Hanya Makanan Berkhasiat Akan Dihidangkan Kepada Penjawat Awam – mStar


Hanya Makanan Berkhasiat Akan Dihidangkan Kepada Penjawat Awam
Oleh REGINA LEE

KUALA LUMPUR: Kepak ayam goreng dan kuih laden yang diperbuat daripada santan kelapa sering menjadi hidangan utama ketika minum petang atau mesyuarat di pejabat kerajaan.

Bagaimanapun, menu ini mungkin tidak lagi dihidangkan kepada penjawat awam apabila kerajaan mula mengambil langkah proaktif untuk memantau apa yang dimakan oleh 1.4 juta kakitangannya agar mereka mengambil makanan yang berkhasiat.

Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan pekeliling kepada semua penjawat awam panduan dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

Dalam pekeliling yang diedarkan Februari lalu, menggariskan dua aspek utama yang perlu ada dalam menu yang dihidangkan ketika mesyuarat dan makanan sihat yang dijual daripada mesin menjual makanan atau minuman.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementeriannya akan mula melaksanakan perkara tersebut dengan sokongan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan ketua setiausaha semua kementerian.

“Kami berharap dengan garis panduan berkaitan menu makanan seimbang ini akan turut digunapakai di semua sektor awam yang lain,” katanya ketika merasmikan mesyuarat serantau Pertubuhan Kesihatan Kebangsaan untuk mencegah penyakit berjangkit dan kawalan vektor di sini, Isnin.

Liow berkata garis panduan yang disediakan itu tidak bermaksud semua juadah yang sering disediakan sebelum ini langsung tidak boleh dimakan oleh kakitangan kerajaan sebaliknya ia hanya satu peringatan kepada mereka menu makanan yang berkhasiat yang perlu disediakan.

“Dalam garis panduan tersebut juga mengingatkan anda supaya mengurangkan pengambilan gula, garam dan trans lemak dalam penyedian makanan

“Kami cuba untuk memberikan makanan yang berkhasiat kepada kakitangan awam sebaik mungkin,” katanya.

Timbalan Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata garis paduan yang dikeluarkan tidak memperincikan menu makanan tertentu yang perlu disediakan.

“Seboleh-bolehnya kita mahu memastikan semua jabatan melabelkan makanan yang disediakan serta jumlah kalori makanan tersebut.

“Anda perlu tahu apa yang anda makan,” katanya Pengambilan harian yang disarankan untuk seorang yang banyak duduk ialah antara 2,000 hingga 2,500 kalori.

Liow berkata garis panduan tersebut juga mampu mengawal peningkatan bilangan penyakit tidak berjangkit yang dilaporkan meragut nyawa 35 juta orang setahun di seluruh dunia.

Di Malaysia, satu daripada lima orang dewasa menghidap kencing manis dengan 2.6 juta kes dilaporkan tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Pacifik Barat, Dr Shing Young-soo memuji kerajaan Malaysia yang mempunyai pelbagai dasar untuk mengawal penyakit dan amalan penjagaan kesihatan yang baik.

‘Baba’ terlampau – Metro


‘Baba’ terlampau
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my

KLANG: Dia dipanggil ‘baba’ oleh seorang budak perempuan berusia lima tahun yang dijaga isterinya, namun dia rupa-rupanya syaitan bertopengkan manusia apabila tergamak merogol dan meliwat kanak-kanak malang itu.

Amat menyedihkan kerana suspek yang berusia 50-an dan berstatus orang kelainan upaya (OKU) serta menerima pencen ilat akibat kemalangan di tempat kerja beberapa tahun lalu, bijak mengambil kesempatan di atas sikap manja mangsa kepadanya.

Kejadian itu yang berlaku di sebuah kampung di pinggir bandar ini hanya disedari ibu mangsa baru-baru ini apabila mangsa yang masih belajar di tadika mengadu kesakitan di bahagian kemaluan.

Sumber berkata, kanak-kanak perempuan malang itu dijaga pengasuh yang juga isteri suspek sejak berusia dua tahun manakala dua lagi adik mangsa dijaga nenek kanak-kanak itu.

‘Bila malam kami takut nak pulang’ – Metro


‘Bila malam kami takut nak pulang’
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

SUNGAI SIPUT: Kehilangan misteri tiga kanak-kanak lelaki sejak Sabtu lalu terjawab apabila mangsa yang dijumpai selamat mengaku ‘mengembara’ menaiki basikal sejauh lebih 30 kilometer untuk mandi di air terjun serta berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah di Jelapang, Ipoh, di sini.

Tiga kanak-kanak itu, P Muganasundram, S Vijay dan Muhamad Nazir Hussen masing-masing berusia 12 tahun turut memberitahu tidur di kaki lima sebuah stesen minyak selepas bimbang ditahan polis.
Ketiga-tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Muhibbah, di sini, mencetuskan panik ibu bapa dan pihak sekolah selepas dilaporkan hilang sejurus keluar dari rumah mereka di Taman Lintang, di sini, jam 7 pagi Sabtu lalu, sebelum ditemui semula kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Mereka mendakwa mahu pergi ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan bagaimanapun tidak pulang ke rumah hingga lewat malam sebelum ahli keluarga membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Siput berikutan bimbang pelajar itu menjadi mangsa culik.
Muhamad Nazir yang ditemui di rumah keluarganya di sini, semalam, mengakui kesal dengan tindakan dia dan dua rakan lain menipu ahli keluarga kononnya mahu menghadiri kelas tambahan di sekolah.
Pelajar tahun enam itu berkata, mereka sebaliknya mengayuh basikal menuju ke kawasan air terjun Ulu Chepor di Chemor yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah mereka.

“Kami kemudian menyambung semula perjalanan dengan mengayuh basikal ke pusat beli-belah Mydin di Jelapang. Kami teruja untuk pergi berjalan-jalan ke pusat beli-belah itu berikutan ia baru dibuka,” katanya.
“Kami menghabiskan masa di pusat beli-belah itu sebelum menyedari hari sudah malam. Ketika itu kami yakin keluarga pasti risau dengan kehilangan kami dan mereka pasti mencari.

“Bimbang untuk pulang pada malam itu kerana khuatir ditahan polis yang membuat sekatan di jalan raya. Kami tidur di kaki lima sebuah stesen minyak di Ipoh,” katanya.
Sementara itu, Muganasundram berkata, mereka kemudian mengambil keputusan mengayuh pulang pada tengah hari Ahad lalu sebelum ditahan seorang sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjejaki mereka.
“Kami kemudian diserahkan ke balai polis berhampiran sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa kami,” katanya kesal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, mengesahkan ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah kembali kepada keluarga malam kelmarin selepas keterangan diambil.

Derita ditokak beruk jiran – Metro


Derita ditokak beruk jiran
Oleh Khairul Hamizy Ramlee
am@hmetro.com.my

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak berusia lapan tahun nyaris maut diserang seekor beruk ketika pulang dari kelas tambahan di Bukit Payung, Marang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, Muhammad Fathurrahaman Abd Salam tidak sempat melarikan diri apabila beruk peliharaan seorang penduduk di kampung berhampiran terlepas dan mengamuk serta mengejar hampir 30 kanak-kanak yang pulang dari pusat tuisyen berkenaan. Fathurrahaman hanya mampu meraung selepas beruk mempunyai taring tajam menggigit lengan kirinya sebelum diselamatkan guru tuisyen yang melarikan mangsa berlumuran darah dalam tandas berhampiran.
Bagaimanapun, tindakan guru menyelamatkan mangsa tidak bertahan lama apabila beruk yang masih mengganas di luar tandas kembali menyerang dan menggigit mangsa bersama gurunya ketika cuba keluar dari tandas berkenaan.

Ibu mangsa, Norliana Mohd Syamsu, 31, yang menetap di Kampung Rawai, Marang, ketika dihubungi berkata, anaknya cedera parah di bahagian lengan kiri dan kini dirawat di Wad Multidisiplin Kanak-Kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini.
Menurutnya, sebelum menjemput anaknya pulang dari pusat tuisyen, dia ada mendengar cerita dari penduduk kampung mengenai seorang kanak-kanak diserang beruk, tetapi tidak mengetahui yang menjadi mangsa anaknya sendiri.
Katanya, sebaik tiba di pusat tuisyen itu, dia melihat anggota Rela menembak mati seekor beruk sebelum terkejut melihat keadaan anak sulungnya berlumuran darah diserang beruk berkenaan.

“Tanpa berlengah saya bergegas menghubungi suami dan membawa anak ke Klinik Bukit Payung mendapatkan rawatan sebelum diminta rujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” kata ibu kepada tiga anak itu.
Sementara itu, bapa Fathurrahaman, Abd Salam Mohamad, 31, yang menemani anaknya di HSNZ berkata, terdapat dua kesan luka sedalam 5.08 sentimeter dan 3.81 sentimeter di lengan kiri anaknya akibat gigitan beruk itu.

Umpan kad prabayar rogol gadis – Kosmo


Umpan kad prabayar rogol gadis
Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my
AMPANG JAYA – Taktik seorang kerani penghantar surat dan ejen insurans mengumpan kad prabayar tambah nilai untuk mendapatkan imbuhan seks daripada dua gadis bawah umur memakan diri apabila masing-masing dihukum penjara 15 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Roszianayati Ahmad menyabitkan tertuduh Aidil Rashid, 38, dan Lee Kwong Mun, 36, atas dua tuduhan rogol setiap seorang selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Beliau mengarahkan hukuman mereka berjalan serentak mulai semalam.

Aidil didakwa merogol gadis pertama berusia 14 tahun antara Mei dan Jun 2010 di sebuah rumah pangsapuri di Lembah Jaya di sini pada pukul 3 dan 3.30 petang dan mengulangi perbuatan serupa terhadap mangsa kedua berusia 13 tahun antara April dan Jun 2010 di tempat sama.

Kwong Mun juga didakwa merogol kedua-dua gadis yang sama di pangsapuri tersebut antara Ogos 2009 dan Jun 2010 dan pada Mei 2010 pukul 9 dan 9.30 malam.

Kedua-dua tertuduh tinggal berjiran di kawasan itu.

46 MRSM cari dana bantu rakyat Somalia – Berita Harian


46 MRSM cari dana bantu rakyat Somalia
Oleh Shamsul Kamal Amarudin
shaka@bharian.com.my
2012/06/12
RAJA NAzRiN beramah mesra dengan pelajar selepas merasmikan Program inovasi ideapreneur MRSM di ipoh.
Sekolah raih pungutan terbanyak terima Anugerah Inovasi 2012

SERAMAI 10,000 pelajar daripada 46 Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dari seluruh negara terbabit menjayakan pertandingan mencari dana untuk membantu rakyat Somalia.
Program Inovasi Ideapreneur MRSM, masuk kali ketiga itu akan memilih MRSM yang melakukan kaedah mencari dana yang paling berinovasi serta jumlah pungutan terbanyak, sebagai pemenang dan diberikan anugerah ‘Anugerah Inovasi Perdana 2012’.
Program membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara inovatif dan pada masa sama aktif dalam aktiviti kemanusiaan membantu rakyat Somalia yang kelaparan. – Mazlee Md Ramli, Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd,penganjur program. Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis pelancaran program berkenaan Ipoh, baru-baru ini.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh.

Penganjur program, Ketua Pegawai Eksekutif Al Niaga Sdn Bhd, Mazlee Md Ramli, berkata pertandingan membabitkan pelajar Tingkatan Dua dan Empat akan menjadi acara mencari dana oleh pelajar yang terbesar di negara ini.

“Tahun ini, kita berjaya mendapatkan Yayasan Inovasi Malaysia, Mercy Malaysia dan Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) menjadi penganjur bersama.
“Program membolehkan pelajar mempraktikkan kemahiran berfikir secara inovatif dan pada masa sama aktif dalam aktiviti kemanusiaan membantu rakyat Somalia yang kelaparan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran program berkenaan.

Mazlee yang juga bekas pelajar MRSM Kota Bharu, berkata ketika ini seramai 50 guru MRSM dilatih berfikir secara inovasi.

“Guru berkenaan yang sudah selesai menjalani latihan kemudian akan melatih lima guru di sekolah masing-masing, kemudian melatih pula lima guru lagi sebelum berkongsi pengetahuan itu dengan pelajar yang menyertai pertandingan ini,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri dijangka akan menyampaikan Anugerah Inovasi Perdana 2012 untuk pemenang program itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada November ini.

Mazlee berkata, sejak program tahunan itu bermula dua tahun lalu, lebih 1,000 guru dan 25,000 pelajar MRSM menjalani latihan menerusi kaedah menyuburkan pemikiran mereka dengan inovasi dan kreativiti.

Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun – Berita Harian


Guru dari Sabah, Sarawak tertekan isu elaun
Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2012/06/12

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Jawatankuasa Bersama, Persatuan Guru Sabah dan Sarawak menggesa pihak pengurusan sekolah menyelesaikan segera isu guru dari Sabah dan Sarawak yang berkhidmat di Semenanjung gagal menikmati pelbagai imbuhan.

Segelintir guru terbabit mendakwa mereka masih belum dibayar elaun ditetapkan Kementerian Pelajaran yang didakwa berpunca kegagalan pembantu tadbir sekolah menjalankan tugas dengan dedikasi.
Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata guru terutama yang berkhidmat di bandar gagal menikmati kemudahan seperti Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Elaun Perpindahan Wilayah (EPW) dan Elaun Sara Hidup (COLA), tertekan berikutan kos sara hidup yang tinggi.
Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan. Katanya, keadaan ini dikhuatiri menyebabkan mereka gagal menumpukan perhatian kepada amanah mendidik yang dengan sendirinya menjejaskan prestasi akademik sekolah terbabit.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak sekolah mengambil tindakan segera membela nasib pendidik termasuk memastikan kerani atau pembantu tadbir menunaikan amanah mengurus dokumen kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dengan segera.

“Kerani di sekolah asal guru berkenaan juga hendaklah melengkapkan dokumen mengenai pendidik terbabit bagi memudahkan sekolah baru mereka menguruskan penyaluran kemudahan elaun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Baru-baru ini, akhbar ini menyiarkan mengenai ada guru dari Sabah dan Sarawak yang berpindah ke Semenanjung gagal menikmati pelbagai kemudahan elaun iaitu elaun gangguan, ITP, EPW dan COLA selepas lebih setahun bertukar.
Elaun Gangguan sepatutnya dinikmati pada tempoh tiga bulan selepas berpindah, namun belum dinikmati pada tempoh setahun enam bulan serta lebih malang mereka gagal menikmati kemudahan lain termasuk bonus tahunan.

Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana menjadi tanggungjawab pentadbir menguruskan segala urusan berkaitan elaun dengan kadar segera dengan mengetepikan sentimen kenegerian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bersama, Persatuan-Persatuan Guru Sabah dan Sarawak, William Gani Bina, berkata pihaknya mengharapkan sekolah mengambil perhatian serius termasuk memantau tugas kerani yang gagal menjalankan amanah ini.

Katanya, jika kerani gagal menunaikan amanah, Pengetua dan Guru Besar hendaklah bertindak membela guru terbabit dengan membawa masalah mereka kepada pengetahuan pihak PPD dengan segera.

Seorang guru mendakwa secara sinis seorang ketua kerani di sekolah tempatnya bertugas menyindir beberapa guru dari Sabah dan Sarawak dengan membangkitkan sentimen orang Borneo yang berkhidmat di Malaysia tidak seharusnya meminta yang bukan-bukan.

“Negara kita sudah 55 tahun merdeka tahun ini, ibarat seorang penjawat awam yang berada di ambang persaraan, namun masih ada rakyat negara ini yang kolot dan bersikap kenegerian,” katanya yang enggan namanya disiarkan.

Tiga murid ‘hilang’ ditemui – Utusan


Tiga murid ‘hilang’ ditemui

IPOH 11 Jun – Tiga murid lelaki yang sebelum ini dikatakan hilang selepas keluar menghadiri kelas tambahan di Sekolah Kebangsaan Kampung Muhibbah, Sungai Siput sejak kelmarin ditemui dalam keadaan selamat malam tadi.

Mereka ditemui sepasukan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjalankan operasi mencari kanak-kanak itu kira-kira pukul 8 malam.

Ketika ditemui, ketiga-tiga murid itu sedang berbasikal di persimpangan lampu isyarat di Rimba Panjang, Sungai Siput.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Supritendan Azman Salim berkata, tiga murid ini dikatakan menunggang basikal ke Chemor dan bermalam di sebuah rumah kedai kosong di sana pada hari kehilangan mereka kelmarin.

“Mereka dipercayai tidak hadir ke kelas tambahan dan mencari tempat untuk bersembunyi sekiranya tindakan mereka itu dilaporkan kepada ibu bapa masing-masing,” katanya di sini hari ini.