Kanak-kanak lelaki dipercayai didera bapa tiri – Bernama


Kanak-kanak lelaki dipercayai didera bapa tiri
2012/06/13

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera di bahagian punggung dan jari dipercayai didera oleh bapa tirinya.

Penderaan itu dipercayai dilakukan antara 4 hingga 9 Jun ketika kanak-kanak itu berada di rumah ibunya Kampung Gong Machang, Besut pada cuti persekolahan lalu.
Namun insiden itu hanya disedari bapa kanak-kanak itu pada Isnin lalu kira-kira 12.30 tengah hari selepas anaknya itu mengadu sakit di bahagian punggung selepas beberapa hari mengambil anak tunggalnya itu dari rumah bekas isterinya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan, berkata selepas diperiksa bapa kanak-kanak itu yang bekerja sebagai pemandu jentolak itu melihat ada kesan melecur terkena objek panas pada punggung sebelah kiri anaknya dan selepas didesak, kanak-kanak itu memberitahu bapa tirinya mencucuhnya menggunakan objek panas.

“Ketika kejadian mangsa berada di rumah ibunya, bagaimanapun bapanya mengambil anaknya itu pada Sabtu lalu kira-kira jam 7.30 malam dan menghantar anaknya ke rumah neneknya di Kampung Raja, Besut kerana mempuyai urusan di Selangor.

“Selepas pulang anaknya mengadu sakit. Selepas diperiksa bapanya yang berusia 29 tahun itu mendapati kesan luka dan terus membuat laporan di Balai Polis Besut pada hari yang sama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Manoharan berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Besut untuk rawatan luka sepanjang kira-kira satu sentimeter di bahagian punggung itu.
Katanya, susulan laporan itu, polis menahan suspek yang berusia 40 tahun di kediamannya kira-kira 2 pagi semalam.

“Hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempuyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang berasal dari Bandar Permaisuri, Besut ini positif dadah jenis metamphetamine.”

Suspek yang juga penternak ikan sangkar kini direman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – BERNAMA

Anak Juga Boleh Mengalami Stres – Bernama


Anak Juga Boleh Mengalami Stres
KUALA LUMPUR: Jangan fikir orang dewasa sahaja boleh mengalami stres atau tekanan, anak juga boleh mengalami stres.

Ini adalah hakikat yang perlu diambil berat terutama ibu bapa.

Perkara ini antara yang ditekankan Sarada Devi R. Subramaniam, Pegawai Psikologi, Unit Kaunseling Keluarga, Bahagian Pembangunan Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ketika bercakap mengenai permasalahan remaja.

Menurut beliau, stres wujud apabila sumber permintaan sekeliling melebihi keupayaan yang ada pada diri sendiri.

Beliau memberi contoh aspek pendidikan, di mana ibu bapa meletakkan jangkaan yang sangat tinggi terhadap pencapaian akademik anak masing-masing.

“Memang ada ibu bapa yang berkemampuan sanggup mengeluarkan perbelanjaan tinggi bagi memastikan anak mereka cemerlang tetapi keadaan ini akan menekan jiwa anak. “Kasihan melihat anak yang dipaksa belajar bukan untuk memenuhi cita-cita mereka tetapi untuk memenuhi hasrat ibu bapa,” kata Sarada.

PERANAN IBU BAPA

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya melihat dahulu sama ada mereka telah memainkan peranan yang sebaiknya dalam membantu merealisasikan kecemerlangan itu sebelum meletakkan tekanan ke atas anak. Ini termasuk menyediakan keperluan asas seperti buku, peralatan serta tempat belajar.

Kelengkapan yang cukup adalah penting dalam memastikan anak dapat belajar dengan selesa di samping ibu bapa sendiri mengikuti perkembangan dan kemajuan anak di sekolah. Menurut Sarada, anak mula rasa tertekan sekiranya mereka merasa mustahil untuk mencapai kejayaan yang tinggi hingga akan berputus asa, kecewa dan murung setelah gagal mencapai impian ibu bapa. “Keadaan bertambah buruk apabila ibu bapa mula marah setiap kali anak gagal mendapatkan markah yang baik,” tambahnya. Beliau berkata, dalam hal ini, perkara yang penting ialah meletakkan harapan berdasarkan kemampuan diri anak. “Ini adalah perkara yang amat penting dalam proses membimbing anak dengan sempurna. Ibu bapa perlu berbincang dengan anak tentang sasaran itu dan bagaimana mereka boleh membantu. “Cara ini yang terbaik kerana anak akan merasa sasaran yang diletakkan itu adalah sasaran mereka bukan sasaran ibu bapa,” Sarada memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Bangunan LPPKN, Jalan Raja Laut di sini baru-baru ini.

TAMBAH STRES

Anak termasuk remaja juga boleh menjadi bertambah stres sekiranya mereka sering melihat ibu bapa bertelagah.

“Secara tidak langsung, emosi anak akan menjadi amat tertekan, tambahan jika menduduki peperiksaan. Anak yang terbeban dengan keadaan yang penuh dengan konflik itu tidak akan dapat menumpukan perhatian kepada pembelajaran dan peperiksaan. “Mereka mungkin berkongsi masalah dengan rakan yang kemudian memberi sesuatu untuk mententeramkan perasaan mereka. “Kebetulan ia bukan panadol tetapi bahan yang boleh mengkhayalkan di mana akhirnya mereka boleh terjerumus melakukan perkara-perkara di luar jangkaan. Inilah antara kesan jika keluarga sering berkonflik secara berpanjangan tanpa mencari sebarang jalan penyelesaian,” jelas Sarada.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada anak yang akan lari dari rumah kerana terlalu tertekan dengan konflik ibu ayah dan isu tersendiri yang tidak dapat dikongsi dengan ibu bapa.

“Mungkin mereka mempunyai teman lelaki dan termakan pujukan. Kerana terlalu percayakan teman lelaki untuk menjaga diri mereka, akhirnya mereka melakukan perkara yang boleh merosakkan diri mereka.

“Jadi, bukankah semuanya ini bermula dari rumah,” kata Sarada.

JAGA EMOSI

Beliau lalu menyarankan pasangan yang mahu bertengkar supaya tidak melakukannya di depan anak.

Anak akan hilang kepercayaan terhadap ibu bapa jika sering menyaksikan mereka bergaduh.

Bila anak itu berkahwin, mereka mungkin menggunakan cara penyelesaian yang sama iaitu bergaduh untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya, terutama sekali apabila mereka melihat ibu mereka didera ayah secara fizikal atau emosi.

Sekiranya anak mereka adalah lelaki dan kemudian beristeri, mereka mungkin turut melakukan kekerasan ke atas isteri mereka seperti yang dilakukan oleh ayahnya. “Jadi, anak akan belajar kemahiran menyelesaikan masalah melalui apa yang dilihat dalam kehidupan persekitaran keluarganya.

“Oleh yang demikian, ibu bapa perlu lebih prihatin dan menjadi model contoh dalam keluarga.

“Jangan terlalu beremosi di depan anak. Kalau perlu juga bertengkar lakukan di bilik tidur. Beritahu dulu anak yang emak dan ayah mahu berbincang perkara yang agak serius.

“Beritahu juga, walaupun bergaduh, ibu dan ayah tetap sayang kamu,” katanya, sambil menjelaskan kata-kata positif dapat mengukuhkan ikatan keluarga.

“Tolonglah jaga emosi anak,” Sarada berpesan lagi.

Beliau berkata, menjadi remaja adalah tempoh yang kritikal di mana mereka mudah dipengaruhi terutama oleh rakan sebaya. “Sebab itulah remaja selalu digalakkan berkongsi sebarang isu atau emosi mereka dengan orang yang dipercayai, kalau tidak dengan keluarga, dengan kaunselor,” katanya.

ANAK KECIL

Dalam soal stres dan anak kecil, Sarada berkata, mereka boleh mengalami tekanan jika pergerakan mereka terlalu dikawal atau disekat.

Anak kecil, katanya perlu dibenarkan bermain kerana ia juga satu bahantara pendidikan dan terapi terbaik untuk menangani stres. “Malangnya apa yang berlaku sekarang, ada segelintir ibu bapa menganggap rumah seperti muzium, semuanya mesti teratur dan kemas, tidak boleh bersepah sedikit. “Bermain juga penting untuk membina proses pemahaman, pembelajaran, pembinaan kognitif dan kendiri kanak-kanak,” tambahnya.

Sarada turut menyentuh hakikat, semakin ramai ibu bapa menghantar anak ke taska atau tadika seawal usia tiga tahun.

Bermain, bagi kebanyakan anak hanyalah apabila mereka berada di premis berkenaan dan bila balik ke rumah mereka dikerah buat kerja rumah dan sering dilarang bermain. “Ingat semasa waktu alam kanak-kanak kita, ibu ayah lepaskan kita bermain dan lihat bagaimana ia membantu perkembangan diri dan personaliti kita,” katanya.

Sarada juga menegur sikap sesetengah ibu bapa yang lebih gemar membelikan pelbagai gajet permainan elektronik daripada membenarkan anak bermain sesama anak ataupun kawan sebaya.

“Tidak ada ruang untuk berinteraksi serta komunikasi yang efektif. Ini kurang menyeronokkan. “Anak juga kurang masa yang kualiti bersama emak dan ayah,” kata Sarada yang juga kaunselor berdaftar.

BERI MASA

Sarada turut memberi senario anak yang merasa tertekan kerana kurang perhatian ibu bapa.

Sudahlah waktu siang mereka dihantar ke taska atau tadika, sekembali dari sekolah, dijaga pula pembantu rumah.

Hakikatnya, sesetengah ibu bapa yang bekerja memang mempunyai masa yang begitu terhad dengan anak.

Ada yang sekadar bertanya kerja sekolah dan kemudian menyuruh anak masuk tidur setelah selesai kerja sekolah.

Kasih sayang ibu bapa yang begini adalah seperti mengguna kad Touch & Go. Sekejap sangat masa yang diluangkan. Itu pun mungkin pada hujung minggu, jika tidak sibuk melayari internet atau menonton televisyen atau video.

Rutin kehidupan yang seperti ini hanya akan merenggangkan hubungan kekeluargaan sehingga menjadikan anak merasa tersisih dan tidak mendapat kasih sayang yang mencukupi daripada ibu bapa mereka.

Keadaan yang sedemikian sudah tentunya akan mendorong anak keluar rumah dan menghabiskan masa bersama kawan.

Ibu bapa berperanan memberikan anak mereka sebanyak mungkin sokongan dan juga kasih sayang supaya anak merasa lebih senang dan selesa berada di rumah.

Seperti kata Sarada, hubungan erat yang sedemikian membuatkan anak sering merasakan rindu kepada ibu dan ayah.

“Kenapa? Sebab mereka ini bukan sahaja menyayangi anak tetapi menghormatinya sebagai seorang individu. “Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah makan bersama-sama terutama malam. Cuba mulakan sebarang perbualan, contoh perkara yang digemari oleh anak. Bantu mereka buat kerja sekolah atau melihat buku kerja dan latihan mereka.

“Jika tidak, cukup sekadar menunjukkan minat pada apa yang mereka belajar. Ibu bapa juga boleh menghadiri semua acara sukan atau aktiviti anak. Bagi sokongan dan galakan,” katanya.

Di samping itu, ibu bapa juga boleh sama-sama bermain permainan kegemaran anak seperti catur, scrabble atau uno di samping menonton rancangan televisyen kegemaran mereka bagi mengekalkan hubungan mesra.

SIAPKAN DIRI

Belum bersedia dan tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa. Faktor ini ada kesannya kepada cara seseorang ibu atau ayah mendidik anak atau melaksanakan tanggungjawab keibu bapaan.

Demikian pandangan Katherine Loo Saw Moay, seorang lagi Pegawai Psikologi LPPKN dalam wawancara dengan Bernama.

Menurut beliau, ada ibu merasa tertekan apabila mendengar suara anak menangis kerana emosinya tidak bersedia untuk menjadi seorang ibu ditambah tidak mendapat sokongan suami.

“Ada juga isteri yang murung selepas melahirkan anak tetapi suami tidak mengendahkan,” jelas Katherine, juga kaunselor berdaftar.

Sehubungan itu, pasangan yang ingin berkahwin perlu tahu peranan dan tanggungjawab sebagai isteri dan suami sebelum meneruskan hajat mereka.

Bagi Katherine, konflik berlaku dalam mana-mana keluarga, yang penting cara mengendalikan konflik.

“Masing-masing berbeza dari segi latar belakang. Masing-masing ada cara sendiri dan memanglah kita selesa dengan cara kita tetapi selepas berkahwin, kena cari cara kita, cara bersama.

“Tolak ansur itu amat penting. Suami atau isteri perlu buat perubahan apabila sudah berkahwin. Banyakkan berbincang dan berkomunikasi,” jelas Katherine.

KURSUS PRA-PERKAHWINAN

Bagi mengurangkan tekanan dalam rumah tangga yang akan turut memberi kesan kepada anak, LPPKN menyediakan kursus pra-perkahwinan.

Pakej kursus yang dikenali sebagai “SMARTSTART” (Panduan untuk Pengantin Baru) ini adalah untuk pasangan yang mahu atau baru berkahwin.

Kursus ini ditawarkan dalam empat bahasa iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Mandarin, Bahasa Inggeris dan Bahasa Tamil.

Kursus yang diperkenalkan sejak 2006 meliputi pelbagai modul.

Antaranya, Persediaan Perkahwinan, Komunikasi Yang Berkesan, Kesihatan Keluarga, Kehamilan dan Kelahiran, Alam Keibubapaan, Menguruskan Sumber Keluarga, Menangani Tekanan dan Konflik serta Undang-Undang Keluarga. Menurut Katherine, pasangan yang mendaftar untuk pakej Smart Start ini digalakkan datang secara bersama.

“Untuk kursus dua hari ini, kita hanya mengenakan bayaran RM50 sepasang. Kita juga berikan buku panduan yang lengkap dengan pelbagai maklumat kepada pasangan untuk dijadikan rujukan, ” tambahnya.

MANFAAT KURSUS

Katherine berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan untuk menganjurkan kursus itu. Pakej kursus ini boleh juga dimanfaatkan bagi mereka yang sudah lama berkahwin bagi menyemarakkan kembali rasa cinta dan kasih sesama pasangan.

“Kadang kala sibuk dengan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa sehinggakan lupa keseronokan menjadi suami isteri. Sekurang-kurangnya dua kali setahun pergilah bercuti bersama.

Letakkan anak di tempat yang selamat, mungkin dengan ahli keluarga yang dipercayai, datuk atau nenek sebelum pergi bercuti.

“Ini dapat mengurangkan tekanan, mengeratkan hubungan suami isteri serta menyemarakkan api cinta,” Sarada mencelah. -BERNAMA

Sembelih emak saudara – Sinar Harian


Sembelih emak saudara
NOR AINNA HAMZAH & HAMIZAH BASIR
13 Jun 2012

Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar.
TAMPIN – Hanya kerana salah faham, seorang pembantu makmal sekolah di Gemencheh, parah dikelar di lehernya, oleh anak saudaranya.

Kejadian berlaku di dalam kereta mangsa, berhampiran Pasar Besar Gemencheh, di sini, petang kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian, suspek seorang wanita yang berperwatakan lelaki (tomboi) berusia 26 tahun, datang ke tempat kerja mangsa untuk menyelesaikan salah faham tetapi mangsa meminta suspek menunggu sehingga tamat waktu bekerja.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, suspek dipercayai meninggalkan mangsa di tepi jalan dan melarikan diri menggunakan kenderaan mangsa.

“Orang awam yang melalui lokasi kejadian iaitu di tepi jalan yang hanya kurang 100 meter dari lokasi mangsa bekerja segera membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gemencheh.

“Mangsa parah dikelar menggunakan pisau dan dikejarkan ke Hospital Tampin, sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya, semalam.

Suspek berjaya ditahan

Kooi Cheang berkata, suspek yang nekad melarikan diri menggunakan kereta mangsa berjaya ditahan semasa bapanya menghantarnya untuk menyerah diri di Balai Polis Tampin, kirakira jam 12 tengah malam, semalam.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, polis berjaya menemui sebilah pisau yang digunakan suspek untuk mengelar mangsa yang dibuang di sebuah kebun kelapa sawit di Felda Sungai Kelamah, Gemas.

“Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun,” katanya.

Terkejut sepupu sendiri kelar ibu

Sementara itu, anak mangsa, Nurul Aishah Johari, 17, berkata, dia amat terperanjat apabila mengetahui suspek yang mengelar leher ibunya adalah sepupunya.

Pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mohd Taha itu berkata, dia mengetahui kejadian itu sejurus pulang ke rumah di Kampung Jelawai, kira-kira jam 7 petang, kelmarin.

“Sebaik pulang dari rumah kawan, saya dapati rumah gelap dan tiada orang. Kebiasaannya ayah, mak dan abang ada di rumah.

“Tidak lama kemudian, seorang jiran memaklumkan mak saya cedera parah dikelar di leher dan dikejarkan ke hospital,” katanya, semalam.

Menurutnya, dia mengenali sepupunya itu sejak tahun lalu dan hubungan mereka sememangnya amat rapat.

“Saya tidak sangka dia akan melakukan tindakan seperti ini kerana kami sekeluarga rapat dengan keluarganya.

“Mungkin ada salah faham antara mak dengannya, menyebabkan berlaku pertengkaran,” katanya. Nurul Aishah berkata, suspek yang juga anak buah ibunya jarang datang ke rumahnya.

“Sebelum ini dia berhijrah ke bandar dan pernah bekerja di Singapura.

Kali terakhir kami jumpa adalah tiga bulan lalu,” katanya.

Ibu suspek mohon maaf

Ibu suspek yang enggan dikenali ketika ditemui di pekarangan Hospital Tuanku Ja’afar berkata, dia sekeluarga datang ke hospital untuk melawat dan memohon maaf kepada mangsa atas tindakan anaknya itu.

“Hubungan kami dengan keluarga mangsa memang tiada masalah. Saya tidak tahu kenapa anak saya tergamak melakukan semua ini.

“Mungkin ada masalah antaranya dengan makciknya tetapi saya tidak tahu apa masalah mereka. Saya berharap keluarga mangsa dapat memaafkan anak saya,” katanya.

Sekolah terbakar, tutup 3 hari – Kosmo


Sekolah terbakar, tutup 3 hari
Oleh NUR AISHAH AMIN
nuraishah.amin@kosmo.com.my

API membakar bilik-bilik di aras tiga bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Hua, Kajang, Selangor semalam.

KAJANG – Sesi pembelajaran 1,383 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yu Hua di Jalan Low Ti Kok di sini tergendala apabila satu blok tiga tingkat sekolah itu musnah dalam kebakaran semalam.

Kejadian kira-kira pukul 3.15 petang itu bermula dari sebuah bilik mesyuarat di tingkat tiga yang dijadikan bilik tuisyen bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada September ini.

Api dikatakan berpunca daripada alat penyaman udara yang tiba-tiba mengeluarkan asap dan disusuli dengan percikan api yang menyambar bilik mesyuarat itu sebelum merebak ke bilik-bilik lain di blok itu.

Semasa kejadian, seramai 40 murid berada di bilik mesyuarat tersebut kerana menghadiri kelas tuisyen yang sepatutnya tamat pada pukul 3.30 petang.

5,500 guru interim patut diserap ikut subjek – Berita Harian


5,500 guru interim patut diserap ikut subjek
2012/06/13

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran diminta supaya menyerap 5,500 guru interim sebagai guru tetap di sekolah yang masih lagi mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek kritikal.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, kerajaan perlu meneliti secara terperinci penempatan guru supaya ia dilakukan secara seimbang bagi menampung kekurangan guru.
“Kita mahu kementerian memastikan guru berkenaan diberi keutamaan untuk ditempatkan di sekolah yang masih mengalami kekurangan guru mengikut keperluan subjek di sekolah berkenaan. Misalnya, jika sekolah berkenaan memerlukan guru bahasa Inggeris, maka kita perlu menempatkan guru subjek berkenaan.
“Hari ini ada sekolah yang mempunyai lambakan guru, lebih malang lagi guru ditempatkan di sekolah berkenaan pula tidak mengajar mata pelajaran sepatutnya beliau ajar kepada pelajar,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan kira-kira 5,500 graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan termasuk 4,500 lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berjaya pada temu duga antara Januari hingga Mac akan ditempatkan di sekolah seluruh negara mulai bulan ini.

Selain itu, NUTP turut meminta pihak kementerian supaya memberi tumpuan berhubung kenaikan gred lebih 10,000 guru yang sudah mendapat ijazah, namun, masih lagi menikmati gaji peringkat diploma.