Mahkamah tolak saman terhadap PM berhubung sekolah tamil – Bernama


Mahkamah tolak saman terhadap PM berhubung sekolah tamil

20 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak saman yang dikemukakan dua peguam terhadap perdana menteri, timbalan perdana menteri dan kerajaan berkaitan permohonan mereka untuk mendapatkan perisytiharan bahawa kesemua 523 sekolah rendah Tamil di negara ini perlu diberi bantuan penuh.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T. Singham dalam keputusan beliau memutuskan bahawa M.Manoharan dan P.Uthayakumar tidak mempunyai locus standi untuk berbuat demikian.

Hakim Singham berkata beliau bersetuju dengan hujah peguam kanan persekutuan Effandi Nazila Abdullah, yang mewakili defendan, bahawa kedua-dua plaintif gagal menunjukkan mereka mempunyai locus standi untuk mengemukakan saman itu.

Kata beliau Manoharan dalam hujahnya hari ini berkata haknya tidak terjejas berkaitan isu sekolah Tamil dan menegaskan bahawa dia tidak mengalami kerugian khas, tetapi bertindak demi kepentingan seluruh masyarakat Tamil.

Hakim itu memerintahkan Manoharan dan Uthayakumar masing-masing membayar RM1,000 sebagai kos kepada defendan.

Hakim Singham membuat keputusan itu selepas meluluskan permohonan defendan untuk mengetepikan saman berkenaan.

Pada 5 April, defendan memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman berkenaan atas alasan writ saman itu adalah sesuatu yang remeh, menyakitkan hati dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Pada 9 Feb, Manoharan dan Uthayakumar memfailkan saman itu dengan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Mereka, menuntut, antara lain, satu perisytiharan bahawa kesemua 523 sekolah rendah Tamil di negara ini perlu diberi bantuan penuh. – Bernama

Permata Hatiku dedah teknik belajar berkesan – Sinar Harian


Permata Hatiku dedah teknik belajar berkesan
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Jun 2012

Azman menunjukkan cara yang mudah dan berkesan bagi membantu murid Linus menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira
MACHANG – Dalam usaha membantu murid tahun dua dan tiga menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira, Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong menganjurkan Program Permata Hatiku, di sini, baru-baru ini.

Guru Besarnya, Abdul Rahman Hussin berkata, bagi menangani masalah itu, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) merancang bagi mengatasi masalah tersebut dengan mengadakan Program Literasi dan Numerasi (Linus).

Katanya, kerjasama dan kesungguhan guru mampu menjayakan program ini dan seterusnya melahirkan murid sifar Linus.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua guru yang terlibat menjayakan Program Linus ini. Semoga usaha murni ini membuahkan hasil terbaik,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Program, Noriah Che Soh berkata, program itu dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada murid pemulihan Linus tentang teknik pembelajaran menarik dan berkesan.

Katanya, pendedahan berterusan mampu meningkatkan penguasaan murid-murid dalam membaca, menulis dan mengira.

“Unit Kurikulum SK Pulai Chondong menyedari bahawa isu asas Literasi dan Numerasi masih belum diatasi sepenuhnya walaupun telah dilaksanakan pelbagai program kesinambungan daripada program sedia ada.

“KPM menyasarkan semua murid tiada masalah pembelajaran berkeupayaan mengatasi asas Literasi dan Numerasi sebelum berakhir persekolahan tahap satu.

“Sehubungan itu, program ini dirancang untuk dilaksanakan bagi menyahut cabaran KPM tersebut,” katanya.

Noriah yang juga Penolong Kanan Ko-Kurikulum SK Pulai Chondong berkata, program itu melibatkan 20 murid dari kelompok literasi dan numerasi.

Katanya, program itu dikendalikan Guru Cemerlang Pemulihan, Mohd Azman Mohd Yusoff selain guru pemulihan dan guru Linus.

“Program ini juga adalah bagi memenuhi keperluan program, kelayakan profesional pendidikan kebangsaan (NPQEL) kohort 1/2012 anjuran Institut Aminuddin Baki, KPM,” katanya.

Pengawal turut disyaki liwat abang mangsa – Sinar Harian


Pengawal turut disyaki liwat abang mangsa
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Jun 2012

KAMARUDDIN
KAMPUNG RAJA – Pengawal keselamatan berusia 56 tahun yang ditahan polis kelmarin kerana disyaki mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan 7 tahun, masih ditahan kerana turut dipercayai meliwat abang kanak-kanak itu yang berusia 9 tahun.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, warga emas itu akan disiasat terhadap kes seks luar tabie apabila abang mangsa yang belajar di tahun tiga mengadu kepada ibunya, dia telah diliwat oleh suspek.

Menurutnya, mangsa dikatakan memberitahu perbuatan jijik suspek kepada ibunya selepas perbuatan terkutuk suspek yang dipercayai mencabul kehormatan adiknya di Hutan Lipur Lata Tembakah terbongkar.

“Mangsa memberitahu suspek meliwatnya pada kali pertama pada akhir April lalu di Kampung Padang Bual, Pasir Akar, Hulu Besut dan perbuatan itu berlarutan hampir setiap minggu sehingga 9 Jun lalu di kawasan kebun dekat Lata Tembakah,” katanya.

Kamaruddin berkata, sebelum ini mangsa dikatakan takut untuk mendedahkan perbuatan suspek dan selepas kes adiknya dicabul terbongkar, baru dia memberitahu ibunya.

Menurutnya, mangsa telah dihantar menjalani pemeriksaan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan hasil pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan kecederaan lama pada dubur mangsa.

Suspek ditahan lanjut untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 377 (b) Kanun Keseksaan berhubung kesalahan seks luar tabii (liwat) dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Sinar Harian semalam melaporkan berita penangkapan suspek apabila seorang pengawal keselamatan berusia 21 tahun terkejut selepas mendapati, gambar bogel adiknya berusia tujuh tahun terdapat dalam rakaman video telefon bimbit milik rakan setugasnya.

Sebelum itu, pengawal keselamatan berusia 21 tahun diminta oleh suspek berusia 56 tahun agar mengecas bateri telefon bimbitnya.

Pada kesempatan itu, abang mangsa mengambil peluang memeriksa gambar di dalam telefon bimbit itu, dan terkejut apabila salah satu video di dalamnya memaparkan aksi adiknya disyaki dicabul oleh suspek.

Bagi kes pertama itu, suspek telah membuat rakaman video aksi tidak senonohnya terhadap kanak-kanak perempuan itu pada jam 12.09 tengah hari, 6 Mei dan jam 1.55 petang, 3 Jun lalu di kawasan hutan Lipur Lata Tembakah, Hulu Besut

Pelajar naik bumbung akibat putus cinta – Sinar Harian


Pelajar naik bumbung akibat putus cinta
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Jun 2012

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu
YAN – Seorang pelajar di sebuah sekolah di sini nekad naik di bumbung kantin sekolahnya dipercayai akibat tekanan perasaan setelah putus cinta.

Kejadian menggemparkan warga sekolah yang bimbang akan keselamatannya yang berada di atas bumbung kantin tersebut.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu, berkata, pihaknya menerima laporan guru kelas pelajar terbabit di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Yan mengatakan seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sekolah itu berada di atas bumbung kantin sekolah itu dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, semalam.

Menurutnya, guru dan rakan pelajar terbabit telah berusaha memujuknya untuk turun berikutan bimbang keselamatannya yang berada di tempat tinggi, namun gagal.

“Setelah gagal memujuk, guru sekolah terbabit menghubungi bomba bagi membuat persediaan segala kemungkinan bakal berlaku dan turut menghubungi waris pelajar terbabit.

“Bomba dan warisnya akhirnya berjaya memujuk pelajar itu turun dari bumbung kantin itu setelah memujuknya selama setengah jam dan pelajar itu berjaya diturunkan dengan bantuan pihak bomba,” katanya.

Ismail berkata, punca pelajar terbabit berada di atas bumbung kantin tersebut adalah dipercayai akibat tekanan perasaan setelah putus cinta berikutan surat cinta yang ditemui bersamanya.

Katanya lagi, kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Atuk kecewa cinta hampa – Metro


Atuk kecewa cinta hampa
Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
am@hmetro.com.my

BUKTI…Mohd Adnan menunjukkan laporan polis dibuatnya pada 14 Jun lalu.
REMBAU: “Selepas 29 tahun menduda, saya terbuka hati untuk bernikah dengan gadis berusia 16 tahun, malah gembira apabila dia bersetuju mengahwini saya menerusi kiriman SMS menyebabkan saya sanggup menunggunya habis belajar untuk meminang. Namun kini, impian itu berkecai kerana dia sudah ada kekasih lain dan mahu memutuskan hubungan.”

Begitu luahan seorang lelaki warga emas, Mohd Adnan Hamid, 60, yang mendakwa bukan saja perasaannya dipermainkan dan ribuan ringgit wang dibelanjakannya lesap, malah lebih keji kekasihnya itu tergamak menghina dan memaki hamunnya apabila dia meminta penjelasan mengenai teman lelaki baru remaja itu.

Menurutnya, dia berkenalan dengan gadis yang mesra dipanggil Ida itu, Februari lalu di sebuah kedai makan dan pada awalnya hubungan mereka tidak lebih daripada hubungan seorang datuk dan cucu.

“Dia bekerja sebagai pembantu kedai makan pada hari cuti dan sebaik mengenalinya timbul rasa kasihan dan simpati sehingga saya menawarkan diri menjadi wakil penjaga pelajar selepas dia bertukar sekolah.
“Sejak itu, kami sering berhubung melalui telefon bimbit dan bertemu. Saya minta Ida supaya berhenti kerja dan fokus terhadap pelajaran serta berjanji membantunya jika kesempitan wang,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Buka minda pelajar – Metro


Buka minda pelajar
Oleh Nor Shafinaz Sari
am@hmetro.com.my

MELAKA: “Bantuan Netbook 1Malaysia kepada pelajar sekolah langkah baik oleh kerajaan bagi membuka minda dan meningkatkan kemampuan pembelajaran kanak-kanak. “Seperti anak saya, sejak menggunakan netbook berkenaan, pembelajarannya bertambah baik,” kata peniaga, Sofiah Zakariah, 45.

Menurutnya, sejak menerima netbook berkenaan, anaknya jarang keluar rumah untuk bermain kerana lebih gemar belajar menggunakan netbook itu.
“Anak saya juga dapat mencari maklumat dengan mudah melalui internet, sekali gus meningkatkan prestasi mereka dalam pelajaran,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, bantuan netbook itu meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah yang sememangnya tidak mampu membeli komputer riba berkenaan.
Bagi pelajar, Mohd Azmi Razali, 15, berkata, dia menggunakan netbook itu untuk meningkatkan prestasinya dalam pelajaran agar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak lama lagi.
“Adik-beradik saya lapan orang, kalau hendak beli netbook sendiri, keluarga tidak mampu. Kini, kerajaan sudah bagi dan saya akan menggunakannya sebaik mungkin.

“Banyak maklumat diperoleh daripada internet yang membantu saya dalam mata pelajaran diajar di sekolah,” katanya.
Mohd Azmi berkata, dia tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada guru di sekolah kerana jika tidak faham, internet boleh dijadikan rujukan.

Suri rumah, Ramlah Babah, 62, berkata, pemberian Netbook 1Malaysia itu menunjukkan kerajaan mengambil berat serta prihatin terhadap pelajaran rakyat terutama anak golongan berpendapatan rendah.
“Usaha kerajaan ini sesuatu yang baik untuk pelajar terutama kepada anak golongan berpendapatan rendah.
“Saya berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dan bantuan ini sememangnya membantu pelajaran anak,” katanya.

Juvana, sepupu didakwa – Metro


Juvana, sepupu didakwa
Oleh Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

KUALA PILAH: Seorang juvana berusia 17 tahun dan sepupunya didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas tuduhan cuba membunuh ibu kandungnya dengan mengelar leher mangsa ketika berlaku perselisihan faham antara mereka di depan Pasar Gemencheh, di sini, minggu lalu.

Pada prosiding di depan Hakim Azura Alwi itu, juvana terbabit yang juga tertuduh kedua dan sepupunya, Nor Haslinda Mohd Yunus, 26, tertuduh pertama, masing-masing berbaju lokap ungu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mereka didakwa mengkelar leher Azizah Isa, 50, ibu saudara Haslinda dan ibu kepada juvana terbabit yang juga pembantu am sekolah rendah menggunakan pisau. dengan niat atau mengetahui perbuatan itu menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di depan Pasar Gemencheh, Tampin, pada jam 5.15 petang, 11 Jun lalu.
Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Azura tidak membenarkan tertuduh dijamin dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Julai depan bagi membolehkan pendakwa raya mengemukakan laporan kimia. Beliau juga memerintahkan remaja itu ditempatkan di Sekolah Tunas Bakti, Sungai Lereng, Melaka sementara menunggu kes dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shukri Hussain tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dengan alasan mereka mempunyai ikatan kekeluargaan dengan mangsa.

Katanya, pihak pendakwaan khuatir sekiranya dijamin, tertuduh boleh mengacau ganggu mangsa yang juga saksi utama pendakwaan sehingga boleh menjejaskan kes pendakwaan.
Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakili Nor Haslinda bagaimanapun memohon supaya jaminan dibenarkan dan berjanji kepada mahkamah untuk memastikan anak guamnya tidak menghampiri mangsa.

Katanya, mahkamah boleh memberi syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Sementara itu, suasana di galeri awam yang padat dengan orang ramai yang mengikuti prosiding kes itu bertukar sayu apabila keluarga kedua-dua tertuduh menitiskan air mata sebaik jurubahasa selesai membaca pertuduhan.

Tak sempat serah kad Selamat Hari Bapa – Metro


Tak sempat serah kad Selamat Hari Bapa
KOTA BHARU: Pemergian Muhammad Faris Faizal, 7, sudah cukup perit untuk diterima oleh ahli keluarganya, namun ia lebih meruntun perasaan apabila kanak-kanak itu tidak sempat menyerahkan sendiri kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dilukis sendiri untuk bapanya.

Kad ucapan yang tersimpan dalam beg sekolah murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Kedai Tanjung, Pasir Mas itu, hanya ditemui bapanya, Noor Hissham Abdul Aziz, 50, dua hari selepas tragedi berkenaan meragut nyawa anaknya.
Menurut Noor Hissham, dia amat tersentuh apabila diberitahu bahawa anaknya itu sebenarnya mahu menyerahkan sendiri kad ucapan berkenaan.

“Saya diberitahu, dia mahu menyerahkan kad itu dan ibunya juga sudah memujuk beberapa kali untuk melihat apa yang dilukisnya.
“Dua hari selepas kejadian, saya melihat beg sekolahnya dan terjumpa kad ucapan Selamat Hari Bapa.
“Walaupun ia amat ringkas, besar maknanya kepada saya dan kini dia sudah meninggalkan kami semua,” katanya.

Metro Ahad melaporkan seorang kanak-kanak berusia tujuh yang baru beberapa jam diraikan dalam majlis ringkas sempena hari lahirnya, maut selepas tertembak pistol milik bapa saudaranya dalam kejadian di rumah neneknya, di Ketereh, di sini, Jumaat lalu.
Difahamkan, peluru daripada pistol berkenaan menembusi kepalanya dan terkena pula dada seorang lagi bapa saudaranya, Helmi Ghazali, 32.

Tinjauan Harian Metro ke SK Kedai Tanjung semalam, mendapati suasana muram masih menyelubungi rakan mangsa yang menyifatkan Muhammad Faris Faizal sebagai peramah dan pintar.
Rakan karibnya, Aiman Iskandar Iswadi berkata, arwah seorang yang baik dan sentiasa menemaninya untuk bersembahyang.
“Dia sangat pintar dan selalu menjadi rujukan rakan lain di dalam kelas,” katanya.

Pistol tiada kesan cap jari mangsa – Berita Harian


Pistol tiada kesan cap jari mangsa
Oleh Adnan Mohamad
bhkb@bharian.com.my
2012/06/20
NOOR HISHAM menunjukkan kad ucapan ‘Saya Sayang Bapa’ sempena Hari Bapa yang ditulis arwah anaknya tiga hari sebelum maut tertembak pistol milik bapa saudara di rumah neneknya di Ketereh, semalam.
Bapa mahu siasatan diteruskan

KOTA BHARU: Bapa kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut tertembak pistol bapa saudaranya pada 15 Jun lalu, terkejut apabila diberitahu polis tiada kesan jari milik anaknya pada pistol terbabit.
Noor Hisham Abdul Aziz, 50, berkata beliau dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, siasatan yang dilakukan mendapati tiada kesan jari milik Muhammad Faris Faizal pada pistol digunakan dalam kejadian itu.
Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu. Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan. – Noor Hisham Abdul Aziz, bapa Muhammad Faris Faizal Sehubungan itu, katanya, polis perlu melakukan siasatan lanjut bagi mencari puncanya.

“Saya diberitahu ketika kejadian anak saya bermain dengan dua sepupu dan adik bongsunya. Apa yang saya ingin jelaskan ketika kejadian bukan mangsa seorang saja yang berada di tempat kejadian.

“Walaupun kejadian sudah berlalu saya berharap mangsa tidak dianggap bermain pistol itu berseorangan sehingga tertembak di kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Ketereh, di sini, semalam.

Katanya, pihak polis juga sudah menghubunginya bagi menyatakan hasrat bagi membawa tiga saksi ke Pulau Pinang bagi menjalani ujian poligraf.
“Saya sedih dengan kejadian yang berlaku kerana yakin dengan sepenuh hati arwah tidak memegang senjata api terbabit.

“Saya mohon supaya nama anak saya dibersihkan kerana bukan dia yang memegang pistol ketika itu. Walaupun kejadian itu adalah kemalangan tetapi seboleh-bolehnya biarlah semua orang tahu yang anak saya tidak memegang pistol berkenaan,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau agak sedih mengenang kejadian itu terutama selepas dua hari kematian anaknya, beliau terjumpa sekeping kad ucapan Selamat Hari Bapa yang dilukis sendiri oleh arwah tersimpan di dalam beg sekolahnya.

Katanya, beliau diberitahu arwah mahu menyerahkan sendiri kad itu kepadanya walaupun ibunya sudah memujuknya beberapa kali untuk melihat kad yang dilukis itu.

“Walaupun kad dilukis itu agak ringkas amat besar maknanya kepada saya tambahan lagi dia kini sudah tiada,” katanya.

NUTP syor bendung segera remaja samseng – Berita Harian


NUTP syor bendung segera remaja samseng
2012/06/20

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu tindakan segera diambil bagi membendung kegiatan remaja samseng menyerang sekolah supaya kejadian buruk seumpama itu tidak berulang.

Sambil melahirkan rasa kesal terhadap insiden di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheras Perdana di sini tengah hari kelmarin, NUTP juga mahu aspek keselamatan di sekolah diberi perhatian serius.
Presidennya, Hashim Adnan, berkata usaha untuk mengekang kegiatan seperti itu daripada berulang tidak hanya terletak pada pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya tanggungjawab sama harus dipikul ibu-bapa untuk mengawasi pergerakan anak mereka.
“Isu mengenai keselamatan di sekolah ini sememangnya sudah lama kita bincangkan mengenainya termasuk ada cadangan untuk menempatkan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) di sekolah bagi menjaga keselamatan pelajar.

“Kejadian seperti ini harus dikawal mulai dari sekarang, walaupun ia adalah kes terpencil, tetapi harus diberi perhatian serius oleh semua pihak, ” katanya ketika dihubungi semalam.