Jeritan ceria dapat kereta – Metro


Jeritan ceria dapat kereta
Oleh Iskandar Shah Mohamed
am@hmetro.com.my

MELAKA: “Saya menang kereta!“ jerit pelajar perempuan tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rambai yang membawa pulang Perodua Viva Elite selepas memenangi cabutan bertuah mega sempena majlis perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan program Jelajah Janji Ditepati di sini, kelmarin.

Penantian Nur Amalina Izzati Ali, 17, selama lebih lapan jam sejak awal pagi, berbaloi apabila terpilih antara ribuan pengunjung program berkenaan. Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, dia datang ke program itu bersama keluarga untuk memperoleh maklumat berguna dan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang hadir melakukan perasmian.
“Namun saya yang turut menyertai cabutan bertuah amat terkejut apabila diumumkan sebagai pengunjung yang memenangi cabutan mega berkenaan.

“Apabila diundi bersama 10 pemenang lain, hati ini berdegup kencang apabila melihat kertas yang dibuka menunjukkan bahawa saya memenangi kereta Viva terbabit,” katanya, petang kelmarin.
Penyampaian hadiah berkenaan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam.
Cabutan bertuah itu turut menawarkan 10 motosikal, tiket penerbangan ke destinasi terpilih, telefon bimbit, iPad, barangan elektrik dan hamper yang semuanya bernilai RM200,000.

Kata Nur Amalina yang menetap di Krubong, kemenangan itu menjadi pemangkin semangat untuk berusaha lebih gigih menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.
“Saya akan ambil lesen memandu selepas ini dan akan menggunakan kereta apabila melanjutkan pelajaran nanti,” katanya. Bagi pemenang motosikal Kriss Modenas, Noraini Matsam, 34, detik itu dianggap paling manis kerana berpeluang menghadiahkan motosikal berkenaan kepada suaminya, Affendi Mohamad, 37, yang menyambut ulang tahun kelahirannya, kelmarin. “Kami tidak menyangka akan memenangi cabutan bertuah berkenaan,” kata suri rumah dari Masjid Tanah itu.

Tinjauan mendapati ribuan pengunjung yang membanjiri program itu setia menunggu pengumuman cabutan bertuah berkenaan, selain meninjau puluhan gerai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s