Seksa dihempap dinding konkrit – Metro


Seksa dihempap dinding konkrit
Oleh Alias Abd Rani
lias@hmetro.com.my

SANTUBONG: Tiga beranak cedera termasuk seorang dihempap dinding konkrit seberat 40 kilogram apabila lantai dapur rumah mereka tiba-tiba runtuh di Kampung Rampangi Fasa II, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, Sharifah Masnah Wan Husai, 54, bersama dua anak perempuannya, Suria, 16, dan Siti Khatijah Sulong, 18, terpaksa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan.
Sharifah Masnah berkata, mereka terpelanting sebelum Suria dihempap dinding konkrit menyebabkan tangan dan kaki kirinya cedera.

Menurutnya, bahagian menempatkan dapur serta bilik air itu roboh dipercayai berpunca struktur kayu reput mengakibatkan mereka tiga beranak hampir kehilangan nyawa.
Sharifah Masnah berkata, sebelum kejadian, anaknya Suria menggunakan tandas terlebih dulu sebelum dia dan Siti Khatijah menyusul.
“Baru saja menjejak kaki ke dapur, secara tiba-tiba ia bergoyang lalu roboh. Kami bertiga terpelanting dengan Suria terkena batu menyebabkan tangan dan kaki kirinya terseliuh.

“Dalam keadaan kelam-kabut, saya gagahkan diri bangun menghulurkan bantuan kepada dua anak saya yang tidak bermaya,” katanya.
Katanya, pada masa sama dia dibantu anak lelaki, Mohd Zul, 23, mengangkat konkrit menghempap Suria yang meraung kesakitan.

“Saya juga cedera terkena serpihan konkrit ketika mahu membantu dua anak tapi mujurlah tidak serius. Kami bersyukur kerana semua terselamat dalam kejadian itu,” katanya yang menetap di rumah berkenaan sejak 2008 selepas berpindah dari Kampung Bintawa.
Katanya lagi, sebelum ini, bahagian dapur rumah mereka diperbuat daripada kayu namun disebabkan keadaan semakin tidak selamat, mereka membina bahagian itu dengan simen.
“Sebelum ini, bahagian dapur kelihatan kukuh selepas diganti simen. Mungkin disebabkan keadaan kayu sedia ada yang reput dan gagal mengimbanginya menyebabkan ia runtuh,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zul berkata, dia bersyukur kerana kebetulan berada di rumah ketika kejadian menikmati makan malam.
“Tiba-tiba saya terdengar bunyi kuat dari dapur dan bergegas berlari melihat apa yang berlaku sebelum mendapati kedua-dua adik saya menangis dengan tangan dan kaki berdarah.
“Saya segera membantu menyelamatkan mereka dan meminta ahli keluarga menghubungi hospital,” katanya yang bekerja sendiri.
Difahamkan, dua ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bersama beberapa anggota tiba di rumah keluarga memberi bantuan.
Dua beradik yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Samariang serta ibunya kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan keadaan mereka dilaporkan stabil.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s