Anak terpaksa diberi makan sagu kerana dihimpit kemiskinan – Sinar Harian


Anak terpaksa diberi makan sagu kerana dihimpit kemiskinan
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Jun 2012

Suharni bersama anak-anak dan suaminya, Zuki, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
DUNGUN – Luluh hati seorang ibu tatkala melihat anaknya terpaksa diberi makan sagu untuk mengisi perut kosong setelah bekalan beras di dapur kehabisan.

Namun, kemiskinan hidup menyebabkan Suharni Basir, 43, yang pernah tinggal di sebuah pondok usang di kampung Gong Beting dekat sini, tiada pilihan melainkan menghidangkan makanan yang pada masa kini hanya sesuai untuk makanan ternakan sahaja, demi memastikan lima anaknya berusia tujuh hingga 13 tahun itu tidak mati kelaparan.

Kisah duka keluarga malang ini dikongsi Suharni bersama Sinar Harian, setelah dia yang mendirikan rumah tangga bersama Zuki Hashim, 45, sejak lebih 10 tahun lalu, tidak lagi sanggup melalui detik getir ini setelah pelbagai bantuan gagal dinikmatinya, biarpun dari segi zahir mereka lebih daripada layak untuk menerimanya.

Menurut Suharni, hidangan sagu menjadi rutin kehidupan buat keluarganya yang sentiasa dihimpit kemiskinan itu.

“Ketika menghidangkan sagu untuk diberi makan kepada anak-anak, mereka pernah tanya, mak, makanan apa ni?

“Hati saya luluh mendengarnya, tapi saya tetap pujuk anak supaya makan kerana kalau tidak makan sagu itu, kami akan mati kelaparan,” katanya.

Suharni bersama anak-anak dan suaminya, Zuki, ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Suharni berkata, dia terpaksa menjadikan pondok buruk yang hanya layak dijadikan kandang ternakan sebagai tempat berlindung daripada panas dan hujan kerana telah dihalau dari rumah didudukinya sekeluarga sebelum ini kerana gagal menjelaskan sewa rumah, biarpun kadar sewanya tidak sampai RM200 sebulan.

Katanya, dia terpaksa membawa empat anaknya mencari tempat berlindung sehinggalah menemui sebuah pondok usang yang terbiar itu.

“Saya pernah dihalau keluar rumah kerana gagal membayar sewa dan kami tujuh beranak terpaksa menumpang teduh di sebuah pondok buruk dalam semak tanpa kemudahan air dan elektrik.

“Kami tidur bertemankan pelita minyak tanah, tiada kemudahan air dan elektrik dan waktu malam kami dikerumuni nyamuk, bayangkanlah daifnya kehidupan kami ketika itu,” katanya.

Untuk meringankan beban suami yang hanya bergantung harap kepada kerja tukang rumah itu, dengan kudrat yang masih ada, Suharni terpaksa mengayuh basikal sejauh tiga kilometer setiap hari untuk bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan
pendapatan RM15 sehari.

Dengan duit itulah dia dapat membeli keperluan makanan jika suaminya gagal memperoleh pendapatan.

5 anak tidak dapat sekolah

DENGAN nada sebak Suharni meluahkan, lebih menyedihkan, kemiskinan hidup juga menyebabkan lima anaknya tidak dapat bersekolah, biarpun jauh di sudut hatinya ingin melihat kesemua permata hatinya itu berjaya dalam pelajaran seperti anak-anak jiran lain.

Katanya, segalanya berpunca setelah kesemua anaknya, Nazihan, 7, Nasarudin, 9, Nurshafiqah, 11, Zulfitri, 13, yang jika bersekolah antara tahun satu hingga tingkatan satu itu tidak mempunyai dokumen sijil kelahiran kerana sewaktu dia melahirkan anak, dia tidak mempunyai wang untuk menjelaskan bil hospital.

“Kadang-kadang saya berendam air mata sebab tengok anak-anak orang lain semuanya bersekolah.

“Saya sudah berikhtiar untuk mendapatkan semula dokumen kelahiran diperlukan di Pejabat Pendaftaran, namun saya kecewa kerana masih gagal berurusan atas pelbagai alasan, selain tidak berkemampuan untuk menjelaskan denda dikenakan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang anak Suharni, Nashafiqah Zuki berkata, dia teringin menikmati alam persekolahan seperti kanak-kanak lain, namun masalah ketiadaan dokumen kelahiran menyebabkan dia gagal diterima masuk di sekolah rendah, biarpun jarak rumahnya dengan sekolah tidak sampai 50 meter.

“Saya teringin sangat nak sekolah seperti rakan lain, tapi tak dapat, nak buat macam mana,” katanya.

Suami Suharni, Zuki pula berkata, dia sudah puas berikhtiar, namun sehingga kini lima anaknya itu masih tidak dapat bersekolah kerana ketiadaan dokumen.

“Saya hanya bekerja sebagai tukang rumah, berapalah sangat pendapatan saya, hanya cukup makan sahaja.

“Nak selesai dokumen anak saya tu, kena pergi Kuala Lumpur, semuanya kena pakai duit, saya manalah mampu,” kata Zuki yang kini menyewa sebuah rumah papan berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Nyiur, Paka.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyumbang melalui akaun Bank Simpanan Nasional Zuki Hashim: 11004-41-0003019-1.

Maklumat lanjut berkaitan keluarga malang ini boleh hubungi wartawan sinar di talian 019-9391369 .

Zuki dan Suharni masih mengharapkan satu keajaiban tuhan untuk mengubah nasibnya setelah lima anaknya berusia antara tujuh hingga 13 tahun tidak bersekolah selain terpaksa menjadikan sagu sebagai makanan rutin harian susulan kemiskinan
hidup.

93 sekolah di Sarawak terjejas akibat kemarau – Bernama


93 sekolah di Sarawak terjejas akibat kemarau
2012/06/29
KUCHING: Sebanyak 93 sekolah termasuk lima sekolah menengah di kawasan pedalaman dan pesisir pantai Sarawak terjejas akibat musim kemarau yang melanda seluruh negeri itu sekarang.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohamad Morshidi Ghani, bagaimanapun berkata keadaan tersebut tidak menjejaskan sesi persekolahan harian atau sekolah terbabit perlu ditutup sementara waktu.
“Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Negeri (JPBBN) sedang memantau keadaan di beberapa sekolah yang terjejas dan setakat ini tiada sekolah yang ditutup atau pun pelajar diarah pulang pada hujung minggu dan keputusan itu adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Pelajaran Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Anugerah Lima Bintang dan Ngiling Tikai (penutup perayaan Gawai) Jabatan Ketua Menteri di sini hari ini.

Mohamad Morshidi yang juga Timbalan Pengerusi JPBBN berkata, setakat ini 24,743 penduduk membabitkan 3,669 keluarga turut terjejas akibat kemarau sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, sejak 25 Jun lalu, Jabatan Kerja Raya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Pejabat Residen Bahagian sudah menghantar 626,541 liter air bersih ke kawasan terjejas akibat kemarau menggunakan lori selain membekalkan air botol minuman. – BERNAMA

Lelaki sedang menunggu dalam kereta maut ditembak – Bernama


Lelaki sedang menunggu dalam kereta maut ditembak
2012/06/29
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang sedang menunggu dalam kereta di luar sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan dekat sini, maut selepas ditembak dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Abd Razak Elias berkata, ketika kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berumur 32 tahun sedang menunggu isterinya yang menghantar anak lelaki tunggal mereka berusia lapan tahun masuk ke dalam sekolah.
“Mangsa yang duduk di tempat pemandu dalam kereta jenis Perodua Myvi, tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar penuh sebelum seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arahnya dari jarak dekat.
“Tembakan itu terkena rusuk kanan dan menembusi bahu kirinya. Mangsa yang juga seorang peniaga kedai runcit kemudian dihantar ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9 pagi,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Abd Razak berkata, hasil siasatan mendapati suspek menunggang motosikal jenis Yamaha LC bewarna merah dan menggunakan pistol jenis semi auto.

“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa yang tinggal di Sungai Chua, Kajang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan menurut isteri mangsa, suaminya tidak mempunyai musuh,” katanya.

Abd Razak berkata, polis dalam pada itu tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam dan dirancang rapi oleh suspek terbabit.
“Di sekolah itu tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup. Sehubungan itu kami meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan,” katanya. – BERNAMA

RM49 juta naik taraf makmal sekolah dengan kelengkapan F1 – Bernama


RM49 juta naik taraf makmal sekolah dengan kelengkapan F1
2012/06/29
MELAKA: Kementerian Pelajaran membelanjakan RM49 juta untuk menaik taraf kemudahan makmal reka cipta di 114 sekolah menengah di seluruh negara.

Kelengkapan perkakasan Formula Satu (F1) itu diimport khas dari United Kingdom sebagai memperkasa kemahiran reka cipta di kalangan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pada tahun ini sahaja RM500,000 diperuntukkan bagi keperluan penyelenggaraan dan pembaikan kecil perkakasan F1 yang rosak dan usang.
“Sejumlah RM1.66 juta juga diperuntukkan bagi membiayai kos pembelian bahan habis guna F1 di sekolah-sekolah pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan kem ‘F1 in Schools’ peringkat kebangsaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bahan habis guna akan diagihkan ke sekolah terbabit sebelum pertandingan ‘F1 in Schools’ peringkat kebangsaan yang berlangsung di Pulau Pinang pada Oktober depan.

Katanya, pertandingan itu mencatatkan peningkatan penyertaan daripada 54 pasukan pada 2011 kepada 147 pasukan, termasuk satu penyertaan daripada Permata Pintar pada tahun ini.

Mohd Puad berkata, program F1 yang dimulakan secara rintis pada 2005 di 14 sekolah menengah kawasan Lembah Klang itu banyak membantu dalam memberi kemahiran reka cipta, berkomunikasi dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada pelajar sekolah.
Beliau berkata, peserta yang pernah mewakili negara dalam kejohanan F1 peringkat antarabangsa juga berjaya melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka seperti Massachusets Institute of Technology, Amerika Syarikat dan Imperial College London, England dalam bidang kejuruteraan sains dan teknologi.

Dalam perkembangan lain, Mohd Puad berkata, Kementerian Pelajaran dan Majlis Agama Islam Pulau Pinang masih menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang khatib jemputan yang juga guru sebuah sekolah rendah yang menyelitkan doa agar kerajaan sedia ada digulingkan ketika membaca khutbah Jumaat di sebuah masjid di Pulau Pinang baru-baru ini.

“Majlis Agama Islam Pulau Pinang akan melihat sama ada dia (khatib) mempunyai tauliah atau tidak (untuk membaca khutbah),” katanya.

Katanya, pihaknya akan mengambil tindakan termasuk memecat guru berkenaan sekiranya didapati bersalah atas tuduhan itu. – BERNAMA

Murid Tahun Tiga lemas – Berita Harian


Murid Tahun Tiga lemas
Oleh Maria Uffa Zulkafli

2012/06/29
YAN: “Ketika mendapat berita, saya sedang bekerja di Sungai Korok, Alor Setar dan terus bergegas pulang ke rumah di Yan apabila dihubungi isteri.

“Saya berharap kejadian itu tidak benar, namun sebaik sampai saya sedar saya tidak boleh lawan takdir,” kata Ahmad Faiz Ariffin, 48, bapa mangsa lemas dalam terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di sini, semalam.
Dalam kejadian pada jam 11.30 pagi itu, Muhamad Zulkfikri Ahmad, 9, dari Kampung Tualang, Bukit Besar di sini, sedang mandi bersama tiga rakannya di terusan MADA Kampung Pulau Mas, Simpang Tiga, Sungai Daun.
Mangsa, murid Tahun 3 Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, di sini kemudian dikatakan cuba berenang ke tebing di seberang sungai untuk memetik jambu batu.

Bagaimanapun, ketika berenang ke seberang terusan itu, dia lemas sebelum disedari rakan dan beberapa orang kampung.

Ahmad Faiz, seorang pemandu lori berkata, dia tersentak sebaik diberitahu anak kesayangannya lemas dan tidak dapat menahan sebak sebaik menatap wajah jenazah anaknya buat kali terakhir.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Abu Yaziz Othman, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.02 tengah hari.
Katanya, seramai lima anggota dikejarkan ke lokasi kejadian, namun mangsa didapati sudah meninggal dunia.

“Ketika kita sampai, mangsa sudah ditemui orang kampung dan jenazah kemudian dibawa ke Hospital Yan. Kanak-kanak itu dipercayai pergi ke terusan yang dalamnya kira-kira tiga meter bersama tiga lagi rakannya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dirogol ketika mandi sungai – Sinar Harian


Dirogol ketika mandi sungai
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Jun 2012

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi
KUALA KUBU BHARU – Pendarahan banyak pada kemaluan membongkar perbuatan sumbang seorang remaja berusia 16 tahun yang mengakui disetubuhi teman lelakinya.

Ibu remaja terbabit yang mengetahui perkara itu telah membuat laporan polis sehingga membawa kepada tangkapan teman lelaki anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affendi berkata, perkara itu hanya disedari ibu remaja terbabit selepas dua hari hubungan sulit dilakukan.

“Menurut fakta kes, mangsa (remaja wanita) diajak oleh suspek (lelaki) terbabit untuk melakukan hubunganseks di kawasan Air Terjun Sungai Balak, Jalan Genting – Batang Kali dekat
sini pada 24 Jun lalu.

“Pengadu datang bersama dua sepupu dan tiga rakannya ke kawasan air terjun itu untuk mandi. Tetapi suspek berusia 22 tahun telah mengajak mangsa ke kawasan jauh sedikit daripada tempat mandi mereka.

“Suspek kemudian telah memujuk dan memaksa mangsa untuk melakukan hubungan seks tapi mangsa tak nak dan menghalangnya, namun mangsa dikatakan tidak berdaya melawan dan suspek terus rogol mangsa,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Menurut beliau, selepas kejadian itu mangsa balik ke rumah tanpa memberitahu sesiapa mengenai kejadian itu.

Jelasnya, hanya dua hari kemudian mangsa mengalami pendarahan yang banyak pada kemaluan sehingga diketahui ibunya dan mangsa menceritakan perkara sebenar.

Norel berkata, bertindak atas makluman mangsa, polis berjaya menangkap suspek di rumahnya di Kampung Kuantan, Batang Kali.

“Suspek mengaku melakukan hubungan itu dengan remaja wanita itu dan ia dilakukan pertama kali,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kini ditahan di Hospital Selayang kerana mengalami kesan koyak pada kemaluan.

Norel Azmi memberitahu, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Pelajar maut ke sekolah – Sinar Harian


Pelajar maut ke sekolah
WARTAWAN SINAR HARIAN
29 Jun 2012

Orang ramai membantu mengangkat mayat mangsa. Gambar kecil: Muhammad Hakimi
SUNGAI UDANG – Seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Al-Ahmadi, di sini, maut ketika dalam perjalanan ke sekolah, selepas motosikal ditungganginya terbabas di Lebuh SPA berhampiran Bertam Ulu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman berkata, kejadian berlaku pada jam 7.30 pagi apabila mangsa, Muhammad Hakimi Mohammad Tarmizi, 16, dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Bertam Ulu ke sekolah berkenaan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa dipercayai terbabas menyebabkan mangsa tercampak ke laluan bertentangan.

“Mangsa maut di tempat kejadian kerana parah di kepala,” katanya, semalam.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Sesyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, datuk mangsa, Johari Yaakop, 54, berkata, dia mengetahui anak sulung daripada tiga beradik itu kemalangan selepas rakannya di warung makan memaklumkan ada seorang pelajar maut kemalangan berhampiran Bertam Ulu.

“Sebaik mendengar berita ini, hati saya mulai bimbang kerana cucu saya menggunakan laluan berkenaan untuk ke sekolah.

“Saya segera ke lokasi kejadian dan kebimbangan saya menjadi kenyataan sebaik sahaja saya lihat mangsa adalah cucu saya sendiri,” katanya.

Rakan mangsa, Muhammad Faris Buang, 17, pula berkata, dia yang menunggang motosikal untuk ke sekolah ditahan oleh seorang lelaki ketika melalui lokasi kejadian yang bertanyakan
sama ada saya mengenali mangsa.

“Sebaik memberhentikan motosikal, saya terkejut melihat mayat yang terbaring adalah rakan sekolah saya,” katanya.

Kenyataan Akhbar: “Khidmat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tamat Pada 1 Julai 2012” – JPA


Kenyataan Akhbar: “Khidmat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tamat Pada 1 Julai 2012”

29 JUN 2012

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ingin memaklumkan bahawa khidmat YBhg. Tan Sri Abu Bakar bin Haji Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tamat pada 1 Julai 2012.

YBhg. Tan Sri telah memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada September 1977 di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Beliau seterusnya berkhidmat di beberapa Kementerian antaranya Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan, dan Jabatan Perdana Menteri.

Beliau merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan sebelum menyandang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 2010. Beliau telah menyumbang kepada perkhidmatan awam selama 35 tahun.
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
29 Jun 2012

SURAT PERINGATAN URUSAN KENAIKAN PANGKAT SECARA TIME-BASED KHAS UNTUK PENYANDANG BAGI PPPS DAN PPPLD BAGI KES CICIR TAHUN 2004 HINGGA 2011 DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA


SURAT PERINGATAN URUSAN KENAIKAN PANGKAT SECARA TIME-BASED KHAS UNTUK PENYANDANG BAGI PPPS DAN PPPLD BAGI KES CICIR TAHUN 2004 HINGGA 2011 DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Salam Sejahtera,

Surat berkenaan sila rujuk lampiran di bawah :-
Muat turun
Surat Peringatan