Letak syarat jika wujud sekolah persendirian Cina
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Jun 2012
KEratan akhbar Sinar Harain 20 Mei lalu mengenai desakan supaya Kerajaan Negeri meluluskan penubuhan sekolah persendirian Cina di negeri ini.
KUANTAN – Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) tidak menghalang kewujudan sekolah persendirian aliran Cina di negara ini, sebaliknya meletakkan syarat supaya penyertaan kaum lain dalam sekolah itu dipertingkatkan.
Sebelum ini, timbul kempen oleh beberapa pertubuhan yang mendesak kerajaan menubuhkan sekolah menengah persendirian Cina di bandar ini pada Mei lalu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, penglibatan murid kaum lain mencerminkan kependudukan di sesuatu kawasan supaya semangat perpaduan dapat diperkukuhkan.
Menurutnya, ia juga selaras dengan hasrat kerajaan menerusi gagasan 1Malaysia untuk mengukuhkan perpaduan semua kaum di negara ini menerusi aspek pendidikan.
“Elemen perpaduan ini perlu dididik dan diserapkan sejak di peringkat awal lagi seperti peringkat persekolahan.
“Kita tidak mahu berlaku situasi apabila di peringkat universiti, mereka tidak dapat bergaul dengan baik sesama kaum,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Seminar Hala Tuju, Cabaran dan Masa Hadapan Pendidikan Melayu sempena Mesyuarat Agung Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Ke-15, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi
GPMS negeri, Wan Embril Nizam Wan Embong dan Naib Presiden GPMS Kebangsaan, Hishamuddin Abd Rahman. Kira-kira 100 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, selain pelajar menyertai seminar tersebut yang dikendalikan dua panel berpengalaman, pensyarah senior di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan Profesor Dr Riduan Nordin dari Universiti Malaysia Pahang (UMP)