Kesal menara dekat sekolah – Sinar Harian


Kesal menara dekat sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Jun 2012
IPOH – Pembinaan sebuah menara pemancar komunikasi dalam kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pinji dan berhampiran Taman Melor di sini, menimbulkan kebimbangan penduduk setempat kerana khuatir boleh menjejaskan tahap kesihatan mereka yang berada di persekitaran kawasan itu.

Penduduk mendakwa pemasangan menara setinggi 30 meter itu dipercayai dibina di dalam kawasan sekolah berkenaan sejak dua minggu lalu itu dan tidak dimaklumkan serta mendapatkan pandangan penduduk terlebih dulu.

Bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap pembinaan menara itu, penduduk berkumpul secara aman, bagi mendesak supaya menara itu dan dipindahkan ke tempat lain demi menjamin kesihatan penduduk. Seorang penduduk, Chiew Siew Fun, 50, yang tinggal kurang 100 meter dari menara tersebut meluahkan rasa bimbang kerana ia dibina terlalu hampir dengan kediamannya.

Katanya, kerja pembinaan menara itu bermula sejak dua minggu lalu dan dilihat seperti sudah siap untuk beroperasi sepenuhnya dalam masa terdekat. “Kami minta menara ini dipindahkan kerana tidak tahu mengenai perancangan dan pembinaannya. Dalam pada itu, kami difahamkan pembinaan menara itu untuk kemudahan internet bagi kegunaan sekolah tersebut.

“Bagaimanapun, perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar (WiFi) yang sedia ada di sekitar kawasan ini mampu membantu pelajar sekolah untuk mendapatkan pencapaian internet dengan mudah tanpa bantuan menara itu. “Bukan semua murid mampu menggunakan internet di rumah jadi kenapa perlu membahayakan penduduk dan pelajar sekolah dengan membina menara ini.

“Penggunaan WiFi untuk melayari internet sudah cukup memadai sekarang ini,” katanya yang 16 tahun menetap di Taman Melor. Sementara itu, Adun Pasir Pinji, Thomas Su Keong Siong berkata, pihaknya difahamkan pembinaan menara itu untuk kemudahan internet 1BestariNet dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Namun, beliau mempersoalkan kenapa lokasi pembinaan menara itu yang terletak terlalu hampir dengan kawasan rumah dan sekolah kerana ia tidak memenuhi spesifikasi serta syarat yang ditetapkan. “Selain itu, saya turut mendapat aduan bahawa pendapat penduduk tidak diambil kira sebelum kelulusan diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada syarikat telekomunikasi berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Keong Siong juga mendakwa tiada jaminan daripada syarikat berkenaan yang tidak akan menggunakan menara tersebut untuk tujuan komersial pada masa hadapan. “Justeru, kami akan menghantar memorandum bantahan ini berserta tandatangan penduduk kepada Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim supaya pembinaan menara itu dipindahkan ke kawasan lebih sesuai,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s