Warga sekolah bertempiaran, bumbung bangunan diterbangkan ribut – Bernama


Warga sekolah bertempiaran, bumbung bangunan diterbangkan ribut
2012/06/27

BANDAR BAHARU: Kira-kira 200 warga Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Tajuddin di sini, lari bertempiaran apabila bumbung bangunan dua tingkat sekolah diterbangkan ribut dalam satu kejadian hari ini.

Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, pelajar tingkatan enam, guru serta warga pentadbiran sekolah terbabit terpaksa berlari keluar dari bangunan berkenaan selepas bumbung tercabut.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu, Johari Said berkata, kejadian ribut selama 20 minit terbabit turut menyebabkan bumbung bangunan asrama sekolah rosak akibat ditimpa dua batang pokok.
Kejadian turut menyebabkan beberapa batang pokok hiasan yang ditanam di kawasan sekolah tumbang, katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, 10 buah rumah di Kampung Permatang Pasir, Kampung Keda dan Kampung Banggul Mat Rashid di sini turut mengalami kerosakan dengan tiga daripadanya rosak teruk selepas bumbung diterbangkan angin kuat berkenaan.

Seorang mangsa Halijah Mentor, 59, berkata ketika kejadian, beliau sedang memasak apabila bumbung di bahagian dapur dan ruang tamu rumahnya diterbangkan angin.

Turut berada di rumah ketika itu ialah suaminya Ismail Abdul Latiff, 67, anak mereka Siti Fatimah, 21 dan seorang cucu lelaki berusia 10 tahun, katanya. Seorang lagi manga, Hindun Darus, 74, berkata ketika kejadian beliau sedang berehat di bahagian dapur rumah sementara menantunya Zailawati Abu Hasan, 30, sedang memasak dan anaknya lelakinya Nasruh Johan, 33, sedang berehat.

“Tiba-tiba anak saya mengejutkan saya memberitahu bahawa bumbung rumah di beranda rumah telah diterbangkan ribut,” katanya yang menetap di rumah itu sejak lebih 50 tahun lalu.

Sementara itu, wakil Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu Helmy Abdul Khan ketika melawat penduduk terbabit meminta mereka bersabar menunggu bantuan. rumah-rumah mangsa yang terlibat dalam bencana alam itu dan memaklumkan kepada

“…perkara ini akan kita cuba selesaikan dalam tempoh terdekat,” kata Helmy kepada Bernama.

Tinjauan Bernama mendapati tiga petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Bandar Baharu melawat rumah yang terlibat bagi mentaksir kerosakan dan jumlah kerugian. – BERNAMA

Sistem ranking sekolah guna SKPM 2010 – Utusan


Sistem ranking sekolah guna SKPM 2010

KUALA LUMPUR 27 Jun – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran akan mengguna pakai sepenuhnya sistem Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM 2010) bagi menentukan kedudukan atau ranking sekolah-sekolah di negara ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, sistem yang akan bermula tahun depan itu bertujuan memastikan penilaian prestasi sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan objektif. – UTUSAN

Ranking sekolah ikut SKPM supaya lebih tepat, objektif: Muhyiddin – Berita Harian


Ranking sekolah ikut SKPM supaya lebih tepat, objektif: Muhyiddin
2012/06/27

BANGI: Ranking sekolah bagi 2013 akan menggunapakai Standard Kualiti Pendidikan Malaysia 2010 (SKPM 2010) bertujuan memastikan penilaian prestasi sekolah dapat dilaksanakan dengan lebih tepat dan objektif.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pelaksanaan program latihan berterusan akan diperkenalkan bagi memastikan usaha melatih pengetua dan guru besar dapat menjamin kaedah menilai sekolah masing-masing dibuat dengan telus, terperinci, sistematik dan jujur.
Beliau berkata demikian pada majlis anugerah tawaran baru kepada pengetua di sini, sebentar tadi.
Pada 2001 Kementerian Pelajaran memperkenalkan sistem pemastian peningkatan Standard Tinggi Kualiti Pendidkan (STKP).

Sementara itu, pada 2003 penilaian sekolah dilaksanakan menerusi instrumen SKPM.

68 rumah termasuk 3 sekolah rosak dilanda ribut – Bernama


68 rumah termasuk 3 sekolah rosak dilanda ribut

27 Jun 2012
KUALA LIPIS – Sebanyak 68 buah rumah termasuk tiga buah sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Padang Tengku rosak akibat dilanda ribut malam kelmarin.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamed berkata sebahagian besar rumah rosak pada bahagian atap dan dinding diterbangkan angin.

“Kejadian berlaku pukul 8.30 malam selama kira kira 15 minit membabitkan Kampung Kecau Tui, Ladang Selborne, Perumahan Banjir Padang Tengku, Taman Cempaka, Kampong Baru Cina, Telemin, Kampung Gua, Pasir Sia, Bukit Nering, Tanjung Jambu dan Berchang.

“Tiga sekolah yang rosak itu ialah Sekolah Kebangsaan Padang Tengku, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Padang Tengku, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di Ladang Selborne,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata kerugian sebenar belum ditaksirkan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Lipis sedang menjalankan siasatan dengan bantuan segera telah diberi kepada kira- kira 80 keluarga terlibat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan mengesahkan pihaknya menerima 65 laporan kejadian ribut tanpa sebarang kemalangan atau kecederaan.

Seorang suri rumah, Rosmadiah Sabu, 34, yang baru 10 hari melahirkan bayi berkata kejadian berlaku semasa beliau sedang berehat bersama keluarga.

“Saya terperanjat apabila bumbung atap rumah tiba-tiba terkopak dan diterbangkan angin kuat. Bayi saya bagaimanapun terselamat,” katanya.- Bernama

Pembantu rumah lelaki dipenjara setahun cabul anak majikan – Bernama


Pembantu rumah lelaki dipenjara setahun cabul anak majikan

27 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Seorang pembantu rumah lelaki warga Indonesia hari ini dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan anak majikannya berumur 11 tahun 6 bulan di sebuah kondominum di Sentul di sini.

Majistret Nur Azura Murah memerintahkan tertuduh, Aceng Ahmad Siman menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 20 Jun lepas.

Aceng, 35, didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan niat untuk mencabul kehormatan kanak-kanak lelaki itu dengan memegang bahagian sulitnya di sebuah kondominium di Jalan Putramas 1, Sentul antara 12 tengah malam pada 15 Jun dan 8 pagi, 16 Jun lepas.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda atau sebatan atau mana-mana dua daripadanya.

Menurut fakta kes, bapa mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan oleh seorang daripada anggota keluarganya yang pernah melihat tertuduh memegang bahagian sulit mangsa beberapa kali ketika mangsa sedang tidur.

Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dengan mengambil kira usia mangsa yang masih muda.

Bagaimanapun Aceng, yang tidak diwakili peguam, hanya berkata “saya memohon maaf”, ketika merayu meminta hukuman terhadapnya diringankan.- Bernama

eKasih menang Anugerah Perkhidmatan Awam PBB 2012 – Bernama


eKasih menang Anugerah Perkhidmatan Awam PBB 2012

26 Jun 2012
KUALA LUMPUR – Projek eKasih, yang merupakan inovasi kerajaan Malaysia, memenangi tempat pertama Anugerah Perhidmatan Awam (UNPSA) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 2012.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di New York, kerajaan memenangi kategori Memajukan Pengurusan Maklumat Dalam Kerajaan Bagi Rantau Asia Pasifik pada satu majlis yang diadakan di ibu pejabat PBB, New York pada Isnin.

Sistem eKasih ialah satu sistem pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional dan ia boleh diakses dan diguna oleh semua agensi kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkaitan bagi tujuan perancangan, koordinasi dan memantau program membasmi kemiskinan di Malaysia.

Pengarah Pusat Bank Data Negara dan Inovasi (Nadi) Unit Pelaksanaan dan Koordinasi (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Rosni Abdul Malek yang diiringi Ketua Usaha Malaysia ke PBB Datuk Saiful Azam Martinus Abdullah menerima anugerah itu bagi pihak kerajaan Malaysia.

Majlis itu dirasmikan Ketua Setiausaha Bahagian untuk Hal Ehwal Ekonomi dan Sosial PBB Sha Zukang.

Terdapat 44 organisasi awam dari 29 negara menerima pengiktirafan PBB bagi kejayaan dalam pelbagai bidang perkhidmatan awam tahun ini.

Anugerah Perkhidmatan Awam PBB adalah pengiktirafan antarabangsa yang paling berprestij bagi kecemerlangan dalam perkhidamatan awam.

Ia memberi penghargaan kepada pencapaian kreatif dan sumbangan institusi perkhidmatan awam yang membawa kepada pentadbiran awam yang lebih berkesan dalam negara di seluruh dunia.- Bernama

Kelu lidah lihat adik tenggelam – Metro


Kelu lidah lihat adik tenggelam
KUALA LIPIS: Kelu lidah seorang abang apabila hanya mampu melihat tangan adiknya terkapai-kapai meminta pertolongan sebelum mangsa tenggelam di Sungai Sai, Padang Tengku, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari, murid Sekolah Kebangsaan (SK), Padang Tengku, Muhammad Nur Norshahrin, 10, yang tinggal di Padang Tengku, di sini, dipercayai tenggelam ke dalam sungai sedalam dua meter sebelum menjerit meminta pertolongan abang bersama rakannya.
Difahamkan, mangsa bersama abang dan rakannya berusia 15 tahun pergi ke sungai berkenaan, dua kilometer dari rumah mereka.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, selepas gagal menyelamatkan adiknya, rakan abang mangsa berlari pulang ke rumah meminta bantuan penduduk kampung.
Bapa saudara mangsa yang kebetulan melalui tempat kejadian terjun ke dalam sungai berkenaan.
Katanya, selepas hampir satu jam menyelam, mangsa ditemui sebelum dikejarkan ke Klinik Kesihatan Padang Tengku untuk rawatan, namun disahkan sudah meninggal dunia.