Adam tenang menanti pembedahan – Sinar Harian


Adam tenang menanti pembedahan
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012

Tabung Adik Adam
SHAH ALAM – Beberapa jam sebelum jalani pembedahan, Adam Akbar Ali, 10, tenang dan seakan sudah bersedia melalui operasi tersebut.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, anaknya itu tidak menunjukkan rasa takut, malah lebih bersedia daripada kedua orang tuanya.

“Saya bersyukur kerana Adam tidak gentar malah tidak sabar dibedah.

Mungkin setelah tiga kali memasuki dewan bedah, dia sudah biasa.

“Walaupun bimbang, tapi kami berharap semuanya berjalan seperti yang dirancang. Saya bersyukur kerana Adam sentiasa positif.

“Saya serahkan semuanya kepada ALLAH. Hanya doa dan mohon diberi kesenangan dalam operasi ini serta Adam dapat menjalani kehidupan seperti biasa selepas ini,” katanya menerusi kiriman e-mel kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, mengikut laporan doktor pakar yang mengendalikan kes Adam iaitu Dr George Jallo, pembedahan akan mengeluarkan 90-95% tumor di saraf tunjangnya pada tahap risiko yang minima.

“Insya-ALLAH, selepas ini, Adam akan sembuh walaupun perlu menjalani rawatan susulan,” katanya.

Air mandian misteri berwarna keruh ditemui di bilik anak – Sinar Harian


Air mandian misteri berwarna keruh ditemui di bilik anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012

Hasan menunjukkan sebungkus uncang teh dan ‘air mandian misteri’ berwarna keruh yang ditemui di bilik tidur anak gadisnya itu.
MARANG – Kebimbangan seorang bapa selepas anak gadisnya berkelakuan pelik dan sering berkurung di dalam bilik sejak lebih seminggu lalu, akhirnya terjawab apabila dia menemui beberapa peralatan termasuk ‘air mandian misteri’ di bilik tidur anaknya itu.

Antara peralatan lain disimpan adalah uncang teh, uncang mengandungi beras, gula dan kertas tertulis ayat al-Quran, cecair jernih diisi di dalam botol mineral untuk diminum dan air berwarna keruh diletakkan di dalam botol plastik digunakan sebagai air mandian.

Hasan Tayib, 48, mendakwa, anak gadisnya juga turut memakai tangkal di leher diberikan seorang bomoh ‘misteri’ namun hanya sebahagian dari peralatan itu ditemuinya manakala selebihnya dilihat oleh isterinya, Latifah Sulong, 44.

Hasan berkata, anak kelima dari enam beradik itu baru berusia 15 tahun dan masih belajar di sebuah sekolah di sini, dipercayai menjadi mangsa bomoh terbabit yang diperkenalkan seorang lelaki berumur 40-an tidak dikenalinya tetapi dikenali anak gadisnya itu.

Menurutnya, perkara itu terbongkar apabila dia mengekori anak gadisnya ke sekolah awal pagi semalam, sebelum dia mendapati sebuah kereta sedang menunggu berdekatan rumah mereka dipercayai untuk membawa anak gadisnya itu ke satu tempat.

“Perkara pertama terlintas difikiran tentulah yang buruk-buruk. Hati bapa mana yang tidak risau. Tambah pula, gejala anak gadis lari dari rumah melibatkan lelaki yang berusia menjadi perkara biasa dan ia memang membimbangkan kami.

“Saya kemudiannya menunggang motosikal ke arah kereta itu sebelum melihat seorang lelaki tidak dikenali berusia sekitar 40-an berada di dalam kenderaan itu lalu bertanyakan kepadanya kenapa menjemput anak perempuan saya di situ,” katanya.

Hasan turut mendakwa rawatan itu membuatkan anak gadisnya mengikut telunjuk lelaki berusia 40-an itu.

Hasan yang ditemui di rumahnya di Gong Merawang di sini, berkata, lelaki itu memberitahu, dia menjemput anak gadisnya itu untuk pergi menemui seorang bomoh di sebuah kampung di daerah itu untuk berubat kerana mengidap sakit dalaman.

“Saya hairan kerana anak saya tidak pernah mengadu sakit dan jika sakit sekalipun dia (anak) ada penjaga iaitu kami. Selepas itu berlaku sedikit pertengkaran dan saya kemudiannya mengambil anak saya dan meminta lelaki itu beredar,” katanya.

Susulan kejadian itu, Hasan kemudiannya menghantar anaknya ke sekolah sebelum pulang semula ke rumah dan menemui beberapa peralatan termasuk ‘air mandian misteri’ di bilik tidur anaknya yang dikatakan digunakan untuk merawat penyakit ‘misteri’ anaknya.

Sementara itu, mungkin tidak ramai sedar bahawa gadis bawah 18 tahun sebenarnya masih lagi tertakluk kepada Akta Kanak-Kanak kerana pada usia itu mereka memerlukan perlindungan, belaian kasih sayang keluarga dan perhatian.

Justeru soal siapa salah tidak seharusnya berbangkit sebaliknya jalan penyelesaian yang mesti dicari. Malah bagi Hasan dan Latifah, mereka tidak malu untuk berkongsi beban ditanggung agar ia tidak berakhir dengan padah termasuk anaknya itu lari mengikut kekasih.

Mereka juga menyifatkan naluri ibu bapa sangat sensitif untuk menyimpulkan apa sebenarnya telah menimpa anak gadis mereka itu namun mereka tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis jika anak gadis mereka terus diganggu lelaki terbabit.

10 pelajar Parlimen Lumut terima biasiswa Bakti – Sinar Harian


10 pelajar Parlimen Lumut terima biasiswa Bakti
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012
MANJUNG – Seramai 10 pelajar dari Parlimen Lumut menerima Biasiswa Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) sebanyak RM600 setiap seorang. Majlis penyampaian cek biasiswa berkenaan telah disempurnakan isteri Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Parlimen Lumut, Datin Seri Chan Tat Chin.

Tat Chin berkata, biasiswa itu bertujuan untuk membantu meringankan bebanan pelajar dalam menyediakan keperluan mereka. “Kita mahu mereka menggunakan wang biasiswa ini untuk memberi peralatan sekolah termasuk buku-buku dan kelengkapan lain.

“Gunakan sebaik mungkin wang yang diberikan supaya mencapai matlamat yang diinginkan. “Kita mahu melahirkan modal insan yang cemerlang melalui bantuan yang disediakan ini,” katanya. Biasiswa itu ditawarkan kepada pelajar tingkatan empat dan lima yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam akademik sejak 2004 lalu.

Tiga remaja didakwa merompak – Sinar Harian


Tiga remaja didakwa merompak
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012
KUANTAN – Tiga remaja termasuk dua yang masih di bawah umur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan semalam atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang remaja laindi tepi padang, Lorong IM2/78, Bandar Indera Mahkota di sini, 14 Jun lalu.

Amierul Muhayat Saiful Amran, 19 dari Bukit Istana di sini bersama dua rakannya berusia 17 dan 18 tahun masing-masing dari Pekan dan Indera Mahkota di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Hidayatul Syuhada Samsuddin di hadapan Hakim Noradidah Ahmad.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tiga remaja ini didakwa secara bersama melakukan rompakan ke atas mangsa yang berusia 16 tahun di lokasi itu kira-kira jam 11 malam, 14 Jun lalu.

Dalam kejadian itu ,mereka bertiga bertindak merampas sebuah telefon bimbit bernilai RM500 milik mangsa.

Mereka juga didakwa turut menggunakan sebilah parang dalam rompakan tersebut sehingga boleh mendatangkan ketakutan, kecederaan dan menyebabkan kematian kepada mangsa.

Ekoran kesalahan jenayah yang dilakukan itu, ketika-tiga rakan terbabit dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

Mahkamah menetapkan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan seterusnya kes tersebut.

Murid prasekolah patah kaki – Sinar Harian


Murid prasekolah patah kaki
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 Jun 2012

Mohd Nizam melihat keadaan Jannatul Izzati yang tidak dapat ke sekolah kerana patah kaki akibat kemalangan itu.
BANDAR TEMERLOH – Seorang bapa kesal dengan pengurusan sebuah sekolah di daerah ini kerana membiarkan kenderaan luar masuk ke pekarangan sekolah sehingga menimbulkan bahaya kepada murid.

Mohd Nizam Ismail, 36, mendakwa, anaknya, Jannatul Izzati, 5, menjadi mangsa kecuaian itu apabila dilanggar sebuah motosikal di pekarangan sekolah.

Menurutnya, kejadian berlaku 12 Jun lalu, kira-kira jam 12.10 tengah hari ketika anaknya mahu pulang selepas tamat kelas prasekolah.

“Saya kesal kerana tidak sepatutnya pihak sekolah membiarkan kenderaan ibu bapa masuk ke kawasan sekolah.

“Semasa kejadian, seorang remaja lelaki mahu mengambil adiknya yang juga murid prasekolah pulang. Dia meletakkan adiknya duduk dalam raga motosikal sambil enjin kenderaan itu masih hidup,” katanya.

Mohd Nizam berkata, secara tidak sengaja kanak-kanak terbabit telah memulas minyak motosikal berkenaan lalu melanggar Jannatul Izzati yang berada berdekatan kawasan itu.

“Pada hari itu saya tidak mengambil anak saya kerana terpaksa bekerja dan saya minta tolong jiran untuk ambilnya di sekolah.

“Akibat kemalangan itu anak saya patah kaki kiri. Nasib baik ada pengusaha kantin yang sudi hulurkan bantuan dan segera bawa anak saya ke hospital,” katanya.

Berikutan kejadian itu, dia berharap pihak pengurusan sekolah dapat mengetatkan kawalan dengan tidak membenarkan kenderaan ibu bapa atau penjaga yang menghantar dan mengambil anak masuk ke kawasan sekolah bagi mengelakkan perkara sama berulang.

Jangan takutkan anak dengan hantu – Kosmo


Jangan takutkan anak dengan hantu

PERBUATAN menakutkan anak dengan cerita hantu untuk membuatkan mereka berhenti menangis atau mengawal tingkah laku bukanlah satu tindakan yang wajar dalam mendidik si kecil.

HANTU dan puaka merupakan sebahagian daripada watak-watak yang selalu hadir di sekeliling kita. Ia diceritakan daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Ini menjadikan seolah-olah hantu dan puaka itu seolah-olah selalu mengekori manusia.

Sungguhpun watak hantu telah ditafsirkan dengan pelbagai cara dan diceritakan daripada satu individu kepada individu yang lain, namun sangat jarang yang pernah melihatnya sendiri.

Banyak daripada watak hantu yang seram dan mengerikan itu bersumberkan daripada cerita orang lain.

Bagaimanapun, kerana ia menjadi cerita yang dipercayai, watak hantu telah menjadi sebahagian daripada perbualan masyarakat.

Disebabkan cerita hantu mampu menarik minat, mutakhir ini lambakan filem seram telah menguasai industri perfileman kita.

Walaupun filem hanyalah sekadar sebuah medium untuk berhibur, ia boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak.

Anak-anak percaya bahawa hantu atau watak seram itu benar-benar wujud di sekeliling mereka.

Dalam masyarakat Melayu khususnya, hantu telah menjadi sebahagian daripada simbol yang digunakan untuk menakutkan anak-anak yang sering menangis pada tengah malam atau mengawal kenakalan mereka.

Adakah itu cara yang betul dalam mendidik anak-anak? Hakikatnya, mendidik anak untuk takutkan hantu telah menanam konsep baharu ke dalam diri mereka. Ia telah membuatkan mereka percaya bahawa hantu itu sememangnya watak yang menakutkan dan boleh menyebabkan manusia ditimpa musibah.

Menanam kepercayaan awal

Malang sekali, kerana konsep hantu tersebut tidak dapat dibuktikan, ketakutan anak-anak itu terbawa-bawa sehingga mereka dewasa.

Mereka akan takut melalui kawasan kubur kerana kononnya ia menjadi tempat tinggal hantu atau enggan berada di tempat gelap walaupun di dalam bilik kerana kononnya ada hantu.

Sebenarnya, mendidik anak dengan konsep hantu terutamanya ketika anak-anak masih kecil hanya menjadikan mereka manusia yang penakut kepada sesuatu yang diragui kewujudannya.

Walaupun ia mungkin bukanlah pendekatan yang sesuai, tetapi menakutkan anak-anak dengan perkara yang boleh dibuktikan mungkin lebih baik daripada menakutkan mereka dengan cerita hantu.
MEMBIARKAN anak-anak menonton filem hantu di kaca TV sendirian boleh memberikan impak buruk kepada psikologi mereka.

Misalnya, kalau anak menangis, kita menakutkan mereka dengan harimau atau gajah. Apabila mereka dewasa, mereka akan tahu bahawa harimau atau gajah hanya berada di hutan atau setidak-tidaknya di zoo.

Sebaliknya, kalau kita menakutkan mereka dengan hantu dan ia tidak boleh dibuktikan, mereka akan menggambarkan hantu itu akan berada di mana-mana sahaja.

Hantu boleh berada di dalam bilik air atau pada malam hari. Hantu juga boleh muncul ketika kita tinggal berseorangan.

Sehubungan itu, ibu bapa harus berhati-hati apabila mendidik anak-anak mereka. Jangan mengambil jalan singkat untuk menghentikan anak-anak menangis, sedangkan perbuatan seumpama itu hanya merosakkan keyakinan diri mereka pada masa hadapan.

Apa yang terjadi, biasanya mereka yang menceritakan ternampak hantu itu adalah mereka yang takut kepada makhluk tersebut.

Adakalanya, hantu yang diceritakan itu bukanlah hantu yang sebenarnya, sebaliknya hanyalah imej lain yang pada sangkaan mereka ialah hantu.

Konsepsi mengenai hantu telah menyebabkan wujudnya nujuman penyempurnaan kendiri dalam diri seseorang.

Kita meramal dahulu dan membenarkan kemudian. Apabila ada plastik putih yang terbang pada waktu malam, mereka yang sudah sedia menanam kepercayaan konsep hantu ini segera membuat kesimpulan bahawa itu ialah hantu.

Sesekali, apabila terdengar ada bunyi asing pada tengah malam, mereka menyatakan bahawa mereka sedang diusik hantu.

Kepercayaan awal itulah yang menyebabkan kesimpulan mengenai hantu itu dibuat tanpa berfikir panjang.

Walaupun dalam Islam kita memang disuruh mempercayai kewujudan jin dan syaitan, tetapi tentulah ia bukan seperti yang digambarkan dalam cerita masyarakat kita.

Kepercayaan dan ketakutan yang keterlaluan masyarakat kita terhadap hantu telah mencetuskan watak hantu dengan pelbagai nama dan sifatnya.

Hakikatnya, daripada banyak cerita seram yang kita dengar itu jarang ada antara kita yang pernah menyaksikannya sendiri.

3 budak ke CIC bantu siasatan – Metro


3 budak ke CIC bantu siasatan
TANAH MERAH: Tiga kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun dihantar ke pusat temu duga kanak-kanak (CIC) di Pulau Pinang, kelmarin, bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang maut akibat tertembak pistol bapa saudaranya di Ketereh Jumaat lalu.

CIC diwujudkan sejak 2002 sebagai pusat di bawah kendalian Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi mengambil keterangan kanak-kanak.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, tiga kanak-kanak itu berada bersama mangsa ketika kejadian dan maklumat daripada mereka penting untuk melengkapkan siasatan.

“Tiga kanak-kanak itu ialah sepupu dan seorang rakan mangsa berusia antara lima hingga enam tahun.
“Polis akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu walaupun bapa mangsa, (Noor Hisham Abdul Aziz, 50) mendakwa dimaklumkan anggota Bahagian Forensik, bahawa siasatan awal yang dilakukan mendapati tiada kesan cap jari mangsa pada pistol.
“Saya ingin menegaskan bahawa polis tidak akan sewenang-wenangnya menerima sebarang laporan tanpa menjalankan siasatan secara terperinci, malah polis sedang mencari bukti bagaimana pistol itu diletupkan,” katanya kepada pada sidang media selepas selepas program ‘Walk About – High Profile Policing,’ di sini, semalam.

Turut hadir ialah , Pegawai Jajahan Tanah Merah, Zamri Ismail; Penasihat Kelab Sahabat Keselamatan Tanah Merah, Datuk Ir Shaari Hassan dan Ketua Polis Tanah Merah, Deputi Superintendan Abd Aziz Mahmud.

Gurauan melampau – Metro


Gurauan melampau
Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor
am@hmetro.com.my

REMBAU: Tindakan seorang kerani sekolah mengacah dua murid dengan playar supaya tidak membuat bising disebabkan guru tiada dalam kelas, mengundang padah apabila seorang murid mendakwa kemaluannya cedera terkena alat pertukangan itu.

Menurut sumber, kejadian berlaku jam 9.40 pagi kelmarin apabila kerani lelaki berusia 34 tahun itu masuk ke kelas tahun lima sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini, untuk mengambil buku daftar kedatangan murid.
Difahamkan, ketika itu guru tiada di dalam kelas dan disebabkan keadaan terlalu bising, kerani itu meminta murid supaya diam tetapi tidak diendahkan.

“Niatnya untuk bergurau dengan menggunakan playar bagi menakut-nakutkan murid akhirnya mendatangkan kecederaan kepada seorang murid yang mendakwa buah zakarnya dikepit dengan alat itu,” katanya.

Meracau nak cari adik – Metro


Meracau nak cari adik
Oleh Muhammad Saufi Hassan
saufi@hmetro.com.my

POKOK SENA: “Nak cari adik saya… nak cari adik,” raung seorang pelajar perempuan sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di sini, ketika meracau dipercayai akibat diserang histeria selepas menjalani latihan sukan, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, sekurang-kurangnya 20 pelajar diserang histeria selepas mereka menjalani latihan sukan acara olahraga.
Kejadian dikatakan bermula dengan seorang daripada mereka yang lalu di pos pengawal tiba-tiba jatuh pengsan sebelum sedar dalam keadaan meracau-racau.

Serangan histeria itu kemudian merebak ke bahagian kantin dan beberapa bahagian di sekolah berkenaan, membabitkan beberapa pelajar perempuan lain yang meracau dan tidak sedarkan diri.

Emak jadi ibu ayam – Metro


Emak jadi ibu ayam
Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

GEORGETOWN: Ibu durjana. Itu gelaran paling sesuai untuk seorang wanita yang menjadikan dua anak gadisnya berusia 16 dan 17 tahun sebagai hamba seks dengan melacurkan mereka sejak dua bulan lalu dengan alasan untuk menampung kehidupan.

Perbuatan terkutuk wanita berusia 35 tahun itu terbongkar apabila dia bersama teman lelakinya yang juga orang tengah dalam memperdagangkan tubuh dua beradik terbabit, dicekup dalam Ops Noda di sebuah hotel di Bayan Lepas, dekat sini, awal pagi semalam.

Difahamkan, wanita itu sebelum ini pernah ditahan dan ditempatkan di sebuah pusat pemulihan akhlak kerana melakukan perkara sama, namun dia dibebaskan Disember tahun lalu.

Nyata, dia rupa-rupanya masih belum insaf dan kali ini bersekongkol dengan teman lelakinya berusia 27 tahun untuk melacurkan dua anaknya dengan menjadikan hotel berkenaan sebagai lokasi mencari pelanggan.