Jerebu: Larang aktiviti luar sekolah jika serius – Utusan


Jerebu: Larang aktiviti luar sekolah jika serius

PULAU PINANG 16 Jun – Semua sekolah diarah tidak membenarkan sebarang aktiviti luar kelas sekiranya keadaan jerebu di negara ini bertambah teruk, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah tersebut diambil bagi mengelak kesan buruk terhadap kesihatan murid dan pelajar.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Meteorologi bagi memantau keadaan jerebu.

“Kita guna pakai garis panduan sama iaitu kita akan maklumkan kepada rakyat tentang tahap kes dan ikut nasihat daripada pihak kesihatan.

“Kalau dianggap tidak sesuai maka kegiatan luar harus dikurangkan,” katanya kepada pemberita pada majlis Perhimpunan Bersama Pekerja Industri di sini hari ini.

Beliau mengulas keadaan jerebu semalam yang mencatatkan paras Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi 100 beberapa kawasan di Lembah Klang.

Seperti keadaan jerebu sebelum ini, ia dikesan akibat asap tebal daripada pembakaran hutan yang dilakukan tanpa kawalan dan pemantauan oleh petani di Sumatera. – UTUSAN

Polis tahan 17 lelaki kes serang pelajar sekolah – Bernama


Polis tahan 17 lelaki kes serang pelajar sekolah

16 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Polis menahan 17 lagi lelaki yang dipercayai terbabit dalam serangan ke atas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di luar kawasan sekolah itu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata kesemua suspek yang ditahan itu berumur antara 15 hingga 21 tahun dan enam daripada mereka sudah menamatkan persekolahan.

“Polis memberkas tiga suspek sejurus selepas kejadian terbabit berdasarkan penemuan motosikal di lokasi kejadian yang ditinggalkan selepas kejadian.

“Susulan daripada itu, polis menahan 17 lagi suspek sehingga malam tadi ,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan hampir 30 pelajar sekolah SMK Cheras Perdana diserang oleh sekumpulan remaja yang bersenjata kayu, besi, cota dan topi keledar sehingga menyebabkan 10 pelajar dan seorang guru Penolong Kanan Sekolah cedera parah.

Menurut laporan akhbar itu lagi, serangan terbabit berlaku pukul 12.30 tengah hari sejurus pelajar tingkatan tiga, empat dan lima keluar dari perkarangan sekolah selepas tamat sesi pagi persekolahan.

Sehubungan itu, Adnan berkata bagi mengelakkan penularan budaya gangsterism dan kes pergaduhan di sekolah, polis akan bertindak segera dalam mengesan suspek yang terlibat sekaligus menyelesaikan kes sedemikian secara menyeluruh.

Beliau berkata 10 pelajar dan seorang guru yang cedera dalam serangan terbabit dilaporkan stabil dan kini dirawat di Hospital Columbia Asia Cheras sebagai pesakit luar.

Katanya kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan hasil ujian air kencing juga didapati negatif.

Polis masih menyiasat sekiranya terdapat saki baki mereka yang terbabit dan motif kejadian masih dalam siasatan. Kesemua mereka ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan, katanya. – Bernama

Kanak-kanak maut tertembak pada hari jadi – Sinar Harian


Kanak-kanak maut tertembak pada hari jadi
HAZELEN LIANA KAMARUDIN
16 Jun 2012

Salah seorang ahli keluarga mangsa menunjukkan tempat kejadian. Gambar kecil ialah Mohd Faris Faisal Hisham.
[DIKEMAS KINI] KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut selepas tertembak diri sendiri menggunakan pistol, yang disangka pistol mainan, di rumah neneknya di Ketereh di sini malam tadi sebaik selesai menyambut hari jadinya.

Sementara bapa saudaranya, Helmi Ghazali berumur 31 tahun yang kebetulan berada di belakang mangsa, cedera di bahagian bahu dan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 9 malam apabila mangsa, Mohd Faris Faisal Hisham menjumpai pistol jenis Walter, yang disimpan oleh bapa saudaranya iaitu seorang anggota polis di bawah meja.

“Mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan telah melepaskan tembakan dan salah sebutir peluru menembusi dahinya.

“Mohd Faris meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh,” kata beliau kepada pemberita pada satu sidang media di sini, hari ini.

Mohd Faris yang baru sahaja menyambut hari lahirnya dikatakan bermain pistol milik bapa saudaranya yang merupakan seorang anggota polis di sebuah negeri lain selepas selesai majlis kenduri ibu saudaranya di sini.

“Kerana menyangkakan pistol itu barang mainan, kanak-kanak itu dipercayai tertembak dengan peluru pistol itu menembusi dahinya sebelum mengenai dada bapa saudaranya,” kata beliau.

Jalaluddin berkata, sewaktu kejadian, anggota polis itu sedang menunaikan solat Isyak dan senjata api berkenaan disorokkan dalam laci sebuah meja, namun ditemui mangsa yang menyangkakan ia adalah pistol mainan.

“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian kerana tertembak,” katanya lagi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. Mangsa diklasifikasikan maut mengejut.

Beliau yang menyifatkan insiden itu sebagai kes terpencil berkata, anggota polis itu akan disiasat dan tindakan susulan akan diambil.

Jenazah Mohd Faris, anak sulung daripada dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Ketereh, petang ini selepas selesai bedah siasat itu dilakukan.

Dalam pada itu, Benama memetik ibu Mohd Faris, Fadhilah Rifa’in, 27, berkata, dia menetap di Pasir Mas dan datang ke Ketereh untuk majlis perkahwinan adiknya.

Katanya, pada masa sama dia sempat menyambut hari lahir anaknya itu secara kecil-kecilan dan sebelum kejadian dia berada di luar rumah untuk mengemas
meja dan kerusi sementara menunggu pembekal khemah datang mengambil barangan yang disewa selepas selesai majlis perkahwinan itu.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi dentuman kuat dan saya tidak tahu apa yang berlaku. Sebaik saya masuk ke dalam rumah, saya lihat anak saya terkulai di atas lantai.

“Suasana menjadi kelam-kabut apabila seorang lagi ahli keluarga saya meraung kesakitan akibat luka di dada,” katanya dan menambah anaknya itu dibawa ke klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan meninggal dunia.

Sementara itu, nenek Muhammad Faris, Norizan Abd Wahab, 46, berkata, selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah, dia masuk ke dalam rumah dan melihat Helmi meraung kesakitan, manakala cucunya dalam keadaan kaku.

“Ketika itu, ramai ahli keluarga yang melihat keadaan menantu saya (Helmi) kerana cucu saya diam saja.

“Saya segera melihat cucu saya dan mengangkatnya ke dalam lori pembekal khemah yang baru tiba untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Ketereh sebelum disahkan
meninggal dunia,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara Mohd Faris, Nor Ain Farhana Yasin, 15, yang berada di dalam rumah berkata, kejadian berlaku begitu pantas dan dia hanya mendengar bunyi satu das tembakan dilepaskan.

‘Doakan pembedahan berjaya’ – Sinar Harian


‘Doakan pembedahan berjaya’
NOR RAIDAH AWANG
16 Jun 2012

Adam (empat kiri) bergambar bersama sukarelawan Kelab Awan Adventure yang hadir memberi kata-kata semangat kepadanya di KLIA.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang berlepas ke Amerika Syarikat semalam, dijadualkan akan menjalani pembedahan pada 21 Jun ini di Hospital John Hopkins, Amerika Syarikat.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin, 43, berkata, Adam akan dimasukkan ke wad pada 18 Jun ini, bagi menjalani pemeriksaan tahap kesihatannya, sebelum pembedahan dilakukan.

Menurutnya, pihak hospital sebelum ini memaklumkan tempoh rawatan di sana mengambil masa selama dua atau tiga minggu, bergantung pada tahap kesihatan Adam.

“Doakan moga pembedahan ini berjaya. Saya harapkan dengan pembedahan itu mudah-mudahan Adam akan sembuh dengan segera dan kembali ceria,” katanya kepada Sinar Harian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, ibu Adam, Siti Rogayah Syed Ismail, 34, menitiskan air mata sebaik sahaja ditemui wartawan Sinar Harian, dan melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang sanggup menyalurkan sumbangan sehingga Adam dapat menjalani pembedahan.

“Dengan masalah kewangan yang dihadapi kami sekeluarga, mungkin sukar bagi kami membayar kos pembedahan Adam sebanyak RM175,000,” katanya.

Siti berkata, selama empat tahun dia dan suami menjaga Adam yang sakit, mereka terpaksa menjual rumah untuk pembedahan pertama Adam pada Julai 2010 di Hospital Queen Elizabeth, Singapura yang menelan belanja RM240,000.

Namun, pembedahan itu hanya memberi penyelesaian sementara dengan mengurangkan risiko dan kesakitan dialaminya.

“Pada waktu itu, saya hanya fikirkan nyawa anak sahaja. Saya dan suami terpaksa gunakan semua kad kredit dan buat pinjaman peribadi bagi membiayai kos pembedahan pada masa itu,” katanya,

Beliau berkata, mereka sekeluarga mengucapkan terima kasih pada akhbar Sinar Harian yang banyak melaporkan kisah adik Adam dan sumbangan orang ramai sehingga terkumpulnya dana.

Sehubungan itu, Siti berharap pembedahan Adam berjalan lancar, tanpa komplikasi dan selamat selain berharap rakyat Malaysia mendoakan kesihatan anaknya.

Guru Kafa patah tangan akibat diragut penunggang motosikal – Bernama


Guru Kafa patah tangan akibat diragut penunggang motosikal

16 Jun 2012
KUALA TERENGGANU – Seorang guru kelas Agama Fardhu Ain (KAFA) patah tangan kiri akibat diragut dua penunggang motosikal di Kampung Seberang Baruh malam tadi.

Nor Azlina Mat Jusoh, 38, turut malang apabila kehilangan duit gaji kira-kira RM500 yang disimpan untuk membayar sewa rumah, ansuran motosikal dan keperluan lain.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, dia sedang menunggang motosikal apabila dihimpit dua penunggang berkenaan yang menunggang sebuah motosikal Honda Ex-5 sebelum mereka merampas beg tangannya yang diletakkan di dalam raga motosikalnya.

“Saya memang tidak mengesyaki apa-apa dengan tindakan mereka mendekati saya kerana ketika itu jalan agak sibuk. Mereka memakai topi keledar menutup muka yang datang dari arah belakang dan terus mengambil beg tangan saya.

“Naik marah dengan tindakkan itu, saya bertindak mengejar mereka, namun saya terjatuh ketika membuat pusingan U berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Nor Azlina berkata para peragut berkenaan terus memecut motosikal mereka sementara dia dibantu orang ramai dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Dia yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kubang Ikan di sini berkata kejadian ragut itu merupakan kali kedua dialaminya selepas 10 tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Zamri Samsuddin mengesahkan kejadian itu. – Bernama

Dua beradik tunjuk bakat – Sinar Harian


Dua beradik tunjuk bakat
WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Jun 2012

Ihsan (tengah) bersama anak-anaknya yang menjadi juara peringkat kebangsaan dan TM.
KOTA BHARU- Semangat yang diberikan ibu bapa dalam mengharapkan anak-anaknya berjaya semasa penyertaan tilawah al-Quran membolehkan kedua-dua mereka menjadi juara.

Ibu berkenaan, Ihsan Haydar, 34 berkata, dia dan suaminya sentiasa memberikan sokongan kepada anak lelaki keduanya, Thaqif Adib Mohd Azahar, 12, sehingga bergelar juara Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2012 kategori kanak-kanak.

Dia berkata, suaminya, Mohd Azahar Mustafa, 42 seorang kakitangan Telekom Malaysia (TM) sentiasa memastikan anak-anaknya menerima pengajian al-Quran sejak usia kecil.

“Thaqif boleh membaca al- Quran sejak usia enam tahun, cuma kami menghantarnya belajar tarannum di Akademi Al-Quran Ahmad Pergau, Pengkalan Chepa sejak usia sembilan tahun. Anak sulung, Thaqifah Auni, 15, kemudian dipilih menyertai tilawah al- Quran anjuran TM dan berjaya menjadi juara tahun ini,” katanya.

Ihsan berkata, setiap kali selepas Maghrib, suaminya mengajar anak-anak mengenai bacaan al-Quran dan cara itu membolehkan mereka mudah membacanya.

Menurutnya, kejayaan anak-anak adalah bergantung kepada peranan yang dimainkan ibu bapa mereka, mengikut arah mana kecenderungan anak-anak.

“Sejak tabika saya sudah nampak anak-anak minat dalam belajar al-Quran, malah kerana mengamalkan pemahaman al-Quran sepanjang masa, mereka juga berjaya dalam akademik di sekolah masing-masing,” katanya.

Dia mengharapkan bakat anak-anak dalam penyertaan tilawah tidak berakhir ketika usia muda, sebaliknya ia diteruskan sehingga dewasa dan menjadi contoh kepada generasi muda
sekarang.

Tiada Perjanjian Hadkan Bilangan Sekolah Cina – Dr Chua – mStar


Tiada Perjanjian Hadkan Bilangan Sekolah Cina – Dr Chua
Oleh LIM WEY WEN

KAJANG: MCA membidas Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia atau Dong Zong yang tidak henti-henti membuat dakwaan mengenai perjanjian pada tahun 1995 antara parti itu dengan kerajaan mengehadkan bilangan sekolah bebas Cina.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, beliau telah berjumpa dengan Perdana Menteri dua kali bagi membincangkan isu tersebut dan memberi jaminan bahawa tiada perjanjian seumpama itu.

“Saya percaya ia merupakan cubaan untuk menjejaskan reputasi MCA,” kata beliau kepada pemberita di majlis pecah tanah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Kajang 2 di sini, Jumaat.

Polis kenal pasti suspek – Metro


Polis kenal pasti suspek
KAJANG: Susulan pergaduhan di sebuah sekolah menengah di sini, semalam, polis sudah mengenal pasti beberapa suspek yang disyaki terbabit kejadian itu berdasarkan keterangan saksi kejadian selain motosikal milik suspek yang rosak dan ditinggalkan berhampiran kawasan sekolah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan menyeluruh kes berkenaan dan motif kejadian dipercayai berpunca akibat salah faham antara kumpulan samseng terbabit dengan beberapa pelajar sekolah itu.
“Setakat ini, maklumat yang kami terima hanya empat individu termasuk seorang guru cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di hospital berhampiran dan kami masih menyiasat kejadian ini secara menyeluruh kerana membabitkan keselamatan pelajar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh dengan senjata berbahaya hingga menyebabkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Geng samseng gempur sekolah – Metro


Geng samseng gempur sekolah
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

SIASAT…pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.
KAJANG: Sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.
Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara kumpulan remaja samseng terdiri daripada bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang sekolah bersama kumpulan rakan dewasa mereka dengan beberapa pelajar sekolah itu.

 

TENGGELAM…topi keledar dipercayai digunakan dalam serangan terbabit.
HANCUR…serpihan motosikal dipercayai milik kumpulan terbabit yang rosak.

Saksi kejadian yang juga pekerja sekolah berkenaan berkata, pergaduhan itu berlaku sebaik sesi pagi persekolahan tamat dan pelajar keluar dari perkarangan sekolah sebelum diserang kumpulan remaja samseng yang menunggu mereka di luar pagar.
“Sebaik beberapa pelajar yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan terbabit keluar dari pintu pagar, semua remaja yang berkumpul di luar itu menyerang mereka menggunakan senjata.
“Keadaan semakin kecoh dan ganas apabila puluhan pelajar lain yang berada di kawasan sekolah keluar membantu rakan mereka yang diserang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.

Katanya, kejadian itu dimaklumkan kepada seorang guru kanan sekolah yang kemudian cuba meleraikan pergaduhan dengan menarik pelajar masuk semula ke kawasan sekolah.
“Guru itu cuba meleraikan pergaduhan dan menarik beberapa pelajar yang membelasah seorang daripada kumpulan terbabit.

“Ketika dia (guru) ingin membantu seorang remaja samseng yang terbaring atas jalan akibat dibelasah teruk, tiba-tiba seorang daripada kumpulan yang bergaduh itu membaling topi keledar dengan kuat ke arah guru berkenaan hingga terkena kepalanya,” katanya.
Menurutnya, kumpulan remaja yang melakukan serangan itu bertempiaran lari selepas beberapa anggota polis bermotosikal menuju tempat kejadian dan guru serta beberapa pelajar yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.

Ibu siram air panas – Metro


Ibu siram air panas
Oleh Abd Rahman Adam
abdulrahman@hmetro.com.my

SAKIT…mangsa terlantar di Hospital Miri selepas disimbah air panas.
MIRI: Berang anaknya tetap berdegil tidak mahu bangun daripada tidur selepas dikejutkan beberapa kali, seorang ibu bertindak di luar dugaan apabila menyiram remaja berusia 16 tahun itu dengan air panas dalam kejadian di rumah mereka di Tudan, di sini, semalam.

Akibat kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa yang tidak lagi bersekolah dan bekerja sebagai buruh kasar, melecur teruk di belakang badannya.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa sedang tidur di sofa di ruang tamu rumah apabila ibunya yang berusia 47 tahun mengejutkannya supaya segera bangun daripada tidur dan bersiap untuk pergi bekerja.