Pengajaran, pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah Tamil perlu dikaji semula: EWRF – Bernama


Pengajaran, pembelajaran Bahasa Malaysia di sekolah Tamil perlu dikaji semula: EWRF
2012/06/24
KUALA LUMPUR: Satu kajian mengesyorkan supaya pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia di sekolah Tamil perlu dikaji semula dan ditambah baik untuk memastikan pelajar mendapat pengetahuan asas tentang mata pelajaran itu sebelum mereka menamatkan pembelajaran di peringkat sekolah rendah.

Kajian itu mendapati sekurang-kurangnya 40 peratus pelajar yang tamat belajar selama enam tahun di sekolah rendah Tamil, gagal memperoleh minimum gred C dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dalam peperiksaan UPSR.
Kajian selama enam bulan oleh Education, Welfare and Research Foundation (EWRF), sebuah pertubuhan pendidikan bukan kerajaan yang melibatkan pelajar kelas peralihan dari sekolah vernakular Tamil di seluruh negara itu, bertujuan mengukur keberkesanan kelas peralihan dalam sistem pendidikan di negara ini.
Penyelaras Pelan Tindakan bagi Masa Depan Sekolah Tamil, Prof Dr NS Rajendran berkata, pada peringkat awal, kelas peralihan diwajibkan dan diperkenalkan untuk membolehkan pelajar menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

“Bagaimanapun, anehnya, selepas diberi tambahan satu tahun, pelajar ini masih tidak dapat menguasai dua bahasa itu dan selalunya lebih gemar menggunakan bahasa ibunda mereka kerana mereka terpisah daripada arus utama dan perlu berinteraksi sesama mereka,” katanya ketika membentangkan dapatan kajian itu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kira-kira 90 peratus pelajar berkenaan mendapat markah tinggi dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.

Sambil mengesyorkan supaya pendekatan khusus dilaksanakan untuk menangani masalah itu, beliau berkata kelas peralihan perlu ditiadakan secara berperingkat mulai Januari 2013 dan dihentikan sepenuhnya menjelang Disember 2015 supaya pelajar boleh terus memasuki Tingkatan 1.
Melalui pendekatan ini, katanya, pelajar akan dapat memasuki arus utama dan mendapat peluang seperti yang disediakan kepada rakan sebaya mereka untuk berinteraksi dan belajar.

“Program intervensi perlu diperkenalkan untuk mengenal pasti pelajar yang gagal memperoleh kecekapan asas dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris menjelang berakhirnya Tahun 3 persekolahan mereka di sekolah rendah.

“Guru tidak perlu menunggu hingga murid tamat belajar di sekolah rendah untuk mengetahui bahawa mereka tidak dapat menguasai dua bahasa itu,” katanya.

“Sekiranya kelemahan mereka dapat dikenal pasti dengan lebih awal, program intervensi boleh diperkenalkan dengan lebih cepat untuk memastikan jumlah mereka yang tidak dapat menguasai bahasa Malaysia setelah bersekolah selama enam tahun, dapat dikurangkan kepada tidak sampai lima peratus,” katanya.

Dr Rajendran berkata, melalui program intervensi, jumlah pelajar yang ditempatkan di sesuatu kelas mestilah kurang daripada 25 pelajar untuk memudahkan guru memberi tumpuan khas kepada mereka yang tidak dapat menguasai dua bahasa itu.

Sementara itu, presiden EWRF, Datuk A Yogesvaran berkata, kajian berkenaan merupakan inisiatif pertama yang dilaksanakan pihaknya untuk mengkaji secara terperinci keberkesanan kelas peralihan supaya syor sewajarnya boleh dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran.

“Pada Ogos tahun lalu, EWRF menganjurkan Perbincangan Meja Bulat untuk menangani isu ini dan setelah mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran pada September, kami menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk menjalankan kajian ini,” katanya.

Beliau berkata, laporan kajian itu dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran Khamis lepas dan kementerian berkenaan dijangka menganjurkan dialog susulan mengenainya bulan depan. – BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s