Dua rakan tidak mengaku perdagang remaja – Utusan


Dua rakan tidak mengaku perdagang remaja

MELAKA 21 Jun – Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagang seorang remaja lelaki berusia 17 tahun antara Mei dan Jun lalu.

Tertuduh, S. Navinthadran, 19, dan K. Mathan Raj, 21, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan memperdagangkan orang yang merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi dengan cara melacurkan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Bukit Katong, Rim, Jasin, antara awal Mei lalu pukul 8 malam hingga awal Jun lalu pukul 5 petang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Manusia 2010 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Jawatankuasa khas tangani isu guru SJKC, SJKT – Bernama


Jawatankuasa khas tangani isu guru SJKC, SJKT

KUALA LUMPUR 21 Jun – Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi menangani isu kekurangan guru terlatih di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jawatankuasa khas bagi menangani isu kekurangan guru di kedua-dua sekolah itu dipengerusikan secara berasingan oleh dua Timbalan Menteri Pelajaran.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu turut dianggotai wakil persatuan dan pertubuhan bagi masyarakat Cina dan Tamil serta kesatuan guru bagi membincangkan secara terperinci isu berkenaan serta mengenal pasti pendekatan terbaik mengatasi masalah itu.

Bagi memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran, beberapa langkah turut diambil, antaranya memastikan guru mempunyai kelayakan dwibahasa termasuk bahasa Cina atau Tamil untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan Inggeris Tahap 1.

“Selain memastikan guru kelas pemulihan mempunyai kelayakan dwibahasa, kementerian menempatkan 98 graduan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang mempunyai kepujian bahasa Cina ke SJKC dan 18 graduan yang mempunyai kepujian dalam bahasa Tamil ke SJKT pada 23 Mei lalu,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan M. Manogaran (DAP-Telok Intan) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini. – BERNAMA

PEMAKLUMAN JADUAL TEMU DUGA KEPADA LEPASAN PROGRAM PERGURUAN SECARA KURSUS DALAM CUTI DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA (IPGM) TAMAT PENGAJIAN MEI DAN JUN 2012 – SPP


PEMAKLUMAN JADUAL TEMU DUGA KEPADA LEPASAN PROGRAM PERGURUAN SECARA KURSUS DALAM CUTI DI INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA (IPGM) TAMAT PENGAJIAN MEI DAN JUN 2012

Dimaklumkan temu duga ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma Gred DGA29 bagi lepasan program perguruan secara Kursus Dalam Cuti (KDC) di IPGM yang tamat pengajian pada Mei dan Jun 2012 akan diadakan secara berperingkat mulai 2 Julai 2012. Program perguruan yang terlibat adalah seperti yang berikut:

a)Kursus Perguruan Lepas Ijazah KDC

– Pengajian Cina

– Pengajian Tamil

– Pendidikan Khas

b)Kursus Diploma Perguruan Malaysia KDC
– Pengajian Cina

– Pengajian Tamil

c)Kursus Diploma Perguruan Malaysia KDC Sekolah Agama Bantuan Kerajaan

– Bahasa Melayu

– Pendidikan Islam

– Perdagangan

– Matematik

Calon yang terlibat boleh menyemak tarikh dan tempat temu duga di sini, 2 Julai 2012, 3 Julai 2012, 4 Julai 2012, 5 Julai 2012 dan 6 Julai 2012 . Senarai dokumen temu duga yang PERLU dibawa oleh calon semasa sesi temu duga boleh disemak di sini.

Muat naik pada 21 Jun 2012

Penutupan Sementara Portal KPM bagi Kerja-Kerja Penyenggaraan Pusat Data


Penutupan Sementara Portal KPM bagi Kerja-Kerja Penyenggaraan Pusat Data

Tuan / Puan,

Dimaklumkan bahawa Portal KPM dan aplikasi-aplikasi atas talian akan ditutup sementara waktu bagi kerja-kerja penyenggaraan pusat data. Maklumat seperti ketetapan berikut :-

Tarikh Mula Ditutup : 22 Jun 2012 (Jumaat – 11.00 malam)
Tarikh Jangkaan Dibuka Semula : 23 Jun 2012 (Sabtu – 9.30 pagi)

Harap maklum.

Mengaku tidak bersalah cabul anak tiri – Sinar Harian


Mengaku tidak bersalah cabul anak tiri
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2012
KUANTAN – Seorang bapa mengaku tidak bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencabul anak tirinya, bulan lalu.

Tertuduh yang berusia 40 tahun dari Gambang, dekat sini, didakwa melakukan kekerasan jenayah kepada anak tirinya yang berusia 9 tahun dengan niat mencabul kehormatan gadis itu di ruang tamu sebuah rumah dekat Beserah, kira-kira jam 11 malam, 10 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabedah Ungku Ismail di hadapan Majistret Nurulnamim Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagaimanapun tertuduh sebelum itu memohon supaya jumlah itu dikurangkan
atas alasan dia mempunyai anak kecil berusia tujuh bulan.

Nurunaim membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin selain diperintahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 20 haribulan sepanjang prosiding berlangsung.

Tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa sepanjang prosiding itu manakala 20 Julai depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan seterusnya.

Dr M : Sekolah Jenis Kebangsaan Akan Lebih Menjarakkan Rakyat – Bernama


Dr M : Sekolah Jenis Kebangsaan Akan Lebih Menjarakkan Rakyat
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kewujudan sekolah vernakular akan menjarakkan rakyat dan menyekat perpaduan di kalangan penduduk pelbagai kaum negara ini.

Katanya, cadangan penubuhan sebuah sekolah tinggi Cina persendirian baru di Kuantan mungkin memberi kesan serupa.

“Kita telah menerima sejak awal lagi bahawa sekolah vernakular boleh ditubuhkan oleh pelbagai masyarakat dan ini menyebabkan golongan muda kita tidak belajar bersama-sama.

“Sekiranya kita mengiktiraf pendidikan Cina dan sijil mereka dan sebagainya, maka kita akan ada tiga golongan rakyat yang berlainan latar belakang pendidikan, dengan setiap satu bercakap dalam bahasa yang berbeza. Malah, saya berpendapat kita tak akan dapat hidup bersama sekiranya kita tidak memahami antara satu sama lain,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas melancarkan Pertandingan Menulis Esei Yayasan Kepimpinan Perdana-Yayasan Maybank 2012, di sini, Rabu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek baru-baru ini dilaporkan berkata beliau berharap sekolah itu mendapat kelulusan untuk ditubuhkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Dr Chua berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama para pemimpin tertinggi parti itu berhubung permohonan Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur untuk menubuhkan sekolah berkenaan di Kuantan.

Beralih kepada isu lain, Dr Mahathir mempersoaljkan kenapa pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menyaman bekas penolong gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Abdul Murad Khalid yang membuat perisytiharan berkanun, yang mendakwa, antara lain, Anwar mempunyai 20 akaun induk.

“Saya berpendapat beliau patut saman Abdul Murad. Beliau juga patut saman Ummi Hafilda Ali, kumpulan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) dan mursyidul amnya Zahid Md Arip.

“Beliau patut saman mereka kerana dengan cara itu, beliau boleh menutup mulut mereka, seperti beliau menutup mulut saya selama lima tahun (merujuk kepada satu saman fitnah RM100 juta yang difailkan Anwar terhadapnya),” kata Dr Mahathir.

Media melaporkan Anwar didakwa mengawal 20 akaun induk yang diurus kroninya, termasuk aset, saham dan wang berjumlah lebih RM3 bilion. – BERNAMA

Jeritan tukang rumah jadi penyelamat – Sinar Harian


Jeritan tukang rumah jadi penyelamat
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2012

Rumah terbabit yang musnah dalam kebakaran, semalam.
KOTA BHARU – Jeritan seorang tukang rumah menyelamatkan dua anak-beranak dalam kebakaran di Kampung Penambang di sini semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang itu, disedari oleh Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 14, yang ketika itu sedang menyiapkan kerja sekolah di ruang tamu rumah terbabit.

Wan Nor berkata, semasa kejadian, dia baru membuka buku sekolahnya dan terkejut apabila seorang tukang rumah yang berada di luar berteriak mengatakan ternampak api bermula dari dalam sebuah bilik rumah itu.

“Saya hanya datang ke rumah milik nenek saudara, Zaida Sulaiman, 57 yang tiada di rumah kerana menunaikan umrah di Mekah. Semasa kejadian ibu, sedang mandi dan selepas mendengar teriakan pekerja itu saya terus dapatkan ibu yang berada di dalam bilik air yang ketika itu sudah berpakaian dan terus keluar dari rumah,” katanya.

Menurutnya, nasib baik tukang rumah itu menjerit mengatakan ternampak api, jika tidak mungkin mereka berdua terperangkap dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Yazulia Yahya berkata, tiga jentera bersama 20 anggota dihantar ke tempat kejadian.

“Pihak kami menerima panggilan kira-kira jam 3.07 petang dan tiba pada jam 3.25 petang. Semasa kami sampai, hampir 100 peratus rumah terbabit sudah terbakar,” katanya.

Punca kejadian masih disiasat dan kerugian dianggarkan RM110,000.

Budak 5 tahun mati dalam kereta ibu – Sinar Harian


Budak 5 tahun mati dalam kereta ibu
WARTAWAN SINAR HARIAN
21 Jun 2012
JOHOR BAHRU – Seorang guru sekolah rendah terkejut selepas mendapati anaknya yang berusia lima tahun tidak bernyawa selepas kanak-kanak itu ditinggalkan di dalam kereta selama beberapa jam.

Menurut sumber polis, guru yang mengajar di salah sebuah sekolah di sini keluar dari rumah di Taman Perling, kira-kira jam 7 pagi dan sepatutnya menghantar anaknya ke salah sebuah tadika berhampiran tempat dia bekerja.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk ke sekolah terlebih dahulu kerana bimbang terlewat untuk mengimbas kad perakam waktu.

“Selepas itu dia terlupa yang anaknya ditinggalkan di dalam kereta seorang diri dan hanya menyedarinya kira-kira lima jam kemudian.

“Wanita itu bergegas ke keretanya kira-kira jam 1.30 petang dan mendapati kanakkanak terbabit terbaring tidak sedarkan diri di dalam kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya, apabila dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, doktor mengesahkan anaknya itu telah meninggal dunia.

Usaha wartawan Sinar Harian untuk menemui keluarga mangsa tidak berhasil apabila mereka enggan ditemu bual.

Sumber polis turut mengesahkan kejadian berkenaan dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.

Lelaki separuh bogel gagal lari – Sinar Harian


Lelaki separuh bogel gagal lari
MOHD SHAIFUL AHMAD AZHAR
21 Jun 2012

Terdapat tinggalan kondom di lokasi pasangan remaja terbabit melakukan hubungan seks.
KULIM – Gara-gara takut dicekup, sepasang kekasih berusia antara 17 dan 18 tahun yang sedang melakukan hubungan seks melarikan diri ketika didekati kumpulan penduduk kira-kira jam 3.45 pagi, di pondok rehat sebuah taman perumahan, di sini semalam.

Aktivis badan bukan kerajaan (NGO) Kulim, Mohd Rashdan Yaakob, 30, berkata, dia menerima maklumat penduduk yang curiga dengan kehadiran motosikal diletakkan di dalam pondok rehat di situ.

Menurutnya, ketika dia bersama tiga penduduk lain mendekati lokasi pasangan terlibat, si perempuan menyedari kehadiran mereka.

“Mulanya disangka motosikal Honda yang ada dalam pondok rehat itu mungkin dicuri memandangkan terdapat beberapa laporan kehilanganmotosikal hari ini, jadi kami membuat intipan.

“Memang kami nampak motosikal, tetapi suspek terlibat tidak ada. Setelah kami berada kira-kira 10 meter dari pondok itu, baru kami terdengar suara perempuan.

Kami buat rancangan menahan kedua-dua mereka, namun pasangan perempuan yang memakai baju kurung tiba-tiba bangun dan melarikan diri dengan motosikal,” katanya.

Mohd Rashdan berkata, pasangan lelaki yang ada di pondok itu tidak dapat melarikan diri lebih jauh kerana tidak berseluar, tetapi masih berbaju.

Menurutnya, setelah ditahan pihaknya menasihati remaja lelaki terbabit berhubung perbuatannya bersama pasangan yang tidak baik dan berdosa sebelum dia dilepaskan.

Katanya lagi, perlakuan maksiat melibatkan remaja semakin membimbangkan dan kebanyakan mereka melakukannya terdiri kalangan remaja dan pelajar sekolah.

“Selain padang permainan, pasangan terlibat akan melakukan hubungan seks bersama kekasih di bangunan tinggal. Sepanjang minggu ini, tiga pasangan kekasih berjaya ditahan dalam keadaan mengaibkan.

“Mereka ditahan selalunya beri alasan, keluarga telah mengetahui hubungan mereka atau sudah bertunang atau akan bernikah tidak lama lagi,” katanya.

Menurutnya, hukuman denda mahupun penjara terhadap pasangan remaja yang kebanyakannya tidak mempunyai duit poket sendiri bukan cara positif mendidik masyarakat.

Menurutnya, antara cara adalah dengan mengadakan dialog bersama penduduk atau menasihati golongan berkenaan dan memberi tumpuan kepada pelajar bermasalah.

“Kalau hendak berkeras pun biar kena pada tempatnya.

Sebagai orang awam yang sering berhadapan masalah seperti ini, saya dan rakan lain lebih selesa sekiranya pasangan terlibat dinasihati.

“Lagipun yang ditahan, didenda dan penjarakan adalah orang Islam dan bukan beragama lain yang boleh tersenyum kerana tidak dikenakan sebarang tindakan,” katanya.

Tranformasi pendidikan Orang Asli gariskan tujuh inisiatif – Bernama


Tranformasi pendidikan Orang Asli gariskan tujuh inisiatif

21 Jun 2012
KUALA LIPIS – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan merangka satu paradigma perubahan pendidikan yang menyeluruh di bawah Transformasi Pendidikan Orang Asli yang menggariskan tujuh inisiatif untuk meningkatkan prestasi ke tahap yang membanggakan negara.

Timbalan Perdana Menteri berkata inisiatif pertama adalah pemantapan tadbir urus sekolah-sekolah yang mempunyai murid Orang Asli bermula di peringkat sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian.

“Dalam konteks ini, kepimpinan dan pengurusan di semua peringkat akan dipertingkat kualitinya dengan memastikan segala isu dan permasalahan anak-anak Orang Asli dapat diselesaikan segera,” katanya ketika berucap melancarkan Transformasi Pendidikan Orang Asli Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Betau di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata inisiatif kedua adalah memasukkan elemen Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di peringkat menengah rendah di semua sekolah menengah harian yang menjadi tumpuan masyarakat Orang Asli.

Inisiatif ketiga, katanya, mengurangkan kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah sebanyak 6 peratus setiap tahun mulai tahun depan. Berdasarkan statistik terkini, kadar keciciran ini ialah 30 peratus.

“Keadaan ini amat membimbangkan dan merugikan negara jika tidak diambil tindakan lebih drastik.

“Justeru, saya berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, kadar keciciran murid Orang Asli ke sekolah menengah akan dapat dikurangkan atau dihapuskan sama sekali dengan memastikan setiap murid Orang Asli berjaya mendapat pencapaian akademik sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

Muhyiddin berkata menerusi inisiatif keempat pula, Kementerian Pelajaran memutuskan pengambilan pelajar bagi Program Khas Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan, Kuala Lipis ditingkatkan mengikut keperluan semasa.

“Usaha ini bertujuan supaya lebih ramai guru dalam kalangan Orang Asli dapat berkhidmat kepada masyarakat mereka sendiri di samping mengimbangi kadar bilangan guru mengikut kaum,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga sedang merangka mewujudkan jawatan Pembantu Pengurusan Murid dari kalangan Orang Asli bagi membantu guru mengurus penyediaan makanan, penjagaan diri dan kebersihan murid.

“Inisiatif kelima adalah penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan Orang Asli.

“Sehubungan itu, kerajaan bersetuju untuk menambah lagi empat buah Sekolah Model Khas Komprehensif K9. Model K9 ini adalah gabungan pendidikan rendah dan menengah rendah sehingga Tingkatan 3 yang dilengkapi dengan kemudahan asrama yang bersesuaian,” katanya.

Muhyiddin berkata inisiatif keenam adalah memperkasa jalinan kerjasama melalui pewujudan hubungan yang lebih strategik dengan rakan sinergi, rakan di lapangan serta rakan antarabangsa bagi membolehkan hasrat untuk merealisasikan transformasi itu tercapai.

Beliau berkata inisiatif terakhir adalah mewujudkan satu Sistem Pengesanan Prestasi Sekolah dan murid Orang Asli.

Menurutnya, sistem itu mengandungi aspek auditan pencapaian prestasi sekolah-sekolah dan murid Orang Asli yang bertujuan untuk membuat penambahbaikan dan pembetulan dari semasa ke semasa.- Bernama