Dua lelaki dicari kes guru koma – Kosmo


Dua lelaki dicari kes guru koma

Dua lelaki ini dicari bagi membantu siasatan kes guru koma yang ditemui di ladang kelapa sawit di Kuala Selangor kelmarin.

KUALA LUMPUR – Polis menyiarkan gambar dua lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan seorang guru wanita dalam keadaan koma selepas disamun di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Kuala Selangor dekat sini kelmarin.

Gambar kedua-dua lelaki tersebut yang dipercayai berusia lingkungan 30-an dirakam menerusi kamera litar tertutup di sebuah bank tempat suspek mengeluarkan wang di Taman Kinrara, Puchong pagi kelmarin.

Imej rakaman itu mempamerkan dua lelaki berkulit gelap dan berbadan sederhana dengan seorang daripadanya memakai baju berwarna putih, jaket hitam dan berseluar jean.

Imej seorang lagi lelaki dilihat memakai baju-T jenama Polo berwarna gelap dengan belang merah, berseluar gelap dan juga mempunyai kumis.

Teoh Soo Kim, 51, ditemui oleh orang awam pada pukul 11.30 pagi kelmarin di sebuah ladang kelapa sawit selepas dipercayai dilarikan empat lelaki ketika keluar dari rumahnya pada pukul 7.30 pagi di Taman Kinrara, Rabu lalu.

Remaja hilang, gagal hubungi keluarga 18 hari – Metro


Remaja hilang, gagal hubungi keluarga 18 hari
JOHOR BAHRU: “Siti bukan budak liar, tetapi anak saya itu terlalu mudah bersimpati selain gemar menolong rakan dalam kesusahan hingga kerap menghilangkan diri dari rumah tanpa khabar berita.

“Namun apa yang kami bimbangkan, ini kali pertama dia menghilangkan diri bagi tempoh lama hingga mencecah 18 hari (hingga semalam) dan tidak menghubungi keluarga,” kata Mohd Sharom Ismail, 53, semalam.
Pekerja swasta itu berkata, kejadian berlaku pada 22 Mei lalu apabila anak kelima daripada tujuh beradik, Siti Hajar, 17, atau Siti keluar rumah bersama adik perempuannya, Shafiqah, 11, bermain basikal di sebuah taman permainan kanak-kanak berhampiran rumah mereka.

Menurutnya, ketika itu isterinya berada di rumah mereka di Jalan Tembikai 14, Taman Kota Masai di sini.
“Saya difahamkan Siti keluar rumah pada jam 3 petang dan pulang ke rumah sejam kemudian sebelum keluar semula bersama Shafiqah.
“Tanpa disedari isteri, Siti sebenarnya turut membawa beberapa baju dimasukkan ke dalam beg dan berpesan dengan adiknya supaya merahsiakan perbuatan itu dari keluarga serta menyatakan ingin pulang ke rumah sebelum jam 5.30 petang.

“Selain itu, dia membawa dua telefon bimbit termasuk satu milik saya,” katanya.
Shahrom berkata, apabila Siti tidak pulang dia menghubunginya dan seorang lelaki menjawab panggilan itu sebelum menyatakan anaknya bersama seorang lelaki bersama Andy dan tinggal di sekitar Batu Pahat.

Menurutnya, bagaimanapun lelaki itu enggan menyatakan alamat penuh sebelum mematikan telefon bimbitnya hingga kini.
“Ini bukan kali pertama Siti yang sudah berhenti sekolah di tingkatan lima sejak awal tahun ini bertindak menghilangkan diri.
“Dia seorang lurus hingga mudah dipengaruhi rakan terutama teman lelaki. “Sebelum ini dia pernah menghilangkan diri bagi tempoh dua hingga tiga hari, namun kali ini kehilangannya terlalu lama dan kami bimbangkan keselamatannya,” katanya.
Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Siti boleh menghubungi talian 017-7742106 atau 017-7861831.
Sharom turut melaporkan kehilangan Siti di Balai Polis Scientex di Pasir Gudang di sini, pada 6 Jun lalu.
Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu dan masih berusaha bagi mengesan gadis berkenaan.