‘Janji Ditepati’ Tema Hari Kemerdekaan Tahun Ini – Bernama


‘Janji Ditepati’ Tema Hari Kemerdekaan Tahun Ini
KUALA LUMPUR: ‘Janji Ditepati’ dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos.

Sarawak pula akan menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata bagi perayaan tahun ini, ia akan melibatkan penyertaan lebih aktif golongan belia dan penyertaan spontan orang ramai.

Perarakan Hari Kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka manakala pada sebelah malamnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bersama rakyat di Stadium Nasional Bukit Jalil untuk menyampaikan amanat merdeka dan amanat Hari Malaysia.

“Pada keseluruhannya saya yakin perayaan Hari Merdeka dan Hari Malaysia kali ini akan lebih hebat dari dulu, cuma tinggal lagi pada 16 Sept kita akan beralih ke Sarawak untuk meraikan Hari Malaysia dan jawatankuasa mencadangkan supaya kita bersama-sama pula ke kawasan luar bandar di Sarawak,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 di sini Isnin, Rais berkata terdapat cadangan agar Bintulu dijadikan lokasi sambutan Hari Malaysia, namun ia masih belum diputuskan.

Beliau berkata sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia akan dimulakan pada 11 Julai anjuran pihak swasta melalui program Buku Rekod Malaysia.

Pada 15 Julai pula, Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan program-program yang berkaitan dengan belia di Menara Kembar Petronas.

Pada 17 Julai, perdana menteri akan merasmikan program pengibaran Jalur Gemilang di Brickfields, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kampung Baru dan pemimpin masyarakat Cina di Jalan Petaling secara serentak, kata Rais.

Pada bulan Ramadan, program berkaitan tetapi berunsur keagamaan akan diadakan untuk masyarakat Islam dan beberapa acara untuk kaum lain turut disusun.

Rais dalam pada itu meminta semua pihak agar mengenepikan perbezaan fahaman politik bagi menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 itu.

“Para pemimpin masing-masing perlu memainkan peranan dengan sokongan rakyat supaya Jalur Gemilang dikibarkan di setiap rumah, setiap kedai, setiap gedung dan pejabat dan ini tidak mengira latar belakang politik dan pentadbiran masing-masing,” katanya.

“Kita akan semarakkan seboleh mungkin pengibaran Jalur Gemilang di kawasann dan premis yang sebelum ini tidak diambil berat dan inilah masanya untuk kita memperlihatkan kepada dunia bahawa sekali setahun kita menyumbang ke arah kenegaraan kita dengan mengibarkan Jalur Gemilang di jendela atau pintu,” katanya. – BERNAMA

Dua murid Tahun Tiga ditemui lemas – Bernama


Dua murid Tahun Tiga ditemui lemas
2012/06/25

JERANTUT: Mayat dua orang murid Tahun Tiga yang dilaporkan lemas ketika mencari ikan bersama rakan-rakannya di Sungai Pahang berdekatan Kampung Jerangsang di sini semalam ditemui hari ini.

Kedua-dua mangsa ditemui pada pagi dan petang ini selepas dilaporkan lemas tengah hari semalam.
Mayat Muhammad Firas Samsudin, 9, ditemui anggota penyelamat pada 9.45 pagi, kira-kira kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian sementara mayat rakannya Mohd Aiman Abdullah, 9, ditemui 5 petang ini di dasar sungai di tempat mangsa dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail, dalam kejadian itu, enam rakan yang sama usia itu dikatakan pergi ke sungai untuk mencari ikan.

“Empat daripada mereka turun ke dalam sungai manakala dua lagi berada di atas tebing. Dua daripada mereka kemudiannya dilaporkan lemas dan dibawa arus sungai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Kampung Bukit Genting, Mohd Suhaimi Jaafaar berkata semua kanak-kanak terbabit berasal dari kampung tersebut yang terletak kira-kira satu kilometer dari sungai berkenaan.

“Semasa kejadian terdapat sebanyak 20 bot penduduk tempatan yang sedang menjaring ikan di kawasan berkenaan. Sejurus mendengar jeritan dan mendapat tahu kanak-kanak berkenaan dihanyutkan arus, mereka terus berhenti menjaring ikan dan segera mencari mangsa,” katanya.
Beliau berkata polis yang dimaklumkan mengenai kejadian itu tiba di tempat kejadian setengah jam kemudian dan segera melaksanakan operasi mencari dan menyelamat yang disertai tujuh pegawai, 10 orang anggota dengan dibantu oleh 12 anggota Jabatan Pertahanan Awam serta penduduk kampung.

Mohd Suhaimi berkata menurut rakan kanak-kanak terbabit, mereka menjaring ikan di sungai berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dikatakan terjerlus ke kawasan dalam sebelum dihanyutkan air deras,” katanya. – BERNAMA

Permohonan Kursus Dalam Perkhidmatan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012 – Tambahan


Permohonan Kursus Dalam Perkhidmatan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012 – Tambahan

Permohonan Online Kursus Dalam Perkhidmatan Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani Ambilan 2012 untuk calon tambahan dibuka mulai 25 Jun 2012. Calon yang berminat boleh melayari url http://apps.moe.gov.my/abpg/dapj2012/ untuk membuat permohonan.

PDRM perluas rondaan di sekolah seluruh negara – Bernama


PDRM perluas rondaan di sekolah seluruh negara
2012/06/25

KUALA TERENGGANU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memperluaskan rondaan di sekolah seluruh negara terutamanya di kawasan berisiko bagi memantau keselamatan pelajar, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, anggota polis dengan bantuan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) akan melakukan rondaan di kawasan sekolah pada waktu pagi, tengah hari dan petang.
“Kita sudah memperkenalkan program rondaan ini di sekolah antarabangsa di Kuala Lumpur dan Selangor sejak dua bulan lalu dan selepas ini kita akan melanjutkan program seumpama ini ke semua sekolah berisiko tidak lama lagi.
“Dengan program yang dilaksanakan ini, masyarakat akan menyedari kehadiran pihak berkuasa di kawasan panas dan sering berlaku jenayah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi dan Menutup Majlis Peringatan Hari Polis di Pulau Duyong, di sini, hari ini.

Khalid berkata, dengan inisiatif yang dilakukan itu, masyarakat akan merasa lebih selamat.

Katanya, dua anggota polis dan tiga anggota RELA akan melakukan rondaan itu, namun jumlah tersebut bergantung mengikut kesesuaian sesuatu tempat berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih memantau beberapa sekolah yang dianggap berisiko untuk menempatkan anggota keselamatan bagi memantau keselamatan pelajar.
Sementara itu, beliau berkata kira-kira 100,000 pegawai dan anggota polis digerakkan dalam melakukan rondaan bersama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan RELA di bawah program Rondaan 1Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara.

Melalui program yang dimulakan tahun lalu itu, indeks kadar jenayah negara berjaya diturunkan sebanyak 10.1 peratus bagi tempoh Januari hingga Mei 2012 berbanding tempoh sama tahun lalu. – BERNAMA

Adam jalani fisioterapi – Sinar Harian


Adam jalani fisioterapi
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Jun 2012

Adam jalani rawatan susulan fi sioterapi di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat.
SHAH ALAM – Adam Akbar Ali, 10, kini menjalani rawatan susulan fisioterapi di Hospital Johns Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat, kelmarin.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, kanak-kanak itu semakin pulih dan mampu berjalan beberapa langkah keluar dari biliknya dengan bantuan doktor.

“Bagaimanapun, kaki dan tangannya masih lemah akibat kesan pembedahan tumor saraf tunjang.

“Alhamdulillah, senyuman Adam menggembirakan kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, keputusan pemeriksaan imbasan magnetik resonan (MRI) yang diperoleh semalam menunjukkan lebih 90 peratus daripada tumor berjaya dikeluarkan.

“Setakat ini hanya 10 peratus tumor yang masih belum dikeluarkan di mana risikonya rendah dan tiada sebarang kesan negatif untuk jangka masa panjang,” katanya, semalam.

Akbar berkata, pakar fisioterapi memberitahu Adam akan kembali pulih selepas beberapa hari menjalani sesi fisioterapi berkenaan.

“Adam, akan menjalani rawatan susulan di klinik Dr Jallo, Hospital Johns Hopkins sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia,” katanya.

Adam yang menghidap penyakit saraf tunjang memerlukan RM175,000 untuk kos pembedahan. Banyak pihak, termasuk NGO turut menyumbang. Kerajaan Terengganu menyumbang RM100,000.

Murid ditemui mati lemas, rakan masih hilang – Bernama


Murid ditemui mati lemas, rakan masih hilang
2012/06/25

JERANTUT: Mayat seorang murid Tahun Tiga yang dilaporkan lemas ketika mencari ikan bersama rakan-rakannya di Sungai Kampung Jerangsang di sini semalam ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pagi ini.

Mayat Muhammad Firas Samsudin, 9, ditemui anggota penyelamat kira-kira 9.45 pagi sementara rakannya Mohd Aiman Abdullah, 9, yang turut dilaporkan lemas masih belum ditemui.
Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail, dalam kejadian tengah hari itu, enam rakan yang sama usia itu dikatakan pergi ke sungai untuk mencari ikan.
“Empat daripada mereka turun ke dalam sungai manakala dua lagi berada di atas tebing. Dua daripada mereka kemudiannya dilaporkan lemas dan dibawa arus sungai,” katanya di sini, hari ini.

Azid berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang diteruskan. – BERNAMA

KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012 (Terengganu)


KAJIAN SEMULA SISTEM PENDIDIKAN NEGARA: DIALOG NASIONAL PENDIDIKAN NEGARA 2012 (Terengganu)

Kerajaan telah menetapkan sasaran menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Cabaran utama merealisasikan hasrat tersebut ialah keupayaan negara menghasilkan modal insan unggul melalui sistem pendidikan yang berkualiti. Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 merupakan wadah bagi perkongsian idea dan lontaran pandangan semua lapisan masyarakat yang dapat dijadikan input kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan. Sehubungan itu, orang ramai adalah dijemput untuk mengemukakan idea dan pandangan kearah transformasi pendidikan negara di Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012 yang akan diadakan seperti berikut:-

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai latarbelakang Kajian Semula Pendidikan: Dialog Nasional Pendidikan Negara 2012, sila muat turun fail di bawah.

Latarbelakang Kajian Semula Pendidikan

Festival Nasyid Sekolah-Sekolah (FNSS) KPM Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2012


Festival Nasyid Sekolah-Sekolah (FNSS) KPM Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2012

Festival Nasyid Sekolah-Sekolah (FNSS) KPM
Peringkat Kebangsaan Kali Ke-8 Tahun 2012

25 Hingga 28 Jun 2012

Auditorium
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Kelantan

PESTA PANTUN SEKOLAH SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2012


PESTA PANTUN SEKOLAH SEKOLAH MENENGAH PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 2012

Pesta Pantun Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan Kali ke-23 Tahun 2012 akan diadakan :

Pada : 24-27 Jun 2012 (Ahad – Rabu )
Tempat : Kuala Terengganu, Terengganu

Untuk maklumat lanjut sila lihat Lampiran.

Muat turun
Pesta Pantun 2012