210 lepasan SPM, STPM kumpulan pertama terima biasiswa YPPB – Bernama


210 lepasan SPM, STPM kumpulan pertama terima biasiswa YPPB
2012/06/24
SUNGKAI: Seramai 210 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah kumpulan pertama yang terpilih untuk menerima biasiswa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) yang dilancarkan akhir tahun lalu.

Setiap pelajar akan menerima biasiswa antara RM100,000 hingga RM300,000 untuk sepanjang pengajian mereka di institusi pengajian tinggi yang akan bermula bulan depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata YPPB ditubuhkan bertujuan memberi laluan kepada pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
“Kerajaan sedar terdapat pelajar yang cerdas tidak berpeluang untuk menggilap potensi mereka disebabkan wujudnya kekangan persekitaran seperti kemiskinan keluarga, keadaan rumah yang kurang sesuai dan ketiadaan akses kepada kemudahan pembelajaran,” katanya ketika berucap pada program Kemuncak Jelajah Aspirasi 2012 dan penyampaian surat tawaran biasiswa YPPB kepada pelajar terpilih di sini, hari ini.

Nor Mohamed berkata, kerajaan bertekad untuk memastikan kedaifan hidup tidak menjadi penghalang kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Pendidikan adalah platform anjakan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga, membasmi kemiskinan dan menjamin masa depan yang lebih cerah untuk bangsa dan negara kita,” katanya. – BERNAMA

Lima jam dikurung jiran – Sinar Harian


Lima jam dikurung jiran
WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Jun 2012

Mangsa kini sedang dirawat di hospital.
JOHOR BAHRU – Seorang kanak- kanak lelaki berusia 10 tahun dari Ulu Tiram di sini, dikurung jirannya selama lima jam selepas dituduh bersubahat mencuri besi buruk.

Mangsa turut dipukul sehingga patah tangan kiri dan dicucuh puntung rokok di beberapa bahagian badan oleh jiran terbabit yang mendakwa dia seorang rakannya mencuri besi buruk miliknya.

Nenek mangsa yang enggan dikenali berkata, kejadian yang berlaku pada 13 Jun lalu itu bermula apabila cucunya diajak seorang anak jiran menemaninya ke kedai berdekatan.

“Tiba-tiba salah seorang jiran kami datang meluahkan rasa tidak puas hati dan dakwa cucu saya mencuri besi buruk miliknya.

“Apabila saya soal cucu di hadapan jiran kami itu, dia mengaku ada melihat rakannya berusia 14 tahun menjual besi buruk di sebuah kedai,” katanya.

Dia berkata, cucunya turut memberitahu yang rakannya itu memberi upah RM1 kerana menemaninya, namun dia tidak tahu besi yang dijual adalah barang curi,” katanya.

Tidak puas hati dengan penerangan kanak-kanak itu, jiran terbabit memaksa cucunya mengikut dia pulang ke rumah secara kasar walaupun cuba dihalang.

Menurutnya, menantu lelakinya yang pulang dari tempat kerja sekitar jam 10.30 malam segera menghubungi polis.

“Saya diberitahu cucu saya dikurung selama lima jam dan hanya dibebaskan selepas seorang anggota polis datang ke tempat kejadian.

“Kami terkejut melihat dia cedera, malah bajunya mempunyai kesan darah dan membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru,” katanya.

Difahamkan, keluarga terbabit membuat laporan di Balai Polis Skudai berkaitan kejadian itu pada 21 Jun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.

Pengajaran, pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah Tamil perlu dikaji semula: EWRF – Bernama


Pengajaran, pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah Tamil perlu dikaji semula: EWRF
2012/06/24
KUALA LUMPUR: Satu kajian mengesyorkan supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia di sekolah Tamil perlu dikaji semula dan ditambah baik untuk memastikan pelajar mendapat pengetahuan asas tentang mata pelajaran itu sebelum mereka menamatkan pembelajaran di peringkat sekolah rendah.

Kajian itu mendapati sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar yang tamat belajar selama enam tahun di sekolah rendah Tamil, gagal memperoleh minimum gred C dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dalam peperiksaan UPSR.
Kajian selama enam bulan oleh Education, Welfare and Research Foundation (EWRF), sebuah pertubuhan pendidikan bukan kerajaan yang melibatkan pelajar kelas peralihan dari sekolah vernakular Tamil di seluruh negara itu, bertujuan mengukur keberkesanan kelas peralihan dalam sistem pendidikan di negara ini.
Penyelaras Pelan Tindakan bagi Masa Depan Sekolah Tamil, Prof Dr NS Rajendran berkata, pada peringkat awal, kelas peralihan diwajibkan dan diperkenalkan untuk membolehkan pelajar menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun, anehnya, selepas diberi tambahan satu tahun, pelajar ini masih tidak dapat menguasai dua bahasa itu dan selalunya lebih gemar menggunakan bahasa ibunda mereka kerana mereka terpisah daripada arus utama dan perlu berinteraksi sesama mereka,” katanya ketika membentangkan dapatan kajian itu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kira-kira 90 peratus pelajar berkenaan mendapat markah tinggi dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Sambil mengesyorkan supaya pendekatan khusus dilaksanakan untuk menangani masalah itu, beliau berkata kelas peralihan perlu ditiadakan secara berperingkat mulai Januari 2013 dan dihentikan sepenuhnya menjelang Disember 2015 supaya pelajar boleh terus memasuki Tingkatan 1.
Melalui pendekatan ini, katanya, pelajar akan dapat memasuki arus utama dan mendapat peluang seperti yang disediakan kepada rakan sebaya mereka untuk berinteraksi dan belajar.

“Program intervensi perlu diperkenalkan untuk mengenal pasti pelajar yang gagal memperoleh kecekapan asas dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris menjelang berakhirnya Tahun 3 persekolahan mereka di sekolah rendah.

“Guru tidak perlu menunggu hingga murid tamat belajar di sekolah rendah untuk mengetahui bahawa mereka tidak dapat menguasai dua bahasa itu,” katanya.

“Sekiranya kelemahan mereka dapat dikenal pasti dengan lebih awal, program intervensi boleh diperkenalkan dengan lebih cepat untuk memastikan jumlah mereka yang tidak dapat menguasai bahasa Malaysia setelah bersekolah selama enam tahun, dapat dikurangkan kepada tidak sampai lima peratus,” katanya.

Dr Rajendran berkata, melalui program intervensi, jumlah pelajar yang ditempatkan di sesuatu kelas mestilah kurang daripada 25 pelajar untuk memudahkan guru memberi tumpuan khas kepada mereka yang tidak dapat menguasai dua bahasa itu.

Sementara itu, presiden EWRF, Datuk A Yogesvaran berkata, kajian berkenaan merupakan inisiatif pertama yang dilaksanakan pihaknya untuk mengkaji secara terperinci keberkesanan kelas peralihan supaya syor sewajarnya boleh dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

“Pada Ogos tahun lalu, EWRF menganjurkan Perbincangan Meja Bulat untuk menangani isu ini dan setelah mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran pada September, kami menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk menjalankan kajian ini,” katanya.

Beliau berkata, laporan kajian itu dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran Khamis lepas dan kementerian berkenaan dijangka menganjurkan dialog susulan mengenainya bulan depan. – BERNAMA

Pendidikan keselamatan kanak-kanak perlu ditingkat – Utusan


Pendidikan keselamatan kanak-kanak perlu ditingkat

KUALA LUMPUR 23 Jun – Pendidikan keselamatan membabitkan kanak-kanak perlu ditingkatkan ekoran peningkatan kejadian jenayah yang sering menimpa golongan tersebut di negara ini.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman jenayah adalah tanggungjawab semua pihak yang hidup dalam sesebuah masyarakat.

Menurutnya, kanak-kanak perlu diberi persekitaran hidup yang harmoni dan selamat bagi memastikan hak mereka untuk membesar dan hidup dapat terlaksana secara menyeluruh.

“Adalah penting untuk kita memberikan kanak-kanak ini khususnya murid-murid di sekolah rendah pendidikan awal keselamatan termasuk diajar cara-cara melindungi diri dalam satu-satu situasi.

“Selain itu, peranan ibu bapa, para guru dan anggota masyarakat juga harus dipertingkatkan dalam memastikan persekitaran hidup yang lebih selamat buat generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

7,975 guru lepasan diploma naik taraf ke gred DG41 – Utusan


7,975 guru lepasan diploma naik taraf ke gred DG41

BATU PAHAT 23 Jun – Seramai 7,975 guru perkhidmatan pendidikan lepasan diploma (PPLD) yang telah melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah akan dinaik taraf sebagai pegawai perkhidmatan pendidikan siswazah (PPS) gred DG41 tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan perjawatan baru itu kepada guru-guru tersebut pada Mei lalu.

Beliau menjelaskan, golongan itu merupakan sebahagian daripada guru-guru PPLD yang diberi peluang melanjutkan pelajaran secara jarak jauh dengan kerjasama Universiti Terbuka Malaysia (OUM) menerusi program pensiswazahan guru.

“Baru-baru ini, timbul isu guru-guru yang telah disiswazahkan belum disahkan perjawatan ke gred DG41 terutama bagi kohort dua, tiga, empat dan lima.

“Kita dan universiti melahirkan guru, tetapi hendak melantik perlukan kelulusan Perbendaharaan (treasury) sebab ‘dia’ akan bayar gaji dan luluskan perjawatan. Jadi, ini menyebabkan guru yang telah disiswazahkan ini kena menunggu untuk dinaikkan daripada PPLD kepada PPS,” katanya.