Remaja lelaki ditahan hingga dapat perkenan Yang Dipertuan Besar – Bernama


Remaja lelaki ditahan hingga dapat perkenan Yang Dipertuan Besar

14 Jun 2012
SEREMBAN – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan seorang remaja berusia 17 tahun yang didapati bersalah membunuh seorang wanita warga Indonesia di Simpang Durian, Jelebu, dekat sini, tahun lalu, ditahan selama tempoh mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Hakim Datuk Zulkifli Bakar menjatuhkan hukuman tersebut ke atas remaja lelaki itu mengikut Seksyen 97(2)(b) Akta Kanak-kanak 2001 memandangkan dia berusia 16 tahun ketika melakukan kesalahan itu.

Mengikut Seksyen 97 akta tersebut, seorang kanak-kanak yang didapati bersalah tidak boleh dikenakan hukuman mati dan akan dipenjarakan di satu tempat selagi mendapat perkenan sultan atau raja.

Remaja terbabit bersama sepupunya yang berusia 24 tahun, didapati bersalah atas dakwaan membunuh Christy Erny, 19, di No. 13, Taman Desa Permai, Simpang Durian, Jelebu, dekat sini antara 2 petang dan 5 petang pada 12 Mei, tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Sepupu remaja terbabit, Mohd Azmi Ibrahim telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah sama, 1 Jun lalu.

Mahkamah juga sebelum ini telah membenarkan pihak pembelaan mendapatkan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mengenai remaja terbabit untuk dinilai sebelum menjatuhkan hukuman pada hari ini.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian, remaja terbabit bersama sepupunya memasuki sebuah premis judi untuk bermain judi di pekan Simpang Durian, Jelebu, dekat sini yang pada waktu itu terdapat dua pekerja yang sedang bertugas iaitu Christy Erny dan ibunya Sumirnah.

Setelah habis beratus-ratus ringgit, sepupu remaja tersebut iaitu Mohd Azmi pergi berjumpa dengan Sumirnah untuk meminjam wang, manakala remaja terbabit berada di luar bersama Christy Erny yang sedang melayari laman Facebook.

Apabila permintaannya enggan dituruti, Mohd Azmi yang ketika itu baru empat hari mendirikan rumah tangga, telah memulas leher dan menghentakkan kepala Sumirnah ke lantai dan pada masa yang sama Christy Erny yang melihat kejadian itu menjerit meminta tolong.

Remaja terbabit yang berada dekat dengan Christy Erny kemudian menyerang dari belakang sebelum Mohd Azmi membantu remaja itu dengan menendang dan menghentak kepala mangsa ke lantai beberapa kali.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya cuba memusnahkan kamera litar tertutup di premis tersebut namun tidak berjaya dan melarikan diri setelah mengambil wang RM500 dari premis itu.

Christy Erny yang akan melangsung perkahwinan sebulan dari hari kejadian maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala ibunya yang parah ditemui orang awam dan sempat menerima rawatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin, manakala remaja terbabit diwakili peguam Hanif Hassan. – Bernama

Polis kenal pasti suspek kedua kes babitkan bekas guru tadika – Bernama


Polis kenal pasti suspek kedua kes babitkan bekas guru tadika

14 Jun 2012
PETALING JAYA – Polis mengenal pasti identiti suspek kedua kes bekas guru tadika yang dilarikan dan disamun sebelum ditinggalkan dengan kecederaan teruk di kepala, di ladang kelapa sawit di Kuala Selangor pada 6 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias ia susulan siasatan berhubung gambar suspek yang diambil daripada kamera litar tertutup di sebuah stesen minyak.

“Kita sudah mengenal pasti suspek kedua dan tempat tinggalnya juga sudah dikesan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini, hari ini.

Polis menahan suspek pertama berumur 48 tahun di Taman Mas, Falim, Ipoh, Sabtu lepas.

Teoh Soo Kim, 51, dilaporkan hilang oleh suaminya setelah keluar daripada rumah di Bandar Kinrara, Puchong untuk berjoging dan mengambil anak seorang kawan untuk dijaga.

Namun, pada hari kejadian, wanita itu tidak muncul di rumah kawannya untuk mengambil kanak-kanak itu.

Siasatan polis mendapati Teoh disamun sebelum dipukul dan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di ladang kelapa sawit berkenaan. Wanita itu kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh.

Polis mengeluarkan gambar dua suspek yang diambil daripada kamera litar tertutup di stesen minyak berkenaan. – Bernama

Dituduh rogol kekasih bawah umur – Sinar Harian


Dituduh rogol kekasih bawah umur
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Jun 2012
KUALA TERENGGANU – Baru lapan bulan bercinta, seorang buruh berani mengambil kesempatan merogol teman wanitanya yang ketika itu baru berusia 15 tahun, di dua lokasi berasingan pada Julai dan September tahun lalu.

Akibatnya, Mohammad Hafizuddin Maula Manan, 21, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas dua pertuduhan merogol kekasihnya itu yang masih di bawah umur.

Bagaimanapun, dia yang berasal dari Kampung Berangan Pak Ayu, Bukit Payong, Marang, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa dibacakan dihadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut pertuduhan pertama, dia yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tidak bersalah atas dakwaan merogol mangsa di Lorong 6, Pulau Kambing, di sini antara jam 11 hingga 12 malam, 23 Julai 2011.

Dia yang memakai baju T berwarna putih turut mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan kedua, yang mendakwa dia merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Bukit Bayas, di sini, kira-kira jam 12 malam, 12 September 2011.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohammad Hafizuddin berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Selepas pengakuan tidak bersalah Mohammad Hafizuddin direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 17 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes nuntuk lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud @ Mamat.

Pelajar hilang lepas waktu rehat – Sinar Harian


Pelajar hilang lepas waktu rehat
WARTAWAN SINAR HARIAN
14 Jun 2012

Penduduk kesal melihat pagar sekolah yang rosak dijadikan peluang pelajar ponteng.
KUALA SELANGOR – Gejalaponteng sekolah yang sering dilaporkan berlaku di sekitar daerah ini rata-ratanya berpunca daripada struktur pagar yang rosak sekali gus memudahkan pelajar menyelinap keluar ketika waktu rehat.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa sekolah termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang mendapati, pagar hijau yang menyembah bumi di belakang sekolah terbabit didakwa menjadi laluan pintas pelajar ponteng.

Dakwaan itu turut dipersetujui penduduk di Taman Purnama yang bersebelahan sekolah terbabit berikutan sering terlihat beberapa pelajar ponteng pada waktu rehat dan selepas musim peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Purnama, Zulkifli Sudin berkata, keadaan pagar yang rosak dijadikan satu peluang buat pelajar sekolah untuk ponteng tanpa disedari guru.

“Saya turut menerima aduan daripada penduduk yang memaklumkan sering melihat kelibat remaja berpakaian sekolah keluar daripada laluan pagar terbabit namun tiada kuasa untuk menegurnya.

“Saya berpendapat pagar yang rosak ini perlu dibaiki segera memandangkan segelintir pelajar mengambil peluang untuk melarikan diri dan terjebak dengan perkara yang kurang sihat.

“Sudah pasti, remaja ini akan menghabiskan masa di kafe siber berdekatan untuk bermain permainan video online dan terikut dengan budaya tidak sihat sekali gus menghancurkan masa depan.

“Pemantauan pihak sekolah amat penting bagi menyelesaikan gejala ponteng ini dan kalau boleh, ada guru disiplin atau pengawal keselamatan menjaga laluan ini sementara menunggu kerja penambahbaikan,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rantau Panjang, Bibit Mardzuki berkata, pihaknya mengakui ada rungutan daripada guru yang melaporkan kehilangan pelajar mereka.

“Untuk makluman, pagar terbabit sering kali dibaiki pihak sekolah setiap tahun, namun akibat vandalisme individu tidak bertanggungjawab, lokasi pagar lebih rendah daripada kawasan penempatan penduduk itu begitu mudah dipijak.

“Pihak sekolah tidak berpeluk tubuh sahaja melihat perkara ini dan memohon untuk membina pagar batu bernilai RM100,000 sebagai langkah penyelesaian, namun sehingga kini peruntukan masih belum ada,” katanya

Termakan pujukan kakak angkat – Metro


Termakan pujukan kakak angkat
PASIR GUDANG: Siti Hajar Mohd Sharom, 17, remaja yang menghilangkan diri dari rumah keluarganya di Taman Kota Masai, di sini, 22 Mei lalu, mengakui berbuat demikian kerana terpengaruh dengan pujukan seorang kakak angkat supaya hidup berjauhan daripada keluarga kononnya untuk berdikari.

Bapanya, Mohd Sharom Ismail, 53, berkata, Hajar yang dikesan berada di Batu Pahat pada Isnin lalu sebelum dijemput pulang memaklumkan, dia mengikut seorang wanita dikenali sebagai Sherry, berusia 30-an ke Melaka untuk bekerja.
Menurut Sharom, sepanjang 18 hari menghilangkan diri, Hajar bekerja di sebuah kedai kain di Melaka.

“Walaupun Hajar sudah ditemui, namun kami tidak puas hati dengan tindakan Sherry yang sanggup meracuni fikiran anak supaya meninggalkan keluarga semata-mata mengajar hidup berdikari sedangkan dia baru berusia 17 tahun.
“Sherry juga meninggalkan Hajar berseorangan berhampiran pusat perubatan di Batu Pahat selepas kisahnya dipaparkan di media, Isnin lalu,” katanya, semalam.
Menurut Sharom, dia puas menghubungi Sherry namun wanita terbabit mematikan telefon bimbit.

Sharom berkata, keluarganya yakin Sherry mempunyai niat buruk kerana turut memujuk Siti tinggal di bilik sewa di Melaka.
“Kami tidak mengenali Sherry dan Hajar berkenalan dengannya menerusi seorang rakannya. Kami juga mahu melaporkan tindakan Sherry kepada polis kerana bimbang dia akan melakukan perkara sama terhadap remaja lain.

“Selepas dibawa pulang ke rumah, Hajar dalam keadaan baik dan berjanji tidak mengulangi perkara sama. Dia menceritakan perkara sebenar dan kami memaafkannya,” katanya.
Sharom turut berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sokongan serta perangsang kepada keluarganya ketika melalui detik berkenaan.
Isnin lalu, Hajar dilapor menghilangkan diri dari rumah dan tidak menghubungi keluarga selama 18 hari. Dalam kejadian itu, Hajar yang juga anak kelima daripada tujuh beradik keluar rumah bersama adik perempuannya, Shafiqah, 11, untuk bermain basikal di taman permainan kanak-kanak berhampiran kediaman mereka.
Hajar menghilangkan diri sebelum ditemui berseorangan berhampiran pusat perubatan di Batu Pahat.

Jaga sekolah sambil lewa – Metro


Jaga sekolah sambil lewa
KUALA LUMPUR: Syarikat kawalan keselamatan yang bertanggungjawab membekalkan petugas mengawal kawasan sekolah diingatkan supaya tidak menyediakan kakitangan yang sambil lewa ketika bertugas hingga boleh membahayakan nyawa pelajar dan guru.

Amaran dibuat berikutan ada beberapa pengawal sekolah khususnya di bandar yang gagal berfungsi dengan baik, malah langsung tidak memberi perhatian terhadap kenderaan dan pelawat yang keluar masuk.
Perkara itu diakui Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi yang memberitahu berdepan situasi itu ketika mengadakan lawatan mengejut di beberapa sekolah, baru-baru ini.

“Sebagai contoh, ketika berkunjung ke sebuah sekolah di Putrajaya, pengawal keselamatannya bukan saja tidak melihat kenderaan yang masuk, malah duduk dalam pondok sambil baca surat khabar daripada saya mula-mula masuk hingga keluar semula.
“Sedangkan ketika melawat sekolah di kawasan pedalaman, kenderaan saya ditahan dan saya sendiri diminta mengisi rekod masuk. Saya tak marah pun apabila diminta buat begitu sebab saya tahu itulah prosedurnya dan sepatutnya dijalankan di semua sekolah.
“Bayangkan jika penjenayah atau pihak tidak bertanggungjawab menceroboh masuk sedangkan pengawal keselamatan ada, tetapi tidak bertugas dengan baik,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah dan Penutup Hari Mekar Bahasa dan Sastera 2012 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, semalam yang turut dihadiri Ketua Pengarah DBP, Dr Awang Sariyan.
Kira-kira 400 murid sekolah rendah dan menengah menyertai program dua hari itu menerusi pelbagai pertandingan termasuk pertandingan sahibba, jejak bahasa, membaca berita, roda kata, kuiz bahasa dan sastera selain pidato, deklamasi sajak serta syair.

Mohd Puad berkata, kementerian berhak mengambil tindakan tegas termasuk menarik semula kontrak sekiranya syarikat kawalan keselamatan sengaja membekal pekerja tidak menepati standard penyampaian perkhidmatan sepatutnya.
“Saya tak kata semua syarikat kawalan keselamatan gagal berfungsi, tetapi saya tidak mahu hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Sebab itu, syarikat kena beri kerjasama lakukan tanggungjawab dengan baik,” katanya.
Beliau menyokong cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menambah anggota keselamatan termasuk Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) untuk berkawal pada waktu puncak.
Menurutnya, persekitaran sekolah lebih selamat dan terkawal sekiranya pasukan keselamatan itu ditempatkan di pekarangan luar yang tidak mampu diselia pengawal keselamatan.