Prestasi Cemerlang: 10,675 Warga Pendidik Terima Ganjaran RM10 juta – Bernama


Prestasi Cemerlang: 10,675 Warga Pendidik Terima Ganjaran RM10 juta
BANGI: Seramai 10,675 warga pendidik dan kumpulan sokongan daripada 124 sekolah menengah di seluruh negara hari ini menerima ganjaran sebanyak RM10 juta bagi pencapaian cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum pada 2011.

Ganjaran di bawah bidang keberhasilan utama negara (NKRA) pendidikan itu disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Anugerah Tawaran Baru Kepada Pengetua 2011, di sini hari ini.

Ketika berucap, Muhyiddin melahirkan rasa gembira dengan pencapaian 124 buah sekolah atau 5.51 peratus itu yang melebihi sasaran 4 hingga 5 peratus daripada 2,248 sekolah menengah yang ditetapkan di bawah Sub NKRA pada tahun lepas untuk menerima ganjaran itu manakala semua pengetua yang terlibat juga melepasi semua saringan termasuk tiada audit berteguran dan tiada kes tatatertib. “Apa yang membanggakan kita semua ialah usaha kerajaan untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan peluang pendidikan berkualiti antara bandar dan luar bandar juga nampaknya telah membuahkan kejayaan. “Ini terbukti apabila 54 peratus iaitu 67 buah sekolah luar bandar berjaya menerima ganjaran tawaran baru ini dari keseluruhan 124 sekolah yang terpilih,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Beliau berkata pada Mac lalu, ganjaran RM15.6juta diberikan kepada 403 buah sekolah daripada 7,648 buah sekolah rendah di seluruh negara bagi tujuan yang sama.

Timbalan Perdana Menteri juga berbangga dengan prestasi sekolah agama apabila sebanyak 18 buah sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan dipilih menerima ganjaran itu berbanding empat buah pada 2010. “Peningkatan lebih dua kali ganda ini amat membanggakan KPM. Manakala sebanyak 19 buah sekolah dalam kategori lonjakan perdana telah melonjak sebanyak 500 tempat dan ke atas dalam kedudukan rangkingnya berbanding sasaran lonjakan yang diperlukan iaitu 300 tempat sahaja,” katanya.

Pencapaian dua buah sekolah begitu menakjubkan dengan lonjakan lebih daripada 1,000 kedudukan iaitu Sekolah Menengah Agama Tarbiah Islamiah Pulau Pinang sebanyak 1,555 lonjakan dan Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak Kedah sebanyak 1,202 lonjakan, katanya. “Dan yang lebih membanggakan lagi peningkatan yang ditunjukkan oleh Sekolah Menengah Seri Kembangan, Selangor yang telah membuat lonjakan drastik sebanyak 1,399 dalam kedudukan ranking bagi sekolah berenrolmen besar,” katanya.

Bagi meneruskan kecemerlangan itu, beliau mahukan pengetua dan guru besar supaya lebih berwibawa dan berinovasi dalam merancang, menyelaras, memantau serta menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan generasi yang berkemampuan.

Muhyiddin berkata sebagai pemimpin sekolah dan ejen perubahan, mereka perlu mengikuti perkembangan terkini, memajukan diri dan sentiasa memikirkan penambahbaikan kepimpinannya yang berorientasikan pengurusan yang lebih baik. “Kejayaan pengetua dalam merancang,menyelaras, memantau dan menilai aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan membolehkan pencapaian matlamat visi dan misi sekolah yang diterjemah selaras dengan visi, misi dan matlamat Kementerian Pelajaran Malaysia”.

Katanya,pengurusan dan kecemerlangan pengetua dan guru besar yang mantap dan jitu pastinya menentukan prestasi akademik dan kokurikulam pelajar yang membanggakan. “Kementerian akan terus memastikan pengetua yang tidak mencapai sasaran seperti yang ditetapkan diberi peluang mengikuti kursus penambahbaikan berdasarkan keperluan masing-masing dan diberikan bimbingan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau juga menyarankan semua pengetua dan guru besar sekolah agar meningkatkan ilmu dan kepakaran dalam bidang pendidikan terutama dalam penarafan kendiri sekolah seperti yang dilaksanakan di beberapa buah negara maju untuk meningkatkan prestasi sekolah.

Tegasnya, kerajaan begitu serius dalam melaksanakan pembaharuan dan penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara bagi memastikan kerelevannnya dan memberi kesan yang lebih baik. “Pelaburan tinggi kerajaan terhadap transformasi pendidikan menunjukkan keseriusan kerajaan terhadap perkembangan terkini pendidikan bagi melahirkan modal insan yang mempunyai pemikiran kritis, kreatif, inovatif, berdaya saing, berakhlak dan berperibadi mulia,” katanya. -BERNAMA

Kementerian Pelajaran Siasat Dakwaan Guru Baca Khutbah Benci Kerajaan – Bernama


Kementerian Pelajaran Siasat Dakwaan Guru Baca Khutbah Benci Kerajaan
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran sedang menyiasat dakwaan bahawa khatib jemputan yang menyelitkan doa agar kerajaan sedia ada digulingkan ketika membaca khutbah Jumaat di sebuah masjid di Pulau Pinang baru-baru ini ialah guru sebuah sekolah rendah.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata jika benar guru sebuah sekolah rendah di Penaga Pulau Pinang itu melakukan perbuatan itu, tindakan tatatertib akan dikenakan terhadapnya. “Kementerian ada maklumat tentang isu ini…malah sudah mengarahkan siasatan terperinci diadakan. Jika benar, perbuatan itu bertentangan dengan etika kerja lelaki itu sebagai seorang guru. “Jika benar kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap guru itu yang boleh membawa kepada penggantungan gaji, kerja atau dipecat,” kata Mohd Puad kepada pemberita di bangunan Parlimen di sini, Rabu.

Guru itu dikatakan berdoa supaya rakyat menolak pemimpin dan kerajaan yang ada ketika menyampaikan khutbah di Masjid Jamek Taman Guar Perahu, Kubang Semang, Pulau Pinang Jumaat lepas.

Difahamkan tindakan itu dilakukan kerana tidak berpuas hati dengan arahan pertukaran ke sebuah sekolah di Selangor yang diterimanya dua hari sebelum itu.

Mohd Puad berkata kementerian tidak menghalang guru untuk berpolitik asalkan mereka mendapat kebenaran terlebih dahulu, namun ia harus dibuat secara berhemah tanpa menjejaskan kedudukan pekerjaan masing-masing. “Janganlah gunakan masjid untuk menimbulkan suasana yang kurang senang kerana ia boleh memecah belahkan umat Islam. Bagi saya, dakwaan ini cukup serius dan perlu disiasat dengan teliti,” katanya. -BERNAMA

Rakyat Perlu Pertahan Status BM – Muhyiddin – mStar


Rakyat Perlu Pertahan Status BM – Muhyiddin
Oleh AMIRUDDIN MOHSIN

KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini bertanggungjawab untuk mempertahankan status Bahasa Malaysia , kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan akan diteruskan di bawah dasar Martabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI),” katanya.

Beliau berkata, dasar tersebut akan meningkatkan penguasaan dalam kedua-dua bahasa.

“Budaya Malaysia yang moden mesti berdasarkan pendidikan dan pembangunan kesusasteraan kebangsaan dan bahasa,” katanya selepas merasmikan Seminar Bahasa, Kususasteraan dan Kebudayaan Dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Khamis.

Menurut beliau, peradaban bangsa tidak diukur dengan kejayaan material semata-matatetapi karakter budi bahasa turut diambil kira.

“Penggunaan BM dalam sistem pendidikan akan membantu mengukuh perpaduan, identiti kebangsaan dan karakter. Kita mahu melihat sebuah negara maju yang menghargai BM sebagai jiwa bangsa,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran.

Najib lancar program iTR1M bantu pelajar UPSR, SPM di Selangor – Bernama


Najib lancar program iTR1M bantu pelajar UPSR, SPM di Selangor

28 Jun 2012
PUTRAJAYA – Kerajaan meluluskan peruntukan RM2 juta daripada Dana Khas untuk melaksanakan program Interaktif – Tuisyen Rakyat 1Malaysia (iTR1M) untuk memberi tuisyen secara percuma kepada 10,000 pelajar di negeri Selangor yang bakal menduduki peperiksaan umum pada tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan program yang dilaksanakan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) di kediamannya, Seri Perdana di sini hari ini. Hadir sama ialah Pengerusi YGMB Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Alimuddin berkata projek perintis yang dilaksanakan di negeri Selangor akan memanfaatkan pelajar yang tidak mampu menghadiri kelas tuisyen berbayar tetapi bakal menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.

“Program iTR1M ini akan meningkatkan prestasi akademik bagi anak-anak golongan berpendapatan rendah untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran di sini hari ini.

Alimuddin berkata program yang berlangsung dari 18 Jun hingga Oktober ini dilaksanakan di 107 buah sekolah, iaitu 30 buah sekolah menengah dan 77 buah sekolah rendah di Selangor.

Beliau berkata seramai 350 guru akan memberi tuisyen dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains pada setiap hari Isnin, Rabu dan Jummat.

“Matlamat Program iTR1M adalah untuk memberi bimbingan di luar waktu sekolah secara percuma kepada anak-anak golongan berpendapatan rendah pelbagai kaum dan membantu mereka mengoptimumkan penggunaan ‘Netbook 1Malaysia’ dan kemudahan ICT yang disediakan kerajaan,” katanya.

Alimuddin berkata di bawah program ini, calon UPSR menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah, sekolah dan pusat komuniti (Perpustakaan Desa, Pusat Jalur Lebar Komuniti dan medan Infodesa).

Beliau berkata bagi calon PMR dan SPM, bimbingan secara konvensional di beberapa sekolah menengah terpilih diadakan dari pukul 3 hingga 5 petang, pada setiap Isnin, Rabu, dan Jumaat.

Selain itu, beliau berkata calon SPM yang mengambil mata pelajaran Sains Tulen (Biologi, Kimia dan Fizik) akan menggunakan kaedah pembelajaran dan penilaian kendiri secara online dari rumah.

“Seminar dan bengkel persediaan menghadapi peperiksaan yang akan diadakan menjelang tarikh peperiksaan,” katanya.- Bernama

Muhyiddin: Masalah kekurangan pelajar di SJKT perlu diatasi – Bernama


Muhyiddin: Masalah kekurangan pelajar di SJKT perlu diatasi

28 Jun 2012

Tan Sri Muhyiddin Yassin
PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pemimpin masyarakat India perlu berbincang dengan Kementerian Pelajaran dalam mengatasi masalah kekurangan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJKT).

Beliau berkata pada masa ini terdapat banyak sekolah SJKT yang hanya mempunyai 10 pelajar sahaja yang mendaftar daripada 100 pelajar yang sepatutnya, walaupun jumlah guru memenuhi syarat seramai tujuh orang.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan prihatin dengan perkara itu dan mahu supaya kelangsungan SJKT dapat diteruskan selain mutu pendidikannya dipertingkat.

Pembangunan sekolah-sekolah jenis kebangsaan turut dititikberatkan di bawah kajian semula sistem pendidkan negara yang sedang dijalankan, katanya semasa merasmikan blok bangunan tiga tingkat bernilai RM3 juta SJKT Vivekananda di sini hari ini.

Muhyiddin berkata walaupun sebahagian besar tanggungjawab pembangunan pendidikan berkualiti adalah komitmen kerajaan, semua pihak juga harus memainkan peranan untuk memastikan pembangunan pendidikan di negara ini dipertingkat dan setaraf dengan negara-negara maju.

Muhyiddin berkata Malaysia kini hampir mencapai universalisme dalam pendidikan dan beliau menyedari bahawa tuntutan yang paling penting oleh semua pihak ialah memastikan setiap anak-anak di negara ini mendapat pendidikan yang berkualiti.

Pada majlis itu, beliau turut meluluskan peruntukan dana sebanyak RM6 juta untuk menaik taraf tiga buah sekolah di bawah Vivekananda Ashrama, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Vivekananda di Petaling Jaya dan Brickfields dan Sekolah Menengah Kebangsaan Vivekananda di Brickfields seperti yang dipohon oleh badan itu.

Muhyiddin juga turut meluluskan pemohonan lembaga pengurus sekolah itu untuk mewujudkan sebuah kelas Tingkatan 6 di SMK Vivekanda sekiranya memenuhi syarat.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang turut hadir pada majlis itu memberitahu pemberita kebanyakan sekolah yang mempunyai jumlah pelajar yang sedikit terletak di kawasan ladang yang dibina sejak zaman penjajah bagi memenuhi keperluan masyarakat India pada masa itu, tetapi sekarang ramai masyarakat India telah berpindah ke kawasan bandar.

“Jadi masalah utama kita sekarang dalam hal ini ialah mencari tanah di kawasan bandar dan dana untuk membolehkan sekolah-sekolah terlibat dipindah ke kawasan bandar,” katanya.

Dr Subramaniam berkata pada masa ini sebanyak 265 daripada 530 SJKT di seluruh negara mempunyai jumlah pelajar kurang daripada 150 orang dan daripada 295 sekolah tersebut, 69 sekolah mempunyai pelajar kurang daripada 25 orang.

“Kita mahu memberi fokus untuk selesaikan masalah di 69 buah sekolah ini dulu,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden MIC yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk G. Palanivel dan pengerusi SJKT Vivekananda Petaling Jaya Tan Sri Dr Ampikaipakan Kandiah.- Bernama

MAJLIS ANUGERAH TAWARAN BARU KEPADA PENGETUA


MAJLIS ANUGERAH TAWARAN BARU KEPADA PENGETUA

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN MOHD. YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA MERANGKAP
MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

“MAJLIS ANUGERAH TAWARAN BARU KEPADA PENGETUA”

PADA : 27 JUN 2012 (RABU)

Muat turun teks ucapan di bawah.
Muat turun
Teks Ucapan Tawaran Baru Pengetua 2012

MAJLIS PERASMIAN SEMINAR BAHASA KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN DALAM PENDIDIKAN


MAJLIS PERASMIAN SEMINAR BAHASA KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN DALAM PENDIDIKAN

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI

DI MAJLIS PERASMIAN SEMINAR BAHASA KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN DALAM PENDIDIKAN

PADA 28 JUN 2012; PUKUL 9.30 PAGI
BERTEMPAT DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
KUALA LUMPUR
Sila muat turun teks ucapan di bawah.
Muat turun
SEMINAR BAHASA KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN DALAM PENDIDIKAN

Semua sekolah menengah disasar tubuh koperasi menjelang 2015 – Bernama


Semua sekolah menengah disasar tubuh koperasi menjelang 2015

28 Jun 2012
KUCHING – Semua sekolah menengah di negara ini disasar menubuhkan koperasi masing-masing menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Karim.

Katanya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan meningkatkan usaha bagi memastikan sasaran tersebut tercapai.

Koperasi sekolah mempunyai kekuatan tersendiri dan berpontensi untuk diperkukuh serta diperkasa, katanya kepada pemberita selepas perasmian Karnival Mega Permata Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, di sini hari ini.

Katanya di Sarawak terdapat 179 koperasi sekolah setakat ini yang mempunyai 214,740 anggota dan modal syer/yuran hampir RM1.33 juta serta aset bernilai RM20.6 juta.

“Berdasarkan rekod SKM Sarawak hanya lapan sekolah di negeri ini belum ada koperasi dan kesemuanya merupakan sekolah mubaligh kerana mempunyai lembaga pengarah sendiri masing-masing,” katanya.

Mengulas mengenai kolej itu, Rohani berkata koperasi sekolah terbabit menduduki senarai 10 terbaik di Sarawak dan ke-77 di peringkat kebangsaan daripada kira-kira 2,000 koperasi di seluruh negara.

Sementara itu, Rohani berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual merasmikan Hari Koperasi Negara di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 14 Julai ini, yang dijangka menyaksikan perhimpunan 100,000 peserta. – Bernama

Kanak-kanak 9 tahun ditemui lemas – Bernama


Kanak-kanak 9 tahun ditemui lemas

28 Jun 2012
ALOR SETAR – Seorang kanak-kanak lelaki berumur sembilan tahun ditemui lemas ketika mandi di Terusan Mada, Kampung Pulau Mas dekat Yan hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan Abu Yazid Othman berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan tentang kejadian itu kira-kira pukul 12.02 tengah hari dan seramai lima anggota telah dikejarkan ke sana.

“Semasa kita sampai, mayat Mohamad Zulkifli Ahmad Faiz telah dijumpai oleh orang kampung dan mayat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Yan untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, difahamkan kanak-kanak itu pergi ke terusan tersebut yang dalamnya kira-kira tiga meter bersama tiga rakannya dan apabila melihat Mohamad Zulkifli lemas, rakannya itu bergegas meminta tolong daripada orang kampung.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan DSP Ismail Abu mengesahkan menerima laporan tentang kejadian itu.- Bernama

Remaja subahat jual telefon curi dicekup – Metro


Remaja subahat jual telefon curi dicekup
KUALA LUMPUR: Hanya kerana upah RM50, seorang remaja yang masih lagi bersekolah sanggup bersubahat dengan rakannya, seorang penyamun untuk menjual telefon I Phone 4S yang disamun daripada seorang wanita di tempat letak kereta pusat beli-belah Mid Valley, Jumaat lalu.

Tindakan remaja berusia 16 tahun itu, bagaimanapun mengundang padah apabila dia turut ditahan selepas polis berjaya memberkas rakannya dalam serbuan pagi semalam hasil maklumat daripada mangsa dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pusat beli-belah itu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Aida Abdul Hamid berkata, remaja terbabit ditahan kerana dipercayai bersubahat dengan suspek utama kes samun yang menyebabkan seorang wanita cedera akibat ditikam di dada ketika cuba melawan.

“Ekoran kejadian itu, satu pasukan khas terdiri dari Cawangan Risikan dan Operasi (D4), Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields ditubuhkan bagi mengesan suspek dan hasilnya, seorang lelaki berusia 21 tahun berjaya ditahan di sebuah unit rumah pangsa di Taman Desa, di sini kira-kira jam 3 pagi tadi (semalam) serta menemui kembali 22 barangan milik mangsa yang kebanyakan adalah dokumen pengenalan dan kad bank.
“Turut ditemui senjata yang digunakan iaitu sebilah parang pendek berukuran 29 sentimeter dan hasil soal siasat terhadap suspek, polis kemudian menahan remaja terbabit yang dipercayai menjadi orang tengah bagi menjual telefon bimbit milik mangsa kepada kedai telefon di ibu negara dengan harga RM800,” katanya di sini, semalam. Menurutnya, siasatan polis turut membawa kepada penahanan seorang wanita berusia 19 tahun dipercayai tunang suspek utama, selepas mendapati beg galas yang digunakan suspek dalam kes samun itu milik tunangnya, namun selepas disoal siasat wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, pemeriksaan polis mendapati suspek utama kes samun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk satu kes juvana kerana curi kenderaan dan mendatangkan kecederaan.

“Suspek utama dan remaja terbabit kini direman empat hari sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes samun di Mid Valley itu, dan kita harap orang ramai yang ingin berkunjung ke pusat beli-belah berkenaan tidak berasa bimbang kerana rondaan oleh polis dan polis bantuan di premis terbabit turut dipertingkatkan,” katanya.

Metro Ahad pada 24 Jun lalu melaporkan, seorang wanita berusia lewat 20-an bukan saja rugi hampir RM1,000, malah turut cedera di kepala selepas bergelut dengan seorang lelaki bersenjatakan pisau di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, di sini.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira jam 10 malam, mangsa menunggu lif untuk ke tempat letak kereta di tingkat empat premis berkenaan kerana mahu pulang, mangsa sendirian dihampiri seorang lelaki berusia lewat 20-an sebelum merampas beg tangannya.