya.

Sharipah berkata, sebagai warga miskin, apatah lagi wanita berstatus ibu tunggal yang tiada sumber pendapatan, dia amat berharap agar pihak berkenaan dapat menyediakan tempat tinggal untuk membolehkan dia dua beranak berteduh bagi meneruskan kehidupan.

Katanya, sebagai insan daif, dia tidak tahu bagaimana ingin membebaskan dirinya dari kemelut kemiskinan yang sentiasa menghimpit kehidupannya.

“Bagi mata yang memandang, mereka bercakap memang senang, tapi bagi saya yang melaluinya, hanya Tuhan tahu peritnya,” katanya.

‘Beri peluang kenali dunia’ – Metro


‘Beri peluang kenali dunia’
KANGAR: “Peluang memiliki komputer netbook 1Malaysia memberi kemudahan kepada saya untuk mengenali dunia tanpa sempadan, selain menjadi lebih celik teknologi maklumat (IT) kerana sebelum ini tidak mampu memilikinya akibat faktor kewangan.”

Begitu kata pelajar, Mohd Fitrie Yusoff, 14, dari Padang Keria, Simpang Empat, apabila menerima bantuan komputer berkenaan di bawah program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada tahun lalu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Saffi berkata, dia gembira apabila namanya terpilih bagi menerima bantuan komputer berkenaan.

Menurutnya, komputer itu membuka minda dia dan rakan sekali gus menambah pengetahuan selain memperolehi maklumat hanya di hujung jari.
“Sebelum ini, saya hanya berpeluang menggunakan komputer ketika di sekolah, tetapi tempoh masa penggunaannya terhad. Justeru, apabila ada netbook sendiri, saya boleh menggunakannya untuk menambah pengetahuan,” katanya.
Sementara itu, bagi pelajar prauniversiti SMK Syed Hassan, di sini, Mohd Afif Hashim, 18, berkata, bantuan komputer netbook yang diperolehi secara percuma membantu dia melakukan carian mengenai kerja sekolah dengan lebih mudah.

“Sebarang maklumat bagi menyiapkan kerja sekolah boleh dirujuk di Internet dengan menggunakan netbook ini memandangkan saya bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun depan,” katanya.

Netbook bantu dapat 6A – Metro


Netbook bantu dapat 6A
JITRA: “Alhamdulillah, kemudahan komputer netbook 1Malaysia yang diberikan kerajaan membantu saya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun lalu,” kata Nurul Ain Najwa Baharum, 16.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Pauh itu, berkata dia bersyukur dengan pemberian komputer netbook yang diidamkan dan sangat berguna untuk mengulangkaji pelajaran.
Dia yang mendapat keputusan 6A 2B dalam PMR tahun lalu, berkata, komputer netbook yang diterima sejak pertengahan tahun lalu itu banyak membantunya mengulangkaji pelajaran menjelang peperiksaan selain menyiapkan tugasan sekolah.

“Sebelum ini, saya meluangkan masa selepas waktu sekolah untuk menggunakan kemudahan Internet di pusat akses di sekolah untuk mencari maklumat dan menyiapkan kerja sekolah.
“Saya tidak mempunyai pilihan lain pada waktu itu memandangkan tiada kemudahan kafe siber berdekatan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Wang Tepus, dekat sini, semalam.
Nurul Ain yang juga anak yatim itu berkata, sejak memiliki netbook itu semua tugasan sekolah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan teratur.

Menurutnya, dia bersyukur kerana abangnya sanggup mengeluarkan belanja bagi memasang kemudahan WiFi di rumahnya bagi mengakses Internet.
“Saya berpeluang mempelajari kaedah pembelajaran mudah Matematik menerusi laman web tertentu selain melihat contoh karangan,” katanya.

Sementara itu, ibu Nurul Ain, Halijah Abdullah, 54, berkata pendapatannya sebagai penoreh getah tidak menentu selain tidak mencukupi untuk membeli komputer netbook berkenaan untuk kegunaan anak bongsunya.

Guru hilang ditemui di ladang – Metro


Guru hilang ditemui di ladang
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita yang hilang selepas keluar dari rumah di Bandar Kinrara menghala ke Bukit Jalil Rabu lalu, ditemui dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri, kelmarin.

Mangsa, Teoh Soo Kim, 56, keluar dari rumahnya kira-kira jam 7.30 pagi Rabu lalu dengan menaiki kereta Proton Saga sebelum dia gagal dihubungi keluarga.
Sumber polis berkata, selepas menunggu beberapa jam, suami mangsa yang dikenali sebagai Teng, 48, bertindak membuat laporan polis.

Menurutnya, akibat risaukan keselamatan mangsa, ahli keluarganya turut menyalurkan maklumat bagi meminta bantuan orang ramai untuk menjejaki mangsa melalui laman sembang sosial.
“Akhirnya dengan bantuan orang ramai, mangsa ditemui 11 pagi kelmarin di dalam ladang kelapa sawit di Kuala Selangor dalam keadaan tidak bermaya.
“Polis menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan kecemasan dan kini mangsa berada dalam keadaan koma,” katanya.

Beliau berkata, bagi membuat pengecaman, suami mangsa diminta datang ke Hospital Sungai Buloh malam kelmarin dan polis masih mengesan kereta milik mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada suami mangsa, lebih RM1,000 dikeluarkan daripada akaun bank milik wanita itu di sekitar Bandar Kinrara.

Kerajaan luluskan pembinaan SJKT Ladang Minyak – Utusan


Kerajaan luluskan pembinaan SJKT Ladang Minyak

HULU SELANGOR 7 Jun – Kerajaan telah meluluskan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Minyak di sini.

Majlis pecah tanah sekolah tersebut yang dijangka siap menjelang akhir 2013 disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. – UTUSAN

Polis buru empat lelaki disyaki terbabit kes culik guru wanita – Bernama


Polis buru empat lelaki disyaki terbabit kes culik guru wanita
2012/06/08

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam satu kes penculikan seorang guru wanita pada pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abdul Razak Elias berkata Teoh Soo Kim, 51, diculik ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di Puncak Bukit Jalil.
“Mangsa keluar dari rumahnya di Taman Kinrara, Puchong kira-kira jam 7.30 pagi untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di lokasi terbabit sebelum gagal dihubungi suaminya beberapa jam kemudian.
“Mangsa kemudian ditemui oleh polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor jam 11.30 pagi semalam,” katanya.

Beliau berkata mangsa ditemui dengan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.

Mangsa kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilapor kritikal.

Katanya siasatan mendapati empat suspek terbabit telah mengeluarkan wang daripada akaun mangsa berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah bank di Taman Kinrara pada hari yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan. – BERNAMA

JADUAL PENERBANGAN BAGI PENEMPATAN KE NEGERI SABAH DAN SARAWAK UNTUK GURU SEKOLAH MENENGAH (OPSYEN AL-QURAN) – PENEMPATAN JUN 2012


JADUAL PENERBANGAN BAGI PENEMPATAN KE NEGERI SABAH DAN SARAWAK UNTUK GURU SEKOLAH MENENGAH (OPSYEN AL-QURAN) – PENEMPATAN JUN 2012

As-Salam & Salam Sejahtera,

Perhatian kepada semua guru baru (Sekolah Menengah) yang ditempatkan di Sabah dan Sarawak. Maklumat lanjut berkaitan penerbangan anda adalah seperti berikut. Untuk mendapatkan maklumat lengkap berkenaan penerbangan, sila muat turun jadual penerbangan di bawah.

Jadual Penerbangan Bagi Penempatan ke Negeri SABAH

Jadual Penerbangan Bagi Penempatan ke Negeri SARAWAK
Sebarang pertanyaan berkaitan boleh dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Sekolah Harian – Sektor Pengurusan Sekolah Menengah di talian 03-88849456/03-88849382.

Harap maklum.

KARNIVAL BAHASA INGGERIS PERINGKAT KEBANGSAAN 2012


KARNIVAL BAHASA INGGERIS PERINGKAT KEBANGSAAN 2012
7 Jun 2012

Karnival Bahasa Inggeris akan diadakan di Sungai Petani Kedah pada 12-14 Jun 2012. Dijangka seramai 270 orang murid dari sekolah rendah dan sekolah menengah akan terlibat dalam acara-acara yang dianjurkan. Manakala guru yang akan bersama mengiring murid di karnival ialah seramai 75 orang. Acara pertandingan yang akan diadakan di karnival ini ialah :

> Action Song (R) – SM Vokasioanal Sg. Petani II
> Public Speaking (R) – Swiss Inn Sg. Petani
> Story Telling (R) – SMS Sultan Mohamad Jiwa Sg. Petani
> Story Telling (M) – SMK Bandar Sg. Petani

Majlis penutup dan penyampaian hadiah akan diadakan pada 13 Jun 2012 di Swiss Inn pada jam 8.00 malam.

Sekian