Adam selamat tiba di AS – Sinar Harian


Adam selamat tiba di AS
NORSHAHZURA MAT ZUKI
18 Jun 2012

Adam(tiga dari kanan) ketika mengadakan laeatan ke Pejabat Perdana Menteri, 7 Jun lalu
BALTIMORE, AMERIKA SYARIKAT – “Alhamdulillah…” Itulah kalimah pertama diucap Akbar Ali Mohamed Noordin, 43, sebaik beliau sekeluarga selamat tiba di Amerika Syarikat bagi menjayakan pembedahan anak sulungnya, Adam, 10, yang menghidap penyakit tumor saraf tunjang.

Akbar berusaha merealisasikan hasrat memberikan rawatan yang terbaik kepada Adam dengan berbekalkan doa dan pelbagai bentuk bantuan daripada banyak pihak.

Setibanya di Amerika Syarikat, Akbar merasakan hasrat sudah begitu hampir tercapai dan mereka sekeluarga bersyukur kepada Ilahi walaupun berada jauh di beribu batu dari tanah air, perasaan kasih sayang terpancar dalam kalangan rakyat Malaysia yang berada di sana.

Akbar bersama isterinya, Siti Rogayah Syed Ismail dan Adam diberikan layanan terbaik daripada keluarga kakitangan Kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat.

Menurutnya, kepenatan menempuhi perjalanan selama 36 jam dalam kapal terbang hilang sekelip mata apabila menerima layanan mesra daripada mereka.

“Hanya ALLAH yang dapat membalas jasa mereka. Mereka juga memberikan peluang kepada kami untuk berehat setelah menempuhi perjalanan yang jauh kerana terpaksa transit di Narita, Los Angeles dan Charlotte,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Akbar berkata, pihaknya menghargai segala bantuan yang diberikan kepada mereka walaupun pertama kali bertemu dan menganggap mereka seperti saudara sendiri kerana keikhlasan mereka menghulurkan bantuan.
“Kami juga menghargai keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pegawai Pejabat Perdana Menteri yang juga banyak membantu kami,” katanya.

Akbar berkata, mereka sekeluarga merasa bertuah kerana segala urusan Adam yang akan menjalani pembedahan di Hospital Johns Hopkins di Baltimore pada 21 Jun ini dipermudahkan.

“Terima kasih juga kepada Sinar Harian yang memungkinkan segalanya berlaku dengan izin ALLAH,” katanya. Adam berlepas ke Amerika Syarikat jam 11 pagi waktu Malaysia pada 15 Jun lalu untuk menjalani pembedahan yang akan dilakukan oleh Pakar Neuro, Dr George Jallo.

Kos pembedahan Adam adalah RM175,000 yang dikumpulkan dengan bantuan orang ramai dan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Terengganu dan beberapa pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).

Jangan ganggu sistem pendidikan negara – MPM – Utusan


Jangan ganggu sistem pendidikan negara – MPM

KUALA LUMPUR 17 Jun – Majlis Perundingan Melayu (MPM) berpendapat bahawa sistem pendidikan negara sudah selesai dirumuskan apabila negara menerima Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib.

Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad berkata, kedua-dua penyata itu kemudian diberi pengukuhan undang-undang dalam bentuk akta pelajaran 1961 dan diluluskan di Parlimen.

Menurutnya, pelbagai kaum telah sebulat suara menyokong dan menerima kedua-dua penyata itu sekaligus menyelesaikan isu tersebut.

“Kemajuan negara akan sentiasa terganggu sekiranya perkara seperti pendidikan dan kerakyatan sering dibangkitkan serta dipersoalkan.

“Malah, ia juga akan membangkitkan keresahan serta memecah-belahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

`Cyrens’ Sekolah Sri Kuala Lumpur juarai CHEER 2012 – Utusan


`Cyrens’ Sekolah Sri Kuala Lumpur juarai CHEER 2012

SHAH ALAM 17 Jun – Pasukan sorak Sekolah Sri Kuala Lumpur dinobatkan sebagai juara pertandingan CHEER 2012 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di Stadium Melawati di sini hari ini.

Pasukan sorak sekolah itu yang menggunakan nama Cyrens, menewaskan 38 pasukan dari 30 buah sekolah dari seluruh negara, sekali gus mempertahankan kejuaraan buat kali ketiga berturut-turut sejak menyertai pertandingan itu pada 2010.

Dengan kemenangan itu, Cyrens membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000, sijil dan piala pusingan.

Tempat kedua dimenangi pasukan Mickeymitez dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Damansara Jaya manakala pasukan D* Starz dari SMK Sri Aman, Petaling Jaya di tempat ketiga.

Kedua-dua pasukan itu membawa pulang wang tunai masing-masingnya RM3,000 dan RM2,000 serta sijil penyertaan.

Pertandingan yang pada awalnya hanya disertai pasukan perempuan itu dibuka penyertaan kepada lelaki tahun ini menerusi penambahan kategori iaitu `Mixed Category’ yang dimenangi pasukan Zodiac Co-Ed dari SMK Kepong. – UTUSAN